Apakah itu Zakat Pendapatan dan cara pengiraannya?
Artikel ini akan menerangkan serba sedikit berkanaan zakat yang perlu kita lunaskan.
Zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima dimana kita sebagai Muslim wajib untuk membayar zakat sebagai pengabdian kita kepada Allah. Dalam siri yang lepas, kita telah membincangkan mengenai zakat fitrah iaitu zakat yang wajib dikeluarkan oleh setiap individu Muslim yang memenuhi syarat kewajipan zakat fitrah.
Pada siri ini, kita akan meneruskan lagi perbincangan mengenai jenis zakat yang lain iaitu zakat pendapatan. Mengapa kita perlu untuk mengeluarkan sejumlah duit yang kita miliki hasil daripada usaha kita untuk orang lain? Pada penulisan kali ini, saya akan mengupas maksud zakat pendapatan itu sendiri, kadar dan kaedah semasa yang terpakai bagi menentukan jumlah zakat yang dibayar oleh pembayar zakat.
Akan tetapi wahai pembaca sekalian, kita perlu berlapang dada dalam setiap ibadah yang kita lakukan. Adalah penting bagi kita untuk kekal patuh kepada Pencipta kerana di setiap apa yang disyariatkan mempunyai kelebihan yang tersendiri bukan sahaja kepada individu tersebut malah kepada ummah umumnya.
PENGERTIAN ZAKAT PENDAPATAN
Zakat pendapatan merupakan zakat yang dikeluarkan oleh individu yang mempunyai pendapatan. Pendapatan disini bermaksud segala jenis upah, imbuhan, bayaran atau hasil yang diperolehi daripada melakukan sesuatu pekerjaan atau usaha yang dilakukan sama ada secara tetap atau tidak tetap.
Oleh itu, sesiapa yang menjadikan makan gaji sebagai satu pekerjaan, maka termasuk juga hasil itu untuk dikeluarkan zakat pendapatan atasnya. Allah berfirman dalam surah Al- Baqarah ayat 267 yang bermaksud:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الأَرْضِ
‘Wahai orang yang beriman, keluarkan zakat dari sebahagian hasil usaha kamu yang baik- bauk dan sebahagaian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu…(Al-Baqarah:267)
Hukum bagi mengeluarkan zakat pendapatan adalah wajib bagi individu Muslim yang memenuhi syarat wajib zakat pendapatan. Sekiranya seseorang itu lewat dalam menunaikan kewajipannya maka dia dikira berdosa, individu tersebut perlu segera untuk memohon keampunan dan menyelesaikan hutangnya.
Perlu untuk diingatkan disini bahawa zakat merupakan proses penyucian diri dan juga harta. Harta yang kita perolehi berkemungkinan besar bercampur dengan unsur- unsur syubhah dan tidak sepenuhnya halal untuk digunakan. Maka dengan mengeluarkan sebahagian harta untuk berzakat, kita memastikan segala yang kita perolehi itu daripada sumber yang halal dan diredhai oleh Allah.
SYARAT WAJIB ZAKAT PENDAPATAN
Seperti ibadah yang lain, terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Islam untuk mewajibkan seseorang individu itu mengeluarkan zakat pendapatan. Syaratnya adalah seperti yang berikut:
- Harta yang diperolehi atas sebab melakukan sesuatu pekerjaan seperti gaji, upah, bonus dan yang sama maksud dengan nya.
- Cukup nisab bagi tahun tersebut iaitu bersamaan nilai 85-gram emas.
JENIS HARTA PENDAPATAN
Jenis- jenis harta pendapatan dikategorikan seperti yang berikut:
- Zakat harta pengajian dan upah kerja.
- Ia merupakan hasil yang diperolehi daripada melakukan pekerjaan untuk satu pihak yang lain seperti untuk kerajaan, swasta atau persendirian.
- Kerja yang dilakukan adalah berbentuk fizikal, virtual, sumbangan idea yang dilakukan dalam satu tempoh yang telah ditetapkan.
- Tempoh tersebut boleh dipersetujui secara bersama- sama atau ditetapkan oleh satu pihak yang lain secara jam, harian, mingguan, bulanan dan tahunan.
- Contohnya: gaji, upah, bonus, insentif, pampasan, pencen, tuntutan kerja lebih masa dan selain nya yang bertepatan dengan maksud yang telah dinyatakan.
- Zakat harta pemberian atau sumbangan.
- Ia bermaksud segala harta yang diperolehi bukan daripada melakukan pekerjaan tetapi melalui ihsan yang lain.
- Ia samada daripada institusi atau individu dalam tahun semasa dan bukan dalam bentuk harta tetap.
- Ia juga boleh dikategorikan sebagai bukan nafkah wajib.
- Contohnya: hibah, saguhati, hadiah, pencen, mahar, pampasan, harta pusaka, sedekah dan selain nya yang bertepatan dengan maksud yang telah dinyatakan.
- Zakat harta kerja bebas.
- Ia merupakan harta yang diperolehi hasil daripada usaha sendiri tanpa mempunyai hubungan dengan pihak yang lain.
- Pekerjaan yang dilakukan samada dalam bentuk kerja bebas atau perkhidmatan professional.
- Contohnya: bayaran khidmat konsultansi, royalti, komisyen jualan, ‘residual income’ dan yang selain nya yang bertepatan dengan maksud yang telah dinyatakan.
- Zakat harta Al- Mustaghallat.
- ia bermaksud hasil yang diperolehi daripada harta yang tidak diwajibkan berzakat akan tetapi memberi pulangan atau pendapatan tambahan kepada seseorang individu.
