Skip to content

Imam Ahmad: Biodata dan Sejarah Hidupnya

imam ahmad hanbali

Tokoh yang kita ingin bicarakan dalam artikel kali ini mempunyai sumbangan besar dalam perkembangan ilmu fikah dan hadis, juga terkenal sebagai figura penting dalam bidang keilmuan Islam iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. Pendapat dan hujah beliau masih giat diguna pakai sehingga hari ini. 

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Pendidikan Imam Ahmad
  3. Cabaran dan Ujian
  4. Guru-guru Imam Ahmad
  5. Murid-murid Imam Ahmad
  6. Karya
  7. Penutup

Cukup dengan mengetahui bahawa beliau telah menghafal lebih 700 000 hadis, kita pastinya akan mengiktiraf ketokohan dan kebijaksaan insan tersebut. Ilmuan yang dimaksudkan ini tidak lain tidak bukan ialah Imam Ahmad bin Hanbal, pelopor mazhab Hanbali.

Pengenalan


Ahmad bin Muhammad bin Hanbal adalah Imam terakhir di kalangan Imam 4 Mazhab yang utama. Imam Ahmad mempunyai perwatakan yang zuhud, budi pekerti yang mulia, kepintaran yang luar biasa dan juga mempunyai memori hafalan yang kuat. 

Nama lengkapnya adalah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin ‘Abdillah bin ibnu Hayyan bin ‘Abdillah bin Anas bin ‘Auf bin Qasit bin Mukhazin bin Syaiban bin Zahl bin Sa’labah bin Ukabah bin Sa’ab bin Ali bin Bakr bin Wa’il bin Qasit bin Hanb  bin Aqsa bin Du’ma bin Jadilah bin Asad bin Rabi’ah. Beliau dilahirkan di Iraq pada bulan Rabi’ul awal 164H bersamaan 780 masihi pada zaman pemerintahan Abbasiyyah yang dipimpin oleh khalifah al-Mahdi. Ayahnya bernama Muhammad Al Syaibani, meninggal dunia sebelum Imam Ahmad dilahirkan. Oleh itu sebutan Hanbal bukanlah berasal daripada ayahnya tetapi diambil daripada nama datuk beliau kerana nama Ahmad sendiri terlalu banyak. Jadi sejak dari kecil beliau digelar dengan nama Ahmad bin Hanbal.

Pendidikan Imam Ahmad


Walaupun Imam Ahmad seorang yang miskin dan yatim sejak dari kecil, perkara itu tidak menjadi penghalang untuk beliau terus menuntut ilmu. Beliau tinggal di Baghdad yang menjadi pusat kepesatan dan perkembangan ilmu pengetahuan pada zaman tersebut. Beliau mula menekuni ilmu-ilmu keislaman seperti al-Quran, Hadis, Bahasa Arab dan sebagainya dengan ulama-ulama di Baghdad. Imam Ahmad pernah menjahit dan menjual baju, menulis, mengutip gandum dan mengangkut barang sebagai upah untuk menampung keperluan hidup beliau.

Pada umur Imam Ahmad mencecah 16 tahun, iaitu semasa pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid, beliau mula mendampingi gurunya Hasyim bin Basyr bin Khazin al-Wasiti untuk mempelajari ilmu hadis secara khusus. Di atas semangat yang jitu untuk menghimpun hadis telah mendorongnya mengembara ke Basrah, Yaman, Makkah, Kufah dan Hijaz yang menjadi pusat keilmuan islam. Dalam pengembaraan tersebut beliau telah mendampingi pelbagai ulama besar seperti ‘Ali bin Mujahid, ‘Abd ar-Razzaq bin Humam, Jarir bin ‘Abd al-Hamid, Sufyan bin Uyainah, Abu Yusuf Ya’kub, Imam Syafie dan ramai lagi. Beliau banyak mempelajari tentang fikah, usul fikah, ilmu nasikh dan mansukh serta beberapa cabang ilmu disiplin hadis.

Tumpuan yang mendalam tentang llmu hadis telah menghasilkan kajian yang bermutu dan memberi impak yang berlainan terhadap kaedah pemikiran fikah beliau. Imam Ahmad sangat mementingkan penggunaan hadis sebagai rujukan dalam memberi pandangan fikah beliau. Karya beliau yang paling terkenal adalah al-Musnad yang menghimpunkan 40 000 buah hadis. Imam Ahmad meletakkan semua hadis yang pernah beliau terima tanpa menyaring dan menerangkan taraf hadis-hadis tersebut. Musnad Ahmad merupakan kitab terkemuka yang disusun pada abad ketiga Hijrah. Kitab ini melengkapi kitab-kitab hadis yang wujud sebelumnya dan merupakan satu kitab yang dapat memenuhi keperluan umat islam dalam hal agama pada zaman tersebut.

