Skip to content

Ibadah Korban: Cara dan Panduan Lengkap

ibadah korban 2

Korban dalam bahasa Arab disebut al-udhhiyah, iaitu binatang yang disembelih pada waktu dhuha. Manakala dari segi hukum syara’ ialah binatang ternakan (na’am) seperti kambing, lembu atau kerbau yang disembelih pada Hari Raya Aidiladha atau pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) dengan niat untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT.

SIRAH IBADAH KORBAN

Ibadah korban ini dituntut bagi mengingati dan menghargai kisah Nabi Ibrahim yang ingin melaksanakan perintah Allah SWT dengan menyembelih anaknya Nabi Ismail yang dikasihi.

Nabi Ibrahim sanggup bersusah payah ke Mekkah yang pada ketika itu hanyalah tanah kering lagi dan tidak subur serta terpaksa meninggalkan isterinya, Siti Hajar dan anaknya, Ismail yang masih bayi demi melaksanakan perintah Allah SWT.

Di dalam al-Quran sendiri telah menceritakan kisah mereka dalam firmanNya :

وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَىٰ رَبِّي سَيَهۡدِينِ  (٩٩) رَبِّ هَبۡ لِي مِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ  (١٠٠) فَبَشَّرۡنَٰهُ بِغُلَٰمٍ حَلِيمٖ  (١٠١) فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡيَ قَالَ يَٰبُنَيَّ إِنِّيٓ أَرَىٰ فِي ٱلۡمَنَامِ أَنِّيٓ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰۚ قَالَ يَٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُۖ سَتَجِدُنِيٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّٰبِرِينَ  (١٠٢) فَلَمَّآ أَسۡلَمَا وَتَلَّهُۥ لِلۡجَبِينِ  (١٠٣) وَنَٰدَيۡنَٰهُ أَن يَٰٓإِبۡرَٰهِيمُ  (١٠٤) قَدۡ صَدَّقۡتَ ٱلرُّءۡيَآۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجۡزِي ٱلۡمُحۡسِنِينَ  (١٠٥) إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ ٱلۡبَلَٰٓؤُاْ ٱلۡمُبِينُ  (١٠٦) وَفَدَيۡنَٰهُ بِذِبۡحٍ عَظِيمٖ  (١٠٧) وَتَرَكۡنَا عَلَيۡهِ فِي ٱلۡأٓخِرِينَ  (١٠٨) سَلَٰمٌ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ  (١٠٩) كَذَٰلِكَ نَجۡزِي ٱلۡمُحۡسِنِينَ  (١١٠)

Maksudnya : “Dan Ibrahim berkata: “Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku (99) Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh (100) Maka Kami berikan dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar (Nabi Ismail) (101)

Maka tatkala anak itu sudah dewasa dan mampu berusaha bersama-samanya, Ibrahim berkata: “Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Ismail menjawab: “Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah kamu akan mendapati diriku termasuk orang-orang yang sabar”(102)

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas lambungnya (103) Dan Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim (104)sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. (105)

Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata (106) Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar (107) Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian (108) “Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim” (109) Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik (110)” (As-Saffat : 99-110)

HUKUM KORBAN

Ibadah korban merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Hukum korban adalah sunat muakkad menurut Imam Syafie serta jumhur ulama’.

Tujuan ibadah ini adalah sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah  SWT. Dalil berkenaan dengan ibadah korban telah disyariatkan sebagaimana dalam al-Quran:

وَفَدَيۡنَٰهُ بِذِبۡحٍ عَظِيمٖ

Maksudnya : “Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (As-Saffat : 107)

JENIS IBADAH KORBAN

1- Korban Sunat

Korban sunat, iaitu menyembelih binatang ternakan yang tertentu dengan niat taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah S.W.T. pada Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji.

2-Korban Nazar

Korban nazar, apabila seseorang bernazar untuk menyembelih korban, maka wajiblah atasnya menunaikan nazarnya itu.

