Skip to content

10 Tempat Menarik di Kuching yang Anda Perlu Kunjungi

tempat menarik di kucing

Apakah tempat menarik yang boleh dikunjungi di Kuching, Sarawak? Artikel ini akan menyenaraikan 10 tempat menarik yang anda boleh kunjungi ketika bercuti di sini.

Tempat Menarik di Kuching

Kuching merupakan sebuah bandar yang sangat terkenal dan juga ibu negeri bagi Sarawak. Terdapat pelbagai kaum serta etnik yang tinggal bersama-sama dan hidup harmoni di Bumi Kenyalang ini.

Terdapat banyak pilihan makanan yang unik di Kuching yang anda boleh cuba kerana dipengaruhi oleh pelbagai etnik dengan latar belakang berbeza seperti laksa Sarawak, mee kolok, sayur midin, dabai, umai, ulat mulong, tumpik, kek lapis Sarawak dan sebagainya.

Betapa indah dan istimewanya Kuching beserta dengan tarikan alam semula jadinya yang tersembunyi walaupun berstatus bandar. Mari kenali Kuching dengan lebih dekat. Artikel kali ini menyenaraikan 10 tempat menarik di Kuching iaitu :  

1. Tugu Kuching

Tugu Kuching adalah mercu tanda yang gah berdiri di hadapan hotel-hotel dan pusat membeli-belah bandaraya Kuching. Kalau anda datang melancong ke sini, jangan lupa untuk bergambar dengan lambang terpenting ini.

Tugu di dalam roundabout ini dijaga dengan baik oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara. Warna tugu juga tidak pudar dan tetap tampak berseri-seri.

Sumber foto : travetopia

2. Taman Negara Bako

Taman Negara Bako adalah taman negara yang tertua di Sarawak dan terkecil di Asia Tenggara. Ia beroperasi setiap hari bermula jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang kecuali Sabtu dan Ahad.

Taman negara ini menjadi habitat semula jadi pelbagai hidupan liar dengan 150 spesies burung, monyet Belanda (proboscis) serta kaya dengan flora. Anda dapat menikmati banyak lagi tarikan lain seperti bukit-bukau, air terjun, paya bakau dan pantai.

Bayaran untuk tambang bot adalah RM30 manakala tiket masuk ke Taman Negara Bako adalah RM10. 16 denai untuk ditempuhi secara keseluruhannya dan anda boleh memilih sama ada jalan yang penuh cabaran atau jalan pintas untuk aktiviti jungle trekking dan mendaki.

Sumber foto : sarawaktourism

3. Islamic Heritage Museum

Islamic Heritage Museum mempamerkan dan menyimpan kekayaan khazanah sejarah dan budaya Islam di Nusantara. Terdapat maklumat yang anda boleh perolehi tentang hubungan di antara perkembangan Islam di Nusantara dengan kawasan lain di dunia.

Tujuh seksyen pameran terdiri daripada sejarah Islam di Sarawak, senibina Islam, perkembangan ilmu pengetahuan dalam dunia Islam, pakaian, muzik, senjata dan sebagainya.

Sumber foto : amirziq14

4. Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh

Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut berkenaan budaya di Sarawak, ada seni bina rumah tradisional salah satu etnik Sarawak iaitu etnik Bidayuh. Mereka tinggal di rumah panjang. Kampung Annah Rais terletak di Padawan, Kuching, Sarawak. Anda boleh melihat dengan lebih dekat binaan rumah panjang dan kehadiran anda akan diraikan dengan tarian sambutan tetamu yang sangat meriah.

Pelbagai aktiviti berkaitan kehidupan tradisional etnik Bidayuh boleh dipelajari seperti cara untuk hidup di dalam hutan, cara mengenal herba dan penggunaannya, cara menggunakan sumpit, cara memasak masakan tradisional menggunakan buluh, belajar tentang anyaman dan lain-lain.

Sumber foto : tempatmenarik

5. Reservoir Park Kuching

Di Taman Budaya, Reservoir Park Kuching akan membuatkan anda seolah-olah berada dalam suasana di dalam hutan di tengah-tengah kota Kuching. Taman ini sempurna bagi mereka yang inginkan ketenangan dan lari dari kesibukan kota serta pencemaran. Anda akan ditemani pokok-pokok hijau dan bunyi kicauan burung serta mendengar aliran air.

Jurugambar sudah pasti asyik mengambil gambar di sekeliling kerana taman ini kelihatan sangat cantik di dalam foto. Reservoir Park Kuching salah satu lokasi wajib untuk dilawati dengan jambatan China yang dikelilingi air kolam, pancuran air, pokok-pokok bunga yang ditanam dan keindahan floranya yang menambat hati.

Sumber foto : theborneopost

6. Taman Buaya Jong

Pasti anda pernah dengar legenda seekor buaya putih sepanjang 20 kaki yang membaham dan menghantui penduduk dipanggil Bujang Senang. Jika berani, singgahlah ke taman buaya yang terbesar dan tertua di Malaysia iaitu Taman Buaya Jong yang terletak 29 kilometer dari bandar Kuching.