Cabaran dan Ujian


Sebagai seorang tokoh keilmuan Islam, pastinya Imam Ahmad tidak terlepas daripada godaan dan ujian dari sekelilingnya. Cabaran yang paling hebat dihadapi beliau adalah pada zaman pemerintahan Khalifah al-Ma’mun, al-Mu’tasim dan al-Wasiq. Pada masa ini, fahaman Mu’tazilah telah berkembang dan menjadi mazhab rasmi Negara. Mereka membawa tuntutan bahawasanya al-Quran itu adalah makhluk. Pada masa pemerintahan al-Ma’mun. Imam Ahmad dipaksa mengakui bahawa al-Quran adalah makhluk. Namun, tuntutan itu ditolak oleh beliau sehingga beliau sendiri menerima hukuman daripada penguasa. Beliau menganggap al-Quran bukanlah makhluk tetapi kalam Allah.

Setelah kewafatan al-Ma’mun, kerusi khalifah diganti oleh Abu Ishaq Muhammad bin Harun ar-Rasyid yang dikenali dengan nama Khalifah al-Mus’tasim yang memiliki persefahaman yang sama dengan khalifah sebelumnya. Oleh yang demikian, berlarutan lah tempoh Imam Ahmad meringkuk di dalam penjara dengan penuh penderitaan. Menyaksikan keadaan ini, seorang anak muridnya bertanya,

Mengapa tuan tidak berbohong sahaja, agar tidak dihukum mati. Sekiranya tuan dihukum bunuh, umat islam akan kehilangan seorang contoh ikutan, perkara itu lebih berbahaya demi keberlangsungan Islam daripada kebohongan tuan kepada pemerintah

Jawab Imam Ahmad, “Tidak. Aku lebih memilih mati daripada aku menyesatkan umat ini. Di negeri ini terdapat ramai orang yang mencatit setiap perkataanku. Sekiranya aku mengatakan al-Quran adalah makhluk, telah berapa ramai orang yang aku sesatkan. Dan begitulah umat yang seterusnya. Lebih baik aku mati daripada banyak orang yang tersesat.”

Pada 232 H, pemerintahan seterusnya diserahkan kepada Al-Mutawakkil. Semasa beliau menjadi penguasa, beliau mengembalikan semula pemahaman yang sebenar. Beliau berpegang teguh terhadap Sunnah Nabi Muhammad Saw. Beliau sefahaman dengan Imam Ahmad bin Hanbal sehinggakan beliau selalu menghadiahkan Imam Ahmad dengan tawaran harta. Namun beliau menganggap perkara ini juga ujian baginya untuk membelokkan hatinya yang zuhud kepada cinta dunia.

Guru-Guru Imam Ahmad


Guru pertama yang bertanggungjawab membentuk pandangan Imam Ahmad ialah Husen bin Bashir bin Abi Hazim lahir pada tahun 104 hijrah dan wafat pada 183 hijrah. Inilah guru pertama beliau dalam bidang hadis. Untuk mendalami ilmu istinbat hukum dan mengasah pemikiran fiqh beliau, beliau turut berguru dengan Imam Syafie. Imam Ahmad sangat menganggumi kepetahan dan kepintaran Imam Syafie dalam berhujah dan mengeluarkan fatwa. Selain itu, beliau turut berguru dengan tidak kurang dari 100 orang ulama besar baik di Baghdad ataupun kota lain. Antaranya,  Imam Isma’il bin Aliyyah, Hasyim bin Basyir, Hammad bin khalil, Mansyur bin Salamah, Mudlaffar bin mudrik, Utsman bin Umar, Masyim bin Qashim, Abu Said Maula Bani Hasyim, Muhammad bin Yazid, Muhammad bin ‘Ady, Yazid bin Harun, Muhammad bin Jaffar, Ghundur, Yahya bin Said al-Cathan, Abdurrahman bin Mahdi, Basyar bin al-Fadhal, Muhammad bin Bakar, Abu Daud ath-Thayalisi, Ruh bin ‘Ubaidah, Wakil bin al-Jarrah, Mu’awiyah al- Aziz, Abdullah bin Muwaimir, Abu Usamah, Sufyan bin Uyainah, Yahya bin Salim, Muhammad bin Syafi’i, Ibrahim bin Said, Abdurrazaq bin Humam, Musa bin Thariq, Walid bin Muslim, Abu Masar al-Dimasyqy, Ibnu Yaman, Mu’tamar bin Sulaiman, Yahya bin Zaidah dan Abu Yusuf al-Qadi. Guru-guru beliau yang disebutkan adalah mereka yang sangat mahir dalam bidang fikah, usul fikah, hadis, tafsir, sejarah, dan bahasa.

