Skip to content

10 Kelebihan Surah Al-Falaq yang Perlu Diketahui

kelebihan surah al falaq

Apakah kelebihan surah Al-Falaq yang perlu anda tahu dan kepentingannya dalam kehidupan manusia? Artikel pada kali ini akan berkongsi secara mendalam aspek-aspek yang ditekankan dalam Surah Al-Falaq dan kelebihan yang ada padanya namun tidak ramai orang tahu.

Apakah surah Al-Falaq?

Surah Al-Falaq (سورة الفلق) merupakan surah yang ke-113 dalam Al-Quran. Surah ini mempunyai 5 ayat sahaja sekaligus menjadikan ia antara surah terpendek dalam Al-Quran seperti Surah Al-Kautsar (3 ayat), dan Surah Al-Ikhlas (4 ayat). 

Ia berasal daripada Makiyyah dan diturunkan selepas Surah Al-Fiil. “Falaq” bererti “seluruh makhluk” atau sebagaian ahli tafsir menerangkannya sebagai “waktu subuh”.

Surah ini turut dikenali sebagai surah Muawwizatain. Surah Al-Falaq bersama-sama dengan Surah An-Nas adalah dua surah yang mengandungi permohonan perlindungan (Muawwizatain), Ia dikategorikan sebagai surah yang mempunyai kedudukan tertinggi di antara surah-surah yang lain. 

Ayat-ayat dalam Surah Al-Falaq mengajar kita untuk memohon perlindungan dari Allah SWT daripada segala kejahatan sama ada manusia, jin, syaitan, haiwan berbisa atau buas, makhluk lain, kejahatan dosa, hawa nafsu, dan apa-apa amalan buruk. 

Mengapa diturunkan surah Al-Falaq

Dari Abu Said Al-Khudri RA berkata,  “Jibril AS pernah mendatangi Nabi SAW dan berkata: “Wahai Muhammad, adakah engkau sakit?” Kemudian, Nabi SAW menjawab: “Benar.” Lalu, Jibril berkata:

بِسْمِ اللهِ أَرْقِيْكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيْكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللهُ يَشْفِيْكَ، بِسْمِ اللهِ أَرْقِيْكَ

Maksud: “Dengan nama Allah, aku meruqyahmu dari segala sesuatu yang mengganggumu dan dari keburukan penyakit ‘ain yang timbul dari pandangan mata orang yang dengki. Semoga Allah menyembuhkanmu. Dengan nama Allah, aku meruqyahmu.” – (Hadis Riwayat Muslim, no: 2186)

Bertepatan dengan hadis sahih yang diceritakan di mana seorang Yahudi, Labid bin Al-A’sham telah melakukan sihir terhadap Nabi SAW. Hasil kesan dari sihir itu telah menyebabkan Nabi Muhammad SAW sekadar pening sedikit dan sakit kepala dalam keadaan tertentu. Justeru, ia tidak sama sekai menghilanngkan kewarasan akal fikiran Rasululullah SAW atas pertolongan Allah SWT. Seperti mana yang difirmankan oleh Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 67:

وَٱللَّهُ يَعۡصِمُكَ مِنَ ٱلنَّاسِ

Maksudnya: “Dan Allah lah yang memelihara daripada gangguan manusia.” 

Tafsir surah Al-Falaq

Majoriti semua umat Islam hafal surah ini dan ramai yang menjadikan ia sebagai surah lazim yang dibaca dalam solat. Oleh yang demikian, adalah sangat baik sekiranya kita menghayati apakah makna di setiap ayat. 

Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk.

“Dari bencana makhluk-makhluk yang ia diciptakan;

“Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;

“Dan dari kejahatan makhluk-maklk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);

“Dan dari kejahatan orang yang dengi apabila ia melakukan dengkinya.”

Kelebihan surah Al-Falaq

Secara umumnya, setiap ayat Al-Quran mempunyai kelebihan dan manfaatnya yang tersendiri. Antaranya seperti:

1. Surah yang tiada bandingan

Nabi Muhammad SAW, bersabda: “Apakah engkau tidak melihat ayat-ayat yang diturunkan malam ini yang belum pernah ada bandingannya. Ayat-ayat itu ialah ‘Qul A’uzdu Birabbil Falaq’ (Al-Falaq) dan ‘Qul A’udzu Birabbin Naas’ (An-Nas).”  – (Hadis Riwayat Muslim).

2. Surah yang sangat dicintai oleh Allah 

Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah ‘Qul A’uzdu Birabbil Falaq’ (Al-Falaq) kerana kamu tidak dapat membaca mana-mana surah yang amat dicintai Allah SWT dan sangat cepat diterima Allah SWT, seperti surah ini. Maka semana mampu kamu janganlah kamu tinggalkannya.”

