Seperti mana yang kita tahu bahawa Al-Quran merupakan mukjizat paling besar bagi Nabi Muhammad SAW. Di dalamnya, terdapat pelbagai hikmah, hukum, kisah termasuk juga diceritakan tentang penciptaan manusia.
Jadi dalam artikel ini, kami ingin mengupas berkenaan kejadian manusia yang boleh dikaitkan dengan beberapa ayat al-quran.
Sumber dan Penulis
Sumber yang saya gunakan untuk penulisan ini adalah dari buku Human Development As Describe in The Qur’an dan Sunnah, Correlation with Modern Embryology. Abdul Majeed A. Zindani, Keith L. Moore et al. Dua orang penulis buku ini merupakan orang yang terkenal dalam menceritakan penciptaan manusia dengan Al-Quran
Abdul Majeen A. Zindani merupakan salah seorang ulamak terkenal di Yaman. Dia sering menjelaskan suatu kejadian sains yang boleh dikaitkan dengan ayat di dalam Al-Quran
Prof Keith L. Moore pula merupakan salah satu penulis buku-buku anatomi yang terkenal. Pelajar perubatan sudah tentu tidak asing lagi dengan nama Moore yang telah menulis buku anatomi dan juga embriologi yang sering mereka baca
Tahap Penciptaan Manusia
1. Persenyawaan
Sperma daripada dalam rahim akan bergerak melalui tiub fallopio dan pergi ke hujung tiub fallopio untuk bersenyawa dengan ovum.
Setelah sperma bersenyawa dengan ovum, ia akan menghasilakan satu sel yang dinamakan sebagai zygote. Di dalam zygote ini, ia mengandungi genetik daripada ayah dan juga ibu.
2. Pembahagian sel
Zygote ini pula akan ditolak sedikit demi sedikit dalam tiub fallopio supaya ia bergerak ke rahim dan mendapat nutrien daripada dinding rahim.
Ia mengambil masa dalam 8-9 hari untuk hasil persenyawaan ini sampai ke dalam rahim.
Ketika ia bergerak ke rahim, zygote ini akan melakukan pembahagian sel beberapa kali hinggalah menjadi ‘Blastocyts’ dan membenamkan dirinya ke dalam dinding rahim untuk mendapatkan sumber makan daripada tempat tersebut
3. Menjadi fetus
Setelah itu, blastocyst ini akan menjadi fetus dan membesar hingga menjadi bayi yang sempurna.
Kesemua proses ini mengambil masa lebih kurang 9 bulan.
Dalil Penciptaan Manusia
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن سُلَالَةٍ مِّن طِينٍ(12) ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ(13) ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَاماً فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْماً ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقاً آخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ(14)
Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;(12) Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh;(13) Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.(14) (Al-mukminun: 12-14)
1. Maksud Perkataan Alaqah
ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً
“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku(ALAQAH)…”(Surah Al mukminun-15)
Jika kita lihat dalam Mushaf terjemahan al quran yang selalu kita baca, perkataan yang selalu digunakan untuk memberi maksud kepada alaqah adalah DARAH BEKU.
Terdapat maksud lain bagi Alaqah iaitu benda yang melekat atau tergantung pada sesuatu dan Lintah atau Pacat.
Embrio manusia yang sama seperti lintah(alaqah)
Jadi bila kita lihat kejadian yang pertama sekali bagi manusia adalah blastocyst. Blastocyst ini pula apabila dilihat bawah mikroskop, bentuknya seakan-akan seperti lintah.
Bahkan blastocyst ini juga melekat atau tergantung pada dinding rahim.
Ini menunjukkan Allah SWT menggunakan perkataan yang sangat tepat dan spesifik untuk menunjukkan penciptaan manusia itu seperti mana.
2. Maksud Perkataan Mudghoh
خَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً
Maksudnya: “Kemudian Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging(MUDGHOH)”(Surah Al Mukminun-15)
Dalam mushaf Al-Quran, mudghoh bermaksud seketul daging.
Namun terdapat maksud lain bagi mudghoh.Maksud lain bagi Mudghoh adalah Daging yang digigit.
Setelah bayi itu menjadi blastocyst, dia akan membesar lagi menjadi embryo dimana ia seolah-olah seperti daging yang digigit.
Gambar di sebelah kiri menunjukkan embrio yang sedang membesar. Gambar disebelah kiri pula merupakan gula getah yang digigit. Kelihatan kedua-dua gambar ini seakan sama. Bermaksud embrio ini seperti daging yang digigit sama maksud kepada perkataan Mudghoh.
Tempat yang seolah-olah digigit itu dipanggil sebagai Somites. Apabila ia membesar ia akan menjadi otot dan juga tulang dibahagian belakang badan.
Sekali lagi, Al-Quran telah membuktikan perkataan yang digunakan adalah spesifik untuk menunjukkan kejadian manusia itu seperti mana.
Ini menunjukkan Al-Quran itu telah mengatasi waktu. Kita pada hari ini baru sahaja dapat melihat perkara yang telah diceritakan Al-Quran beberapa ratus tahun yang dahulu.
PENDAPAT SEORANG AHLI EMBRIOLOGI BERKENAAN AYAT-AYAT AL-QURAN TENTANG PENCIPTAAN MANUSIA
Professor Emiritus Keith L. Moore merupakan salah seorang saintis yang terhebat dalam bidang anatomi dan embriologi. Dia juga merupakan penulis kepada buku THE DEVELOPING HUMAN yang telah diterjemahkan dalam 8 bahasa.
Buku ini tidak asing kepada pelajar perubatan kerana ia merupakan salah satu buku yang wajib mereka pelajari.
Pada tahun 1981, Ketika persidangan perubatan di Dammam, Saudi Arabia, Professor K. Moore berkata: ” Ia menjadi sesuatu yang berharga buat saya untuk menerangkan kenyataan-kenyataan di dalam al-Quran berkenaan perkembangan manusia.
Jelas kepada saya bahawa ayat-ayat ini telah diturunkan kepada Muhammad(SAW) daripada TUHAN, kerana hampir kesemua pengetahuan(daripada dalam Al-Quran) adalah benar dan ia tidak diketahui sampailah pada abad ini. Ini menunjukkan bahawa Muhammad(SAW) semestinya utusan tuhan.
Bagaimanakah seorang yang bernama Muhammad SAW boleh mengetahui sesuatu pada ketika tiada lagi teknologi yang dapat melihat perkara tersebut.
Bagaimanakah seorang yang BUTA HURUF seperti Nabi Muhammad (SAW) mampu memperolehi ilmu yang hanya terbukti pada beberapa abad ini sahaja.
Tidak dapat tidak ini merupakan salah satu pembuktian bahawa Al-Quran bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan. Ia adalah Kalam Allah yang maha hebat. Yang menciptakan manusia dan juga makhluk sekalian alam.