Artikel ini akan membincangkan hukum kentut faraj ketika sedang solat. Adakah solat terbatal disebabkan ketut faraj?
Kentut faraj
Menurut Medical News Today, kentut faraj terjadi bilamana udara yang terkumpul tersekat dalam faraj. Biasanya, kentut faraj ini terjadi bukan disebabkan penyakit. Ia hanya perkara biasa yang berlaku. Namun begitu, tidak semua keadaan itu biasa. Ada keadaan yang menandakan kentut faraj ini terjadi disebabkan perkara.
Contohnya, keadaan pelvis. Keadaan pelvis seseorang itu boleh membuatkan seseorang itu kentut faraj. Pelvis yang tidak kuat itu juga boleh berlaku disebabkan beranak. Selain itu, seks. Disebabkan aktiviti seksual, udara yang terkumpul boleh terperangkap di dalam faraj. Itu yang membuatkan seseorang itu kentut faraj.
Di samping itu juga, otot yang tegang boleh memberi kesan kepada otot pelvis. Disebabkan itu, lagilah mudah terjadinya kentut faraj.
Bilakah masanya kentut faraj itu menjadi tanda kepada suatu penyakit?
Bilamana kentut faraj itu berlaku tanpa kesan daripada keadaan-keadaan yang disebut di atas.
Syarat-syarat sah solat
Ada sembilan syarat sah solat:
- Berakal sempurna (tidak gila dan sebagainya)
- Masuknya waktu
- Menghadap kiblat
- Menutup aurat
- Tertib mengerjakan solat
- Suci daripada hadas kecil dan besar
- Suci daripada najis, pakaian dan tempat solat
- Tidak berkata-kata melainkan ayat al-Quran, zikir dan doa
- Tidak makan dan minum
Salah satu daripada syarat sah solat ini adalah suci daripada hadas. Ini yang menjadi fokus utama artikel ini ditulis.
Baik, apakah itu hadas kecil dan hadas besar?
Hadas kecil
Ada beberapa hal yang menjadikan seseorang itu berhadas kecil antaranya:
- Keluar sesuatu dari dua lubang iaitu qubur dan dubul seperti kentut
- Bersentuhan antara dua kulit lelaki dan perempuan yang bukan mahram
- Menyentuh kemaluan dengan tapak dengan, kemaluan sendiri atau kemaluan orang lain
- Tidak sedar seperti pengsan, tidur dan sebagainya
Untuk menghilangkan atau mengangkat hadas kecil, kita perlulah mengambil wuduk.
Hadas besar
Ada beberapa perkara juga yang menjadikan seseorang itu berhadas besar iaitu:
- Keluar darah bagi perempuan seperti haid, nifas dan seterusnya
- Keluar air mani disebabkan mimpi basah, aktiviti seksual dan lain-lain
- Aktiviti seksual walaupun tidak keluar air mani, tetap menjadi seseorang itu berhadas besar
- Meninggal dunia
Untuk mengangkat hadas besar, seseorang itu bukan sahaja harus berwuduk, tetapi mesti melakukan mandi wajib.
Hukum kentut faraj ketika solat
Adakah solat terbatal disebabkan kentut faraj?
Sebenarnya, ulama berbeza pendapat dalam hal ini. Ada yang mengatakan ia membatalkan solat dan ada juga mengatakan ia tidak membatalkan solat.
Batal solat
Ulama yang mengatakan kentut faraj itu membatalkan solat adalah kerana mereka berhujah dengan hadis Rasulullah:
Tidak perlu mengambil wuduk melainkan kerana ada bunyi (kentut) atau terdapat bau. (Riwayat at-Tirmidzi)
Ada juga hadis yang bercerita, seorang sahabat Rasulullah berasa terganggu kerana beliau tidak pasti sama ada beliau kentut ataupun tidak. Beliau berasa waswas.
Beliau pun pergi mengadu kepada Rasulullah tentang waswasnya itu. Jawab Rasulullah:
Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau. (Riwayat Bukhari)
Jadi, hadis ini jelas menunjukkan, kentut itu ialah dua kejadian, bunyi kentut dan juga bau kentut itu sendiri.
Jadi, kentut faraj itu termasuklah dalam hadis ini.
Imam an-Nawawi berkata dalam al-Majmu’:
Benda yang keluar daripada qubul (kemaluan hadapan) lelaki atau perempuan, atau dubur (kemaluan belakang) kedua mereka, membatalkan wuduk. Sama ada dalam bentuk tahi, kencing, angin, ulat, muntah, darah, batu-batu dan lain-lain. Tiada beza antara keluarnya dengan jarang-jarang berlaku, atau biasa berlaku secara adat.
Tiada beza juga antara yang angina yang keluar daripada qubul perempuan atau lelaki, atau dubur kedua mereka. Perkara ini dinaskan oleh al-Syafie Rahimahullah dalam kitab al-Umm, dan disepakati itu oleh ashab (Syafi’iyyah).
Tidak batal
Ini merupakan pandangan mazhab Hanafi dan Maliki. Mereka berhujah dengan alasan ia merupakan angin yang keluar disebabkan pergerakan otot. Ia hanya berlaku secara adat semata-mata.
Kesimpulan
Di Malaysia kita mengamalkan Mazhab Syafie, maka kita menggunakan hukum terbatalnya solat disebabkan kentut faraj.
Rujukan:
- Angin yang keluar dari qubul wanita, adakah ia membatalkan solat? – Mufti WP
- Sembilan syarat sah solat – Harian Metro
- Hadas terbagi kecil dan besar – News Detik
- Vaginal gas – Healthline