Skip to content

Hadis Hasan: Definisi, Jenis & Asal Usul

hadis hasan

Apakah itu hadis hasan? Artikel kali ini akan membincangkan istilah penting yang tidak lari jauh dari hadith sahih iaitu hadith hasan.

Definisi Hadis Hasan

Bagi definisi hadith hasan ianya hampir kepada definisi hadith sahih yang telah disebutkan. Menurut ulama hadith dari kalangan mutaakhirin (khalaf), hadith hasan adalah hadith yang bersambung sanadnya dari awal sanad sehingga ke akhirnya oleh perawi yang ‘adil akan tetapi kurang sempurna pada penjagaannya, berserta tiada pada hadith tersebut syaz dan ‘illah yang merosakkan kesahihan hadith.

Telah diketahui sebelum ini bahawa hadith sahih adalah hadith yang bersambung sanadnya oleh perawi yang ‘adil dan sempurna penjagaannya dari awal sanad sehingga ke akhirnya, berserta tiada pada hadith tersebut syaz dan ‘illah yang merosakkan kesahihan hadith.

Perbezaan antara istilah hadith sahih dengan hadith hasan hanyalah pada satu perkara sahaja iaitu pada sifat penjagaan hadith oleh perawi. Bagi hadith sahih, disyaratkan padanya perawi yang mempunyai sifat penjagaan yang sempurna atau istilah lainnya tamām al-ḍabṭ (تمام الضبط). Berbeza pula bagi hadith hasan, tidak disyaratkan padanya perawi yang mempunyai sifat penjagaan yang sempurna bahkan sifat penjagaan perawinya kurang sempurna berbanding perawi hadith sahih. Walaupun begitu, sifat penjagaan hadith perawi hadith hasan tidaklah sampai kepada peringkat lemah penjagaan atau lemah hafalan yang boleh membawa kepada peringkat hadith da’if.

Pembahagian Hadith Hasan

Sepertimana hadith sahih terbahagi kepada dua, begitu juga hadis hasan terbahagi kepada dua bahagian.

Bahagian pertama adalah hadith hasan lizatihi. Hadith hasan lizatihi adalah sepertimana definisi hadith hasan di sisi ulama hadith dari kalangan mutaakhirin iaitu pada sanad hadith tersebut terdapat perawi yang kurang sempurna penjagaannya sama ada pada hafalan mahupun penulisan. Disebabkan sifat perawinya yang kurang sempurna penjagaannya menyebabkan hadith tersebut menjadi hadith hasan lizatihi iaitu pada asalnya hadith tersebut pada peringkat hasan.

Contoh bagi hadith hasan lizatihi adalah seperti hadith “jikalau ianya tidak memberatkan umatku sudah pasti aku memerintahkan umatku untuk bersiwak setiap kali hendak solat” yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi melalui jalan Muhammad bin ‘Amru bin ‘Alqamah. Berdasarkan sanad Imam al-Tirmizi ini, hadith tersebut bertaraf hasan disebabkan oleh perawi Muhammad bin Amru dihukumkan sebagai perawi yang hasan pada hadithnya oleh imam-imam hadith seperti al-Nasaie, al-Zahabi Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan ramai lagi.

Bahagian kedua pula adalah hadith hasan lighairihi iatu hadith yang menjadi hasan disebabkan faktor luaran. Dalam erti kata lain, hadith hasan lighairihi adalah hadith da’if yang ringan menjadi hadith hasan disebabkan terdapat riwayat lain yang saling menyokong kekuatan hadith tersebut sehingga dapat menjadi hadith hasan. 

Contoh bagi hadith hasan lighairihi adalah seperti hadith yang pada sanadnya terdapat perawi yang da’if pada satu riwayat, dan terdapat pada riwayat lain juga mempunyai perawi yang da’if menjadikan kedua-dua sanad hadith tersebut da’if. Akan tetapi ianya menjadi hasan lighairihi disebabkan kedua-dua riwayat yang da’if tersebut saling menyokong dan menguatkan antara satu sama lain.

Asal Usul Hadith Hasan

Para ulama hadith mutaakhirin sepakat bahawa yang terawal mempopulerkan istilah “hasan” dalam ilmu hadith adalah Imam al-Tirmizi sepertimana di dalam kitab Sunan beliau. Akan tetapi ulama hadith tidak dapat menetapkan siapa yang terawal menggunakan istilah “hasan” dalam ilmu hadith. Walaupun begitu, penggunaan istilah hasan telah digunakan oleh para imam hadith sebelum Imam al-Tirmizi lagi. Antara yang turut menggunakan istilah hasan dalm hadith adalah seperti Imam Ahmad, al-Bukhari, Imam al-Syafie serta Ibrahim al-Nakhaie.

Walaupun begitu, penggunaan istilah hasan pada setiap imam hadith berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh apabila Imam al-Tirmizi menyebutkan “hasan” di dalam kitab Sunan beliau, ianya dimaksudkan sebagai hadith hasan lighairihi. Terdapat juga sebahagian imam hadith mutaqaddimin (salaf) yang menggunakan istilah hasan bukan dengan maksud istilah yang telah didefinisikan oleh ulama mutaakhirin. Dalam erti kata lain “hasan” di sini adalah hasan pada sudut bahasa sahaja yang boleh membawa maksud hadith itu sahih mahupun da’if.

Terdapat juga sebahagian imam hadith yang memasukkan hadith hasan kedalam hadith sahih. Tidak seperti kebiasan ulama hadith mutaakhirin yang membahagikan hadith kepada tiga iaitu sahih, hasan dan da’if, mereka ini hanya membahagikan hadith kepada dua iaitu sahih dan da’if sahaja. Antara imam hadith yang berpendapat sedemikian adalah seperti Ibnu Hibban, Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim.

Hukum Beramal Dengan Hadith Hasan

Seperti hadith sahih juga, hadith hasan boleh diamalkan serta boleh dijadikan sebagai dalil hukum syara’.

Rujukan 

  1. Al-Kasyif, al-Zahabi
  2. Manhaj al-Naqd Fi Ulum al-Hadith, Dr Nuruddin Itr.
  3. Muqaddimah Ibnu al-Solah
  4. Nuzhah al-Nazar, Ibnu Hajar al-‘Asqalani
  5. Sunan al-Tirmizi
  6. Taqrib al-Tahzib, Ibnu Hajar al-‘Asqalani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

18 + nine =