- Contohnya: hasil sewaan rumah, hasil sewaan kenderaan atau premis perniagaan, hasil daripada binatang ternakan dan selain nya yang bertepatan dengan maksud yang telah dinyatakan.
KADAR BAYARAN ZAKAT PENDAPATAN
Kadar bayaran zakat pendapatan adalah 2.5% daripada jumlah pendapatan kasar atau pendapatan bersih. Ia bergantung kepada kaedah yang digunakan dalam pengiraan zakat pendapatan.
Kini, terdapat dua kaedah pengiraan dalam menentukan jumlah yang perlu dizakatkan iaitu (1) berdasarkan jumlah pendapatan seseorang individu dan (2) berdasarkan jumlah pendapatan yang telah ditolak dengan keperluan asasi semasa individu.
Nisab zakat pendapatan adalah berdasarkan nilai 85-gram emas. Nilai tersebut adalah berbeza bagi setiap negeri. Sekiranya seseorang individu itu nilai pendapatan nya dalam setahun mencapai atau melebihi nilai nisab. Maka wajib padanya untuk membayar zakat pendapatan.
Berikut merupakan nisab semasa (setakat bulan mei 2020) zakat pendapatan mengikut negeri- negeri dia Malaysia:
Negeri | Nisbah semasa (RM) |
Selangor | 16,690.00 |
WP KL, Putrajaya dan Labuan | 13,968.00 |
Perak | 18,143.08 |
Kedah | 15,767.73 |
Pahang | 17,385.49 |
Kelantan | 15,972.06 |
Terengganu | 13,972.31 |
Perlis | 18,669.63 |
Melaka | 14,020.11 |
Negeri Sembilan | 14,139.36 |
Johor | 17,385.49 |
Pulau Pinang | 15,885.00 |
Sabah | 14,500.00 |
Sarawak | 15,963.00 |
PENGIRAAN ZAKAT PENDAPATAN
Untuk memudahkan pembayar zakat untuk mengira jumlah zakat yang sepatutnya dibayar, badan- badan yang bertanggungjawab untuk mengutip zakat seperti Majlis Agama Islam Negeri atau Pusat Pungutan Zakat negeri telah melancarkan satu aplikasi yang dikenali sebagai kalkulator zakat.
Pembayar zakat hanya perlu mengisi jumlah yang diminta dan aplikasi tersebut secara automatik akan memaparkan jumlah zakat yang perlu dibayar. Akan tetapi, atas sebab menuntut ilmu untuk mendapatkan lebih kefahaman berkaitan kiraan zakat pendapatan.
Disini, saya sertakan bersama empat garis panduan yang telah disediakan untuk pengiraan zakat pendapatan. Panduan tersebut adalah seperti yang berikut:
- Kaedah 1
- Kadar 2.5% keatas jumlah pendapatan yang layak dizakat iaitu jumlah yang bersamaan atau lebih daripada Nisab.
- Contoh pengiraan:
- Pendapatan setahun – perbelanjaan yang dibenarkan setahun = W
- W (sekiranya bersamaan atau melebihi nisab) x 2.5% = Y (Jumlah zakat yang perlu dibayar setahun.)
- Y dibahagikan dengan 12 bulan = Z (jumlah zakat yang dikenakan sebulan.)
- Kaedah 2
- Kadar 2.5% keatas jumlah pendapatan kasar setahun.
- Contoh kiraan:
- Pendapatan setahun x 2.5% = Y (jumlah zakat untuk setahun)
- Y dibahagikan dengan 12 bulan = Z (jumlah zakat yang dikenakan sebulan.)
- Kaedah 3
- Bagi gaji setahun (12 bulan), satu bulan diperuntukan terus untuk pembayaran zakat.
- Terdapat inisiatif yang boleh diguna pakai oleh pekerja kerajaan dan swasta untuk membuat potongan terus zakat daripada gaji bulanan yang diperolehi.
- Kaedah 4
- Jika pendapatan bulanan bersamaan atau melebihi Nisab, maka ia terus di zakatkan dengan kadar 2.5%.
HAD KIFAYAH DALAM ZAKAT PENDAPATAN
Had kifayah dalam konteks ini bermaksud, tolakan zakat dan keperluan asasi dalam pengiraan zakat pendapatan.
Pada umumnya, had kifayah merupakan kadar keupayaan ekonomi seseorang yang selayaknya bagi menjamin kelangsungan hidup seseorang individu berserta tanggungannya. Keperluan asas yang dibenarkan untuk dikecualikan daripada bayaran zakat pendapatan adalah seperti yang berikut:
- Tempat perlindungan
- Makanan dan minuman
- Pakaian
- Perubatan
- Pendidikan
- Pengangkutan
- Komunikasi
- Saraan moden.
PENUTUP
Sebagai penutup, bagi Muslim yang mengeluarkan zakat pendapatan. Individu ini bukan sahaja dapat menjaga harta mereka daripada bercampur dengan hasil- hasil yang syubhah dan meragukan bahkan mereka juga turut mendapat pengecualian cukai 100% daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Selain daripada menjadi sebahagian daripada orang yang membantu dalam mengembangkan ekonomi Islam, pembayar zakat juga terlepas daripada membayar cukai kepada kerajaan dimana kadarnya adalah lebih tinggi daripada kadar zakat yang telah ditetapkan. Akan tetapi, bukan itu yang harus menjadi keutamaan nya.
Sebagai pembayar zakat, kita perlu mempunyai niat dimana setiap amalan yang kita lakukan adalah kerana Allah semata- mata dan juga ingin mendapatkan keredhaan NYA dalam kehidupan seharian kita. Wassalam.
RUJUKAN
- Laman Web Zakat Selangor
- Laman Web Zakat MAIWP