Skip to content

Isu Capal Nabi: Apa Pendirian Kita?

isu capal nabi

Segala puji bagi Allah, tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ. Penulis ingin memulakan artikel ini dengan sepotong hadis berikut.

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (107)]

Baru baru ini timbul satu isu tentang logo capal Nabi yang dilakar dan dicetak di atas topi, kopiah, baju dan tempat-tempat yang lain. Wujud beberapa pihak yg menyanggah perbuatan tersebut atas sebab perkara itu tidak pernah dilakukan oleh para sahabat, tabi’ tabi’in mahupun orang-orang soleh selepas kewafatan Nabi Muhammad. Tidak kurang juga wujud golongan yang mempertahankan amalan ini atas dasar cinta mereka terhadap Rasulullah ﷺ. Oleh yang demikian, dalam artikel ini penulis akan menyimpulkan serba sedikit tentang:

  1. Penjelasan Masalah
  2. Isu Khilaf
  3. Hukum
  4. Pendekatan
  5. Kesimpulan

Penjelasan Masalah

Untuk memahami isu ini, penulis ingin mengemukakan 2 istilah yang harus kita fahami terlebih dahulu iaitu:

Tabarruk: Berasal daripada perkataan barakah. Bererti mengharapkan keberkatan daripada Allah dengan sesuatu yang mulia dalam pandangannya.

Tawassul: Daripada segi bahasa bermaksud mendekat diri. Manakala daripada segi istilah bermaksud menjadikan sesuatu amalan sebagai perantara atau penyebab untuk mendekat diri kepada Allah.

Dua istilah ini berkait rapat dengan isu penggunaan logo capal nabi. Segelintir pereka topi atau kopiah melukis design capal dengan tujuan untuk mengambil keberkatan dari capal Baginda nabi, diletakkan juga di atas kepala sebagai tanda memuliakan Nabi ﷺ dan tanda peringatan supaya sentiasa merendah diri. Segelintir masyarakat juga memakai design tersebut untuk mengambil berkat atas peninggalan barangan baginda. Mungkin ada juga antara mereka yang percaya dengan meletakkan logo capal di atas kepala, mereka boleh mendekatkan diri kepada Allah, doa mereka akan lebih mudah dimakbulkan, dan dapat mengelakkan diri daripada ditimpa kecelakaan. Logo capal yang dimaksudkan adalah seperti gambar di bawah:

Persoalannya, adakah itu logo capal sebenar yang pernah baginda Nabi pakai? Dan yang paling mustahak untuk kita ketahui, apakah hukum bertabarruk dan bertawassul dengan capal nabi?

Isu Khilaf

1. Barang peninggalan Nabi

Kita tidak menafikan, bahkan kita sangat mengakui bahawa barang-barang peninggalan Nabi Muhammad s.a.w mempunyai kemuliaan dan keberkatannya. Hal ini termasuklah seperti capal nabi, baju besi yang dipakai baginda semasa perang, jubah nabi, helaian rambut dan janggut nabi, pedang yang dihayun baginda dan pelbagai peninggalan yang lain.

Dalam sahih bukhari terdapat pelbagai riwayat yang mengatakan bahawa para sahabat bertabarruk dengan baginda Nabi s.a.w seperti:

  1. Para sahabat berebut-rebut menadah air wuduk yang jatuh dari anggota tubuh Rasulullah ﷺ, untuk mendapat keberkatan baginda.
  2. Rasulullah ﷺ sendiri apabila mencukur rambutnya ketika Haji Wada’, baginda memberi rambut itu pada seorang sahabat, dan baginda menerintahkannya agar diagih-agihkan kepada sahabat lain.
  3. Anas bin Malik menyimpan peluh Nabi ﷺ di dalam botol minyak wangi dan menyimpan rambut baginda. Beliau meminta untuk ditanamkan bersama peluh dan rambut baginda ketika matinya.

Tetapi harus diingat, yang dibolehkan adalah barang yang tulen sahaja yang sabit dan terbukti benda itu datang dari Nabi Muhammad s.a.w. Namun, para ulama telah sepakat menyebut pada zaman ini barang peninggalan baginda adalah sukar untuk dibuktikan kesahihannya. Selain itu, yang dibolehkan juga adalah barang fizikal itu sendiri, bukannya lukisan, lakaran, gambaran, ukiran atau apa-apa sahaja bentuk yang lain.

Masalah yang berlaku pada hari ini, sesetengah individu mendakwa barangan yang mereka letakkan di muzium dan pameran artifak adalah barangan asli milik nabi. Bagaimana untuk kita memastikan benda itu kepunyaan Nabi? Jawapannya tiada cara. Peninggalan artifak bukanlah seperti ilmu hadis yang mana disiplin ilmunya telah disusun oleh ribuan ulama selama ribuan tahun. Oleh itu mudah untuk kita ketahui yang mana hadis sahih, dan yang mana hadis palsu. Tetapi berlainan dengan barang peninggalan nabi, sangat sukar untuk kita buktikan kesahihannya. Kebanyakan yang ada pada hari ini hanyalah replika. Walau bagaimanapun, penulis tidak menafikan wujudnya barang asli kepunyaan nabi yang masih dijaga rapi hingga sekarang. Namun sekiranya ada, penulis pasti benda itu tidak akan senang-senang dibawa ke merata-rata tempat sebagai pameran seperti yang berlaku pada hari ini.

