Skip to content

5 Kelebihan Membaca Surah Yasin Yang anda Perlu Tahu

kelebihan membaca surah yasin

Apakah kelebihan membaca surah yasin? Artikel ini akan membincangkan beberapa kelebihan dan manfaat jika seseorang itu membaca surah yasin?

Pengenalan

Hati al-Quran adalah surah Yasin. Yasin adalah surah yang ke-36 terdiri daripada 83 ayat. Surah ini tidak asing diamalkan dalam kehidupan masyarakat Islam. Setiap kali malam Jumaat, semasa adanya kematian dan apabila seseorang mempunyai hajat, surah Yasin akan dibaca.

Kelebihan Membaca Surah Yasin

Kita semua akan kembali semula menghadap Allah di akhirat. Hanya Allah S.W.T. satu-satunya Pencipta yang wajib disembah. Banyak hadis Rasulullah S.A.W. menerangkan kelebihan dan hikmah surah Yasin. Artikel menyenaraikan lima (5) kelebihan surah Yasin iaitu :

1. Dosa diampunkan oleh Allah S.W.T.

Selain menunaikan solat sunat Taubat, surah Yasin juga dibaca untuk memohon keampunan di atas segala dosa yang telah dilakukan di dunia dengan penuh pengharapan dan mencari keredhaan Allah. Surah Yasin sangat baik untuk dibaca setiap hari sambil menghayati maksudnya.

Jundub R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang membaca surah Yasin dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredhaan Allah nescaya akan diampunkan dosanya.” (HR Malik, Ibnus-Sunni dan Ibnu Hibban)

2. Mengurangkan kesakitan ketika sakaratulmaut

Surah Yasin selalu dibaca ketika seseorang sedang nazak atau telah meninggal dunia. Sesungguhnya sakaratulmaut itu amat seksa dan menyakitkan ketika roh ditarik keluar dari badan oleh malaikat pencabut nyawa, Izrail.

Yasin dibaca untuk mengurangkan kesakitan sakaratulmaut, diringankan azab dan memudahkan roh dicabut keluar. Di samping itu juga, kita berdoa agar segala doa arwah diampunkan oleh Allah dan memohon diberi kematian yang baik dalam keadaan Husnul Khatimah.

Daripada Ma’qal bin Yaasar R.A. bahawasanya Baginda S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : “Hati al-Quran ialah surah Yasin, tidaklah dibaca akan dia oleh seorang lelaki yang mengharapkan Allah dan kampung akhirat melainkan diampun oleh Allah dosanya dan bacalah surah Yasin kepada mereka yang hampir mati dan selepas mati.” (HR Ahmad, Abu Daud dan An-Nasai)

3. Ditunaikan segala hajat

Jika anda mempunyai hasrat yang baik yang terbuku di sanubari, amalkan membaca surah Yasin. Selalunya bila budak-budak sekolah nak menghadapi peperiksaan besar yang penting seperti PT3, UPSR, PMR dan SPM, guru-guru dan ibu bapa akan mengadakan bacaan Yasin beramai-ramai beserta doa. Mereka akan membawa botol air masak supaya air-air tersebut dapat diruqyah dengan Yasin untuk mendapatkan keberkatan dan penerang hati bagi pelajar.

Namun, pelajar harus berusaha belajar bersungguh-sungguh di samping menjaga pemakanan, sentiasa berdoa dan solat fardhu lima waktu kerana air Yasin bukan jaminan dapat straight A. Bagi yang beragama Islam, air Yasin hanya menjadi asbab setelah kita berusaha dan bertawakkal dengan menyerahkan urusan sepenuhnya kepada Allah S.W.T. yang Maha Kuasa.

Sabda nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud : “Surah Yasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan “Al-Muimmah” (yang menyelubungi) pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat dan yang menanggung segala bala dan kesusahan dunia dan akhirat dan dinamakan juga sebagai perisai dan penunai hajat, yang melindungi pembacanya dari setiap keburukan dan kejahatan dan yang menunaikan bagi pembacanya segala hajat dan kemahuan.” (HR Said bin Mansur dan al-Baihaqi dari Hasan bin Aziah)

4. Mendapat pahala melalui bacaan

Segala-galanya yang berkaitan dengan takdir dan perjalanan hidup setiap manusia telah tertulis di kitab Luh Mahfuz. Semua amalan baik dan jahat manusia sepanjang hidup di dunia dicatit dalam buku amalan oleh malaikat Raqib dan A’tid yang akan dihisab di Padang Mahsyar.

Dengan mulut yang terkunci, hanya anggota tubuh menjadi saksi ketika perbicaraan dijalankan di hadapan Allah. Allah akan mengurniakan pahala berlipat kali ganda seolah-olah kita telah membaca al-Quran sebanyak 10 kali hanya dengan membaca surah Yasin.

Dari Anas R.A., Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang membaca surah Yasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai 10 kali membaca seluruh al-Quran.” (HR At-Tirmizi)

5. Dilindungi dari segala kejahatan

Maksud perkataan Kun Fa Ya Kun yang disebut oleh Allah adalah “Jadilah!”, maka jadilah sesuatu itu. Yasin boleh dijadikan ikhtiar dan perisai untuk menangkis perkara buruk. Di zaman moden ini ada manusia yang cemburu dan dengki dengan kebahagiaan dan kegembiraan orang lain sehingga sanggup menghantar santau atau sihir untuk membuatkan hidup orang lain kucar-kacir.

Sesetengahnya mengamalkan ilmu hitam dan ingin menguji kekuatan ilmunya. Pengaruh ajaran sesat juga merbahaya. Pengamal surah Yasin dilindungi daripada sebarang kejahatan dan bala bencana, contohnya seperti kemalangan sama ada yang datang dari manusia, jin, Iblis dan syaitan dengan izin Allah jua. Allah berkuasa dalam menentukan sesuatu perkara. 

Penutup

Bumi dan segala yang ada di air, darat dan udara adalah milik Allah Yang Maha Satu. Kesenangan di dunia hanya sementara. Banyakkan bersyukur dan berzikir dengan memuji kebesaran Allah S.W.T. yang tiada tolok bandingannya. Al-Quran penuh dengan wahyu, hikmah dan peringatan kepada yang lalai agar tidak terpesong dari jalan yang benar.

Tiada siapa mengetahui maksud di sebalik perkataan Yaa Sin di permulaan ayat kecuali Allah. Orang yang takut serta berserah hanya kepada Allah akan memperolehi keampunan, pahala dan mendapat tempat mulia di sisi Allah. Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan penuh keyakinan. Semoga kita dijauhi daripada kesesatan yang nyata dan tersembunyi.

Kelebihan Surah yang Lain

Surah YusufSurah Al-Balad
Surah Al-KafirunSurah Ad-Dhuha
Surah Al-FalaqSurah Ad-Dukhan
Surah Al-KautharSurah As-Sajadah
Surah Al-IkhlasSurah Al-Fatihah
Surah Al-BaqarahSurah Al-Mulk
Surah Al-WaqiahSurah Ar-Rahman
Surah Al-InsyirahSurah Yasin
Surah Al-Kahfi

Rujukan

  1. Zaki Shaari. (2018). Kumpulan 7 surah. Al-Hidayah House of Qur’an Sdn. Bhd.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 − 7 =