Apakah adab ziarah ke kubur yang perlu anda ketahui? Artikel pada kali ini akan menyenaraikan 10 adab ziarah kubur berserta dalil-dalil pilihan untuk dijadikan panduan anda.
Kematian tiba kepada setiap makhluk
Kehidupan dan kematian adalah perjalanan seorang makluk Allah SWT sama ada manusia, binatang, atau tumbuh-tumbuhan. Seseorang akan hidup jika Allah SWT mengizinkan dia untuk hidup di dunia ini, dan seseorang akan mati jika Allah SWT berkehendak dia akan mati dan kembali ke alam barzakh. Kematian juga merupakan perkara yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sejak azali lagi. Bila kita mati, bagaimana kita mati, mengapa kita mati, dan di mana kita mati, semuanya sudah pun tertulis di luh mahfuz.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa, ayat 78 yang bermaksud,
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sudah sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.”
Ayat ini sudah menjelaskan kepada kita bahawa seseorang manusia tidak boleh memisahkan dirinya dari kematian. Seseorang itu pasti akan menempuhi maut sama ada dia berada di medan perang atau di atas hamparan. Sesiapapun apabila ditentukan matinya di sesuatu tempat dia akan pergi ke tempat itu ketika sampai ajalnya. Hal ini adalah penentuan dari Allah SWT semenjak anda dalam kandungan lagi.
Adab Ziarah Kubur
1. Berwuduk
Sebaik-baiknya dan disunatkan untuk berwuduk sebelum ke tanah perkuburan. Jika anda takut wuduk terbatal atas sebab-sebab perjalanan yang jauh di dalam kenderaan atau halangan yang lain, anda juga boleh berwuduk apabila tiba di tanah perkuburan sekiranya di sana disediakan tempat, pili air, atau sumber air untuk berwuduk.
Para ulama fiqah telah memberikan perhatian tentang kebersihan apabila memulakan perbincangan dalam kitab-kitab fiqah dengan bab taharah, iaitu kebersihan terlebih dahulu. Ini membuktikan bahawa kebersihan itu sangat dititikberatkan dalam semua hal khususnya dalam ibadat.
Dari Othman bin Affan katanya, Rasullullah SAW bersabda :
“Barangsiapa yang berwuduk, kemudian dia menyempurnakan wuduknya, maka keluarlah dosa-dosa dari jasadnya hingga dari kuku-kukunya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
2. Berpakaian yang sopan dan menutup aurat
Dalam Islam, menutup aurat bukanlah pilihan tetapi tuntutan agama. Jadi apabila seseorang itu beragama Islam maka dia wajib untuk menutup aurat seperti mana yang telah disyariatkan ketika ingin keluar dari rumah atau bergaul dengan ajnabi. Untuk wanita, seluruh anggota badan kecuali muka dan telapak tangan. Manakala bagi lelaki, antara pusat dan lutut.
Allah SWT berfirman:
“Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, agar melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya; yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al Ahzab: ayat 59)
3. Memberi salam kepada ahli kubur
Dari Buraidah al-Aslami RA, katanya;
“Rasulullah SAW pernah mengajar sahabat-sahabatnya apabila mereka menziarahi tanah perkuburan supaya tiap tiap seorang di antara mereka (memberi salam dan berdoa dengan berkata: Salam sejahtera kepada kamu wahai ahli perkampungan (tanah kubur) ini, dari kalangan kaum mukminin dan muslimin; dan bahawa kami juga- Insya Allah akan menurut kamu apabila sampai gilirannya; semoga Allah memberi rahmat dan selamat sejahtera kepada kami dan kamu sekelian.” (Hadith Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)
Ini jelas menunjukkan rasa hormat kita kepada semua makhluk Allah SWT yang telah kembali menghadap-Nya. Walaupun mereka tidak lagi hidup di dunia, tetapi mereka sedang berada di alam barzakh saat itu dan semua manusia juga akan melalui hal yang sama suatu hari nanti.
4. Duduk menghadap ke arah mukanya serta membaca ayat suci Al-Qur’an
Lazimnya, masyarakat suka membaca Surah Yasin ketika di tanah perkuburan. Tiada surah khusus untuk anda amalkan atau bacakan kepada si mati.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka) akan Aku perkenankan permohonan doa mereka kepada-Ku. Hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah al-Baqarah: ayat 186).
Al-Quran itu mukjizat teragung untuk suluruh umat Islam. Setiap perkataan, dan huruf di dalamnya mengandungi pahala bagi yang membaca, mendengar dan mengajarkan. Apa sahaja surah yang anda bacakan, insha Allah boleh memberikan kebaikan untuk anda dan si mati.
5. Haram melakukan perkara khurafat
Mengamal dan melakukan perkara-perkara yang khurafat hukumnya adalah haram disisi agama Islam. Khurafat boleh membawa kepada syirik dan inilah perbuatan yang ditegah untuk setiap umat Islam dari terlibat.
Sabda Nabi SAW: “Jauhilah kamu dari tujuh dosa besar. Berkata sahabat: Apakah ianya Rasulullah SAW? Jawab Baginda Nabi SAW: Syirikkan Allah dan sihir.” (Hadis Riwayat Muslim)
6. Menghadap kiblat ketika berdoa
Berdoa adalah senjata umat Islam. Apabila seseorang masih hidup, dia boleh mendoakan dirinya dan orang lain tetapi apabila seseorang itu telah mati, maka yang hidup perlu mendoakannya. Seseorang yang berdoa kepada Allah SWT sudah tentu mengharapkan doanya terkabul. Oleh itu, dalam berdoa anda perlu menjaga adab-adabnya untuk memastikan anda boleh berdoa dengan penuh ikhlas, khusyuk, dan rendah hati.