Murid-Murid Imam Ahmad


Antara nama besar murid-murid beliau adalah:

  1. Sholeh ibn Ahmad ibn Hanbal
  2. Abdullah ibn Ahmad ibn Hanbal
  3. Ahmad ibn Muhammad ibn Hani Abu Bakar al-Atsran
  4. Abdul Malik ibn Abdul Hamid ibn Mihran al-Maimuni
  5. Ahmad ibn Muhammad ibn al-Hajjaz Abu Bakar al-Marwazi
  6. Harab ibn Ismail al-Handholi al-Kirami
  7. Ibrahim ibn Ishaq al-Harbi                      

Tokoh-tokoh terkenal yang bertanggungjawab mengembangkan pemikiran fikah Imam Ahmad pada kurun yang jauh daripadanya:

  1. Ibn Qudamah Muwaffiquddin (w. 620 H) penulis kitab al-Mughni
  2. Ibn Qudamah, Syamsuddin al-Maghsi (w. 682 H) penulis kitab al-

Syarh al-Kabir.

Seterusnya, tokoh yang memperbarui pemikiran mazhab Hanbali terutama bidang mu’amalah adalah:

  1. Syeikh al-Islam Taqiyyudin ibn Taimiyah (w. 728)
  2. Ibn al-Qayyim al-Jauziyah (w. 752 H) murid Ibnu Taimiyah.

Atas jasa tokoh-tokoh inilah mazhab Imam Ahmad telah tersebar dan mempunya ramai pengikut sehingga sekarang dan menjadi mazhab utama kerajaan Arab Saudi.

Karya-Karya


  1. al-Musnad
  2. kitab Tafsir al-Qur’an
  3. Kitab al-Nasikh wa al-Mansukh
  4. Kitabb al- Muqaddam wa al-Muakhkhar fi al-Qur’an
  5. Kitab Jawabatu al-Qur’an
  6. Kitab al-Tarikh
  7. Kitab Manasiku al-Kabir
  8. Kitab Manasiku al-Saghir
  9. Kitab Tha’atu al-Rasul
  10. Kitab al-‘Illah
  11. Kitab al-Shalah.24

Karya-karya gagasan yang diteruskan oleh pengikut-pengikut beliau:

  1. Mukhtashar al-Khurqi karya Abu al-Qashim Umar ibn al-Husain al-Khurqi (w. 334 H)
  2. Al-Mughni Syarkh ‘Ala Mukhtasar al-Khurqi karya Ibnu Qudamah (w. 620 H).
  3. Majmu’ Fatwa ibn Taimiyah karya Taqiy al-Din Ahmad Ibnu Taimiyah (w. 728 H)
  4. Ghayat al-Muntaha fi al-Jami’ bain al-Iqna wa Muntaha karya Mar’i ibn Yusuf al-Hanbali (w. 1032 H)
  5. Al-Jami’ al-Kabir karya Ahmad ibn Muhammad ibn Harun atau Abu Bakar al-Khallal

Penutup


Demikianlah serba sedikit tentang kisah Imam Ahmad yang mempunyai jasa yang sangat besar dalam ketamadunan dunia islam. Walaupun didesak oleh pelbagai pihak, beliau tetap teguh dalam perjuangannya menegakkan yang hak dan menurunkan yang batil. Seperti pendirian beliau untuk tidak mengakui kemakhlukan al-Quran.

Beliau jatuh sakit setelah beberapa tahun bebas dari penjara. Beliau meninggal dunia pada hari Jumaat bersamaan 12 Rabi’al Al-awwal 241 H di usia 77 tahun. Beliau dimakamkan di Baghdad. Semoga Allah mengampuni beliau dan memberkati ilmu beliau. Kita berdoa supaya Allah membuka jalan kepada kita untuk terus berusaha menggapai ilmu-ilmuNya dan mengembalikannya sebagai manfaat kepada orang ramai.

Wallahua’lam

Baca berkenaan Imam Mazhab yang lain

Imam AhmadImam Malik
Imam SyafieImam Abu Hanifa

Rujukan

  1. Ahmad asy-Syurbasi, Sejarah dan Biografi Empat Imam Mazhab,(Semarang: Amzah, 1991)
  2. Kamil Muhammad ‘Uwaidah, Ahmad ibn Hanbal Imam Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah,(Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1992)
  3. Abdullah ibn ‘Abd al-Muhsin at-Turki, Usul Mazhab al-Imam Ahmad, (Riyad: Maktabah ar-Riyad al-Hadisah, 1980 M/1400 H),

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seven + seventeen =