Apakah tempat menarik yang boleh anda kunjungi di Pulau Pinang? Untuk pengetahuan anda, Pulau Pinang pernah mendapat jolokan sebagai destinasi paling popular di kalangan rakyat Malaysia untuk melancong. Malah, menariknya lagi George Town telah terpilih sebagai bandar pilihan dan pelancongan pada tahun 2016 oleh Lonely Planet dan Los Angeles Times.
Ada lapan sebab kenapa Pulau Pinang khususnya George Town menjadi bandar pilihan. Antara faktornya adalah disebabkan gelaran syurga makanan, tersenarai sebagai warisan sejarah UNESCO, keunikan seni bina bangunan bersejarah, dikelilingi pantai dan alam semula jadi yang indah, dan pelbagai lagi.
Ini adalah beberapa tempat menarik yang perlu anda pergi ketika bercuti di Pulau Pinang.
1. The Top, Penang
Destinasi ikonik di tangga pertama di Pulau Pinang adalah The Top, menara hiburan dan ikon tertinggi yang menjadi tumpuan ramai. Di sini anda boleh bermain, belajar, dan merasakan pengalaman makan di puncak tertinggi sekali yang terletak di menara Komtar.
The Top ada 18 buah tarikan yang wajib anda kunjungi seperti 7D Discovery Motion Theater, Tech Dome Penang, Ocean Explorer, Penang Boutique Aquarium, The Gravityz, Penang State Gallery, UFO-X, Magic Mirror Maze, Zombie Outbreak, Dance Oki, Augmented Reality dan banyak lagi.
Alamat: 1, Jln Penang, George Town, 10000 George Town, Pulau Pinang
Bayaran masuk: RM 78 (dewasa), RM 48 (kanak-kanak)
2. Pantai Batu Feringhi
Pantai di Malaysia tidak jauh hebatnya dengan pantai yang indah di dunia seperti di Pantai Palawan, Bora-Bora, dan Maui. Tarikan utama sesebuah pantai sudah tentu pada aktiviti mandi-manda, berkelah dan merehatkan diri. Selain itu, aktiviti yang sering menjadi pilihan ramai seperti jet ski dan parasailing juga tidak kurang hebatnya. Jika dulu pelancong tempatan agak kurang berkeyakinan untuk mencuba aktviti baru ini disebabkan harganya yang mahal atau mungkin juga tidak berani, tetapi dengan tawaran harga yang berpatutan rata-rata pengunjung sudah berubah arah.
Tips untuk anda yang berminat dengan aktviti jetski dan parasailing, pastikan anda ditemani jurulatih yang professional untuk membantu dari A to Z.
Alamat: Batu Ferringhi, 11100 Batu Ferringhi, Pulau Pinang
Bayaran masuk: percuma (terbuka)
3. Pasembur Gurney Drive
Makin lama duduk di Penang, makin berisilah badan hagpa semua. Syurga bagi semua jenis makanan pembuka selera di Malaysia ada di Pulau Pinang. Salah satunya yang terkenal adalah Pasembur Gurney Drive. Apa itu pasembur? Dan macam mana rupa makanan tersebut? Pasti anda tertanya-tanya kenapa di negeri lain agak sukar anda temukan makanan ini.
Pasembur adalah gabungan resepi menu “salad” yang digabungkan resepi India dan Jawa. Resepi Pasembur ini terdiri dari cucur udang yang keras, tahu goreng, ubi kentang rebus digoreng tepung, hirisan timun, hirisan ubi sengkuang dan ditabur kacang tanah tumbuk di atas. Kuah pasembur adalah kuah manis dibuat dari udang atau sotong kering dan kacang tanah dan dipekatkan dengan ubi keledek dilenyek.
Alamat: George Town Stall 100, Persiaran Gurney, Penang, 10250
4. Jurassic Research Centre
Tarikan prasejarah yang terkini ada di Penang sudah tentunya membawa anda ke masa lalu yang amat mendebarkan. Destinasi yang dimaksudkan ini adalah Jurassic Research Centre. Tempat ini dibina khusunya membawa hiburan sambil mengajar pengunjung tentang haiwan prasejarah yang pernah hidup di masa lalu.
Dua buah bahagian yang menjadi tumpuan pengunjung adalah Dinasour Lab dan Jurassic Park. Pengunjung boleh menyaksikan sendiri bagaimana dinosaur menetaskan telurnya di Dinasour Lab manakala Jurassic Park memberi gambaran yang sangat terperinci bagaimana ekosistem dan kehidupan dinasour di dalam habitat.
Alamat: The Top Komtar, Penang
Bayaran masuk: RM 58 (dewasa), RM 48 (kanak-kanak)
5. Rumah P.Ramlee
“Pah, butang baju aku mana, Pah?” Siapa masih ingat lagi dengan dialog Allahyarham P.Ramlee ini? Banyak lagi dialog beliau yang menjadi ikutan dan ingatan ramai orang tidak kira di Malaysia atau luar negara. P.Ramlee adalah satu nama besar dan menjadi ikon industri seni tanah air pada waktu dulu sehingga ke hari ini. Beliau bukan sahaja aktif dan berbakat besar dalam dunia lakonan, malah juga pandai dalam bermain alat muzik, mengarah, dan menyanyi.
