Apakah kelebihan membaca surah al-insyirah? Artikel ini akan membincangkan beberapa kelebihan surah al-insyirah jika anda membacanya.
Pengenalan
Surah Al-Inshirah yang diturunkan di Mekah adalah surah ke-94 dalam al-Quran dan salah satu surah terpendek yang terdiri daripada lapan (8) ayat Makkiyyah. Surah Al-Inshirah dikenali sebagai surah Asy-Syarh dan Alam Nasyrah. Asy-Syarh bermaksud pembuka hati. Perkataan Nasyrah bermaksud kelapangan.
Surah Al-Insyirah diturunkan selepas surah Ad-Dhuha. Dalam kedua-dua surah, Allah S.W.T. telah melimpahkan nikmat dan rahmatNya untuk meyakinkan dan menghiburkan Nabi Muhammad yang bersedih ketika kenabian dan penyebaran Islam. Kedua-dua surah ini berkait rapat di antara satu sama lain.
Surah Al-Inshirah menyebut tentang tiga nikmat unik yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. yang diberikan kepada nabi Muhammad S.A.W. yang terdiri daripada tiga bahagian iaitu:
- Membuka dadanya, meringankan bebannya dan meninggikan Baginda
- Memberi khabar gembira kepada Baginda bahawa kesusahan ada kemudahan yang mengiringinya
- Mengukuhkan langkah Baginda dalam meneruskan jalan ke arah matlamat selari dengan keredhaan Allah
Kelebihan Surah Al Insyirah
1. Kelapangan hati
Allah memberi kekuatan kepada Rasulullah di tengah-tengah perjuangannya. Dalam ayat 1 hingga 3 surah Al-Insyirah, disebutkan bahawa Allah melapangkan dada Nabi Muhammad S.A.W. dan meringankan beban baginda sebagaimana firman Allah yang bermaksud : “Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (Muhammad)? Dan Kami pun telah menurunkan beban daripadamu. Yang memberatkan tanggunganmu.” (Surah Al-Insyirah, ayat 1-3)
Kelapangan hati yang sebenar adalah dari Allah. Jika hati tidak tenteram, kembalilah kepada Allah dan letakkan pengharapan kepadaNya. Allah memberikan kelapangan dengan agama Islam. Sesiapa yang mencari kelapangan selain ajaran islam, mungkin ia sekadar permainan nafsu.
Apabila dikaitkan dengan kehidupan pada masa kini, nilai tiga ayat ini mendorong kita untuk sentiasa mengambil jalan yang baik dan percaya kepada pertolongan Allah. Apapun yang kita hadapi, Allah akan sentiasa bersama kita.
2. Menghilangkan duka dan kesedihan
Allah S.W.T. memberikan keberuntungan dan keyakinan dalam agama kepada orang yang membaca surah Al-Insyirah. Jika dalam keadaan berduka, Allah akan menghilangkan kesedihan.
Kesusahan akan datang dengan kesenangan. Yang menariknya, Allah menyebut kalimah ini sebanyak dua kali dalam ayat 5 dan 6. Allah secara langsung memberi motivasi kepada kita bahawa setiap kesulitan akan disediakan dua kemudahan.
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” (Surah Al-Insyirah, ayat 5 dan 6)
Apabila anda menghadapi situasi yang sukar atau mempunyai masalah yang anda rasa anda tidak mampu menanganinya, jangan putus asa. Allah berjanji akan mempermudahkan dan menunjukkan jalan penyelesaian. Tenangkan hati dalam menghadapi masalah. Kemudahan itu tidak datang sesudah kesusahan tetapi ia datang bersamanya.
3. Ganjaran pahala kepada pembaca
Membaca surah ini berkali-kali membolehkan kita mendapatkan ganjaran yang tidak terkira banyaknya dari Allah S.W.T. Surah Al-Inshirah adalah sumber utama penyembuhan rohani.
Surah ini sering dipasangkan dengan surah Ad-Dhuha untuk mendapatkan kelebihan yang berkesan. Bacaan Surah Al-Inshirah bukan sahaja memberi manfaat malah memberi pahala kepada pembacanya. Bacaannya penting bagi setiap Muslim kerana ia akan menyelamatkan kita daripada api neraka.
Imam Baqir R.A. meriwayatkan tentang pembaca surah Al-Insyirah bahawa “Sesiapa yang membaca surah Al-Sharh pada siang dan malam, akan mati sebagai syahid dan dibangkitkan sebagai syahid dan menyerupai orang yang berperang di jalan Allah dengan pedangnya bersama Nabi Muhammad S.A.W.”
4. Setiap kesulitan ada kemudahan
Surah Al-Inshirah menegaskan tiga kurnia Ilahi kepada Rasulullah S.A.W. :
- Allah S.W.T. membuka hati Baginda kepada semua yang tersembunyi.