SYARAT SAH KORBAN

Untuk memenuhi syarat-syarat sah sesuatu ibadah korban, perkara-perkara berikut disyaratkan ke atas haiwan ternakan berkenaan, iaitu:

  1. Haiwan ternakan sahaja, iaitu unta, lembu, kambing, biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina.
  2. Haiwan ternakan itu hendaklah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.
  3. Haiwan ternakan itu tidak mempunyai kecacatan, sama ada tempang, buta, telinga koyak, patah sebelah tanduk, cedera pada tubuh badan, kurus sehingga tidak mempunyai lemak, atau kecacatan yang lain sepertinya.
  4. Haiwan ternakan itu telah mencapai satu tahap minimum umur, iaitu:
    • Unta : berumur lima tahun
    • Lembu / Kerbau / Kambing : berumur dua tahun
    • Biri-biri : berumur satu tahun masuk tahun kedua, ataupun telah tumbuh gigi hadapan

ALAT PENYEMBELIHAN

1. Peralatan yang tajam

Alat penyembelihan mestilah tajam supaya dapat mengalirkan darah dengan deras dan cepat memutuskan urat sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ فَكُلْ

Maksudnya : “Makanlah haiwan yang disembelih dengan pisau yang dapat mengalirkan darah dengan deras dan disebutkan nama Allah ke atasnya.”        (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

2. Peralatan bukan daripada gigi atau kuku

Alat penyembelihan yang menggunakan gigi atau kuku menjadikan penyembelihan tidak halal walaupun tajam. Gigi dan kuku dikecualikan kerana termasuk dalam pengertian segala jenis tulang sama ada tulang manusia atau haiwan.

SYARAT SAH SEMBELIHAN

  1. Sembelihan dilakukan dengan niat menyembelih.
  2. Sembelihan dilakukan kerana Allah bukan kerana sesuatu yang lain.
  3. Putus urat halkum (saluran pernafasan) dan urat marih (saluran makanan).
  4. Binatang tersebut halal dimakan dan masih hidup.
  5. Binatang tersebut mati dengan sekali sembelihan.
  6. Disembelih oleh orang Islam.
  7. Menggunakan alat yang tajam selain daripada kuku, gigi dan tulang.
  8. Binatang itu mati disembelih bukan kerana yang lain seperti mati terkejut atau terjatuh dalam perigi ketika disembelih.

PEMBAHAGIAN DAGING KORBAN

Pembahagian daging korban terbahagi kepada dua iaitu sembelihan sunat dan sembelihan nazar/wajib :

1.Pembahagian daging korban sunat

Menurut pandangan ulama mazhab Syafie :

  • 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang melakukan korban serta ahli keluarganya
  • 1/3 untuk sedekah kepada fakir miskin
  • 1/3 untuk hadiah kepada golongan kaya, sahabat atau jiran  tetangga

Sheikh Muhammad Bin Ahmad Al-Syathiri di dalam kitabnya Syarh al-Yaqut al-Nafis mengatakan bahawa :

وَالأَفْضَلُ فِي الضَحِيَّةِ المَسْنُونَةِ : أَن يَتَصَدَّقَ بِأَكْثَرِهَا وَيَبْقَى لَهُ قَلِيلًا للبَرَكَةِ

Maksudnya : “Adapun yang afdhal bagi pembahagian sembelihan korban yang sunat ialah memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan meningglkan sedikit untuk dimakan sebagai ambil berkah daripadanya”.

2. Pembahagian daging korban nazar / wajib

Semua daging korban tersebut wajib disedekahkan kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk orang yang melakukan korban memakan sebahagian daripadanya.

HIKMAH

Membudayakan dalam masyarakat  Islam

Ibadah korban merupakan salah satu syiar Islam yang dituntut sebagaimana dalam firmanNya :

وَلِكُلِّ أُمَّةٖ جَعَلۡنَا مَنسَكٗا لِّيَذۡكُرُواْ ٱسۡمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلۡأَنۡعَٰمِۗ فَإِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞ فَلَهُۥٓ أَسۡلِمُواْۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُخۡبِتِينَ  ٣٤

Maksudnya : “Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (kurban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka” (Al-Hajj : 43)

Tanda bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmatnya

Ibadah korban dituntut sebagai tanda syukur kita terhadap pelbagai nikmat yang Allah SWT berikan seperti dalam firmanNya :

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

Maksudnya : “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Al-Kauthar : 2)

Mendidik diri kita agar sentiasa bertakwa kepada Allah SWT

Setiap perkara yang dilakukan hendaklah dengan takwa dan yakin kepada Allah sebagaimana dalam firman Allah SWT :

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡۚ ٣٧

Maksudnya : “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya”. (Al-Hajj : 37)

Allah SWT menyukai orang yang melakukan ibadah korban

Sesungguhnya Allah menyukai umat Islam melakukan ibadah korban terutama pada Raya Aidiladha seperti sabda Rasulullah SAW :

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban)” (Hadis Riwayat At-Tarmizi)

RUJUKAN

  1. Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban, Bilangan 2 Tahun 2013, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
  2. Khutbah, Hikmah Ibadah Korban – Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam
  3. Bayan Linnas Siri Ke-114 : Ibadah Korban – Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri – 15 September 2017


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × five =