Rumah P.Ramlee di Penang mampu mengusik memori dan nostalgia lama mereka yang lahir pada waktu nama seniman ini meningkat naik di persada dunia perfileman. Di sini anda boleh lihat sendiri rumah dan basikal yang beliau gunakan sewaktu kecil. Bukan itu sahaja, malah jika anda mahu memberikan gambaran dan pengalaman waktu kecil kepada anak-anak anda juga ia amat disyorkan sekali. Kerana latar belakang dan apa sahaja yang terdapat dalam isi rumah ini sangat klasik. Ia masih mengekalkan jamban zaman dulu yang terletak di belakang rumah.
Alamat: Rumah Kelahiran P.Ramlee, Lot 2180, Jalan P.Ramlee, 10450 Pulau Pinang
Bayaran masuk: percuma
6. Penang Time Tunnel
Tidak semua orang Penang tahu tentang pembangunan di negeri tersebut yang sering berubah mengikut zaman. Penang Time Tunnel Muzium memberikan peluang untuk pengunjung dari dalam dan luar negeri untuk belajar tentang zaman penjajahan Jepun sehinggalah ke masa kini.
Bangunan ini mempunyai dua tingkat dan terbahagi kepada 4 bahagian. Pertama Muzium Sejarah, kedua Lukisan dinding 3D, ketiga Bilik Pendarfluor, dan keempat Bilik Terbalik (Upside down).
Alamat: 39, Jalan Green Hall, George Town, George Town, 10200 Pulau Pinang
Bayaran masuk: RM 18 (dewasa), RM 10 (kanak-kanak)
7. Feri Pulau Pinang
Jika di Kuala Lumpur, perkhidmatan LRT menjadipengangkutan awam. Di Melaka pula anda boleh temukan beca pelbagai warna dan corak. Pulau Pinang membawa tarikan feri sebagai alternatif pengangkutan dan pelancongan baru dan lama kepada pengunjung.
8. Dark Mansion 3D Glow in The Dark Museum
Aesthete adalah individu yang sangat unik dalam menghargai seni. Salah satu destinasi pelancongan yang boleh membuatkan anda terpesona dengan paparan seni dalam gelap adalah 3D Glow in The Dark.
Lima konsep paparan mural yang boleh anda terokai di sini adalah Tropical Pandora (berfokuskan flora dan fauna), Infinity Galaxy (berfokuskan bintang dan langit), Fire & Water (berfokuskan air terjun dan lava), Fairytale Land (berfokuskan cendawan comel dan watak fantasi), dan Sunflower Garden (berfokuskan bunga matahari).
Alamat: 145, Lebuh Kimberley, George Town, 10100 George Town, Pulau Pinang
Bayaran masuk: RM 25
9. Jeruk Madu Pak Ali
Perniagaan jeruk yang selalunya dimonopoli oleh bangsa Cina, kini berjaya di pecah tradisinya oleh usahawan yang bernama Pak Ali. Pak Ali seorang yang buta huruf tetapi berkebolehan bertutur dalam lima bahasa seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Jepun, Cina, dan India. Jika anda ke Penang, buah tangan Jeruk Madu Pak Ali pastinya menjadi perkara wajib yang perlu anda bawa pulang.
Keunikan pada rasa dan kerangupan jeruk ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Menariknya, Jeruk Pak Ali sudah berjaya dieksport sehingga ke luar negara seperti di Afrika, England, dan Arab Saudi.
Alamat: No 1, Pusat Perniagaan Seetee Aisah, Jalan Seetee Aisah, 13700 Seberang Jaya, Pulau Pinang.
10. Entopia Taman Rama-Rama
Umumnya, Entopia terkenal dengan nama Taman Rama-rama Pulau Pinang tetapi ia ditukar kepada Entopia yang membawa gabungan perkataan Entomologi. Entomologi bermaksud ilmu kajian tentang serangga manakala Utopia adalah dunia fantasi.
Jika anda pencinta alam semula jadi pasti destinasi ini sangat mengujakan anda. Entopia terbahagi kepada dua bahagian. Iaitu Natureland (outdoor gardens) dan Cocoon (indoor discovery centre). Natureland menempatkan lebih daripada 150 spesis fauna dan serangga seperti reptilia, rama-rama, amfibia dan pelbagai lagi. Untuk menikmati udara segar di luar sambil menimba ilmu baru, anda boleh pergi ke stesen Cocoon.
Alamat: 830 Jalan Teluk Bahang, 11050 Penang Malaysia
Bayaran masuk: RM 49 (dewasa), RM 29 (kanak-kanak)
Diharapkan artikel tentang tempat menarik di Pulau Pinang ini boleh memberikan anda info yang berguna dalam membuat pilihan melancong. Jom melancong ke Pulau Pinang!