Skip to content

Niat Puasa Ganti (Qada’ Puasa) dan Cara Melakukannya

puasa ganti atau puasa qada'

Bagaimana melakukan puasa ganti. Dalam artikel ini, kami akan membincangkan berkenaan cara untuk melakukan puasa ganti atau Qada’ puasa.

Pengenalan

Adalah menjadi kebiasaan bagi kaum perempuan yang telah mencapai umur akhir baligh untuk tidak dapat berpuasa sebulan penuh dalam bulan Ramadhan. Kedatangan haid pada setiap bulan adalah normal bagi kaum ini termasuk lah pada bulan Ramadhan. Pada siri ini, saya akan memberi sedikit penjelasan mengenai apa, mengapa, dan bagaimana seseorang individu itu perlu untuk mengantikan puasanya.

Tapi, harus menjadi peringatan untuk semua bahawa bukan perempuan sahaja yang perlu untuk mengantikan puasa mereka yang di tinggalkan atas sebab uzur. Lelaki yang meninggalkan puasa dalam bulan Ramadhan secara sengaja atau tidak juga wajib untuk menggantikan puasa yang telah ditinggalkan.

Apa itu Puasa Ganti?

Puasa ganti secara zahirnya dapat kita definisikan sebagai mengantikan puasa yang di tinggalkan khusus pada bulan Ramadhan. Ia melibatkan setiap individu Muslim lelaki dan perempuan yang mukallaf. Wajib bagi setiap individu yang meninggalkan puasa Ramadhan untuk mengantikan nya sama ada dengan keuzuran atau tanpa keuzuran.

Firman Allah dalam Surah Al- Baqarah ayat 184.

أَيَّاماً مَّعْدُودَاتٍ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْراً فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ وَأَن تَصُومُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain…

Walaupun begitu, terdapat beberapa kategori bagi orang yang meninggalkan puasa untuk tidak mengantikan puasa mereka tetapi wajib untuk membayar fidyah.  

….dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”

Perkara yang Membatalkan Puasa

Sebelum itu, izinkan saya untuk mengajak pembaca mengulang kembali apakah perkara- perkara yang menyebabkan seseorang individu Muslim itu wajib untuk mengantikan puasa mereka. Adakah diantara perkara- perkara tersebut termasuk dalam perbuatan seharian kita dan boleh membatalkan puasa?

Mari kita ulangkaji bersama-sama. Puasa seseorang individu itu akan terbatal sekiranya dia melakukan salah satu daripada perkara-perkara yang berikut: –

1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja kecuali terlupa.

  • Mengorek hidung atau telinga kerana gatal atau dengan sebab ingin membersihkan adalah harus dan tidak membatalkan puasa.
  • Akan tetapi, para Ulama’ Mazhab Syafie menghadkan harus mengorek hidung atau telinga sehingga had batin (iaitu bagi hidung adalah melepasi tulang hidung dan bagi telinga sehingga sampai ke gendang telinga).

2. Makan atau minum sepanjang hari bermula dari terbit matahari sehingga terbenam matahari dengan sengaja

  • Tidak membatalkan puasa bagi orang yang makan atau minum pada siang hari atas sebab dia tidak mengetahui larangan tersebut kerana jahil atau baru memeluk Islam. Akan tetapi, wajib bagi dirinya untuk mempelajari hukum hakam berkaitan ibadah puasa dan tidak mengulanginya lagi.
  • Bagi individu yang terlupa bahawa dia sedang berpuasa lalu makan atau minum. Apabila dia teringat Kembali hendaklah dia meneruskan puasa sehingga terbenam matahari dan puasanya pada hari itu tidak terbatal.

3. Keluar darah haid atau nifas (darah selepas bersalin)

  • Darah nifas ialah darah yang keluar dari rahim seorang wanita selepas melahirkan anak. Ia dipanggil nifas kerana darah tersebut mengalir keluar setelah nafs (jiwa iaitu anaknya).
  • Menurut kebiasaan, darah ini secara umum akan mengalir keluar sehingga 40 hari selepas seseorang itu melahirkan anak. Dan maksimum darah ini boleh mengalir keluar dari rahim seorang perempuan adalah  sehingga 60 hari 60 malam.

4. Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja

  • Sekiranya air mani keluar dengan sendirinya pada siang hari disebabkan bermimpi atau dia melihat kemaluannya berulang kali tanpa menyentuh pada siang hari bulan Ramadhan, maka puasanya tidak terbatal.
  • Atau membayang melakukan hubungan kelamin tanpa menyentuh kemaluan pada siang hari pada bulan Ramadhan, maka puasanya juga tidak terbatal.

5. Gila

  • Orang gila tidak diwajibkan untuk berpuasa kerana puasa hanya diwajibkan keatas setiap individu Muslim yang mukallaf.

6. Pitam atau mabuk sepanjang hari

7. Muntah dengan sengaja

8. Murtad


Cara untuk Melaksanakan Puasa Ganti

Hanya niat puasa ganti sahaja yang berbeza dengan puasa sunat atau puasa wajib. Perkara- perkara lain yang perlu dipatuhi semasa berpuasa adalah sama.

Individu yang ingin melakukan puasa ganti perlu untuk berniat puasa ganti seperti yang berikut:

Niat Puasa Ganti:

“Sahaja aku puasa esok hari kerana ganti fardhu Ramadhan kerana Allah Taala”

Waktu yang dibenarkan Puasa Ganti

Apabila seseorang individu itu mengetahui bahawa puasa wajib mereka pada bulan Ramadhan tidak lengkap. Mereka perlu berusaha untuk melaksanakan puasa ganti seperti yang dituntut oleh agama.

Puasa ganti ini boleh dilaksanakan sepanjang tahun selepas bulan Ramadhan hingga sebelum sampai bulan Ramadhan tahun seterusnya kecuali pada hari- hari yang diharamkan untuk berpuasa seperti pada hari pertama bulan Syawal, hari raya Aidiladha dan juga pada hari Tasyriq (11,12 & 13 Zulhijjah).

Penutup

Sebagai seorang Muslim amat dituntut untuk menyelesaikan hutang yang di miliki baik hutang antara manusia dan lebih lagi hutang kepada Allah. Seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Baqarah dimana ayat paling Panjang yang diperjelaskan dalam Al- Quran adalah berkaitan dengan hutang.

Betapa penting nya hutang dalam ajaran agama kita. Oleh itu, andai kita tidak pasti jumlah hari yang ditinggalkan tidak berpuasa pada bulan Ramadhan. Adalah lebih baik andai kita melebihkan sedikit anggaranya agar berasa lebih yakin. Sesungguhnya hanya kita yang mengetahui jumlah tersebut disamping Allah S.W.T.

Maka dengan ini saya menyeru sahabat- sahabat pembaca saya untuk mengambil serius berkenaan perkara ini kerana ia merupakan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim dalam melakukan ibadah seharian. Semoga kita semua terus diberkati dan sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T. Semoga kita terus istiqamah dalam jalan kebenaran ini dan Salam Ramadhan Al- Mubarak.

Jenis Puasa yang lain

Puasa RamadhanPuasa Nazar
Puasa EnamPuasa Bulan Rejab
Puasa Hari AsyuraPuasa Hari Putih
Puasa Hari ArafahPuasa Ganti

Sumber

  1. Laman sesawang Pusat Zakat Selangor.
  2. Laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
  3. Laman sesawang ezqurban.              

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three + 13 =