2. Capal Nabi

Telah dijelaskan di atas, hukum bertabarruk dengan capal nabi yang sebenar adalah dibolehkan. Akan tetapi, yang menjadi isu sekarang adalah logonya. Bukan fizikal capal tersebut. Pertama sekali penulis ingin menimbulkan satu persoalan, adakah benar nabi memakai capal seperti design logo terbabit? Mana kita tahu?

Perkara ini adalah khilaf. Mereka yang membenarkan logo tersebut mestilah membuktikannya. Terdapat beberapa ulama yang cuba melakar bentuk capal nabi berdasarkan hadis-hadis tentang capal baginda. Seperti Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam kitabnya “Jawahirul Bihar”, Maulana Asyraf Ali Thanwi dalam “Zadus Sa`id” dan Imam Ibnu ‘Asakir dalam kitabnya “Timtsalu Na’l an-Nabiy” dan pelbagai lagi. Namun harus diketahui, Nabi tidak memakai capal itu sahaja dalam hayat beliau, baginda juga memakai khuf (kasut kulit) dan kasut pergi berperang.

Hukum

Penulis ingin memetik jawapan daripada Mufti Negeri Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin, bersama petikan berikut:

“.. Para ulama semasa telah membuat kaijian dan mentarjihkan bahawa tiada lagi sebarang peninggalan dari jasad atau barangan kegunaan Nabi yang boleh disabitkan kewujudannya dengan bukti yang sahih.

Sebaliknya perbuatan mengadakan logo, replika, lambang, atau seumpamanya yang dikatakan menyerupai barangan atau kesan peninggalan Nabi lalu mengambil keberkatan daripadanya adalah perkara yang diadakan dalam agama yang dilarang. Jika hal ini dibiarkan maka berbagai-bagai replika, rajah, ilustrasi dan tangkal akan muncul seperti replika Kaabah, capal, unta, tapak kaki dan seumpamanya dengan tujuan mengambil berkat. Ini akan membuka ruang untuk manusia membina berhala atas alasan mengambil keberkatan.

Manakala sekadar mengadakan logo yang tidak bercanggah dengan syariat Islam tanpa tujuan tabarruk seperti lambang bulan, bintang, bulan sabit, Kaabah, pokok kurma, pedang dan seumpamanya adalah dibolehkan.”

Kesimpulannya, sekiranya seseorang itu memakai logo capal dengan sekadar niat menyukai design tersebut, ataupun memang topi itu sahaja yang dia ada, hal ini adalah dibolehkan. Tetapi sekiranya dia memakai dengan kepercayaan bahawa dia mendapat keberkatan ataupun Allah akan lebih menjaga dan mendengar doanya, perkara ini adalah dilarang. Hal ini seumpama kita memakai tangkai untuk menjaga diri daripada musibah.

Pendekatan

Penulis tidak pernah mempunyai masalah dengan mana-mana logo atau design yang mendakwa pemakainya boleh mendekatkan diri kepada Allah dan rasulnya. Tetapi yang ditegaskan disini adalah kepercayaan tertentu ke atas barangan terbabit. Inikan pula sebuah logo yang sudah tentu jauh sekali daripada apa sahaja kelebihan yang mereka dakwa.

Memetik kata Dato’ Dr Abdul Basit Abdul Rahman, seorang ulama terkemuka di Malaysia, ketika mengulas isi ini beliau mengatakan:

“Kita boleh bertabarruk dengan pelbagai ilmu dan ajaran baginda. Dari segi sunnah, adab, akhlak, adat-adat, kesemuanya tersimpan rapi dalam kitab-kitab hadis, jadi mengapa kita perlu cari gambar-gambar selipar untuk mengatakan dia cinta kepada nabi? Cinta nabi bukan dengan gambar selipar, tetapi dengan mengikut apa yang telah diajar oleh baginda nabi yang mulia sahaja.”

Sebagai kesimpulan, penulis ingin mengajak para pembaca untuk lebih mengutamakan pemakaian sunnah. Pakaian sunnah iaitu pakaian yang bersesuaian mengikut iklim dan keadaan di sesuatu tempat. Sebagai contoh, kopiah adalah sinonim dengan adat masyarakat kita apabila bersolat di masjid. Itu adalah sunnah. Namun tidaklah menjadikan kopiah capal lebih mulia ataupun pemakainya mendapat pahala extra berbanding kopiah yang lain. Apa-apa sahaja pakaian yang menutup aurat dan tidak dipandang pelik oleh orang yang melihat adalah sunnah.

Kesimpulan

Isi penting yang mesti difahami daripada artikel ini adalah

  1. Kelebihan sesuatu mesti berasaskan dalil dan bukti daripada Allah dan Rasul
  2. Barang kepunyaan rasul mempunyai kelebihan. Kita boleh bertabarruk dengan barangan peninggalan baginda Nabi s.a.w
  3. Agama sering dieksploit sebagai bahan komersial oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Pembeli hendaklah bijak supaya tidak termakan umpan para peniaga yang menjual nama nabi dan selalu membuat dakwaan palsu seperti “kismis jampi”, “air penawar” , “bekam sunnah” dan sebagainya.
  4. Pemakaian logo capal adalah dibolehkan. Namun apabila dianggap sebagai “perantaraan” dan alat “keberkatan” perkara itu dilarang dan ditegah dalam agama.

Wallahualam. Sila tinggalkan komen sekiranya para pembaca mempunyai pendapat untuk dikongsi atau soalan yang yang hendak dikemukakan.

RUJUKAN

  1. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis – Hukum Bertabarruk dengan Peninggalan Nabi SAW
  2. Indikator Keberkatan Dalam Penyelidikan Islam – Nor Hanani Binti Ismail, Khairiah Mohd Yassin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × three =