Taman buaya ini menempatkan lebih daripada seribu ekor buaya di dalam sangkar. Buaya-buaya ini lahap dan boleh melompat tinggi dari air untuk menyambar bangkai ayam yang digantung pada tali rentang ketika diberi makan setiap pukul 11:00 pagi dan 3:00 petang.

Agak mengerikan melihat buaya besar-besar berebut dan mencarik makanan dengan gigi yang tajam namun anda berpeluang mempelajari tentang buaya. Muzium Buaya menempatkan tulang buaya yang dipercayai Bujang Senang, gambar bersejarah, telur dan sarang buaya. Bukan sekadar buaya, anda juga boleh melihat haiwan lain seperti biawak, monyet, musang, beruang madu, burung merak, kolam ikan Arapaima dan lain-lain.

Sumber foto : borneotalk

7. Kompleks Muzium Sarawak

Muzium tertua di Borneo iaitu Muzium Sarawak terletak di Taman Budaya, Kuching. Di antara koleksi yang dipamerkan adalah senjata-senjata yang pernah digunakan oleh masyarakat Sarawak, bot perang orang Iban, seramik asli tertua dari Gua Niah serta kepingan seramik yang diperolehi hasil perdagangan pada abad ke-11 sehingga ke-13.

Kerja-kerja penambahbaikan muzium dijalankan pada tahun 2019 dan dibuka pada April 2020. Muzium Shoppe yang terletak di tingkat bawah Kompleks Muzium Sarawak adalah tempat untuk anda membeli pelbagai barangan cenderahati seperti buku, penanda buku, t-shirt, keychain dan sebagainya.

Sumber foto : museum.sarawak

8. Muzium Kucing

Muzium Kucing yang terletak di Kuching adalah muzium kucing pertama di dunia. Muzium tersebut terletak di dalam bangunan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara di atas Bukit Siol. Ada lebih daripada 3000 pameran yang menarik untuk pencinta kucing.

Segala pengetahuan berkaitan kucing boleh dipelajari di sini. Muzium Kucing mempunyai empat buah galeri yang di dalamnya terdapat lebih daripada 50 pameran berbeza seperti jenis-jenis kucing, kucing pada zaman pertengahan, koleksi Garfield, koleksi buku kucing, koleksi Hello Kitty, kucing pada zaman purba Mesir dan banyak lagi. Muzium Kucing dibuka setiap hari bermula jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang kecuali Cuti Umum.

Sumber foto : tempatmenarik

9. Kuching Waterfront

Kuching Waterfront adalah tempat paling meriah terletak sepanjang satu kilometer di tepi Sungai Sarawak. Tokong Cina yang tertua iaitu Tokong Tua Pek Kong serta monumen Charles Brooke terletak di sini. Bila malam, Kuching Waterfront lagi cantik dengan pancaran lampu berwarna-warni serta persembahan lagu buskers.

Anda dapat menikmati pemandangan yang memukau apabila melihat Kubu Margherita, Astana dan perkampungan Melayu yang terletak di seberang sungai pada waktu siang. Banyak cenderamata dijual di sekitar Waterfront. Kalau mahukan kepuasan, anda boleh menaiki bot Penambang untuk menikmati pemandangan sekeliling.

Sumber foto : sarawaktourism

10. Kampung Budaya Sarawak   

Kampung Budaya Sarawak atau Muzium Kebudayaan Sarawak di kaki Gunung Santubong adalah antara tarikan yang wajib dilawati kerana ia bukan sebuah muzium biasa. Muzium hidup ini akan membuatkan anda merasakan pengalaman seperti di kawasan kampung yang sebenar.

Anda dapat menyaksikan rumah-rumah etnik-etnik dan masyarakat Sarawak seperti rumah tinggi Melanau, rumah mesyuarat kaum Bidayuh, tempat simpanan senjata dan sebagainya.

Majlis perkahwinan sebenar yang dilangsungkan oleh orang Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Melayu dapat disaksikan jika nasib menyebelahi anda. Terdapat kakitangan menunjukkan aktiviti harian mereka sebagai etnik tertentu yang lengkap berpakaian tradisional di dalam rumah-rumah tersebut.

Sumber foto : ilyasa98.blogspot

Penutup

Negeri Sarawak ni luas dan besar. Nak jalan-jalan dalam masa sehari je tak cukup. Terkenal dengan jolokan nama Bandaraya Perpaduan, bandaraya yang menjadi tumpuan ini terkenal dengan khazanah warisan budaya pelbagai etnik, taman-taman negara yang mendamaikan, muzium dan tugu-tugu yang menjadi tarikan pelancong.

Kuching menjadi tapak pemerintahan James Brooke iaitu Raja Putih yang pertama dan telah berkembang pesat yang dijadikan pusat pentadbiran dan pembangunan. Anda akan jatuh cinta dengan Kuching kerana bandarnya yang meriah dan menjanjikan keriangan buat seisi keluarga dan mempunyai banyak tempat yang menarik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 − 12 =