Skip to content

10 Tempat Menarik Di Kelantan Yang Anda Perlu Pergi

tempat menarik di kelantan

Apakah tempat-tempat menarik yang ada di Kelantan? Artikel ini akan membincangkan beberapa tempat menarik di kelantan yang anda perlu pergi

Jalan-jalan di pantai timur jangan lupa singgah di negeri Cik Siti Wan Kembang. Kelantan sangat sinonim untuk pelancongan jenis kebudayaan dengan menyajikan tarikan ikonik, air tejun, pantai dan tasik, tempat bersejarah, muzium, masjid, syurga beli-belah, dan kraf tangan.

1. Pantai Cahaya Bulan

Pantai Cahaya Bulan dulunya dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi merupakan destinasi pelancongan yang sangat hebat di Kelantan dan ia turut diakui oleh seluruh rakyat Malaysia sendiri. Berbeza dengan pantai-pantai lain di seluruh Malaysia yang mengutamakan kawasan peranginan untuk menarik pengunjung melakukan pelbagai aktiviti di air seperti mandai pantai, bermain jetski, snorkeling, dan sebagainya.

Pantai Cahaya Bulan memberi fokus utama kepada pengunjung yang mahukan suasana releks sambil menjamu selera di tepi pantai. Aneka pilihan hidangan gorengan seperti keropok, bebola, seafood celup dan masakan panas boleh menarik selera anda ke sini.

2. Pasar Siti Khadijah

Salah satu tempat atau pasar menarik di kelantan adalah Pasar Siti Khadijah. Kalau melancong tanpa membeli-belah pasti anda pun bosan. Pasar Siti Khadijah adalah kompleks perniagaan yang mengumpulkan pelbagai barangan tempatan seperti pakaian, kain batik, kain pasang, makanan, barangan dapur, aksesori, keropok ikan, dodol, serunding, beras siam, kain batik, kain pelikat, pakaian, tudung dan toto.

Barangan seperti sayur-sayuran segar, petai, jering, ikan kering, telur masin dan jeruk asam turut dijual. Bangunan setinggi tiga tingkat ini menempatkan berpuluh-puluh buah kedai beraneka barangan untuk di beli terutamanya kepada pengunjung luar dari Kelantan.

Uniknya di sini, kedai-kedai tersebut dimonopoli oleh kaum wanita jadi anda tiada halangan untuk bershopping sakan kerana pastinya mereka akan memberikan layanan yang terbaik untuk menyakinkan anda dengan produk yang dijual.

3. Masjid Terapung Pasir Mas

Jika diperhatikan dari jauh, masjid putih ini terapung seperti sebuah bangunan yang dilitupi salju di tengah-tengah Tasik Danau Tok Uban atau lebih tepat di Rong Chenok, Pasir Mas, Kelantan.

Di sebalik bata dan simen yang menjadi adunan terbinanya bangunan ini, masjid ini juga menyimpan sejarah sebagai lambang hubungan baik antara raja Kelantan dan Sultan Brunei.

4. Pantai Nami Bachok (Pantai Senok)

Demam K-Drama, dan demam K-Pop tampaknya masih belum reda lagi di kalangan golongan muda Malaysia. Ramai yang mula berangan-angan untuk suatu hari nanti memijak bumi Korea itu kelak kerana terpesona dengan latar belakang dari setiap drama Korea yang mereka tonton.

Sebenarnya anda tidak perlu sampai ke Korea pun untuk menikmati panorama seakan-akan seperti di sana. Pantai Nami Bachok atau lebih umum dikenali sebagai Pantai Senok oleh masyarakat tempatan.

5. Air Terjun Jeram Linang

Air Terjun Jeram Linang setinggi 12 meter menjadi tumpuan ramai pengunjung luar dan dalam Malaysia untuk beriadah bersama keluarga. Dikatakan lagi air terjun ini antara air terjun yang terawal didirikan sebagai pusat rekreasi umum.

Menikmati air yang mengalir tenang di laut tidak sama dengan merasai sendiri keindahan air terjun bertingkat Jeram Linang. Waktu yang sesuai untuk anda ke mari adalah dari bulan April hingga September kerana ketika itu belum musim tengkujuh.

Anda tidak perlu risau dengan kemudahan asas seperti tandas awam, tempat rehat, musalla, restoran, dan tempat parking kereta kerana ia disediakan lengkap untuk memudahkan urusan semua. Ini merupakan desinasi yang ideal untuk berkelah, berehat, berkhemah dan aktiviti merentas hutan.

6. Taman Negara Kuala Koh

Siapa kata di Kelantan tiada Taman Negara seperti di Kuala Lumpur? Anda pasti terkejut jika menyaksikan sendiri kemewahan hidupan alam semula jadi di tengah-tengah hutan hujan khatulistiwa yang berusia melebihi 130 juta tahun ini.

Suasana seperti ini pastinya sangat sempurna untuk memenuhi impian pengunjung yang cinta kepada alam sunyi, damai, santai, dan kemudahan yang minima seperti seorang penggembara. Taman Negara Kuala Koh menyediakan daya tarikan yang memberikan impak yang besar kepada pengunjung baik dari segi kesihatan, kebudayaan, dan pelancongan.

Salah satunya adalah dengan kehadiran laluan canopy walkway sepanjang 420 meter yang mampu menampung berat melebihi 5 tan tanpa menggunakan sebarang paku dan hanya terbina dengan kabel besi, jubah berkualiti tinggi, dan tali kukuh.

Jika anda bernasib baik, anda mungkin boleh melihat kijang dan babi hutan dari atas. Tubing juga menjadi pilihan pengunjung jika ke sini. Aktiviti ini menggunakan tiub-tiub pelampung lalu anda akan dihanyutkan ke arah kuala untuk melihat keindahan panorama sepanjang tebing sungai.

Uniknya, peluang lain yang boleh anda dapatkan lagi adalah dengan mengunjungi perkampungan Orang Asli suku kaum Batek yang terletak dua kilometer dari Taman Negara Kuala Koh. Lawatan ini tentu akan memberikan anda pengalaman baru untuk menyelami cara hidup, tradisi, budaya, dan agama masyarakat majmuk di Malaysia. Bukan itu sahaja, anda juga boleh melakukan aktiviti seperti pemerhatian burung, memancing di pelbagai lubuk utama, mengambil gambar, dan merentis hutan selama 3 jam.

7. Wakaf Che Yeh

Wakaf Che Yeh lazim dikenali sebagai pasar harian dan pasar minggu sejak tahun 1998 lagi di Kelantan. Aktiviti membeli-belah sering dikaitkan dengan golongan Hawa tetapi anda jangan terkejut jika kaum Adam lebih memonopoli wakaf ini untuk berbelanja. Terlalu banyak pilihan yang ada sehingga anda akan rambang mata. Pengunjung gemar ke sini kerana ia menawarkan harga yang sangat murah dan berpatutan.

8. Gunung Stong

Sesiapa pun tidak akan boleh menafikan keindahan panorama alam semulajadi Gunung Stong di Kuala Krai yang berketinggian 1422 meter.

Sejak lebih 30 tahun yang lalu, gunung ini sudah sering kali menempah nama dan menjadi bualan ramai dengan daya tarikan yang tersendiri dan unik. Bukan hanya sekadar sebagai trek percubaan pendaki untuk menguji kekuatan fizikal dan mental malah ia juga berfokuskan kepada rekreasi keluarga, aktiviti fotografi dan lawatan pelajar sekolah.

Di sini juga terdapat sebuah air terjun tertinggi di Asia Tenggara iaitu Air Terjun Jelawang yang sangat sesuai untuk menerokai alam semula jadi ataupun bermandi-manda.

9. Muzium Wau

Wau adalah sebuah permainan tradisi Kelantan. Selain itu, kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi “wau’, “wau’, “wau’ secara berirama.

Untuk belajar tentang bentuk, corak, motif, sejarah, dan perincian pembuatan sesebuah Wau, anda boleh ke Muzium Wau Kelantan. Ia dibuka setiap hari pada jam 8.30 pagi dan tutup pada setiap hari Jumaat dengan mengenakan bayaran sebanyak RM 2.00 untuk dewasa dan RM 1.00 untuk kanak-kanak.

Bersebelahan muzium juga terdapat beberapa orang kampung menjual hasil laut seperti keropok keping, keropok kering, keropok lekor, ikan bilis, dan tangkapan laut jenis kerang laut yang lain.

10. Zon Bebas Cukai Rantau Panjang

Spot destinasi sangat terkenal di Malaysia untuk membeli barang keperluan rumah tangga seperti periuk belanga, kuali, kawah, sudu, garfu, pinggan mangkuk, atau apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran anda.

Apa yang menarik harga yang ditawarkan sangat kompetitif dan jauh lebih murah jika dibandingkan di tempat lain. Produk-produk dari Thailand juga boleh anda beli di sini jika anda seorang pengemar Thailand Food Hunter.

Diharapkan artikel tempat menarik di Kelantan ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan tempat-tempat pelancongan di Negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × four =