Skip to content

10 Tempat Menarik di Negeri Sembilan Yang Best

tempat menarik di negeri sembilan

Apakah tempat menarik di negeri sembilan? Artikel ini akan membincangkan beberapa tempat menarik di Negeri Sembilan yang anda wajib pergi

Pengenalan

Negeri Sembilan terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia. Seri Menanti adalah Bandar DiRaja dan Seremban ialah ibu negeri bagi Negeri Sembilan. Dalam artikel sebelum ini, kita sudah sampai ke Port Dickson dan hanya tertumpu di situ sahaja.  

Nak tahu mengapa negeri berpengaruh Minangkabau yang terkenal dengan amalan Adat Perpatih dan bumbung berbentuk seperti tanduk kerbau ini dipanggil Negeri Sembilan? “Sembilan” di namanya melambangkan sembilan daerah. Saiz Negeri Sembilan sekarang lebih kecil berbanding Negeri Sembilan yang asal.

Walaupun perhentian kita di tempat yang sama iaitu Negeri Sembilan, ada banyak lagi tempat-tempat percutian yang menarik yang boleh dilawati. Artikel kali ini menyenaraikan 10 tempat menarik di Negeri Sembilan iaitu :  

1. Istana Seri Menanti

Negeri Sembilan menyimpan banyak cerita sejarah. Anda boleh melawat Istana Seri Menanti yang telah menjadi Muzium DiRaja Seri Menanti di Kuala Pilah. Masuk adalah percuma. Ia dibuka setiap hari bermula jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang.

Muzium ini dibina pada tahun 1902 dan selesai pada tahun 1908. Bangunan empat tingkat itu pernah menjadi istana sebelum raja berpindah pada tahun 1931. Ia masih digunakan untuk pelbagai tujuan lain sehingga tahun 1964 sebelum dibiarkan kosong dan kemudiannya menjadi muzium pada tahun 1992. Setiap sudut di dalamnya tidak berubah dan masih di posisi yang sama sebagaimana istana zaman dahulu.

Terdapat empat ruangan seperti Balai Rong Seri (tempat takhta dan mengadap raja), Balai Raja Muda, Bilik Beradu dan Ruang Santapan. Anda dapat melihat pameran gambar yang berkaitan dengan kawasan tersebut. Banyak koleksi barang istana yang menarik dipaparkan dan juga ruang istana akan memberikan anda gambaran tentang kehidupan keluarga DiRaja di Malaysia.

Sumber foto : iamlejen

2. Kota dan Muzium Lukut

Kota Lukut merupakan salah satu tempat bersejarah yang menarik di Negeri Sembilan. Kota Lukut adalah kubu pertahanan yang dibina pada tahun 1847 oleh Raja Jumaat, seorang pahlawan Bugis yang bersaiz empat buah padang bola sepak yang maju dengan penghasilan bijih timah sehingga menjadi kota perusahaan bijih timah terkaya di Selangor pada ketika itu.

Runtuhan kubu kini menjadi sebuah taman rekreasi bersejarah dengan muzium di kaki bukit. Muzium dua tingkat itu mempunyai empat bahagian yang menempatkan pelbagai artifak yang ditemui di Kota Lukut serta maklumat menarik mengenai tokoh-tokoh Lukut pada zaman dahulu. Masuk adalah percuma. Tempat ini beroperasi setiap hari bermula jam 9:00 pagi hingga 6:00 petang.

Sumber foto : mppd

3. Taman Tasik Seremban

Salah satu taman tasik tertua di Malaysia ialah Taman Tasik Seremban. Kunjungan ke sini akan membawa anda menikmati pemandangan yang indah apabila melihat pokok-pokok hijau serta bunga yang subur, suasana nyaman dan kemudahan yang lengkap seperti trek jogging, taman permainan dan lain-lain.

Terdapat dua buah tasik dan pondok untuk bersantai. Tarikan lain yang terdapat di Taman Tasik Seremban adalah sebuah pentas terapung pada setiap minggu kedua dan keempat hari Sabtu meraikan Program Hiburan Sekeluarga.

4. Pusat Rekreasi Ulu Bendul

Pusat Rekreasi Ulu Bendul yang terletak di kaki Gunung Angsi, Kuala Pilah dapat memberikan ketenangan jiwa dengan pokok-pokok rendang yang boleh dijadikan tempat berteduh. Anda boleh duduk berkelah dan bersantai dengan keluarga atau rakan-rakan sambil mendengar bunyi aliran air sungai.

Anda juga boleh bermandi-manda sepuasnya di kolam besar. Jika anda mendaki sedikit ke atas bukit, anda akan menemui Snake Garden. Dapat lihat seekor ular Anaconda yang agak besar yang diletakkan di dalam sebuah tempat.

Sumber foto : flickr

5. Blue Lagoon

Blue Lagoon, pantai di mana anda boleh berenang dengan aman kerana ombak besar jarang terjadi di pantai ini dan penuh privasi. Beberapa buah pondok disediakan untuk berteduh dan bersantai.

