Dalam siri tokoh kali ini, kita akan mengupas biografi Imam Malik bin Anas, ulamak besar Madinah yang digelar sebagai ahli Hadis. Sepanjang hidupnya, beliau tidak pernah keluar dari kota Madinah melainkan sewaktu menunaikan Haji.
Isi Kandungan |
Imam Malik merupakan pelopor Mazhab Maliki dan juga merupakan ulamak besar dalam ilmu hadis. Hal ini sedikit berbeza dengan karakteristik Imam-imam yang lain. Misalnya seperti Imam Abu Hanifah, ajarannya sangat dominan dengan mengedepankan kaedah rasional (ra’yu). Seterusnya juga ada Imam Syafie yang tidak terlepas daripada ahli ra’yi yang sangat mempengaruhinya dalam pengetahuan ilmu fiqh.
Oleh kerana Imam Malik menetap lama di Madinah, beliau memiliki lingkungan yang mendukung usaha beliau sehingga menjadi ulamak hadis. Madinah yang pernah menjadi pusat kehidupan dan kerajaan baginda Nabi Muhammad ﷺ sudah tentulah berbeza dengan kehidupan sosial di tempat lain. Perbezaan inilah yang kemudiannya memberi implikasi terhadap hasil ijtihad beliau dalam mengerluarkan hukum hakam agama.
Biodata Imam Malik
Imam Malik adalah imam kedua daripada imam empat mazhab yang paling berpengaruh dalam Islam. Beliau lahir 13 tahun sesudah Abu Hanifah. Nama lengkapnya ialah Abu Abdullah Malik Ibn Anas Ibn Malik Ibn Abi Amir Ibn Amir bin Haris bin Gaiman bin Kutail bin Amr bin Haris al-Asbahi al-Humairi.
Beliau lahir pada tahun 93 H/ 713M di Madinah dan berasal dari keturunan bangsa Himyar. Ibunya bernama Siti al’-Aliyah binti Syuraik bin Abdullah Rahman manakala ayahnya ialah Anas bin Malik. Beliau juga lahir semasa pemerintahan Bani Umayyah yang dipimpin oleh Khalifah al-Walid Abdul Malik (Setelah Umar bin Abdul Aziz).
Pendidikan
Imam Malik mendapat pendidikan awal di dalam kota Madinah pada zaman pemerintahan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Pada masa itu masih terdapat beberapa golongan ilmuan islam dalam kalanagan sahabat Ansar dan Muhajirin. Beliau mempelajari bacaan al-Quran dan meghafalnya semenjak dari kecil. Beliau juga sangat meminati bidang hadis Nabi ﷺ sehingga mendapat julukan ahli hadis.
Sejak kanak-kanak, beliau sudah menlazimi pelbagai ulamak di kota Madinah. Datuknya yang senama dengan beliau merupakan ulamak perawi hadis terkenal yang hidup sampai Imam Malik berusia 10 tahun.
Guru-Guru
Imam Malik menuntut ilmu dengan ramai guru di Madinah. Dikatakan beliau pernah belajar dengan 900 sheikh, 300 antaranya daripada golongan tabi’in dan 600 lagi daripada golongan tabi’ tabi’in. Beliau sendiri yang memilih guru-guru daripada kalangan mereka yang taat dalam agama, tinggi ilmunya, serta kaedah dan syarat meriwayatkan hadis. Imam Malik akan meninggalkan perawi yang mempunyai hutang dan suka membawa mana-mana riwayat yang tidak dikenali.
Antara guru-guru beliau yang terkenal:
1.Abu Radih Nafi bin Abd al-Rahman. Merupakan guru dalam bidang al-quran. Imam Malik belajar membaca dan menghafal dengan tajwid dan prinsip-prinsip yang betul bersama Abu Radih Nafi.
2. Nafi’. Merupakan ulamak besar hadis pada masa awal kehidupan Imam Malik yang berguru dengan Abdullah bin Umar.
3. Rabiah bin Abdul Rahman. Merupakan guru Imam Malik sewaktu beliau kecil. Imam Malik banyak mendengar dan mengambil hadis daripada beliau serta mempelajari bidang hukum hakam agama dengan beliau.
4. Muhamad bin Yahya al-Anshari. Beliau merupakan guru Imam Malik yang termasuk dalam kelompok tabi’in yang selalu mengajar di Masjid Nabawi di Madinah.
Guru-guru yang lain adalah seperti Abu Hazim Salmah bin Nidar, Ja’far ash-Shadiq, Yahya bin Sa’id, Hisyam bin Urwah dan lain-lain.
Murid-Murid
Imam Malik mempunyai ramai anak murid yang terdiri daripada para ulamak. Direkodkan bahawa beliau memiliki lebih dari 1000 orang alim terkenal yang menjadi murid beliau. Antaranya, Muhammad bin Nuskim al-Auhri, Ra’biah bin Abdurrahman, Yahya bin Zaid al-Anshori, Muhammad bin Anjal, Salim bin Abi Umayah, Muhammad bin Abdurrahman bin Abi Ziab, Abdul Malik bin Juraih, Muhammad bin ishak dan Sulaiman bin Mahram al-Amasi. Imam Malik juga mempunyai anak murid yang datang dari Mesir, Afrika Utara dan Sepanyol. Antara yang terkenal ialah:
1.Abu Abdullah, Abdurrahman bin Qasim. Meninggal di Mesir pada tahun 191H. beliau belajar ilmu fiqh dengan Imam Malik selama 20 tahun sehingga menjadi seorang mujtahid mutlak.
