Apakah mukjizat Nabi Ismail AS yang perlu anda ketahui? Artikel pada kali ini akan mengajak anda untuk mengenali latar belakang Nabi Ismail AS di samping kehebatan mukjizat yang Allah SWT berikan kepada baginda.
Sejarah Nabi Ismai AS
Nabi Ismail AS adalah anak sulung dari pasangan Nabi Ibrahim AS dan isterinya, Siti Hajar. Gelaran Nabi Ismail selalu dipanggil dalam kalangan orang Islam. Manakala bagi agama Yahudi dan Kristian pula, baginda lebih dikenali dengan panggilan Prophet Ishmael. Lahirnya di Kota Tel Rumeida, Al-Khalil yang dulu merupakan nama lama bagi daerah Hebron, Palestin.
Nabi Ismail AS dan 3 mukjizat
1. Diberi keselamatan daripada disembelih
Mukjizat yang diterima Nabi Ismail AS dari Allah SWT adalah berupa keselamatan ketika ayahnya, Nabi Ibrahim AS hendak menyembelihnya sebagai korban atas perintah Allah SWT. Pada suatu malam, Nabi Ibrahim AS bermimpi dan dalam tidurnya baginda telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS. Mimpi itu membuat hati Nabi Ibrahim AS tidak tenang. Namun ia tidak menggugat perintah Allah SWT kepadanya.
Nabi Ibrahim AS berfikiran adalah lebih baik sekiranya baginda memberitahu dahulu anaknya itu. Akhirnya, Nabi Ibrahim AS pun pergi untuk menemui anaknya. “Ibrahim berkata: ‘Wahai anakku sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi, aku menyembelihmu, maka bagaimana pendapatmu. ” (Surah Ash-Shaffat : ayat 102).
Lalu Nabi Ismail AS menjawab, “Wahai ayahku kerjakanlah yang diperintahkan Tuhanmu. Insya Allah engkau mendapatiku sebagai orang-orang yang sabar.” (Surah Ash-Shaffat : ayat 102).
Tenang hati seorang ayah apabila anaknya memberikan jawapan yang sedemikian. Atas kehendak Allah SWT ketika hendak disembelih, Allah SWT menggantikan baginda dengan seekor kibas. Ujian bagi kedua-dua beranak ini akhirnya selesai dengan izin Allah SWT. Peristiwa tersebut kemudian diperingati sebagai Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban oleh seluruh umat Islam, untuk mengingatkan mereka tentang Islam yang hakiki yang dibawa dan di amalkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Artikel Berkaitan: Kisah Nabi Ibrahim, Hajar dan Penyembelihan Nabi Ismail
2. Mata air zamzam
Kisah munculnya air zamzam bermula ketika Nabi Ibrahim AS mendapat perintah dari Allah SWT untuk membawa istrinya Siti Hajar dan anak, Nabi Ismail AS di lembah gersang Hijaz atau sekarang dikenali sebagai Mekah.
Tidak lama di sana, Nabi Ibrahim AS telah mendapat perintah lagi dari Allah SWT untuk kembali ke Syam bagi melanjutkan dakwah. Sementara di lembah Hijaz pula masih belum ada penduduk yang tinggal di situ. Nabi Ismail AS yang masih bayi, kehausan di tengah terik matahari kerana persediaan air mereka habis. Siti Hajar panik, lalu dia terus berlari antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali untuk mencari sumber air.
Namun usaha Siti Hajar masih tidak membuahkan hasilnya. Di tengah-tengah situasi yang sulit itu, Allah SWT menurunkan rahmatNya. Nabi Ismail AS kemudian memukul-mukulkan kakinya di atas tanah dalam keadaan menangis, lalu terpancarlah di bawah kakinya sumur zamzam sehingga kehidupan si anak dan si ibu itu terselamat.
3. Membangunkan kaabah
Pada suatu hari Nabi Ibrahim AS menerima wahyu dari Allah SWT agar membangun Kaabah. Nabi Ibrahim AS mendatangi anaknya lalu berkata, “Wahai Ismail, Allah memerintahkanku dengan suatu perintah.” Ismail berkata, “Lakukanlah apa yang diperintahkan Tuhanmu.” Ibrahim berkata lagi, “Apakah kamu akan membantu aku?” Ismail berkata, “Ya, aku akan membantumu.” Ibrahim berkata, “Allah memerintahkan aku agar membangun rumah di tempat ini.”
Nabi Ibrahim menunjukkan ke suatu tempat yang agak tinggi dibanding sekelilingnya. Di tempat itulah mereka akan membangunkan Kaabah. Kedua-duanya bekerja sambil mengucapkan kalimat doa, “Wahai Tuhan kami, terimalah (amal) dari kami sesungguhnya Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah : ayat 127).
Setelah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS selesai membangunkan Kaabah, lalu mereka berdoa, “Ya Tuhan Kami terimalah dari kami (amalan kami), sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji Kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkau Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah Al Baqarah : ayat 127-128).
Di harapkan artikel berkenaan mukjizat Nabi Ismail AS ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat untuk menambahkan lagi kecintaan anda kepada salah seorang dari 25 Nabi yang wajib umat Islam ketahui. Memiliki rasa patuh dan tunduk pada Allah SWT bukanlah kemahuan tetapi kewajipan semua umat Islam. Jasad yang beriman pada Tuhan Yang Maha Esa sahaja akan memandu kehidupannya untuk memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat.
Mukjizat Nabi yang Lain
Mukjizat Nabi Ismail | Mukjizat Nabi Daud |
Mukjizat Nabi Sulaiman | Mukjizat Nabi Musa |
Mukjizat Nabi Isa | Mukjizat Nabi Ibrahim |
Mukjizat Nabi Muhammad |
Rujukan
- Arsip (8 Februari 2021). 3 Mukjizat Nabi Ismail yang Masih Ada Sampai Sekarang. Laman web eramuslim.com
- Jiji Azizan (19 Januari 2020). Nabi Ismail merupakan anak Nabi Ibrahim dan istrinya Hajar. Laman web thepatriots.asia
- Kisah Nabi Ismail Lengkap Dari Lahir Sampai Wafat. Laman web muslimidia.com