Apakah maksud Nusyuz dan cara-cara untuk menegur suami atau isteri yang nusyuz?
Artikel ini akan membincangkan definisi nusyuz, jenis-jenis nusyuz dan juga kesan jika seseorang itu melakukan nusyuz.
Isi Kandungan |
Pendahuluan
Suami dan isteri masing-masing menggalas tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam sesebuah rumah tangga perkahwinan. Asam garam di dalam sesebuah perkahwinan memang sentiasa perlu ditempuhi bersama oleh setiap pasangan sepanjang mendirikan rumah tangga.
Dalam sesetengah keadaan tertentu, isteri atau suami mungkin telah berlebih-lebihan dalam konflik rumah tangga sehingga terlajak dan melanggar lunas-lunas syarak. Isteri atau suami yang melakukan perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam boleh jadi telah berlaku nusyuz terhadap pasangannya.
Maksud Nusyuz
Menurut kitab Al-Fiqh Al-Manhaji, nusyuz bermaksud derhaka dan tidak taat. Isteri nusyuz bermaksud isteri menderhakai dan tidak mentaati suami sebagaimana yang diperintahkan oleh syarak.
Dari segi istilah, pelbagai definisi telah diberikan oleh para ulama. Definisi nusyuz menurut Imam Syirazi; isteri yang menderhakai, angkuh serta ingkar terhadap apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada mereka mengenai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan terhadap suami.
Secara mudahnya, boleh kita fahami bahawa nusyuz itu berlaku apabila isteri atau suami mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap satu sama lain dengan perbuatan-perbuatan tertentu.
Dalil Nusyuz
Terdapat beberapa dalil di dalam al-Quran dan Sunah mengenai nusyuz. Antaranya, firman Allah SWT:
وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (Surah an-Nisa, 4: 34)
Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا ۚ وَالصُّلْحُ خَيْرٌ ۗ وَأُحْضِرَتِ الْأَنفُسُ الشُّحَّ ۚ وَإِن تُحْسِنُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Maksudnya: Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. (Surah an-Nisa, 4: 128)
Terdapat juga hadis-hadis Rasulullah SAW berkenaan perkara ini. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَلَمْ تَأْتِهِ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
Maksudnya: “Apabila suami mengajak isteri untuk tidur bersama-sama, kemudian isteri tidak mahu datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, maka malaikat melaknati isterinya sehingga ke pagi.” Riwayat Muslim (1436)
Satu lagi hadis yang juga daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا مِنْ رَجُلٍ يَدْعُو امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهَا، فَتَأْبَى عَلَيْهِ، إِلَّا كَانَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ سَاخِطًا عَلَيْهَا حَتَّى يَرْضَى عَنْهَا
Maksudnya: “Demi Dia yang jiwaku di Tangan-Nya, tiada apa yang berlaku apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur lalu isterinya enggan kecuali Dia yang di langit akan murka ke atasnya sehingga suami berkenaan reda terhadap isterinya.” Riwayat Muslim (1436)
Daripada Muaz bin Jabbal r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَا تُؤَدِّي الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّهَا حَتَّى تُؤَدِّيَ حَقَّ زَوْجِهَا
Maksudnya: “Demi Dia yang jiwa Muhammad di Tangan-Nya, seseorang wanita itu tidak dikira menunaikan hak Tuhannya sehingga dia menunaikan hak suaminya.” Riwayat Ibn Majah (1853)
Hukum Nusyuz
Hukum nusyuz adalah haram. Perbuatan ini merupakan salah satu daripada dosa besar.
Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW yang telah dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa perbuatan nusyuz adalah sangat ditegah oleh agama Islam.
Pembahagian Nusyuz
Nusyuz terbahagi kepada tiga bahagian iaitu nusyuz isteri terhadap suaminya, nusyuz suami terhadap isterinya, atau kedua-dua suami dan isteri melakukan perkara tersebut.
1. Nusyuz Isteri
Isteri dianggap melakukan perkara ini sekiranya derhaka atau ingkar terhadap suaminya seperti keluar rumah tanpa izin suami, tidak mahu memenuhi hak suami terhadapnya, atau lain-lain perbuatan yang menjadi tanggungjawab si isteri.
Adapun sekiranya isteri melakukan perbuatan seperti membebel atau menghina suami dengan lisan, perbuatan tesebut tidaklah dianggap sebagai nusyuz, meskipun ianya berdosa.
2. Nusyuz Suami
Kebanyakan masyarakat kita masih beranggapan bahawa nusyuz hanya berlaku oleh si isteri terhadap suaminya, sedangkan perbuatan ini juga boleh terjadi melalui si suami terhadap isterinya.
Seorang suami dikatakan nusyuz apabila mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami seperti tidak menyediakan nafkah zahir dan batin, menyakiti dan mendera si isteri, atau suami tidak berlaku adil dalam bergilir bagi yang mempunyai isteri lebih daripada seorang.
3. Suami dan Isteri
Perbuatan nusyuz oleh kedua-dua suami dan isteri dalam masa yang sama juga boleh berlaku. Keadaan ini dinamakan juga sebagai syiqaq.
Situasi seperti ini boleh berlaku apabila kedua-dua suami dan isteri tidak mahu lagi bertolak ansur dan saling bertoleransi.
Sebaiknya masalah seperti ini diselesaikan dengan bantuan Jawatankuasa Pendamai ataupun campur tangan daripada Hakam yang dilantik oleh pihak mahkamah Syariah.