Makanan kena tapau sendiri, sama ada beli atau bawa dari rumah kerana tiada gerai menjual makanan di tepi pantai. Kalau di waktu senja, bolehlah nikmati pemandangan matahari terbenam yang cukup indah sekali.

Sumber foto : lexispd

6. Pengkalan Kempas

Pengkalan Kempas terletak di Linggi, berhampiran dengan sempadan negeri Melaka. Ia merupakan kawasan klasik untuk dikunjungi. Terdapat deretan rumah kedai yang berusia lebih daripada 100 tahun.

Pekan kecil ini mempunyai beberapa tarikan seperti makam Sheikh Ahmed Majnun, sebuah batu putih yang boleh mengesan penipuan dan batu megalith hidup yang semakin membesar. Bagi kaki pancing, singgahlah ke jeti Pengkalan Kempas untuk menangkap udang galah.

Sumber foto : travelmalaysi

7. Kompleks Muzium Negeri

Bangunan klasik yang terletak di Seremban ini dengan binaan tradisional Minangkabau merupakan Kompleks Muzium Negeri. Anda akan terpesona dengan keunikan reka bentuk bangunan dan sejarahnya.

Kompleks muzium terbahagi kepada tiga bahagian yang berlainan iaitu Istana Ampang Tinggi yang telah berusia lebih daripada sedekad, Teratak Perpatih dan lain-lain yang memaparkan banyak artifak. Bahagian seperti Rumah Negeri Sembilan mempunyai maklumat berkenaan senibina bangunan serta budaya dahulukala masyarakat Negeri Sembilan, membuatkan anda terasa seperti kembali hidup di zaman tersebut.

Sumber foto : lmns

8. Kolam Air Panas Pedas

Tarikan yang lain dari yang lain di antara taman tema kat Malaysia ini boleh didapati di Wet World Resort Air Panas Pedas yang menggunakan air panas semula jadi sebagai sumber air.

Kolam air panas mempunyai tahap kandungan mineral yang sangat bagus untuk kesihatan serta mampu merawat beberapa masalah kesihatan seperti lenguh-lenguh badan, radang sendi (arthritis) dan pelbagai penyakit kulit lain.

Taman tema ini lengkap dengan gelongsor air, bukan sahaja memiliki beberapa buah kolam yang berlainan. Anda boleh mencuba beberapa tarikan lain seperti Reflexology Walk, Kiddie Slide, Lazy River, Wave Pool dan sebagainya.

Sumber foto : tempatmenarik

9. Cape Rachado Light House

Cape Rachado Light House atau dikenali sebagai Rumah Api Tanjung Tuan adalah sebuah peninggalan klasik yang terletak di daerah Alor Gajah, Melaka. Rumah api itu dibina pada tahun 1817 iaitu abad ke-16 oleh pihak Portugis bagi memudahkan pergerakan kapal di Selat Melaka dan dipercayai sebagai struktur yang tertua di Malaysia.

Anda dapat melihat keindahan flora dan fauna yang seluas mata memandang dari rumah api yang tinggi. Sekiranya cuaca baik, anda juga boleh nampak sempadan laut Sumatera yang merentasi Selat Melaka.

Kawasan ini adalah syurga burung menjadi tempat persinggahan 300,000 ekor burung yang terdiri daripada 54 spesies berlainan yang bermigrasi pada setiap tahun. Datanglah pada bulan Mac untuk memerhati burung kerana burung akan datang ke sini dari serata pelusuk dunia.

Sumber foto : convergence.malaysiaairports

10. Teratak Za’ba 

Teratak Za’ba di Jempol adalah bangunan dengan ciri-ciri reka bentuk klasik Melayu yang dibina pada tahun 2001 menggunakan kayu Cengal. Za’ba digelar sebagai Pendeta Za’ba. Beliau seorang tokoh yang dihormati dalam bidang kesusasteraan.

Begitu banyak sumbangan Za’ba membuatkan cendekiawan negara yang penuh inspirasi dan berilmu ini sangat penting untuk dikenali terutamanya oleh golongan muda. Sudut Umum menyimpan barang klasik yang wujud sewaktu kehidupan Za’ba. Terdapat pameran Bibliografi, Peribadi dan Pakaian Za’ba. 

Sumber foto : tripadvisor

Penutup

Negeri Sembilan yang berdekatan dengan Kuala Lumpur dan Selangor sudah semestinya menyajikan banyak destinasi pelancongan yang menarik seperti muzium, landskap semula jadi dan pantainya yang terkenal. Negeri Sembilan kaya dengan budaya Minangkabau.

Negeri Sembilan terkenal dengan masakan minang yang lazat. Jangan lupa mencuba beberapa hidangan tempatan seperti daging salai. Orang nogori suka makan masakan pedas dan yang paling terkenal adalah masak lemak cili api. Memang meletup dan terangkat kepedasannya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twelve + 20 =