Sesungguhnya khusyuk adalah rahsia agung dalam solat. Solat yang dilaksanakan dalam keadaan tidak khusyuk adalah seumpama badan tanpa roh. Apa yang dilakukan hanyalah gerakan tubuh serta kumat-kamit mulut. Kadang-kadang dalam solat sempat lagi kita berfikir tentang urusan harian yang tiada kesudahannya, sedangkan solat yang dilakukan bukanlah mengambil masa lama, cuma 5 hingga 10 minit sahaja.
Khusyuk dalam solat akan berlaku pada seseorang yang mengosongkan hatinya untuk solat yang dikerjakannya. Hati akan melupakan perkara lain untuk memberi keutamaan kepada solat. Maka, pada masa itulah solat akan menjadi penyejuk hati. Segala aktiviti dan pekerjaan seharian yang dijalankan pasti akan dipermudahkan.
Firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ (2)
Maksud: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (Surah al-Mu’minun: 1-2)
Sebagai umat Islam, kita seharusnya menginsafi diri agar sentiasa berusaha untuk menjadikan solat kita khusyuk dan sempurna. Dalam artikel ini, kami akan menerangkan secara ringkas berkenaan cara-cara untuk kita mendapatkan khusyuk di dalam solat.
Makna Khusyuk
Dari segi bahasa, khusyuk terdiri dari tiga huruf dasar iaitu kha’ (خ), syin (ش) dan ‘ain (ع) yang yang menunjukkan kepada makna tunduk atau merendah.- Mu’jam Maqaayis al-Lughah
Dari segi istilah pula, terdapat beberapa pendapat para ulama’ dalam mendefinisikan khusyuk.
Menurut Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah: Khusyuk adalah berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh ketundukan dan perasaan hina diri.
Bagi Imam Junaid Al-Baghdadi: Khusyuk adalah perasaan rendah diri di dalam hati ke hadapan Tuhan yang Maha Mengetahui perkara Ghaib. – Madarij As-Salikin
Imam Ibn Rajab al Hanbali menyebut: Khusyuk adalah perasaan lembut jantung hati, tenang, tunduk serta tetapnya ia.- Al Khusyu’ Fi Al Solat
Dr. Zulkifli al Bakri menjelaskan: Khusyuk adalah perbuatan hati yang meliputi perasaan hina di hadapan Allah yang menzahirkan perbuatan anggota badan seperti tenang di dalam solat, tidak berpaling ke sana-sini, serta menundukkan pandangan ketika solat.- Baikilah Solatmu Untuk Khusyuk
Hukum Khusyuk Dalam Solat
Terdapat perbezaan di antara Ulama’ berkenaan hukum untuk khusyuk dalam solat.
Pendapat Pertama: Wajib
Imam al-Ghazali Rahimahullah merupakan salah seorang tokoh ulama’ yang berpegang dengan pendapat ini. Pendapat ini turut disokong oleh Imam al-Qurthubi. Antara dalil yang menyebutkan kewajipan khusyuk dalam solat ialah firman Allah SWT:
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksud: Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku. (Surah Taha:14)
Tidak khusyuk adalah sifat yang berlawanan daripada sifat zikir (mengingati) seperti yang disebutkan dalam ayat di atas.
Pendapat Kedua: Sunat
Pendapat ini dipegang oleh Imam Nawawi Rahimahullah. Pendapat Imam al-Nawawi ini didasarkan dengan sebuah hadis:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا وَسْوَسَتْ أَوْ حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ بِهِ أَوْ تَكَلَّم
Maksud: Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan was-was, ataupun monolog-monolog di dalam diri mereka selama mana mereka tidak melakukannya atau berkata-kata. (Riwayat Al-Bukhari)
Perkara Menghalang Khusyuk Dalam Solat
Menurut Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah,perkara yang menghalang khusyuk adalah:
- banyaknya syubhah
- syahwat serta keterikatan hati terhadap perkara-perkara yang dicintai
Majmu al-Fatawa: 22/607
Cara Untuk Khusyuk Dalam Solat
Sebelum Solat
1. Solat pada awal waktu
Apabila solat dilaksanakan pada awal waktu, kita tidak akan tergesa-gesa sewaktu menunaikan solat. Di antara cara untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat adalah dengan melakukannya dengan penuh ketenangan.
Tambahan pula, amalan ini amatlah digalakkan bersandarkan hadis Rasulullah SAW:
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَىُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ قَالَ: الصَّلاَةُ فِى أَوَّلِ وَقْتِهَا
Maksud: “Rasulullah SAW pernah ditanya, amalan apakah yang paling afdhal. Lalu Baginda pun menjawab: “Solat di awal waktunya.”
(Riwayat Abu Daud)
2. Perbanyakkan Zikir dan Istighfar
Sheikh Hasan Ali pernah berpesan supaya memperbayakkan zikir sebelum memulakan solat. Beliau memberikan contoh: Seseorang baru sahaja selesai membaca buku. Dia pergi ke katil untuk tidur selepas itu. Dia akan mendapati apa yang dibaca sebelum itu akan terbit dalam fikirannya walaupun badannya sudah baring di atas katil. Perkara ini adalah normal.
Perkara sama akan terjadi apabila ketika kita terus menunaikan solat sejurus sibuk dengan urusan dunia. Maka, urusan dunia kita itu akan mula menggangu konsentrasi kita semasa solat. Justeru itu, kita amat digalakkan untuk berzikir dan beristighfar sebelum menunaikan solat.