Abdullah bin Zaid R.A beliau berkata :
Maksudnya: Rasulullah SAW telah keluar pada suatu hari menuju ke tanah lapang untuk baginda melakukan istisqa’ (doa meminta agar Allah turunkan hujan). Lalu beliau berdoa dan beristisqa’ kemudian menghadap ke arah kiblat dan baginda membalikkan rida’ baginda. (Hadis riwayat Al-Bukhari)
7. Menjaga kebersihan kawasan perkuburan dan persekitaran
Islam sangat mengutamakan kebersihan. Ini jelas berdasarkan hadis yang disampaikan dari Abu Malik al-As’hari berkata, Rasullullah SAW bersabda:
“Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Islam adalah cara hidup yang mencakupi pergerakan manusia dari mula bangun tidur sehingga kembali semula ke tempat tidur. Jika ibadat solat mensyaratkan setiap umat Islam mementingkan kebersihan, begitu juga tuntutan Islam supaya kebersihan dipelihara setiap masa dalam kehidupan.
Tidak mungkin Islam hanya menitikberatkan soal kebersihan ketika seseorang Muslim hendak menunaikan ibadat sahaja sedangkan kehidupannya diselubungi kekotoran yang tidak mencerminkan imej Islam sebagai agama suci. Kebersihan yang dituntut Islam bukan hanya membabitkan diri sendiri, bahkan persekitaran yang dikelilingi pelbagai makhluk Allah yang terdiri dari manusia, haiwan, tumbuhan, bukit, gunung, sungai, dan laut.
8. Tidak meratap, meraung, memukul pipi, meronta-ronta kerana terlalu sedih
Bersikap berlebihan dalam urusan agama adalah hal yang terlarang, termasuk dalam melaksanakan ritual ziarah kubur ini. Rasulullah bersabda:
“Waspadalah kalian pada sikap berlebihan. Sesungguhnya binasanya orang-orang sebelum kalian disebabkan berlebihan dalam urusan agama.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Redha dan ikhlas perlu ditanamkan dalam diri setiap orang. Apabila dua sifat ini ada dalam diri maka apa jua ujian, halangan, dan takdir yang Allah SWT telah tetapkan dalam setiap perjalanan hidup dapat anda laksanakan dan lalui dengan baik.
9. Makruh duduk, merangkak, melangkah dan bersandar pada kubur
Perbuatan seperti duduk, merangkak, melangkah, dan bersandar pada kubur adalah dilarang dan hukumnya adalah makruh.
‘Amr bin Hazm al-Anshari RA menceritakan: Rasulullah SAW aku bersandar kepada sebuah kubur lalu baginda berkata: “Jangan menyakiti ahli kubur ini :”(Hadis Riwayat Ahmad)
Hadis tentang larangan duduk di atas kubur pula seperti yang dinyatakan di bawah.
Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh, jika seseorang kalian duduk di atas bara api lalu ia membakar pakaiannya sehingga mengenai kulitnya lebih baik baginya dari dia duduk di atas kubur.” (Hadis Riwayat Muslim)
Islam sangat menjaga nilai hormat-menghormati sesama makluk. Setiap perbuatan manusia yang nampak atau tidak nampak akan dipertontonkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Oleh itu, kita harus menjaga tingkah laku ketika hidup di dunia.
10. Menjaga tatasusila perbuatan dan percakapan dari sesuatu yang tidak baik
Hadis berkenaan tidak bercakap sesuatu yang tidak baik telah diikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadraknya, hadis no: 1342MS (Kitab al-Janaiz, Bab dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur..). Sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Ahkam al-Janaiz, ms. 180.
Maksudnya: “Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)
Mengumpat, mengeji, mengata, atau memfitnah seseorang baik kepada yang hidup atau yang sudah meninggal dunia adalah dosa. Kita seharusnya berkata yang baik-baik apabila berkata kepada orang lain atau jika tidak mampu maka sebaiknya berdiam sahaja.
Penutup
Manusia diciptakan penuh dengan keunikan, ketakjuban, keaggungan, dan kehormatan. Di saat hidup, Allah SWT memuliakan manusia dengan menciptakannya sebagai sebaik-baik kejadian. Apabila manusia itu meninggal, Islam masih tetap menjaga adab kepada orang yang telah mati. Ini menunjukkan Allah SWT sangat sayang akan makhluk-Nya. Jika bukan dengan izin Allah SWT, maka kita tidak akan dihormati dan disayangi oleh makluk lain.
Diharapkan artikel berkenaan adab menziarahi kubur ini dapat memberikan anda informasi yang berguna untuk kehidupan seharian. Perbuatan menziarah kubur bukanlah hanya dilakukan semasa hari pengkebumian atau setiap kali menjelangnya hari raya sahaja. Yang menjadi sunnah ialah dengan menjadikan amalan menziarahi kubur itu sebagai suatu usaha orang yang hidup untuk mengingati orang yang telah mati. Ia juga mengingati anda tentang kematian dan membuat persediaan dengan memperbanyakkan amal ibadat sebanyak mungkin.
Adab-adab yang Lain
Rujukan
- Arini Saadah (8 December 2020). 10 Adab Ziarah Kubur dan Dalilnya Menurut Islam, Sebagai Pengingat Kematian. Laman web dream.co.
- Kurnia Azizah (27 Februari 2020). 8 Adab Ziarah Kubur Sesuai Sunah Nabi, Patut Diketahui. Laman web merdeka.com
- Jabatan Agama Islama Wilayah Persekutuan. Peratuan Menziarahi Tanah Perkuburan. Laman web epusara.jawi