3. Surah yang sangat cepat diterima kepada Allah 

Disebut pada riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Kamu tidak dapat membaca apa-apa yang sangat pantas sampai kepada Allah SWT seperti ‘Qul A’udzu Birabbil Falaq’ (Al-Falaq).”

4. Memberi perlindung dari disihir

Mengambil pengajaran dari kisah Rasulullah SAW yang disihir oleh lelaki Yahudi itu menunjukkan bahawa kelebihan Surah Al-Falaq ada bila mana kita mahu meminta perlindungan dari perkara luaran seperti sihir. 

5. Terhindar dari penyakit was-was

Penangan sihir yang pernah diterima oleh Rasulullah dahulu cukup hebat sehingga menyebabkan baginda berasa was-was khususnya melibatkan amal ibadah. Ini menyebabkan baginda menyangka telah melakukan sesuatu ibadah, sedangkan belum lagi dilakukan. 

Imam Jalaluddin al-Mahali menyebut bahawa sihir yang dihantar kepada baginda adalah diikat melalui tali busur dengan 11 ikatan. Lalu, Allah memberi petunjuk mengenai sihir tersebut dengan diturunkan Surah Al-Falaq sebagai bacaan perlindungan.

6. Digunakan dalam rawatan ruqyah

Rawatan ruqyah merupakan salah satu kaedah rawatan alternatif Islam menggunakan Al-Quran. Surah Al-Falaq adalah antara surah yang dibaca dan digunakan untuk merawat pesakit.

Ibnu Qayyim menyebut,  “Mengenai sirah baginda SAW yang terkena sihir, ia bukanlah aib kepada kemaksuman Baginda. Hal ini kerana, sihir merupakan sebuah penyakit, iaitu penyakit ‘ain dan ia boleh tertimpa kepada sesiapa bahkan juga Rasulullah. Nabi SAW menderita sakit ini sebagaimana Baginda menderita penyakit lain.” (Zaad Al-Ma’ad, 4:113-114)

7. Dikenali sebagai surah Al-Mu’awwizataini

Nabi SAW pernah bersanda tentang kelebihan Surah Al-Falaq. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Telah diturunkan kepadaku ayat-ayat yang tidak sepertinya iaitu Al-Mu’awwizataini” (Surah An-Nas dan Surah AlFalaq).” – (Hadis Riwayat Muslim, no: 814, At-Tirmidzi, no: 2827, An Naasa’I, no: 944).

8. Dianjurkan untuk dibaca selepas salam

Daripada Uqbah bin Amir, katanya;

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقْرَأَ الْمُعَوِّذَاتِ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnna: “Rasulullah SAW memerintahkan padaku untuk membaca Muawwizaat  di akhir solat (sesudah salam).” – (Hadis Riwayat. An Nasai no. 1336 dan Abu Daud no. 1523. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini sahih).

9. Mengukuhkan keyakinan manusia untuk beriman kepada Allah dan perkara ghaib

Penyakit ‘ain adalah disebabkan oleh pandangan mata yang disertai oleh sifat iri hati dan rasa takjub kepada orang yang dilihat. Bermula dari pandangan mata, ia boleh cenderung untuk menyihir orang lain. 

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW berkata : Sesungguhnya pandangan mata itu adalah benar.” – (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)

10. Sebagai syifa dan penyembuhan penyakit

Kelebihan Surah Al-Falaq sangat bagus sebagai syifa semula jadi bagi mereka yang sakit khususnya untuk penyakit mistik dan makhluk halus. 

Diharapkan artikel berkenaan dengan kelebihan Surah Al-Falaq ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat dan ilmu pengetahuan yang berguna.

Kelebihan Surah yang Lain

Surah YusufSurah Al-Balad
Surah Al-KafirunSurah Ad-Dhuha
Surah Al-FalaqSurah Ad-Dukhan
Surah Al-KautharSurah As-Sajadah
Surah Al-IkhlasSurah Al-Fatihah
Surah Al-BaqarahSurah Al-Mulk
Surah Al-WaqiahSurah Ar-Rahman
Surah Al-InsyirahSurah Yasin
Surah Al-Kahfi

Rujukan:

  1. Tafsir Al-Munir, Juz 30, Dr. Wahbah Al-Zuhaily (Terjemahan). Penerbit: Persatuan Ulama Malaysia dan Intel Multimedia And Publication, Selangor, 2001.
  2. Ibrah Surah Al-Falaq (Siri 2), Sinar Plus. 
  3. Al-Qur’an dan Terjemahnya. Penerbit: Jaffar Abdullah Bajrai, Batu Pahat, Johor
  4. Mukhtashar Tasir Ibn Katsir (Ringkasan Tafsir Ibn Katsir), Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni. Penerbit: Jabal, Bandung, 2013.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × 1 =