Skip to content

Hukum Mencium Isteri Ketika Puasa. Boleh atau Tidak?

hukum mencium isteri ketika puasa

Apakah hukum mencium isteri ketika puasa. Artikel ini akan membincangkan hukum mencium isteri ketika puasa. Adakah ia dibenarkan atau tidak

Layanan suami kepada isteri

Suami yang melayani isterinya dengan baik adalah suatu kewajipan dalam Islam. Menurut Surah an-Nisa’ ayat 19: 

Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.

Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ lil Ahkam al-Quran menyebutkan bahawa ayat ini memerintahkan golongan suami atau wali untuk melayani golongan wanita dengan baik. Berikan kepada mereka nafkah berbentuk makan minum, pakaian, dan sebagainya. 

Untuk suami pula, perlu berikan mereka nafkah batin seperti persetubuhan, kegembiraan dan kebahagiaan. Suami ada tanggungjawab untuk membahagiakan isteri. 

Seorang suami tidak boleh mementingkan diri sendiri. Contohnya dalam hal persetubuhan. Suami perlu bertimbang rasa. Jangan memaksa isteri bilamana dia tidak mahu, penat dan sebagainya. 

Jangan gunakan alasan “halal” atau “taat suami” untuk berlaku zalim kepada pasangan. Itu akan menyedihkan mereka. Disebabkan itu, hubungan akan berpotensi untuk menjadi bermasalah. 

Kekalkan keharmonian dalam hubungan suami isteri. 

Allah berfirman dalam Surah at-Talaq ayat 6: 

Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka dan menyempitkan hati mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin. 

Ayat ini memperjelaskan nafkah yang perlu diberi oleh suami kepada isteri yang telah diceraikan. 

Islam menjaga hak wanita sampai ke tahap begini. 

Sudah diceraikan pun, suami tidak boleh memutuskan pemberian nafkah kepada bekas isteri. Apatah lagi sekiranya isteri itu sedang mengandung. Lagilah suami tersebut perlu menyiapkan tempat tinggal dan nafkah sehingga dia melahirkan anak. 

Pemberian nafkah ini berterusan sepanjang iddah. 

Perkara ini berubah sekiranya cerai itu adalah pada talak yang tidak boleh dirujuk dan bekas isteri itu terus berkahwin dengan orang lain. Di sini, barulah nafkah itu boleh untuk tidak diberi kerana tanggungjawab itu sudah berpindah kepada suami baharunya. 

Aurat suami isteri 

Apakah ada aurat antara suami dan isteri? 

Jawabnya, tidak ada. 

Suami dan isteri boleh melihat seluruh badan sesama sendiri. 

Aisyah RA berkata: 

Dahulunya saya pernah mandi bersama Rasulullah SAW dari bekas yang satu antara saya dan baginda, baginda mendahului saya (mengambil air), sehingga menyebabkan saya berkata, “Tinggalkan sama untuk saya, tinggalkan sama untuk saya.” Katanya lagi, “Ketika itu kami berdua berada dalam keadaan berjunub. (Riwayat Muslim)

Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan hadis ini dalam Fathul Bari. Kata beliau, hadis di atas membuktikan bahawa tidak ada aurat antara suami isteri. Suami boleh melihat kemaluan isteri dan juga isteri boleh melihat kemaluan suami. 

Sentuhan suami isteri 

Suami dan isteri boleh bersentuhan. Tidak salah. 

Namun, terdapat keadaan yang boleh membatalkan wuduk sekiranya mereka bersentuhan. 

Dalam Mazhab Syafie, Imam an-Nawawi ada menyebutkan bahawa suami dan isteri yang bersentuhan antara kulit dan kulit adalah membatalkan wuduk. Sekiranya berlapik, tidak batal. 

Hal ini terpakai juga pada jenis-jenis sentuhan yang lain seperti mencium dan sebagainya. 

Hukum mencium isteri 

Hukum mencium isteri adalah sunat dan berpahala kerana ia menguatkan ikatan kasih sayang dan cinta antara dua pasangan yang halal. 

Namun, bolehkah kita mencium isteri kita di hadapan khalayak ramai? Atau di media sosial? 

Kita menunjuk-nunjuk kemesraan dan keintiman kita di hadapan orang umum. Bolehkah? 

Imam an-Nawawi berkata, kita hendaklah menjaga maruah di hadapan orang ramai meskipun perbuatan kita itu halal pada asalnya seperti mencium isteri. 

Namun, tidaklah bermakna kita boleh menciumnya dan berbuat perkara-perkara yang berbentuk keintiman di hadapan orang ramai. Kita perlu ada rasa malu. 

Rasulullah bersabda: 

Sesungguhnya sifat malu tidaklah mendatangkan apa-apa kecuali hanya kebaikan. (Riwayat Bukhari)

Mencium isteri ketika puasa 

Banyak hadis oleh Aisyah dan Ummu Salamah yang menceritakan bahawa Rasulullah itu mencium isterinya sedangkan baginda berpuasa. 

Jadi, berdasarkan hadis tersebut, mencium isteri ketika puasa itu adalah harus hukumnya. 

Namun, ulama berbeza pandangan kerana takut ada timbulnya syahwat. Sedangkan, puasa itu adalah untuk membendung syahwat. 

Jadi, para ulama menggalakkan untuk menjauhi seketika daripada mencium isteri ketika puasa supaya tidak timbul syahwat yang boleh membawa kepada persetubuhan dan sebagainya. 

Kesimpulan

Hukum mencium isteri ketika puasa itu adalah harus tetapi kita perlu berhati-hati dengan kehadiran syahwat. Tujuan berpuasa adalah untuk menahan syahwat. Jadi, sekiranya puasa itu penuh dengan perbuatan syahwat, maka ia sudah bertembung dengan tujuan asal puasa. Berhati-hatilah. 

Rujukan 

  1. Suami Isteri Bercumbu Di Media Sosial – Mufti Wilayah Persekutuan.
  2. Mencium Isteri Dapat 10 Ganjaran Pahala – