Skip to content

Hadis Dhaif: Definisi, Jenis & Hukum Beramal Dengannya

hadis dhaif

Apakah itu hadis dhaif? Artikel ini akan membincangkan definisi, jenis dan hukum beramal dengan hadis ini.

Pengenalan 

Bagi memahami perbahasan hadis dhaif, pemahaman terhadap hadis sahih dan juga hadis hasan perlulah difahami dengan sebaik mungkin. Ini kerana ianya sangat terkait antara satu sama lain. Pemahaman hadis dhaif secara literal juga akan menimbulkan salah faham yang besar sehingga boleh timbul isu yang tidak sepatutnya.

Perlu diketahui juga, bahawa jenis hadis ini adalah termasuk dalam kategori hadis mardud yang membawa erti tertolak, manakala hadis sahih mahupun hasan termasuk dalam kategori hadis maqbul yang membawa erti diterima.

Walaubagaimanapun, maksud diterima dan tertolak di sini bukanlah maksud dari segi mengamalkan amalan dalam hadis tersebut, akan tetapi ianya terkait dengan kebolehan sesuatu hadis itu dijadikan sebagai hujah dalam dalil syara’ atau tidak.

Definisi 

Hadis dhaif adalah adalah hadis yang gugur salah satu syarat dari syarat hadis maqbul (sahih dan hasan).

Telah diketahui sebelum ini tentang syarat-syarat hadis sahih mahupun hasan iaitu bersambung sanad, diriwayatkan oleh perawi yang ‘adil, penjagaannya sempurna atau kurang sempurna, tiada padanya syaz mahupun ‘illah yang merosakkan kesahihan hadis.

Jadi, jika kurang atau gugur salah satu syarat tersebut maka ianya akan menatijahkan sebagai hadis dhaif. Sama ada sanad hadis tersebut tidak lengkap atau tidak sempurna, atau hadis tersebut diriwayatkan oleh perawi yang lemah penjagaanya dan lain-lain faktor yang menyebabkan hadis menjadi dhaif. 

Faktor-faktor Hadis Dhaif

Apabila kita membicarakan faktor-faktor jenis hadis ini, atau kata lainnya bagaimana sesuatu hadis boleh jadi dhaif, ianya tidak lari dari tiga faktor utama iaitu faktor ‘adalah (عدالة) perawi, faktor penjagaan atau hafalan perawi serta faktor sanad sesuatu riwayat.

1. Adalah Perawi

‘Adalah perawi terkait dengan sifat peribadi seseorang perawi sama ada ianya dipercayai atau tidak. Adakah perawi tersebut seorang yang amanah dan bertaqwa atau pelaku maksiat. Jadi apabila seseorang perawi itu mempunyai masalah pada ‘adalah-nya, maka sama ada dia seorang pendusta hadis Nabi SAW yang lebih dikenali sebagai kazzab (كذاب) atau kazib (كاذب). Atau juga perawi tersebut ditohmah sebagai pendusta hadis Nabi SAW yang dikenali sebagai muttaham bilkazib (متهم بالكذب). Ada juga keadaan perawi itu seorang pelaku bid’ah atau seorang yang fasiq sehingga menyebabkan hadisnya yang diriwayatkannya menjadi dhaif.

2. Penjagaan Atau Hafalan Perawi

Apabila seseorang perawi mempunyai masalah pada penjagaannya atau hafalannya semestinya akan memberikan masalah pada riwayatnya sehingga menatijahkan hadis dhaif. Ini kerana sama ada seseorang perawi itu sememangnya lemah hafalannya atau banyak tersilap di akhir hayatnya. 

3. Sanad Riwayat

Sesuatu hadis menjadi dhaif juga disebabkan masalah pada sanad riwayat sesuatu hadis. Ianya menjadi masalah apabila sanad tersebut tidak bersambung atau tidak lengkap sampai kepada Baginda SAW. Contohnya seperti hadis mursal (مرسل), hadis mudallas (مدلس) dan lain-lain bentuk yang menunjukkan terputus pada sanadnya.

Pembahagian Hadis Dhaif

Hadis dhaif terbahagi kepada dua bahagian. Pertama adalah hadis dhaif yang ringan (ضعف خفيف) dan kedua adalah hadis yang terlalu dhaif (شديد الضعف).

Kebiasaannya hadis yang terputus sanadnya dan yang bermasalah pada hafalan perawi akan menatijahkan hadis dhaif yang ringan sahaja. Kecuali jika hafalan perawi tersebut terlalu lemah atau terlalu banyak melakukan kesilapan dalam periwayatan hadis akan menatijahkan hadis yang terlalu dhaif.

Manakala hadis yang terkait dengan masalah ‘adalah perawi akan menatijahkan sesuatu hadis itu sebagai hadis yang terlalu dhaif, bahkan boleh menatijahkan hadis itu sebagai palsu.

Hukum Beramal Dengan Hadis ini

Jumhur Ulama Salaf  mahupun Khalaf telah bersepakat akan keharusan beramal dan meriwayatkan hadis yang dhaif. Antara Ulama Salaf yang berpendapat sedemikian seperti Sufyan al-Thaury, Ibnu ‘Uyainah, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan ramai lagi. Manakala mereka yang menerima dan beramal dengan hadis dhaif dari kalangan khalaf atau mutaakhirin juga ramai, antaranya ialah Ibnu Solah, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, al-Sakhawi dan ramai lagi. 

Walaubagaimanapun, keharusan beramal dengan hadis dhaif ada syarat-syaratnya. Antara syarat-syaratnya adalah:

  1. Hendaklah dhaif itu tidak terlalu dhaif, maka terkeluar padanya perawi yang berdusta, yang ditohmah melakukan pendustaan dan siapa yang banyak tersalah dalam periwayatan.
  2. Hendaklah hadis itu ada asal dari dalil yang lebih umum.
  3. Jangan beri’tikad bahawa hadis itu pasti sandarannya kepada Nabi SAW ketika mengamalkannya. Agar kita tidak menyandarkan kepada Baginda SAW bukan dari apa yang Baginda katakan. Bahkan perlu bagi kita sekadar beri’tikad ada kemungkinan ianya benar sandarannya kepada Nabi SAW.

Kesimpulan

Jumhur Ulama sepakat bahawa beramal dengan hadis dhaif dan meriwayatkannya adalah dibenarkan mengikut kepada syarat-syarat tertentu. 

Beramal dengan hadis dhaif tidak membawa maksud meninggalkan hadis yang sahih atau hasan. Bahkan digalakkan untuk mendahului suatu amalan dengan hadis yang lebih sahih.

Walaubagaimanapun, hakikat sebenar dalam beramal bukanlah sahih atau dhaif menjadi perbincangan utama, akan tetapi amalan mana yang boleh diamalkan dan yang mana tidak boleh, dan yang mengetahui akan perkara ini hanyalah mereka yang menguasai pemahaman terhadap hadis Baginda SAW dari sudut riwayah dan dirayah serta penguasaan dan pemahaman usul fiqh yang baik. Ini kerana boleh jadi hadis tersebut sahih tetapi tidak boleh diamalkan sepertimana yang pernah dibincangkan dalam siri Hadis Sahih lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

15 − 1 =