3. Jangan solat dalam keadaan menahan air besar dan kecil
لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ
Maksud: “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Riwayat Muslim)
4. Jangan solat jika makanan telah tersedia
Rasulullah SAW bersabda:
لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ
Maksud: “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Riwayat Muslim)
5. Solat di tempat yang tiada gangguan
Elakkan bersolat di tempat orang lalu-lalang, tidak diyakini suci, berbau dan bising. Hal ini demikian kerana perkara ini secara tidak lansung boleh menghilangkan khusyuk sewaktu solat. Sebaik-baiknya, kita menunaikan solat di masjid atau surau yang berdekatan. Sabda Nabi SAW:
مَنْ تَطَهَّرَ فِى بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِىَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً
Maksud:” Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian berjalan menuju ke salah satu dari rumah-rumah Allah (masjid) untuk menunaikan solat yang telah difardukan oleh Allah, maka kedua-dua langkahan kakinya itu salah satunya menghapuskan dosa dan yang lain mengangkat darjat.” (Riwayat Muslim)
Ketika Solat
Menurut Imam al-Ghazali, terdapat enam perkara yang perlu kita lakukan semasa mengerjakan solat untuk menghadirkan rasa khusyuk:
1. Hudhur al-Qlabi (حضور القلب)
Imam Ibn al-Qayyim pernah mengatakan: Solat orang-orang munafiq adalah solat anggota badan, bukannya solat jantung hati.”
Menghadirkan hati kita ketika menunaikan solat iaitu dengan membuang dari hati segala yang tidak ada kena-mengena dengan solat kita. Segala urusan dunia hendaklah dicampak sejauh mungkin agar ia tidak menggangu fokus kita kepada ibadah yang sedang dilaksanakan.- Madaarij Al-Saalikin, Ibn al-Qayyim
2. at-Tafahhum (التفهم)
Berusaha memahami iaitu melakukan usaha untuk memahami segala perkara yang dilakukan di dalam solat sama ada perbuatan atau yang dibaca/diucapkan. Janganlah kita jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.Oleh itu, amat digalakkan untuk memahami setiap makna bacaan di dalam solat kerana ia akan menambahkan kekhusyukkan di dalam solat.
3. at-Ta’zim (التعظيم)
Merasai kebesaran Allah iaitu dengan merasai diri terlalu kerdil di hadapan Allah. Antara perkara yang perlu dijauhkan ketika solat adalah melihat ke langit. Lihatlah pada tempat sujud dan pada tempat yang boleh mendatangkan khusyuk.
4. al-Haibah (الهيبة)
Merasa gerun terhadap keagungan Allah dan siksaanNya. Anggaplah solat yang sedang dikerjakan itu adalah solat yang terakhir sekali di dalam hidup. Perbanyakkanlah mengingati mati ketika solat seperti sabda Nabi SAW:
اذْكُرِ المَوتَ فِى صَلَاتِكَ فإنَّ الرَّجُلَ إِذَا ذَكَرَ المَوْتَ فِى صَلَاتِهِ فَحَرِىٌّ أْن يُحْسِنَ صَلَاتَه وَصَلِّ صَلَاةَ رَجُلٍ لَا يَظُنّ أنَّهُ يُصَلِّى صَلَاةً غيرَهَا وَإِيَّاكَ وكلَّ أمرٍ يعتذرُ مِنْهُ
Maksudnya: “Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan mempeelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya).”– Riwayat al-Baihaqi
5. ar-Raja’ (الرجاء)
Sentiasa menaruh harapan besar kepada Allah mudah-mudahan solat yang dikerjakan akan diterima dan diganjari oleh Allah. Solatlah secara bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan dan rintihan. Jangan sesekali jemu dan berputus asa daripada memohon kepadaNya. Firman Allah Taala:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا
Maksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan)”– (Surah al-Ankabut: 69)
6. al-Haya’ (الحياء)
Merasa malu terhadap Allah di atas segala kekurangan dan kecacatan yang terdapat di dalam solat. Perasaan malu atas kelemahan diri ini boleh mendorong hati untuk lebih khusyuk terhadap solat yang sedang dikerjakan. Bahkan malu ini juga disebut sebagai tanda keimanan seseorang mukmin seperti sabda Nabi SAW:
وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الإيمَانِ
Maksud: Sifat malu adalah sebahagian daripada iman.- (Muttafaqun ‘Alaih)
Penutup
Sesungguhnya khusyuk dalam solat itu merupakan sebuah rezeki yang dikurniakan Allah buat hambanya yang sentiasa berusaha untuk mendapatkannya. Oleh itu, menjadi kewajipan buat semua Muslim berusaha meghasilkan khusyuk dalam solat dan mengambil sebarang faktor dan sebab yang membawa khusyuk.
Semoga solat yang khusyuk ini memberi kesan kepada kehidupan kita dan agar kita memperoleh solat yang sempurna.
Maksud: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Surah Ibrahim:40)
Waallahua’lam.
Rujukan:
- Khusyuk Solat: Hukum dan Cara Mendapatkannya. Mufti Wilayah Persekutuan
- Baikilah Solatmu Untuk Khusyuk: Dr Zulkifli al-Bakri