Apakah tempat menarik di Sabah? Artikel ini akan membincangkan tempat menarik yang anda perlu pergi ketika berada di Sabah.
Pengenalan
Untuk tempat menarik kali ini, kita akan terbang ke Sabah. Sebut sahaja Sabah, pasti anda memikirkan tentang bunga Rafflesia iaitu bunga yang terbesar di dunia, banjaran Crocker, gunung Kinabalu, monyet Proboscis dan orang utan.
Sabah adalah negeri kedua terbesar dan paling utara di Malaysia. 55 peratus negeri Sabah adalah hutan. Kota Kinabalu adalah bandar terbesar di Sabah. Sabah sangat terkenal sebagai tempat pelancongan bagi yang sukakan cabaran.
Bahagian Borneo ini berjiran dengan Filipina di utara dan pulau Sulawesi (Celebes), Indonesia, di sebelah timur, keduanya dipisahkan oleh laut. Filipina telah menuntut kawasan yang besar di Sabah selama bertahun-tahun.
Sabah dikenali sebagai ‘Negeri Di Bawah Bayu’ kerana lokasinya di sebelah selatan wilayah yang dilanda taufan di sekitar Filipina. Pelbagai aktiviti di Sabah dapat mendekatkan anda dengan alam semulajadi. Artikel kali ini menyenaraikan 10 tempat menarik di Sabah :
1. Gunung Kinabalu
Bagi penggemar aktiviti lasak yang mungkin terbayang-bayang apa rasanya mendaki, anda boleh mendaki Gunung Kinabalu dengan ketinggian 4,095 meter yang merupakan gunung tertinggi di Malaysia.
Bukan mudah untuk sampai ke puncak kerana anda memerlukan tubuh badan yang sihat, kaki yang kuat, tenaga dan stamina yang mencukupi disebabkan oleh altitud tinggi dan keadaannya yang curam. Sila dapatkan latihan dan nasihat pakar sebelum mendaki gunung Kinabalu.
Berdiri di puncak gunung ini merupakan suatu pencapaian yang cukup memuaskan dan luar biasa kerana pemandangannya sukar diungkapkan dengan kata-kata setelah penat-lelah dan bersusah payah mendaki gunung. Bawa sarung tangan dan pakaian yang banyak untuk menghangatkan badan.
Sumber foto : theculturetrip
2. Turtle Island Park
Anda pasti kenal Rantau Abang di Terengganu. Jangan terkejut sebab di Sabah juga ada tempat pemuliharaan penyu. Haiwan seperti penyu sedang diancam kepupusan.
Turtle Island Park adalah syurga bagi penyu karah dan penyu agar yang terdiri daripada tiga buah pulau iaitu Pulau Selingan, Bakungan Kecil dan Pulau Gulisan.
Pulau Selingan di Sandakan adalah pulau terbesar yang mempunyai pejabat, pusat penetasan, penginapan dan pelbagai fasiliti lain.
Jika bernasib baik, anda berpeluang merasai pengalaman berharga dengan melihat penyu bertelur atau melihat renjer melepaskan anak-anak penyu ke laut di depan mata.
Sumber foto : amazingborneo
3. Pulau Bohey Dulang
Pulau Bohey Dulang di Semporna adalah sebuah pulau berbukit yang merupakan tinggalan sisa limpahan gunung berapi yang pernah berlaku di masa lalu.
Selain untuk aktiviti menyelam skuba, pulau yang dikelilingi air laut biru jernih menjadi tarikan terkenal di Sabah kerana pemandangan yang dapat dinikmati dari ketinggian 300 meter di puncak bukit pulau ini penuh dengan keindahan laut dan tumbuhan hijau.
Aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah snorkeling, melawat Unit Kajian Marin Tun Sakaran untuk melihat kerang gergasi, lawatan ke perkampungan Bajau Laut dan sebagainya. Pulau Bohey Dulang pernah diisytiharkan sebagai taman santuari burung dengan kehadiran pelbagai jenis burung untuk diteropong.
Sumber foto : pulaumabul
4. Mari Mari Cultural Village
Aktiviti di Mari Mari Cultural Village akan membawa anda jauh ke kawasan pedalaman serta bersatu dengan alam semulajadi. Perkampungan ini dijadikan muzium untuk mengekalkan dan memelihara budaya etnik Borneo. Kampung atau muzium terbuka yang boleh dilawati ini mengamalkan gaya hidup lima etnik berbeza.
Kelima-lima etnik tersebut adalah Kadazan-Dusun (petani padi), Rungus (penduduk rumah panjang), Lundayeh (pemburu dan nelayan), Bajau (nomad laut) dan tidak ketinggalan etnik Murut yang terkenal dengan kisah pemburu kepala dahulu kala.
Anda boleh mencuba beberapa aktiviti harian etnik-etnik itu seperti menghidupkan api menggunakan buluh dan memburu menggunakan sumpit selain menyelami kehidupan mereka.