Cara Menegur Isteri
Suami perlu berjiwa besar dalam menangani isteri yang nusyuz kerana menjadi tanggungjawab si suami untuk mendidik isterinya dengan cara yang baik. Tidak perlu para suami menghebohkan perilaku isterinya kepada kenalan lain, apalagi menghebahkan di media sosial. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh suami untuk menangani masalah ini.
1. Nasihat dan bimbingan
Suami hendaklah menasihati dengan berhikmah, bukannya marah-marah. Ingatkan isteri tentang kemurkaan Allah atas perbuatan nusyuz tersebut. Mudah-mudahan nasihat itu berkesan sehingga isteri kembali taat dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
2. Pemulauan tempat tidur
Sekiranya masih tidak berkesan, maka suami hendaklah memisahkan atau memulaukan isteri dari tempat tidur atau tidak menyetubuhi isterinya. Cara ini mungkin sedikit tegas, tetapi penting untuk memberitahu isteri bahawa perbuatan nusyuz itu salah. Meskipun begitu, diingatkan untuk si suami tidak memulaukan isterinya lebih daripada tiga hari.
3. Pukul yang tidak mencederakan
Jika isteri masih tidak mentaati suami, maka dibenarkan untuk suami memukul isteri dengan syarat tertentu. Pukulan tersebut mestilah dengan tujuan untuk mendidik. Pukulan itu juga tidak boleh sehingga mencederakan, dan bukan pada bahagian sensitif seperti muka dan kepala. Adapun meninggalkan perbuatan memukul itu adalah lebih baik.
4. Bawa ke pihak mahkamah
Sebagai langkah terakhir bagi situasi yang masih tidak menemui jalan penyelesaian, bolehlah dibawakan isu ini kepada pihak pendamai atau mahkamah Syariah itu sendiri.
Cara Menegur Suami
Dalam situasi suami yang melakukan perkara ini, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh isteri bagi mengatasi isu tersebut.
1. Sabar dan nasihat
Hendaklah si isteri sentiasa bersabar dan menasihati suaminya dengan baik. Ingatkan si suami tentang tanggungjawabnya dan perintah agama.
2. Perdamaian
Sekiranya tidak berkesan, isteri digalakkan untuk membawa isu ini kepada orang tengah sebagai pengantara untuk mencari perdamaian. Libatkan ahli keluarga terdekat atau sahabat yang mampu membantu menyelesaikan masalah, bukan yang mengeruhkan lagi keadaan.
3. Membuat pengakuan kepada pihak mahkamah
Jika keadaan masih gagal mencapai penyelesaian, maka isteri boleh mengadu kepada hakim atas perbuatan suaminya yang nusyuz.
Hak isteri yang hilang ketika mana dia nusyuz
Perlu diketahui juga bahawa terdapat hak isteri yang boleh gugur disebabkan oleh perbuatan ini terutamanya dalam hukum pemberian nafkah oleh suaminya.
Secara amnya, suami tidak wajib memberikan nafkah kepada isteri yang telah nusyuz. Misalnya apabila isteri ingkar arahan suami untuk tinggal di rumah dan tidak keluar tanpa keizinan suami, maka si isteri telah melakukan perkara ini dan gugur hak untuk diberikan nafkah oleh suami.
Sungguhpun begitu, seorang isteri yang telah bertaubat dan kembali taat pada suaminya tidak lagi dianggap melakukan nusyuz.
Tatacara Pensabitan Nusyuz
Keadaan yang sangat menyedihkan apabila terdapat para suami di luar sana yang culas dalam memberikan nafkah kepada pihak isteri dengan alasan bahawa isterinya telah nusyuz.
Ditegaskan di sini bahawa suami atau isteri tidak boleh mengatakan bahawa pasangannya telah melakukan perkara dan meninggalkan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri dengan mudah. Hanya mahkamah yang boleh mengisytiharkan bahawa isteri atau suami telah melakukan nusyuz.
Selagi pihak mahkamah tidak mensabitkan nusyuz terhadap isterinya, si suami tidak boleh berhenti dalam melaksanakan tanggungjawabnya dalam memberikan nafkah terhadap isteri. Begitu juga halnya tanggungjawab si isteri terhadap suaminya, mestilah dilaksanakan dengan baik sekiranya pihak mahkamah tidak mensabitkan nusyuz si suami.
Penutup
Dalam hal yang melibatkan hubungan rumah tangga seperti ini, kedua-dua pasangan hendaklah saling bertoleransi. Tiada pasangan yang sempurna. Suami dan isteri perlu berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin, dalam masa yang sama bersedia menerima kekurangan pasangannya dan sentiasa berbincang dengan baik untuk memperbaiki satu sama lain.
Nasihat saya, sekiranya anda menghadapi situasi yang lebih melarat berkaitan dengan permasalahan ini, sila rujuk pada peguam syarie atau terus ke mahkamah Syariah berdekatan tempat tinggal anda untuk proses pengesahan tersebut.
Rujukan dan Bacaan Lanjut:
- Al-Fiqh Al-Manhaji, Jilid 4, Bab Undang-Undang Kekeluargaan, Pustaka Salam
- Nusyuz, Syiqaq dan Hakam Menurut Al-Quran, Sunah dan Undang-Undang Keluarga Islam, Penerbit USIM
- Mufti WP