Skip to content

10 Amalan Sunat Ketika Hari Raya Aidilfitri

amalan sunat hari raya aidilfitri

Apakah amalan sunat hari raya Aidilfitri yang boleh kita lakukan baik secara perseorangan atau bersama-sama dengan keluarga. Artikel pada kali ini, kami akan kongsikan kepada anda beberapa amalan sunat hari raya Aidilfitri yang sangat bagus jika diamalkan oleh umat Islam.

Apa itu hari raya Aidilfitri?

Perkataan Aidilfitri dari segi bahasa bermaksud kembali kepada fitrah, atau dalam erti kata lain kembali kepada asal kejadian manusia yang lahirnya suci, dan bersih dari palitan dosa seperti seorang bayi yang baru lahir.

Fitrah berasal dari perkataan “futhur” yang bermaksud kembali makan pagi iaitu sarapan. Maksudnya pada hari raya Aidilfitri, umat Islam boleh kembali sarapan dan makan seperti biasa selepas berpusa sebulan pada bulan Ramadhan.

Ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang bersabda:

“Barangsiapa berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.”

Sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan bagi masyarakat Melayu dan penganut agama Islam. Perayaan ini berlaku selepas umat Islam berpuasa sebulan penuh pada bulan Ramadhan di siang hari dan mengerjakan ibadah solat sunat tarawih di malam harinya.

Amalan sunat hari raya Aidilfitri yang boleh dilakukan

Umumnya, terdapat banyak amalan sunat hari raya Aidilfitri yang boleh dilakukan. Ini termasuklah pada malam hari raya itu, pagi hari raya, dan sepanjang bulan Syawal.

Berikut ini adalah amalan sunat hari raya Aidilfitri untuk rujukan kita bersama.

1. Menghidupkan malam hari raya

Amalan sunat hari raya Aidilfitri yang pertama boleh kita lakukan adalah dengan menghidupkan malam hari raya tersebut. 

Kita digalakkan untuk menghidupkannya dengan beribadat kepada Allah SWT seperti melakukan solat, berzikir, membaca Al-Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya.

Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati.” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

2. Mandi sunat hari raya sebelum ke masjid

Mandi sunat hari raya sangat digalakkan kepada umat Islam sama ada kita akan solat sunat raya ataupun tidak. 

Dalilnya ini berdasarkan daripada amalan para sahabat:

عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى

Maksudnya: “Daripada Nafi’ bahawa Abdullah bin Umar RA mandi pada Hari Raya Aidilfitri sebelum pergi ke tempat solat.” – (Muwatta’ Malik, hadis sahih)

Waktu mandi sunat hari raya diharuskan bermula dari tengah malam tetapi waktu yang disunatkan adalah selepas terbitnya fajar hingga terbenam matahari.

Lafaz mandi sunat itu adalah seperti yang berikut:

نويت الغسل لعيد الفط سنة لله تعلى

Maksudnya; “Sahaja aku mandi sunat Aidilfitri kerana Allah Ta’ala.”

3. Berpakaian yang terbaik 

Memakai pakaian yang terbaik bukanlah bermaksud pakaian yang baru dan mahal. Erti kata terbaik itu adalah pakaian yang dipakai mestilah kemas, menutup aurat dan bersih untuk digunakan. 

Namun sekiranya kita mampu untuk membeli yang baru, silakan. Tidak mengapa yang penting ia mengikut kepada kemampuan dan tiada pembaziran yang berlaku.

4. Memakai wangi-wangian

Imam Syafie pernah berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”

Berwangi-wangian bagi yang lelaki adalah sunnah yang sangat bagus untuk kita amalkannya.

5. Makan sebelum keluar rumah

Bagi amalan sunat hari raya Aidilfitri, kita disunatkan untuk menjamah makanan sebelum keluar dari rumah untuk menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri.

Hal ini diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لَا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلَا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tidak keluar ke tempat solat pada Aidilfitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu. Dan baginda tidak makan pada Aidiladha sehinggalah baginda solat terlebih dahulu.” – (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, hadis sahih)

6. Segera ke masjid untuk solat sunat hari raya Aidilfitri

Solat sunat hari raya Aidilfitri adalah solat sunat dua rakaat yang dilaksanakan sebanyak dua rakaat dengan takbir sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua.

Ada juga disertakan sekali dengan tasbih di antara tiap-tiap takbir itu. Hukum pelaksanaannya adalah sunat muakkad iaitu sangat dituntut melaksanakannya.

Ia biasanya dilaksanakan secara berjemaah dalam tempoh setahun sekali dan menjadi syiar untuk agama Islam.

7. Memperbanyakkan takbir

Kalimah takbir mengandungi syiar-syiar Islam yang sangat digalakkan. Kita boleh bertakbir bermula dari selepas maghrib hari terakhir berpuasa sehinggalah selesai solat sunat Aidilfitri.

8. Ziarah menziarahi antara satu sama lain

Bukan menunggu hari raya sahaja kita boleh meneruskan amalam ziarah-menziarahi. Tetapi kerana hari raya inilah hari kemenangan umat Islam, kita boleh memperbanyakkan amalan tersebut.

Amalan ini bertepatan dengan hadis daripada Nabi SAW bermaksud:

“Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

9. Ucap dan saling mendoakan

Di hari yang mulia itu, sama-sama bermaaf-maafan dan saling mendoakan yang baik-baik antara satu sama lain. Tidaklah rugi sedikit pun kita mendoakan orang lain kerana kebaikannya kelak akan kembali kepada diri kita juga. 

Rasulullah SAW telah bersabda: “Doa seorang muslim untuk saudaranya sesama muslim dari jauh tanpa diketahui olehnya akan dikabulkan. Di atas kepala orang Muslim yang berdoa ada malaikat yang telah diutus menjaganya. Setiap kali ia berdoa untuk kebaikan bagi saudaranya, maka malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan Amin (semoga Allah mengabulkan) dan bagi kamu juga akan mendapatkan seperti itu.” – (Hadis Riwayat Muslim, 4914)

10. Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal

Amalan sunat hari raya Aidilfitri yang terakhir adalah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. 

Nabi Muhammad SAW yang mana di dalam hadis ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun.

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” – (Hadis Riwayat Muslim, 1164)

Kita boleh berpuasa 6  pada bila-bila masa sahaja dalam bulan Syawal tetapi haram dilakukan pada 1 Syawal. 

Diharapkan artikel berkenaan dengan amalan sunat hari raya Aidilfitri ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat dan ilmu pengetahuan yang berguna untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian khususnya apabila tiba perayaan ini.

Rujukan:

  1. Bayan Linnas Siri Ke-23: Adab Berhari Raya dan Kesilapannya
  2. Cara Menyambut Aidilfitri Mengikut Sunnah. Mufti Terengganu
  3. Pengeritain dan Sejarah Awal Hari Raya Aidilfiitri. Tzkrh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen + thirteen =