Sumber foto : sabahtourism
5. Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum (Danum Valley Conservation Area)
Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum dengan keluasan 440 kilometer persegi merupakan suatu tarikan yang sering menjadi lokasi pilihan rakaman dokumentari antarabangsa kerana simpanan khazanah alamnya yang tidak ternilai.
Lembah Danum merupakan habitat bagi spesies hidupan liar termasuklah orang utan, gajah Borneo, monyet Belanda, tupai terbang, ungka dan banyak lagi spesies haiwan yang hampir pupus. Anda berpeluang melawat tapak pengebumian purba etnik Kadazan-Dusun ketika ekspedisi penerokaan hutan bersama renjer.
Sumber foto : danumvalley.info
6. Sungai Kinabatangan
Sabah bukan sahaja memiliki gunung yang tertinggi tetapi juga memiliki salah satu sungai terpanjang di Malaysia iaitu sungai Kinabatangan yang panjangnya 560 kilometer.
Di sekeliling kiri dan kanan sungai Kinabatangan diselubungi hutan yang menjadi habitat pelbagai hidupan liar. Anda boleh memilih banyak operator bot untuk menyusuri dan menghayati keindahan sungai.
7. Tambunan Rafflesia Reserve
Anda akan sampai ke Tambunan Rafflesia Reserve dengan hanya satu jam perjalanan dari Kota Kinabalu. Tambunan Rafflesia Reserve menawarkan aktiviti jungle trekking untuk mencari melihat di depan mata bunga Rafflesia yang paling unik, aneh dan terbesar di dunia apabila tiba musimnya ia berbunga.
Bunga Rafflesia juga dikenali sebagai bunga pakma yang diancam kepupusan. Walaupun warna bunga Rafflesia sangat cantik dan menarik, baunya tidaklah wangi. Anda akan menghidu bau busuk seakan-akan bangkai apabila mendekati bunga ini.
Sebenarnya, bau busuk yang dikeluarkan dari bunga Rafflesia menarik perhatian lalat dan serangga untuk menuju ke arahnya. Serangga tidak dapat melepaskan diri lalu dimakan oleh bunga ini. Jangka hayat bunga ini sangat pendek. Bunga Rafflesia hanya berkembang untuk beberapa hari sahaja.
Sumber foto : bookworm.wordpress
8. North Borneo Railway
Alang-alang dah ada di Sabah, anda boleh merasai pengalaman menaiki kereta api tua di North Borneo Railway, Jalan Utama Sutera Harbour yang merupakan laluan kereta api tertua di Borneo dan Sabah.
Anda berpeluang melihat panorama memukau yang mengasyikkan sepanjang perjalanan menaiki kereta api klasik seperti hutan-hutan hujan, sawah-sawah padi, bandar-bandar di pesisiran pantai dan banyak lagi.
Ruangan dalam kereta api klasik ini akan membuatkan anda terasa bagaikan kembali ke zaman 1900-an dan akan jadi salah satu pengalaman unik yang pasti tidak dapat dilupakan.
Sumber foto : kkday
9. Desa Cattle Dairy Farm
Desa Cattle Dairy Farm di Kundasang ini dikenali juga sebagai New Zealand Kecil. Pemandangan ladang lembu ini menyejukkan mata dengan rumputnya yang hijau dan membuatkan anda terasa seolah-olah berada di luar negara, seluas mata memandang.
Bukit-bukau di sekeliling ladang ini juga menjadikan pemandangannya lebih memukau. Bolehlah anda beli dan dapatkan produk-produk tenusu segar dan sedap dari ladang ini.
Sumber foto : sabahup2date
10. Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre
Jika anda ke Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre di Sandakan, anda pasti dapat melihat anak-anak orang utan bergerak aktif ke sana ke sini serta memanjat menggunakan tali-tali dan tayar yang tergantung di merata tempat dan tak reti nak duduk diam.
Ia dapat menghiburkan hati dan membuatkan sesiapa sahaja teruja dengan gelagat Orang Utan. Bukan senang nak tengok haiwan liar seperti Orang Utan depan mata. Walau bagaimanapun, pelawat hanya boleh berjalan di atas ruang jalan yang disediakan dan tidak dibenarkan untuk mendekati Orang Utan demi untuk keselamatan.
Sumber foto : viator
Penutup
Sabah kaya dengan hasil laut. Terdapat banyak perkara menakjubkan yang dapat anda alami sepanjang percutian anda. Sabah mempunyai tempat menyelam yang terbaik seperti di Sipadan dan Mabul, sungai Padas atau Kiulu yang mesti dilalui dan jungle trekking.
Kota Kinabalu adalah tempat yang tepat untuk menginap jika anda ingin melakukan aktiviti snorkeling di salah satu pulau kecil.
Perkara-perkara hebat lain yang boleh anda lakukan di Sabah adalah menjelajahi kawasan luar bandar dengan pacuan empat roda atau melakukan melayari sungai Kinabatangan. Jangan lupa kunjungi taman negara yang indah seperti Lembah Danum, Lembangan Maliau, Tabin dan Taman Nasional Kinabalu (Tapak Warisan).