2. Abu Muhammad, Abdullah bin Wahb bin Muslim. Dilahirkan pada tahun 125H dan meninggal pada 197H. mempelajari mazhab Malik selama 20 tahun. Kemudian beliau mengembangkannya di Mesir. Beliau juga merupakan seorang ahli hadis yang dipercayai serta mendapat julukan “Diwan Ilmu.”
3. Ayshab bin Abdul Aziz al-Qaisi. Dilahirkan pada tahun 150H dan meninggal pada tahun 204 H. Beliau mempelajari banyak ilmu bersama Imam Malik dan al-Laits bin Sa’ad.
4. Abu Muhammad Abdullah bin Abdul Hakam. Meninggal pada tahun 214H. seorang yang sangat alim dalam pendapat dan fatwa mazhab Malik.
5. Asbagh ibnul Farj al-Umawi. Meninggal pada tahun 225H.
6. Muhammad bin Abdullah ibnu Hakam. Meninggal pada tahun 268H.
7. Muhammad bin Ibrahim al-askandari bin Ziyad. Meninggal pada tahun 269H.
Karya Imam Malik
Antara karya Imam Malik yang terhebat adalah Al-Muwatha’. Ditulis pada tahun 144H. Fatwa dan pendapat beliau banyak sampai kepada kita melalui 2 buah kitab iaitu al-Muwatha’ dan al-Mudawwanah al-Kubro. Terdapat dua aspek utama dalam kitab al-Muwatha’ iaitu aspek hadis dan fiqh.
Terdapat banyak hadis yang dikumpulkan dalam al-Muwatha’ yang berasal dari Rasulullah, sahabat dan tabi’in. Hadis itu diambil dari 95 orang yang kesemuanya penduduk Madinah kecuali, Abu Al-Zubair (Makkah), Humaid al-Ta’wil dan Ayyub al-Sahtiyang (Basrah), Atha’ bin Abdullah (Khurasan), Abdul Karim (Jazirah), dan Ibrahim bin Abi Abiah (Syam). Manakala bagi kitab mudawwanah al-Kubro, ulamak mazhab Maliki telah menempatkan lebih 1036 masalah dari fatwa Imam Malik yang dikumpulkan oleh As’ad bin al-Furaid Al-Naisabury.
Kaedah Istinbat Hukum Imam Malik
Dalam kaedah pengambilan hukum Islam, terdapat sumber-sumber rujukan yang diambil oleh para ulamak. Di antara sumber-sumber tersebut ada yang digunakan oleh semua ulamak dan ada sumber yang ditinggalkan oleh sebahagian yang lain. Di antara sumber-sumber yang disepakati adalah:
- Al-Quran
- Hadis
- Ijma’
- Qiyas
Dalil kepada penggunaan sumber ini diambil dari surah an-Nissa ayat 59:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”
Manakala sumber-sumber yang digunakan oleh sebahagian ulamak dan tidak digunakan oleh sebahagian yang lain ada beberapa jenis, iaitu:
- Istishab (mengambil hukum asal)
- Istihsan (meninggalkan kesulitan)
- Maslahah mursalah (kemaslahatan umum)
- Urf (Perbuatan yang difahami di sesuatu tempat)
- Qaul Sahabi (Pendapat Sahabat)
- Sad’du Zara’i (mencegah keburukan)
- Syar’u man Qablana (syariat nabi-nabi sebelum)
- Amal ahli Madinah (Amalan penduduk Madinah)
Mazhab imam Malik mengambil amalan ahli Madinah sebagai sumber rujukan hukum. Hal ini bertentangan dengan mazhab-mazhab yang lain seperti mazhab Syafie, mazhab Hanbali mahupun Mazhab Hanafi yang menolak sumber ini. Menurut beliau, amalan ahli Madinah ini menjadi cerminan kepada perilaku Rasullullah ﷺ. Amal ahli madinah bermaksud perkataan atau perbuatan yang disepakati oleh para penduduk madinah dalam lingkungan awal kurun ketiga hijrah yang mempunyai kaitan dengan para sahabat pada zaman Rasulullah saw. Amal ahlul madinah disebut juga ijma’ ahlul madinah.
Kehujahan amal ahli madinah ini kurang disepakati oleh jumhur ulamak kerana menurut mereka amal ahli Madinah terlalu berlebihan dan penduduk Madinah tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Akan tatapi walaupun jumhur ulamak menolak, mazhab Imam Malik tetap menjadikan amal ahli madinah sebagai salah satu sumber hukum bersama sumber-sumber yang lain.
Penutup
Imam Malik wafat pada tahun 179 hijrah pada usia 87 tahun. Beliau meninggalkan legasi ilmu yang tidak ternilai kepada dunia Islam. Mazhab Maliki pada zaman ini menjadi mazhab rasmi di sebahagian besar negara-negara benua afrika dan menjadi antara 4 mazhab utama yang masih berkembang sehingga hari ini.
Wallahualam.
Baca berkenaan Imam Mazhab yang lain
Rujukan
Pemikiran Hukum Islam Imam Malik bin Anas (Pendekatan Sejarah Sosial), Danu Aris Setiyanto.