Apakah tugas para rasul? Artikel pada kali ini kami ingin berkongsi kepada anda tentang tugas-tugas para rasul untuk dijadikan contoh dan teladan dalam kehidupan.
Pengenalan
Beriman iaitu percaya dan yakin kepada para rasul adalah salah satu daripada rukun iman atau lebih tepat terletak pada rukun iman keempat yang perlu diyakini oleh semua umat Islam.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَوْمًا بَارِزًا لِلنَّاسِ إِذْ أَتَاهُ رَجُلٌ يَمْشِي فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْإِيمَانُ قَالَ الْإِيمَانُ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَلِقَائِهِ وَتُؤْمِنَ بِالْبَعْثِ الْآخِرِ
Dari Abu Hurairah RA bahwa pada suatu hari Rasulullah SAW sedang berada bersama orang-orang, lalu datanglah seorang lelaki dengan berjalan kaki, lantas bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah iman itu?” Beliau menjawab: “Engkau beriman kepada Allah, malaikat Nya, para Rasul Nya, kitab-kitab Nya, dan hari akhirat.” – (Hadis Riwayat Bukhari No. 4404)
Beriman pada rasul ini mempunyai beberapa perkara menurut ajaran Islam iaitu seperti:
- Mengimani semua rasul bahawa mereka adalah utusan Allah SWT untuk menyampaikan risalah kepada umat masing-masing
- Tidak membeza-bezakan di antara rasul-rasulnya yang ada bagi sesebuah kaum
- Mengakui bahawa jumlah rasul sangat banyak iaitu seperti mana yang Allah SWT beritahu dalam Al-Quran dan yang tidak terdapat dalam Al-Quran.
Jumlah nabi dan rasul
Menurut pendapat dari Mufti Wilayah Persekutuan, jumlah nabi dan rasul yang diutuskan merupakan satu perkara ijtihad yang diperselisihkan oleh para ulama. Demikian ada sebahagian hadis yang menyebut jumlah nabi dan rasul yang diutuskan, namun kesahihan hadis-hadis tersebut dipertikaikan oleh sebahagian ulama dan ada juga sebagian yang menerimanya.
Antara hadis yang diriwayatkan berkenaan jumlah para anbiya’ dan mursalin ialah hadith riwayat Abu Dzar al-Ghifari RA:
قلت : يا رسول الله ، كم الأنبياء ؟ قال : مائة ألف وأربعة وعشرون ألفًاً ، قلت : يا رسول الله ، كم الرسل منهم ؟ قال : ثلاثمائة وثلاثة عشر جَمّ غَفِير
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah, berapakah bilangan anbiyaa’? Nabi SAW menjawab “124,000 orang”. Aku bertanya lagi: “Berapakah bilangan Rasul daripada kalangan anbiyaa’ tersebut?” Nabi SAW menjawab: “313 orang, dan jumlah itu adalah ramai.” – (Sahih Ibn Hibban)
Terdapat juga hadis lain daripada Anas bin Malik RA, di mana Rasulullah SAW bersabda:
بعث الله ثمانية آلاف نبي ، أربعة آلاف إلى بني إسرائيل ، وأربعة آلاف إلى سائر الناس
Maksudnya: “Allah SWT telah mengutus 8 ribu Nabi, 4 ribu kepada Bani Isra’el dan 4 ribu lagi kepada seluruh manusia.” – (Hadis Riwayat Abu Ya’la)
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitsami, salah seorang perawinya iaitu ‘Ubaidah al-Rabzi, dan dia seorang yang sangat dhaif.