- Allah S.W.T. menghapuskan segala beban yang berat pada Baginda.
- Allah S.W.T. meninggikan nama dan darjat nabi Muhammad di seluruh dunia.
Ayat Al-Inshirah adalah mesej harapan dan dorongan. Jelas sekali, Allah S.W.T. menghiburkan Nabi Muhammad S.A.W. dengan menyatakan bahawa segala kesusahan dan kesakitan disertai dengan kemudahan dan keselesaan.
Dalam ayat-ayat terakhir, Allah S.W.T. menyediakan penyelesaian kepada setiap masalah dengan memerintahkan Nabi Muhammad S.A.W. untuk melakukan amal soleh, bertawakkal dan sentiasa mengingatiNya dalam kesusahan dan penderitaan.
5. Mengikuti sunnah nabi
Allah meletakkan Rasulullah pada kedudukan yang tinggi. Perkataan ‘tinggikan sebutan (nama)mu’ merujuk bahawa Rasulullah adalah Pesuruh Allah dan kita sebagai umat Islam dianjurkan untuk mengikuti sunnah Baginda kerana ia mengandungi banyak kebaikan dan manfaat. Dalam surah Al-Inshirah, perkara ini disebut dalam ayat 4.
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Dan Kami tinggikan sebutan (nama)mu bagimu.” (Surah Al-Insyirah, ayat 4)
Nama nabi Muhammad S.A.W. mengikut nama Allah S.W.T. seperti yang dilihat dalam ucapan kalimah syahadah : “Ashadu an laa ilaaha illallah, wa ashadu anna muhammadan rasulullah.” Maksudnya : “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.”
Di tengah-tengah perjuangan Rasulullah, Allah memberinya jaminan bahawa Baginda diletakkan di kedudukan istimewa dan mulia dalam Islam.
6. Meletakkan harapan hanya kepada Allah S.W.T.
Tidak mengapa untuk merasa letih kerana kita manusia. Namun, kita tidak dibenarkan berputus asa kerana Allah pasti membantu kita dan merancang yang terbaik untuk kita. Harapan kita hanya kepada Allah.
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap”. (Surah Al-Insyirah, ayat 8)
Berharap kepada manusia hanya akan memperolehi kekecewaan. Namun, berharap kepada Allah akan memperolehi kepuasan dan ketenangan. Cara atau hasilnya kadangkala di luar jangkaan kita seperti kita tahu segala-galanya sedangkan kita tidak tahu apa-apa. Melalui doa dengan harapan agar diterima, jangan lupa untuk sentiasa memohon petunjuk Allah.
Ketika menyebarkan agama Islam, Rasulullah menghadapi cabaran yang sangat kompleks namun Baginda dapat menyelesaikannya dengan pertolongan Allah. Surah Al-Inshirah menjadi peringatan untuk kita agar tidak mudah berputus asa.
Penutup
Surah Alam Nasyrah mudah dihafal. Terdapat beberapa kelebihan bacaan surah ini tetapi telah direkodkan bahawa tiada hadis sahih diberikan untuk menggambarkan manfaat membaca surah Alam Nasyrah. Menurut beberapa sumber yang diperolehi, selain manfaat rohani dan fadhilat surah Al-Insyirah, terdapat pelbagai faedah dan penawar dari bacaan surah ini.
Membaca surah Al-Insyirah adalah baik untuk melegakan sakit jantung dan dada, bisul, diberi kesihatan, dilindungi oleh Allah S.W.T. ketika dalam pelayaran di lautan, membantu memudahkan proses bersalin (bagi wanita) dan juga menambah harta. Bagi merawat penyakit buah pinggang, minum air surah Al-Insyirah untuk menghilangkan batu karang dan kencing tersumbat. Selain itu, membaca surah Al-Insyirah dapat meningkatkan daya ingatan dan tumpuan. Bacaan surat ini juga bagus untuk menghilangkan sakit dada.
Selain itu, kita mendapat manfaat dan kebaikan mengikut amalan sunnah junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Umat Islam di seluruh dunia yang ingin mengelakkan penderitaan dan kesusahan hendaklah membaca dan menghafal surah Al-Insyirah kerana ia akan meringankan kesulitan dan kesengsaraan mereka seperti yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.
Kelebihan Surah yang Lain
Sumber rujukan
- Azislam.com. (n.d.). Values of surah Al-Inshirah you should know.
- Bushra Talib. (2021). Di sebalik 114 nama-nama surah. PACU Resources Sdn. Bhd.
- Online Quran Tutor. (n.d.). Surah Alam Nashrah ( Surah Al Inshirah).
- Radiyah Shameli. (2020). Surah Inshirah. Retrieved from
- Sayed Qadri. (2020). Virtues of surah Inshirah benefits chapter 94 | Surah Ash-Sharh.
- Wahion-Yoha. (2020). Surah Alam Nashrah : Benefits and virtues of reciting it.