Kisah ini selalu diperdengarkan kepada anak-anak kita berkenaan dengan Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis dimana terdapat satu peristiwa takjub yang dilakukan oleh orang-orang yang beriman.
Pada satu hari, Nabi Sulaiman meminta semua bala tenteranya beratur di dalam posisi masing-masing untuk memeriksa tentera-tenteranya.
Baginda mendapati seekor burung hud hud tidak berada pada posisi yang telah ditetapkan hingga menyebabkan Nabi Sulaiman hendak menghukumnya jika tidak didatangkan alasan yang munasabah. Seperti mana dalam firman Allah:
لَأُعَذِّبَنَّهُ عَذَابًا شَدِيدًا أَوْ لَأَذْبَحَنَّهُ أَوْ لَيَأْتِيَنِّي بِسُلْطَانٍ مُبِينٍ
Sungguh aku benar-benar akan mengazabnya dengan azab yang keras atau benar-benar menyembelihnya kecuali jika benar-benar dia datang kepadaku dengan alasan yang terang“.(An-Naml: 21)
Tugas burung hud hud
Tugas burung hud hud adalah seperti mana yang telah diterangkan oleh Ibnu Abbas dimana dia menjadi peninjau yang akan meninjau sesuatu kawasan itu mempunyai air ataupun tidak.
Oleh itu, jika pasukan tentera nabi mempunyai masalah kekurangan air ataupun hendak pergi ke suatu tempat, maka burung tersebut dapat memberi tahu lokasi punca air yang boleh digunakan oleh pasukan tentera Nabi Sulaiman AS.
Ketika Baginda tidak menjumpai burung tersebut, ancaman diberikan kepadanya kerana posisinya yang memainkan peranan penting di dalam kerberjayaan sesuatu misi. Kecuali jika dia dapat mendatangkan satu alasan yang boleh diterima oleh Nabi Sulaiman AS
Negeri Saba’, Ratu Balqis dan Rakyatnya yang menyembah matahari
Allah SWT berfriman:
فَمَكَثَ غَيْرَ بَعِيدٍ فَقَالَ أَحَطْتُ بِمَا لَمْ تُحِطْ بِهِ وَجِئْتُكَ مِنْ سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقِينٍ
Maka tidak lama kemudian (datanglah hud-hud), lalu ia berkata: “Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya; dan kubawa kepadamu dari negeri Saba suatu berita penting yang diyakini (An-Naml: 22)
Pada ketika itu, hadirlah Hud hud dengan mengemukakan alasannya bahawa sebelum itu dia sedang pergi ke satu negeri bernama Saba’ iaitu berdekatan dengan Yaman. Di dalamnya ada seorang wanita yang memerintah negeri tersebut.
Hud-hud juga menjelaskan bahawa raja perempuan berserta kaumnya itu sujud menyembah matahari dan meninggalkan bentuk peribadatan kepada Allah SWT.
Puteri yang memerintah negeri tersebut adalah Puteri Balqis dan At Tsa’lani meriwayatkan dari Nabi SAW beliau bersabda: “Salah satu orang tua Balqis adalah bangsa jin.”
Tetapi hadith ini adalah hadith gharib dan sanadnya dhaif.
Surat Kepada Ratu Balqis
Disebabkan berita itu, lalu Nabi Sulaiman menyuruh burung hud hud untuk menghantar surat kepada Ratu tersebut. Ketika sampai di istananya, burung hud hud mencampakkan surat itu kepada mereka dan dibaca oleh Ratu balqis.
Kandungan dalam surat itu tertulis seperti dalam firman Allah SWT:
إِنَّهُ مِنْ سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ(31)
أَلَّا تَعْلُوا عَلَيَّ وَأْتُونِي مُسْلِمِينَ(32)
Sesungguhnya surat itu, dari SuIaiman dan sesungguhnya (isi)nya: “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahwa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri”.(An-Naml: 31-32)
Di dalam surat tersebut nyata Nabi Sulaiman ingin Puteri Balqis memasuki agama islam dan menyembah tuhan yang Esa iaitu Allah SWT seperti dalam permulaan surat tersebut yang membesarkan nama Allah.
