Skip to content

5 Mukjizat Nabi Ibrahim Yang Anda Perlu Tahu

mukjizat nabi ibrahim

Apakah mukjizat Nabi Ibrahim AS? Artikel ini akan membincangkan beberapa mukjizati Nabi Ibrahim AS berserta kisah disebalik mukjizat tersebut.

Pengenalan

Nabi Ibrahim merupakan nabi keenam dari 25 nabi dan rasul yang memiliki mukjizat luar biasa dari Allah S.W.T. selama beliau hidup. Al-Quran menceritakan bahawa nabi Ibrahim adalah anak kepada Aazar manakala menurut riwayat Al-Hafidz Ibnu Asakir, ibunya bernama Amilah. Nabi Ibrahim mendapat gelaran Khalilullah iaitu sahabat Allah.

Raja Namrud seorang yang zalim dan sangat bongkak. Berdasarkan cerita dari kitab lama, Namrud telah mengarahkan orang untuk membina tempat yang sangat tinggi. Setelah itu, Namrud memanjat sehingga ke atas dan menghalakan anak panahnya ke arah langit. Anak panah menusuk langit lalu jatuh. Terdapat kesan seolah-olah darah pada anak panah. Namrud sangat gembira dan menyangka bahawa dia sudah berjaya memanah dan membunuh Tuhan serta mengatakan dirinya paling berkuasa. Allah S.W.T. menurunkan azab yang amat pedih kepada Namrud dengan menghantar tentera nyamuk dan Namrud mati disebabkan nyamuk masuk ke dalam telinga yang menuju ke otaknya.

Allah S.W.T. telah mengurniakan sesuatu yang istimewa kepada keluarga Nabi Ibrahim iaitu memakbulkan doanya dengan memberikan keturunan anak lelaki bernama Ishak ketika berusia 99 tahun dari isteri pertamanya, Sarah manakala seorang lagi anak lelakinya bernama Ismail dari isteri keduanya yang bernama Hajar.

Mukjizat Nabi Ibrahim AS

Terdapat beberapa mukjizat Nabi Ibrahim. Antaranya :

1. Tubuh nabi Ibrahim tidak hangus dijilat api

Di antara mukjizat nabi Ibrahim yang sudah lama diketahui umum ialah tubuhnya kalis api. Raja Namrud mengaku dirinya sebagai Tuhan dan menyekutukan Allah S.W.T. dengan menyembah berhala. Nabi Ibrahim A.S. berani menghancurkan kesemua patung berhala yang dibina oleh bapanya dan meninggalkan satu patung yang paling besar. Raja Namrud sangat marah dan menuduh Nabi Ibrahim menghancurkan berhala-berhala tersebut.

Nabi Ibrahim dengan tenang menjawab bahawa patung yang paling besar dengan kapak tergantung di leher patung itu yang menghancurkan semua berhala dan meminta mereka bertanya kepada patung itu. Jawapan yang diberikan oleh nabi Ibrahim bagi mereka tidak masuk akal kerana mereka mengetahui bahawa berhala hanyalah patung yang tidak dapat berbuat apa-apa, tiada kuasa dan tak mampu berbicara tetapi mereka tetap menyembahnya.

Ini membuatkan raja Namrud berang dan menyuruh kaumnya menangkap dan membakar nabi Ibrahim hidup-hidup. Api dinyalakan dengan kayu sebagai bahan bakar. Nabi Ibrahim ditempatkan di tengah-tengah kayu dikumpulkan.

Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah S.W.T. untuk memohon pertolongan :

حَسْبُنَا اللّٰهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ

Rumi : Hasbunallahu wa ni’mal-wakil

Ertinya: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.” (Surah al-Imran : Ayat 173)

Allah S.W.T. berfirman :

قُلْنَا يٰنَارُ كُوْنِيْ بَرْدًا وَّسَلٰمًا عَلٰٓى اِبْرٰهِيْمَ

Rumi : Qulna yaa naru kuni bardaw wa salaaman ‘ala ibrahim

Ertinya: “Kami (Allah) berfirman, ‘Wahai api! Jadilah kamu dingin dan penyelamat bagi Ibrahim!” (Surah al-Anbiya’ : Ayat 69)

Keratan ayat di atas boleh dibaca jika merasa suasana bahang yang amat panas di dalam tempat tertutup seperti di dalam bilik di mana berdasarkan pengalaman penulis, suhu sekitar akan jadi dingin dan tidak terlalu panas.

Nabi Ibrahim terperangkap di dalam api dan tidak dapat keluar selama 40 hari. Sepanjang tempoh itu, Allah S.W.T. telah memelihara nabi Ibrahim A.S. serta memberinya makan. Menyaksikan proses pembakaran itu, Raja Namrud dan para pengikutnya ketawa puas. Mereka menyangka nabi Ibrahim telah terbakar sepenuhnya menjadi abu.

Alangkah terkejutnya mereka setelah api besar yang menyala itu padam, nabi Ibrahim berjalan keluar dari tempat pembakaran dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan, berkat mukjizat nabi Ibrahim. Api menjadi dingin serta tubuh dan pakaiannya tidak dapat dibakar oleh api besar yang membara. Pengikut raja Namrud beriman kepada Allah S.W.T. setelah menyaksikan keajaiban mukjizat itu.