Terdapat juga riwayat lain yang berbunyi:
أنَّ الأنبياءَ مائةُ ألفٍ وأربعةٌ وعشرونَ ألفًا ، وأنَّ الكُتبَ المنزَّلَةَ مائةٌ وأربعةُ كُتُبٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya para anbiya’ itu berjumlah 124 000 orang, dan kitab yang diturunkan berjumlah 104 buah.” – (Rujuk Majma’ al-Zawa’id 8/210)
Nama-nama Rasul yang perlu diketahui
Walaupun jumlah sebenar rasul dan nabi tidak mempunyai dalil yang tepat diyakini, terdapat 25 rasul yang wajib umat Islam ketahui dan yakini iaitu:
- Adam AS
- Idris AS
- Nuh AS
- Hud AS
- Soleh AS
- Ibrahim AS
- Lut AS
- Ismail AS
- Ishak AS
- Yaakub AS
- Yusuf AS
- Ayub AS
- Syu’aib AS
- Musa AS
- Harun AS
- Zulkifli AS
- Daud AS
- Sulaiman AS
- Ilyas AS
- Ilyasa’ AS
- Yunus AS
- Zakaria AS
- Yahya AS
- Isa AS
- Muhammad SAW
Tugas para Rasul
1. Mengajak umat manusia untuk menyembah Allah SWT
Setiap rasul yang diutuskan di tengah-tengah kaum, akan mengalas tugas daripada Allah SWT untuk menyeru manusia untuk menyembah Allah SWT dengan memperkenalkan ajaran Islam yang sebenar.
“Dan sungguh, Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan). ‘Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu’, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula orang-orang yang tetap dalam kesesatan.” (Surah An-Nahl, ayat 36)
Pada peringkat awal kehidupan manusia, semua keturunan Nabi Adam AS adalah beragama Islam. Hanya menyembah Allah Yang Maha Esa. Seiringnya zaman manusia sudah berlaku syirik lalu kemudian datang pula para nabi dan rasul lain untuk membawa misi yang sama mengajak manusia kembali mentauhidkan Allah SWT.
2. Menegakkan kalimah tauhid
Rasul akan membimbing kaumnya untuk meyakini dan mengesakan Allah SWT melalui tiga aspek iaitu tauhid zat, sifat, dan af’al (perbuatan).
3. Membawa rahmat kepada alam
Rasul diutuskan adalah sebagai rahmat kepada seluruh manusia, baik mukmin ataupun kafir.
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah Al-Anbiya’, ayat 107)
Rahmat bagi orang-orang mukmin adalah dengan Allah SWT memberikan petunjuk dengan diutuskan rasul sebagai penyebab untuk masuk ke dalam syurga dengan iman dan amal. Sedangkan rahmat bagi orang kafir, iaitu disegerakan bencana yang menimpa umat-umat terdahulu kerana mengingkari ajaran Allah SWT.
4. Memberikan peringatan kepada umat manusia
Apa sahaja yang disampaikan dan diucapkan oleh rasul pasti terselit berita gembira dan peringatan kepada setiap manusia untuk mereka sedar tentang hakikat hidup di dunia ini.
“(Mereka Kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar supaya tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu.” – (Surah An-Nisaa’, ayat 165)
5. Mengajak umat manusia kepada kebenaran di jalan Allah SWT
Jalan yang benar adalah jalan yang membawa kepada ajaran Islam yang sebenar. Inilah dakwah yang amat sukar dilakukan pada hari ini.
“Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.” (Surah Fatir, ayat 24)
6. Memberikan keteladanan kepada manusia
Sifat-sifat mulia seperti siddiq, amanah, tabligh, dan fatonah adalah sifat wajib bagi seorang rasul. Nilai murni inilah yang akan menjadi teladan kepada manusia untuk mencontohi baginda.
Kesimpulan
Sebagai seorang Muslim, beriman kepada rasul adalah wajib bahkan kita digalakkan untuk mencontohi sifat-sifat mulia baginda. Tugas para rasul yang mencabar hari ini dan masih diteruskan adalah dalam berdakwah.
Medan perjuangan dalam dakwah penuh berliku dan tidak terkecuali dari cabaran dan ujian. Hanya yang benar-benar ikhlas, istiqamah, dan bersungguh-sungguh sahaja yang akan mencapai titik pencapaiannya. Diharapkan artikel berkenaan dengan tugas para rasul ini dapat memberikan anda pengetahuan yang bermanfaat dan berguna.
Rujukan
- Al-Kafi #134: Berapa Jumlah Nabi dan Rasul Yang Diutuskan Allah SWT. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
- Inilah Tugas-Tugas Para Rasul Saat Diutus Ke Dunia. Islampos
- Al-afkar #62: Perbezaan Antara Nabi dan Rasul. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan