Apakah kelebihan surah As-Sajdah? Artikel ini membincangkan beberapa kelebihan dalam mengamalkan bacaan surah As-Sajdah.
Pengenalan
As-Sajdah bererti sujud. Surah As-Sajdah adalah surah ke-32 di dalam al-Quran yang terdiri daripada 30 ayat Makkiyyah. Allah S.W.T. menyatakan bahawa orang-orang beriman bersujud, bertasbih dan memuji Allah S.W.T. dengan tidak merasa sombong apabila diingatkan dengan ayat Allah S.W.T. dalam surah ini.
Kita digalakkan untuk sujud apabila mendengar atau membaca ayat As-Sajdah ayat ke 15. Surah As-Sajdah dipercayai menjadi salah satu surah yang paling digemari oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan Baginda suka membacanya setiap hari Jumaat pada waktu pagi. Artikel akan menyenaraikan kelebihan surah As-Sajdah seperti berikut :
- Kebaikan bersujud
Tema utama bagi surah As-Sajdah adalah berkenaan dengan sujud. Terdapat 34 kali umat Islam bersujud dalam solat 5 waktu pada satu hari. Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa sujud merupakan satu posisi yang amat bagus untuk kesihatan. Paras kepala lebih rendah dari jantung dalam kedudukan sujud. Pengaliran darah ke otak meningkat lalu membekalkan lebih oksigen dan zat kepada otak. Ia membantu meningkatkan memori, penglihatan, pendengaran dan tumpuan (ketajaman akal fikiran).
- Membezakan di antara manusia dan syaitan
Orang-orang yang diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat segera bersujud menandakan patuh dan taat sambil membasahkan lidah dengan bertasbih memuji Tuhan dan tidak takbur (sombong).
Syaitan yang diperintahkan oleh Allah untuk bersujud pada nabi Adam A.S. ingkar untuk menuruti perintah tersebut kerana sombong dengan menyatakan dirinya lebih baik disebabkan ia diperbuat daripada api manakala nabi Adam dicipta daripada tanah.
Dari Abu Hurairah R.A., nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : “Apabila anak Adam membaca ayat Sajadah, lalu dia bersujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud tetapi aku menolak maka neraka untukku.” (Dipetik dari HR Al-Bukhari dan Muslim)
- Mendapat perlindungan Allah S.W.T.
Sesiapa membaca surah As-Sajdah dan surah Fatir pada awal malam akan tetap dilindungi Allah S.W.T. sehingga keesokan harinya. Demikian juga membacanya pada waktu pagi akan tetap dalam perlindungan Allah S.W.T. sepanjang hari dan akan dikurniakan dengan banyak kebajikan yang tidak dapat dibayangkan.
Jabir R.A. mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud : “Nabi Muhammad S.A.W. tidak akan tidur sehingga dia membaca surah As-Sajdah dan surah al-Mulk.” (Dipetik dari HR at-Tirmizi)
- Menguatkan iman
Jika kita membaca dan memahami makna setiap surah di dalam Al-Quran, In Shaa Allah iman kita akan diperkuatkan oleh Allah S.W.T. untuk menahan segala godaan syaitan di dunia. Seseorang akan menjadi istiqamah dan mendapat rahmat dari Allah S.W.T. seperti yang disebutkan dalam ayat 15 surah As-Sajdah:
اِنَّمَا يُؤْمِنُ بِاٰيٰتِنَا الَّذِيْنَ اِذَا ذُكِّرُوْا بِهَا خَرُّوْا سُجَّدًا وَّسَبَّحُوْا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُوْنَ
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, hanyalah orang yang apabila diperingatkan dengan (ayat-ayat Kami), mereka bersyukur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya dan mereka tidak menyombongkan diri.” (surah As-Sajdah, ayat ke-15)
Menurut ayat di atas, salah satu tanda bagi orang yang beriman dengan ayat-ayat Allah adalah mereka yang bersujud apabila diperingatkan dengan ayat-ayatNya. Dalam ayat ini terdapat tanda sajdah dan kita disunatkan mengerjakan sujud Tilawah apabila membaca atau mendengarnya.
- Kesedaran mengenai hari kiamat
Seharusnya apabila kita membaca dan mentadabburi surah As-Sajdah, kita akan lebih memahami dan menginsafi terhadap hari akhirat menjadi lebih nyata dan juga kita menyedari akan kehidupan di alam Barzakh setelah mati.
Kepercayaan terhadap akhirat atau hari kiamat ditulis dalam enam rukun Iman yang harus dipatuhi oleh setiap Muslim yang sedar bahawa hanya kepada Allah S.W.T. mereka akan kembali seperti yang disebutkan dalam ayat 11 surah As-Sajdah:
قُلْ يَتَوَفّٰىكُمْ مَّلَكُ الْمَوْتِ الَّذِيْ وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ اِلٰى رَبِّكُمْ تُرْجَعُوْنَ
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad) : Malaikat maut yang ditugaskan untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikan kamu. Kemudian kepada Tuhanmu, kamu akan dikembalikan.” (surah As-Sajdah, ayat ke-11)
- Jadi orang yang lebih baik
Membaca dan menghayati makna surah As-Sajdah secara teliti dapat menjadikan seseorang menjadi orang yang lebih baik daripada sebelum itu, contohnya sabar dalam menghadapi kesukaran dalam hidup, bersabar dalam pelbagai ujian, berfikir sebelum membuat keputusan, bermurah hati, pemaaf dan sebagainya. Antara yang disebutkan adalah dalam ayat 16 surah As-Sajdah:
تَتَجَافٰى جُنُوْبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُوْنَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَّطَمَعًاۖ وَّمِمَّا رَزَقْنٰهُمْ يُنْفِقُوْنَ
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan penuh harap dan mereka menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka.” (surah As-Sajdah, ayat ke-16)
Maksud ayat di atas adalah tidak tidur pada waktu kebiasaannya orang tidur semata-mata untuk mengerjakan solat sunat pada malam hari.
- Menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup tanpa ragu-ragu
Surah As-Sajdah mengajar kita untuk tetap teguh dengan al-kitab Al-Quran dan tidak perlu ragu dalam mengamalkannya. Seperti yang disebutkan dalam ayat 23 surah As-Sajdah:
وَلَقَدْ اٰتَيْنَا مُوْسَى الْكِتٰبَ فَلَا تَكُنْ فِيْ مِرْيَةٍ مِّنْ لِّقَاۤىِٕهٖ وَجَعَلْنٰهُ هُدًى لِّبَنِيْٓ اِسْرَاۤءِيْلَۚ
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Dan sesungguhnya, telah Kami anugerahkan Kitab (Taurat) kepada Musa, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) ragu-ragu menerimanya (al-Quran) dan Kami jadikan Kitab (Taurat) itu petunjuk bagi Bani Israel.” (surah As-Sajdah, ayat ke-23)
Maksud ayat di atas ialah sebagaimana telah diberikan Taurat kepada nabi Musa A.S., begitu juga diberikan al-Quran kepada nabi Muhammad S.A.W. dan sebagaimana Taurat dijadikan petunjuk bagi Bani Israel, maka al-Quran dijadikan petunjuk bagi umat nabi Muhammad.
- Rasa lebih bersyukur
Menjadi orang yang bersyukur adalah satu tuntutan yang kerap disebutkan dalam banyak ayat dalam al-Quran termasuklah ayat As-Sajdah. Sebagai orang yang bersyukur, kita akan menjadi lebih baik, mempunyai tahap toleransi yang tinggi terhadap orang lain, mengawal perasaan marah, berkongsi dengan orang lain dan banyak lagi. Sifat bersyukur ini lahir daripada jiwa yang menghargai dan menyedari pelbagai kenikmatan-kenikmatan yang diberikan oleh Allah. Semuanya datang hanya dari Allah S.W.T. seperti yang disebutkan dalam ayat 27 surah As-Sajdah:
اَوَلَمْ يَرَوْا اَنَّا نَسُوْقُ الْمَاۤءَ اِلَى الْاَرْضِ الْجُرُزِ فَنُخْرِجُ بِهٖ زَرْعًا تَأْكُلُ مِنْهُ اَنْعَامُهُمْ وَاَنْفُسُهُمْۗ اَفَلَا يُبْصِرُوْنَ
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Dan tidakkah mereka melihat bahawa Kami mengarahkan (awan yang mengandung) air ke bumi yang tandus, lalu kami tumbuhkan (dengan air hujan itu) tanam-tanaman sehingga haiwan-haiwan ternakan mereka dan mereka sendiri dapat makan daripadanya. Maka mengapa mereka tidak mahu memperhatikan?” (surah As-Sajdah, ayat ke-27)
Penutup
Surah As-Sajdah membicarakan pelbagai subjek yang penting dalam al-Quran seperti hari kebangkitan, penciptaan langit dan bumi dalam masa enam hari dan penciptaan manusia dari tanah liat. Surah Sajdah memberi peringatan kepada orang-orang yang mengingkari hari kiamat bahawa mereka akan dihukum dengan hukuman yang keras serta memberikan khabar gembira tentang pahala bagi mereka yang beriman kepada Allah, Rasul dan Hari Kiamat.
Ayat-ayat As-Sajdah melatih kita sujud kepada Allah setiap kali kita menemui sesuatu yang menakjubkan di dalam al-Quran yang kita tidak mampu ucapkan dengan perkataan atau menerangkannya kepada orang lain, seolah-olah kita terpilih untuk menyaksikan keajaiban ayat Allah. Semoga kita termasuk dalam kalangan orang yang bersujud serta tidak sombong kepada Allah S.W.T.
Kelebihan Surah yang Lain
Sumber rujukan
- 6 blessing virtues of surah Sajdah. (n.d.).-azislam
- Abu Mahdi. (2021). Surah Sajdah. -islam4u
- Bushra Talib. (2021). Di sebalik 114 nama-nama surah. PACU Resources Sdn. Bhd.
- Muhammad Naveed. (2018). Surah Sajdah benefits.- quranicwazifa