nama malaikat berserta tugas mereka

10 Nama Malaikat dan Tugas Mereka

Apakah nama-nama malaikat berserta tugas mereka? Dalam artikel ini kami akan membincangkan nama-nama para malaikat berserta tugas yang perlu mereka lakukan

Pengenalan

Dalam rukun iman, kita wajib beriman kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, hari kiamat, dan qada’ dan qadar. Salah satu daripada rukun iman merupakan beriman kepada malaikat.

Sekiranya seseorang itu tidak beriman kepada malaikat, maka dia dikira sebagai tidak beriman.

Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 285:

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang beriman, semuanya beriman kepada Allah dan malaikat-malaikat-Nya.

Hal ini juga disebut dalam satu hadis yang sangat popular. Bilamana Umar al-Khattab meriwayatkan, Rasulullah ditanya oleh Jibril tentang iman: Khabarkan kepadaku tentang iman. Baginda menjawab, “Bahawa englau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan kitab-Nya dan rasul-Nya dan hari akhirat dan juga engkau beriman dengan ketetapan qadar baik dan buruk.”

Siapa-siapa yang mengingkari rukun iman ini, maka dia telah jatuh kafir. Dalam agama ini, kita tidak boleh menerima atau beriman suatu perkara dan menolak satu perkara yang lain, sedangkan ia merupakan satu set yang wajib diterima sekali.

Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 85:

Apakah kamu beriman kepada sebahagian kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia.

Dalam kitab, disebutkan tentang wajibnya beriman kepada malaikat, maka kita wajib beriman sepertimana yang disebutkan.

Malaikat

Allah menciptakan para malaikat daripada cahaya. Para malaikat ini diciptakan untuk melaksanakan segala perintah-Nya. Ia diciptakan juga hanya untuk beribadah kepada-Nya. Para malaikat tidak mempunyai nafsu untuk berbuat sesuka hati mengikut nafsunya.

Setiap malaikat ini juga, ada yang ditugaskan dengan tugas-tugas yang khusus. Ada yang membawa wahyu sahaja. Ada yang meniup sangkakala sahaja. Ada yang mencabut nyawa sahaja. Begitulah dengan yang lain-lain. Ada juga malaikat yang bertugas untuk menjaga kandungan dalam ibu yang sedang hamil.

Daripada Ibnu Mas’ud RA, Rasulullah bersabda: ..Kemudian diutus seorang malaikat kepadanya (kandungan tersebut), maka dituliskan rezekinya, ajalnya, amalnya dan (apakah) dia sengsara atau dia bahagia.

Para malaikat akan melaksanakan kerja sepertimana yang Allah suruh. Allah berfirman dalam Surah al-Anbiya’ ayat 27:

Mereka itu tidak mendahului-Nya dengan perkataan, dan mereka mengerjakan perintah-perintah-Nya.

Para malaikat tidak akan sama sekali bertindak sendiri. Mereka akan berbuat semua perkara atas arahan Allah SWT.

Malaikat tidak seperti manusia. Malaikat tidak berjisim, tidak berfizikal dan mereka tidak dapat ditanggapi oleh pencaindera. Hanya Rasulullah sahaja yang pernah berjumpa dengan malaikat sepertimana bentuknya yang asli dan bentuknya yang tidak asli (menyamar menjadi manusia).

Contohnya, Rasulullah pernah melihat bentuk asli malaikat Jibril AS. Baginda juga pernah melihat Jibril dalam bentuk manusia sepertimana hadis popular bilamana Jibril bertanya kepada baginda tentang Islam, iman, ihsan dan seterusnya.

Tugas-tugas Malaikat

Terdapat 10 malaikat yang wajib kita ketahui secara terperinci iaitu:

1. Jibril

Jibril merupakan malaikat yang ditugaskan untuk menyampaikan wahyu. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 98:

Sesiapa yang memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintah-Nya) dan memusuhi malaikat-malaikat-Nya dan rasul-rasul-Nya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail.

Ayat ini memberitahu, dua malaikat ini merupakan komponen terpenting dalam keimanan kepada malaikat.

2. Mikail

Mikail bertugas mengawal kehidupan di bumi, seperti membawa rezeki, turunkan hujan kepada tumbuh-tumbuhan, binatang, manusia dan seluruhnya.

3. Israfil

Israfil bertugas meniup sangkakala untuk mematikan semua makhluk di bumi dan menghidupkan kembali di hari kebangkitan.

4. Izrail

Izrail bertugas mencabut segala ruh termasuklah manusia, jin, iblis dan syaitan. Nama lain bagi malaikat Izrail ialah malaikat maut. Nama Izrail tidak disebut dalam al-Quran, namun disebut dalam athar sahaja. Dalam al-Quran, Izrail dipanggil sebagai Malaikat Maut.

Allah berfirman dalam Surah al-Sajdah ayat 11:

Katakanlah (wahai Muhammad SAW), nyawa kamu akan diambil oleh Malaikat Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu.

5. Raqib

Malaikat Raqib ditugas untuk menulis segala amalan kebaikan manusia. Allah berfirman dalam Surah al-Infitar ayat 11:

(Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu).

6 . Atid

Atid pula merupakan pasangan kepada malaikat Raqib. Atid bertugas menulis dan mencatat amalan buruk manusia. Allah berfirman dalam Surah Qaf ayat 17 hingga 18:

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

7. Munkar

Munkar bertugas bertanya dan meminta justifikasi daripada mayat sewaktu hidupnya di dunia. Contoh soalannya:

  • Siapakah Tuhanmu?
  • Apakah agamamu?
  • Siapakah Nabimu?
  • Di manakah Kiblatmu?

Setiap perlakuan kita di bumi ini memerlukan justifikasi. Kenapa kita mengamalkan ini dan itu? Apakah sebabnya? Daripada mana kita ambil sumber-sumbernya?

Tugas malaikat ini dapat menyedarkan kita bahawa, kita sebagai manusia perlu berakal dalam beragama.

8. Nakir

Malaikat Nakir bertugas mengazab dan menyeksa mayat yang banyak berbuat maksiat dan “tidak lepas” soalan-soalan malaikat Munkar.

Ini merupakan seksaan sebelum memasuki neraka lagi.

9. Ridwan

Malaikat Ridwan kerjanya adalah melayani dan bermesra dengan ahli syurga.

10. Malik

Malik menjaga pintu neraka.

Allah berfirman dalam Surah az-Zukhruf ayat 77:

Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)! Malik menjawab: Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab.

Sekiranya Allah Maha Berkuasa, mengapa Allah memerlukan malaikat?

Sebenarnya, Allah menciptakan malaikat bukan bermakna Dia memerlukan malaikat. Tetapi, Dia hendak menunjukkan kekuasaannya. Dia yang “mencipta”, takkanlah dia pula yang memerlukan? Asalnya Dia yang mencipta.

Kesimpulan

Kita wajib beriman kepada malaikat. Setiap malaikat mempunyai tugas umum dan tugas khususnya masing-masing. Kita hendaklah mengetahui peranan-peranan mereka supaya wujud rasa keinsafan terhadap kekuasaan Allah yang Maha Besar.

Diharapkan artikel Nama-nama Malaikat dan tugas mereka ini dapat memberikan manfaat kepada para pembaca sekalian.

Rujukan

  1. Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali. (2015). Perbahasan Akidah Islam. Pustaka Salam.
  2. Shalih Bin Fauzan al-Fauzan. (2017). Penjelasan Matan Aqidah Thahawiyah: Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Darul Haq.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ten − 4 =

Scroll to Top