Bagaimanakah cara membatalkan pinjaman ASB. Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan langkah pembatalan pinjaman ASB.
Pengenalan
Seperti yang kita tahu, ASB atau Amanah Saham Berhad bukan sahaja menyediakan akaun simpanan tetapi juga menawarkan pinjaman, seperti bank-bank lain. Yang menjadikan kelainan kepada ASB adalah, ianya terhad kepada bumiputera sahaja dan kemudahan untuk mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa sahaja.
Sebelum kita terus kepada tajuk hari ini, kita harus tahu apa itu pinjaman ASB. Pinjaman ASB atau dikenali juga dengan ASBF (Amanah Saham Berhad Financing) merupakan kemudahan pinjaman pelaburan ASB. Kemudahan ini membolehkan kita membuat pinjaman pelaburan dengan bank-bank yang terpilih seperti Maybank, CIMB, RHB dan lain-lain lagi dengan cara membeli sijil pelaburan ASB.
Dalam kata lain, kita berhutang dengan bank untuk membuat pelaburan ASB ini. Kemudahan yang ditawarkan oleh bank akan membolehkan orang ramai melabur dalam ASB secara lump sum dan pada masa sama membantu mereka melakukan ‘pelaburan paksa’.
Apa beza simpanan ASB dan ASBF?
Simpanan ASB adalah melabur dengan duit kita sendiri manakala ASBF adalah melabur dengan meminjam daripada bank.
Apa yang berlaku selepas pinjaman kita diluluskan?
Kita akan mendapat dua benda iaitu hutang dan juga harta. Sebagai contoh, pembiayaan yang diluluskan RM10,000, maka duit RM10,000 tersebut akan dilaburkan dalam ASB tetapi ianya masih lagi hutang dan kita perlu membayar ansuran bulanan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
Cara Membatalkan Pinjaman ASB
Jadi, selepas kita mengetahui serba sedikit mengenai ASB, barulah mudah jika kita ingin mengetahui cara membatalkan pinjaman ASB ini. Ada 3 bank yang menawarkan pinjaman ASB ini; Maybank, RHB dan juga CIMB. Anda haruslah berurusan dengan bank yang menawarkan pinjaman kepada anda sahaja.
Sekiranya anda meminjam melalui bank RHB, anda tidak dibenarkan untuk membatalkannya dengan Maybank. Perkara ini terpakai kepada bank-bank lain juga. Di mana kita meminjam, di situ kita membatalkan pinjaman kita.
1. Maybank
- Kunjungi mana-mana cawangan Maybank, dan bawa bersama kad pengenalan. Sertakan sekali nombor akaun pinjaman ASB anda. Sekiranya anda terlupa, pegawai bank masih boleh memeriksa akaun pinjaman ASB anda melaui nombor kad pengenalan anda.
- Pergi ke kaunter frontdesk dan maklumkan yang anda ingin membatalkan pinjaman ASB. Anda akan diminta untuk berjumpa dengan pegawai bank.
- Pegawai bank tersebut akan memeriksa status akaun pinjaman anda; baki, jumlah yang melebihi bayaran, status tunggakan dan sebagainya akan diperiksa sebelum langkah seterusnya dibuat.
- Berikan sebab kenapa anda ingin membatalkannya. Kadang-kala ada pegawai bank yang cuba memujuk untuk tidak membatalkan pinjaman, ataupun menangguhkan hasrat sehingga ke satu tarikh supaya anda boleh mendapat bayaran balik dengan harga penuh.
- Isi borang membatalkan pinjaman ASB yang diberikan kepada anda daripada pegawai bank. Dan setelah selesai, anda akan dibawa ke frontdesk untuk memeriksa cap jari. Setelah itu, proses pembatalan pinjaman ASB anda selesai.
- Anda perlu menunggu beberapa bulan untuk mendapat balik bayaran penuh anda.
2. CIMB
Untuk Bank CIMB, langkah-langkahnya adalah lebih kurang sama, tetapi jangka masa menunggu masa untuk mendapatkan kembali bayaran penuh adalah berbeza mengikut bank. Untuk CIMB, borang pembatalan anda akan difakskan kepada Ibu Pejabat CIMB.
Dan dalam masa 2 minggu, anda akan dihubungi oleh pegawai bank untuk pengesahan bayaran baki bon pinjaman, sama ada untuk kredit terus ke akaun anda, atau bayaran melalui cek. Bayaran secara kredit hanya mengambil masa 24 jam, manakala bayaran melalui cek mengambil masa 7 hari.
3. RHB
Manakala bagi RHB, ada beberapa langkah yang perlu kita lakukan selepas mengunjungi bank RHB:
- Isi borang Surrender yang akan diserahkan kepada anda.
- Anda akan diberikan nombor bahagian Khidmat Pelanggan untuk memaklumkan tentang pembatalan ASB dan anda haruslah menghubungi nombor tersebut.
- Anda akan dimaklumkan sama ada anda layak atau tidak untuk membatalkan pinjaman anda. Sekiranya pinjaman anda itu masih belum cukup 36 bulan bayaran maka anda tidak digalakkan untuk membatalkan pinjaman kerana akan dikenakan denda. Sekiranya melebihi 36 bulan dan ke atas, maka anda boleh memilih untuk membatalkannya.
- Isi borang Surrender tersebut, dan ikuti segala prosiding yang dibuat oleh staf bank.
- Hantar borang tersebut kepada staf bank.
- Anda akan diminta untuk menunggu sehingga dua bulan untuk jualan balik, serta urusan lain seperti di Bank Negara Malaysia.
Kesimpulannya, sebelum anda menentukan bank mana yang anda ingin membuat pinjaman ASB, pastikan anda mengetahui baik dan buruk dari segi masa dan juga tatacaranya. Ini akan memudahkan urusan anda di kemudian hari jika anda ingin membatalkan transaksi tersebut di masa hadapan.
Artikel Berkaitan: