Skip to content

10 Tanggungjawab Anak Kepada Ibubapa

tanggungjawab anak kepada ibubapa

Apakah tanggungjawab anak kepada ibubapa? Artikel ini akan membincangkan beberapa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh anak kepada ibubapa sama ada ibubapa masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.

Tanggungjawab anak terhadap ibu dan bapa boleh di bahagikan kepada dua bahagian iaitu semasa mereka hidup dan semasa mereka telah meninggal dunia.

Semasa ibu bapa masih hidup

1. Tidak meninggikan suara kepada mereka

Bukan hanya meninggikan suara malah seorang anak yang berkata “ah” kepada kedua ibu bapanya juga ditegah dalam Islam.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.” (Surah Al-Isra’: ayat 23)

2. Membantu mereka mengikut apa yang kita termampu

Seorang anak dibesarkan oleh ibu bapanya dari dua belah tapak kaki sebesar tapak tangan dewasa sehingga dia sudah mampu untuk berdikari sendiri atau sudah bekerja. Tidak terlalu berlebihan jika dikatakan walaupun anak-anak sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, kasih sayang seorang ibu dan bapa masih tetap ada. Oleh itu, wajar jika anak membantu apa yang mereka termampu untuk kehidupan ibu bapa sama ada dari segi kewangan, bakti dan lain-lain.

3. Taat kepada perintah ibu bapa

Kita dituntut agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan tuntutan tersebut adalah suatu kewajipan yang perlu ditunaikan. Ibu ialah seseorang yang telah melahirkan manusia di muka bumi ini dan setiap permulaan kehidupan manusia adalah bermula dengan kelahiran dari seorang ibu. Maka Islam memandang serius hukum berkaitan hubungan anak dengan ibubapa. Kita diperintahkan untuk sentiasa melakukan kebaikan, berlemah lembut, berbudi bahasa dan bersopan santun terhadap mereka.

4. Bersopan santun dan menghormati mereka

Ibu bapa yang sudah tua memang menjadi cabaran kepada anak-anak kerana banyak perkara yang sebagai seorang anak perlu pertimbangan untuk mengelakkan perselisihan faham. Sikap mereka akan mula berubah menjadi lebih sensitif. Sebagai anak, kita perlu sentiasa bersabar dan bermuhasabah diri agar kita sentiasa menghormati mereka.

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (Riwayat Muslim)

5. Mengeratkan persaudaraan dengan kenalan mereka

Anak-anak digalakkan untuk mempunyai hubungan yang baik kepada kenalan ibu bapa supaya tali silaturahim yang dijalinkan akan tetap terjaga dari generasi ke generasi.

Semasa ibu bapa telah meninggal dunia

1. Menguruskan pengebumian ibu dan bapa

Satu penghormatan terakhir yang boleh diberikan anak kepada orang tuanya adalah dengan menguruskan segala proses pengebumian mereka seperti memandikan, mengkafankan, mensolatkan, dan menghantar ke tanah perkebumian.

2. Langsaikan hutang-hutang mereka yang masih ada

Apa sahaja hutang-piutang ibu bapa yang tidak sempat mereka selesaikan sewaktu masih hidup, adalah wajib di langsaikan oleh ahli keluarga atau anak-anak yang masih ada. Mengapa terlalu penting untuk melangsaikan hutang orang yang telah meninggal dunia?

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda,

“Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Jelas kewajipan seseorang untuk melunaskan hutang-hutangnya adalah sangat penting dan dituntut oleh agama. Roh orang-orang yang berhutang akan tergantung selepas kematiannya. Rohnya itu tidak sampai untuk diberikan rahmat oleh Allah SWT. Apabila seseorang itu mati, maka roh itu akan pergi ke tempat yang Allah rahmati dan tempat yang Allah tidak rahmati. Maka sebab itu, ia terawang-awang atau ‘tergantung’ hinggalah hutangnya dijelaskan oleh ahli keluarganya.

3. Bersedekah atau menginfakkan harta atas nama mereka

Ada tiga perkara yang mana seseorang mukmin boleh lakukan untuk membantu mukmin lain yang telah meninggal dunia salah satunya sedekah amal jariah. Amalan sedekah dan infak merupakan satu amalan yang sangat mulia di mana kebaikan dan pahalanya akan terus mengalir sehingga di dalam kubur.

4. Sentiasa mendoakan mereka

Selain ilmu yang bermanfaat dan sedekah amal jariah, ada satu lagi perkara yang semua orang berupaya untuk lakukan iaitu doa anak-anak yang soleh. Jika dua amalan lain yang disebutkan tadi memerlukan kemampuan fizikal dari segi kewangan dan keilmuan tetapi amalan mendoakan orang lain ini tidak memerlukan apa-apa selain kesudian hamba itu sendiri untuk mendoakan saudara se-Islamnya yang lain.

5. Tidak memutuskan tali silaturahim antara mereka dengan sahabat-sahabat mereka

Kenalan, saudara-mara, ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga ibu bapa adalah individu yang sentiasa berada di sekeliling mereka sewaktu hidup. Sebagai seorang anak, amat digalakkan jika kita menjaga hubungan baik dengan mereka semua.

Doa Kepada Ibubapa

Disamping tanggungjawab yang diceritakan diatas, salah satu tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan oleh seorang anak adalah untuk mendoakan ibubapanya. Anda boleh mengamalkan doa dibawah ini

Doa ibu dan bapa (Individu)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

Bacaan rumi: Allahumma firli zunubi waliwalidayya warhamhuma kama robbayani shogira

Maksudnya: “Ya Allah! Ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

Doa ibu dan bapa (Ramai)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدَيْنَا وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانَا صِغَارًا

Bacaan rumi: Allahumma firli zunubana waliwalidayya warhamhuma kama robbayani shogira

Maksudnya: “Ya Allah! Ampunilah dosa kami dan dosa kedua orang tua kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”

Artikel Berkaitan: Doa ibubapa dalam Al-quran

Dalil dan penjelasan buat baik kepada ibu bapa:

Firman Allah SWT:

إوَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

(Surah Al-Isra’: ayat 23)

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, ayat 14)

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA yang mana beliau berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW apakah amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT? Lalu baginda menjawab: “Mengerjakan solat pada waktunya”. Aku bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: “Berbuat baik kepada ibu bapa.” Aku bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: “Jihad di jalan ALLAH.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di harapkan artikel tanggungjawab kepada ibubapa ini dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan berkenaan tanggungjawab seorang anak kepada ibubapa mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three + 18 =