Maka bermesyuaratlah Puteri Balqis berserta dengan pembesarnya. Ada pembesar yang memberi cadangan untuk terus pergi berperang dengan tentera Nabi Sulaiman kerana merasakan tenteranya memiliki kekuatan dan keberanian di dalam peperangan
Tetapi berlainan pula dengan pendapat Puteri Balqis kerana ia merasakan lawan yang ingin dihadapinya ini adalah seorang yang lain. Lalu Puteri Balqis pun cuba menggunakan helah yang lain dengan mengambil hati Nabi Sulaiman dengan memberikan harta dan juga perhiasan kepada Nabi Sulaiman AS.
Tatkala sampai utusan puteri Balqis ke istana Nabi Sulaiman, dia terus menolak pemberian tersebut dan berkata kepada utusan tersebut yang mereka akan membawa satu bala tentera yang akan menguasai kerajaan Saba’ tersebut.
Tatkala hal tersebut sampai ke Puteri Balqis, maka mereka tidak memiliki pilihan lain kecuali tunduk dan patuh kepada kehendak Nabi Sulaiman.
Kisah Singgahsana Ratu Balqis yang dibawa ke Negeri Nabi Sulaiman
Ketika mana mereka telah menyerah diri kepada Nabi Sulaiman, maka Ratu Balqis pun bertolak ke negeri Nabi Sulaiman untuk menghadap pemerintahnya. Pada ketika itulah pemindahan singgahsana Ratu Balqis berlaku dimana Nabi Sulaiman bertanyakan kepada pegawai-pegawainya bolehkah mereka membawa singgahsana Puteri Balqis ke tempat Nabi Sulaiman seperti dalam Firman Allah SWT:
قَالَ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ أَيُّكُمْ يَأْتِينِي بِعَرْشِهَا قَبْلَ أَنْ يَأْتُونِي مُسْلِمِينَ
Berkata Sulaiman: “Hai pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgasananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri”.(An-Naml: 38)
Maka, berkatalah Ifrit dari golongan jin yang dia boleh membawa singgahsana tersebut sebelum Nabi Sulaiman berdiri dari tempat duduknya.
Terdapat beberapa tafsiran berkenaan hal ini. Ada yang mengatakan ifrit mampu membawa singgahsana tersebut sebelum habis majlis pertemuan tersebut dan ada juga yang mengatakan waktunya adalah pagi hari sampai mendekati tergelincirnya matahari.
Kemudian berkatalah seorang yang mempunyai ilmu daripada Kitab Allah iaitu seperti dalam firman Allah
أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ
“Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip.”(An-Naml: 40)
Berkenaan kenyataan ini pun mempunyai pelbagai tafsiran seperti sebelum letih mata ketika memandang sesuatu sebelum mengediokan matanya. Ada juga yang mentafsirkan sebelum berkedip ketika memandang sesuatu pemandangan yang jauh.
Pada ketika itu juga, singgahsana Puteri Balqis dibawa kepada Nabi Sulaiman dengan waktu yang sekejap sedangkan ia terletak sangatlah jauh iaitu dari negeri Yaman.
Ketika Puteri Balqis sampai ke istana Nabi Sulaiman, baginda bertanya kepadanya adakah ini seperti singgahsananya di Yaman. Maka, Balqis pun menjawab boleh jadi ia adalah singgahsananya kerana dia sudah mengetahui kekuasaan dan kebolehan yang dimiliki oleh kerajaan Nabi AS.
Kemudian Nabi Sulaiman AS mempersilakan Balqis untuk memasuki istana yang dibinanya dari kaca. Ketika mana Balqis memasuki istana tersebut disangkanya bahwa halaman istana itu adalah sebuah kolam air dan dia pun menyingsingkan pakaiannya hingga ke betis. Maka Nabi AS pun menjelaskan bahawa istanannya itu dibina oleh kaca yang membuatkan ia licin berkilat seperti air.
Melihat kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabinya, maka Balqis pun berdoa seperti dalam firman tuhannya
رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي وَأَسْلَمْتُ مَعَ سُلَيْمَانَ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam”.(An-Naml-44)
Begitu jugalah kita apabila diberi kelebihan ke atas segala perkara, perlulah kita bersyukur dan berserah diri kepada tuhan yang masa isa. Jika tidak, Allah itu maha kaya. Ingkarnya kita tidak akan merubah kedudukannya yang maha tinggi.
Bacaan lain: Kisah Nabi Sulaiman dengan semut
Rujukan:
Buku Kisah Para Nabi dan Rasul karya al-Hafizh Ibnu Katsir.