Artikel Berkaitan: Kisah Nabi Ibrahim dibakar oleh Raja Namrud

2. Menghidupkan makhluk yang sudah mati

Nabi Ibrahim mampu menghidupkan kembali makhluk yang sudah mati dan memohon kepada Allah S.W.T. untuk menunjukkan cara menghidupkan sesuatu yang telah mati.

Allah S.W.T. berfirman:

“(Kalau demikian) ambil empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. Lalu letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera.” Surah Al-Baqarah 260

Nabi Ibrahim segera melaksanakan perintah Allah. Beliau mencincang burung-burung, kemudian meletakkannya di puncak bukit. Nabi Ibrahim turun ke bukit dengan membawa kepala empat ekor burung tersebut. Allah S.W.T. meminta nabi Ibrahim memanggil burung-burung itu. Tak lama kemudian, burung-burung itu hidup. Kelihatan empat ekor burung terbang dari atas bukit lalu kembali menuju ke arah nabi Ibrahim.

3. Nabi Ibrahim mengeluarkan madu dari jari-jemarinya

Mukjizat ini diterima ketika nabi Ibrahim dilahirkan. Tukang tilik memberitahu raja Namrud bahawa akan lahir seorang bayi lelaki yang menyebabkan Namrud tewas di tangannya. Mendengarkan khabar berita tersebut, Namrud memerintahkan agar membunuh setiap bayi lelaki yang baru dilahirkan pada tahun itu.

Ibu nabi Ibrahim yang mengetahui hal itu segera melarikan diri ke dalam gua. Di gua itulah Nabi Ibrahim dilahirkan. Suatu hari, ibu nabi Ibrahim meninggalkan gua untuk pulang ke rumahnya. Apabila kembali ke gua, dia melihat anaknya Ibrahim sedang menghisap jari-jemarinya yang mengeluarkan madu.

4. Pasir bertukar menjadi makanan

Raja Namrud memiliki kekayaan yang melimpah-ruah dan orang-orang kerap datang untuk meminta bekalan makanan, termasuklah nabi Ibrahim. Setiap orang yang datang kepada raja Namrud akan ditanya, “Siapa Tuhanmu?” Semua orang menjawab Namrud adalah Tuhan mereka.

Setelah itu, Namrud akan berikan bekalan makanan. Ketika nabi Ibrahim ditanya pertanyaan yang sama, beliau menjawab, “Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan. Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mampu menerbitkan matahari dari timur, atau jika tiba saatnya untuk diterbitkan dari barat,” tegas nabi Ibrahim kepada Namrud.

Namrud terdiam mendengar jawapan nabi Ibrahim lalu menghalaunya tanpa memberikan makanan walau sedikit pun. Nabi Ibrahim pulang ke rumah membawa seguni pasir. Beliau meletakkan semua barang yang dibawanya dan berehat apabila sampai di rumah. Keesokannya, nabi Ibrahim sangat terkejut melihat isterinya memasak makanan yang sedap-sedap. Makanan tersebut datangnya dari guni nabi Ibrahim yang berisi pasir.

5. Orang pertama yang membina Ka’abah

Nabi Ibrahim adalah orang pertama yang membina Baitullah (Ka’abah) yang diperintah dan diajarkan oleh Allah S.W.T. Allah meminta nabi Ibrahim mendirikan sebuah rumah untukNya. Kemudian, Allah mengutuskan awan yang berkepala untuk menyampaikan pesanan kepada nabi Ibrahim agar membuat garis sebesar awan itu. Nabi Ibrahim mengambil ukuran awan. Awan berkepala itu bertanya, “Adakah engkau sudah lakukannya?”

Nabi Ibrahim memberikan jawapan “Ya”. Awan menghilang dan Allah mendatangkan struktur bangunan yang bertapak di bumi. Struktur bangunan tersebut ditinggikan oleh nabi Ibrahim bersama anaknya, nabi Ismail sehingga membentuk Baitullah (Ka’abah).

Nabi Ibrahim digelar Ulul Azmi kerana sangat tabah dalam menghadapi dugaan. Beliau mengajak kaumnya bertakwa hanya kepada Allah dan meninggalkan perbuatan terlarang seperti menyembah berhala. Nabi Ibrahim seorang yang berserah diri semata-mata hanya kepada Allah serta mempunyai keberanian luar biasa. Semoga kita dapat mencontohi nabi Ibrahim serta mengambil iktibar dari kisah Namrud supaya menghindari dosa menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. 

Mukjizat Nabi yang Lain

Mukjizat Nabi IsmailMukjizat Nabi Daud
Mukjizat Nabi SulaimanMukjizat Nabi Musa
Mukjizat Nabi IsaMukjizat Nabi Ibrahim
Mukjizat Nabi Muhammad

Rujukan:

  1. Kisah Mukjizat Nabi Ibrahim Tahan Dibakar Api untuk Diceritakan ke Buah Hati – Hai Bunda
  2. Mukjizat Nabi Ibrahim AS: Sanggup Menahan Kobaran Api – Kumparan
  3. Mukjizat Nabi Ibrahim, Tak Mampu Dilahap Api – Detik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × four =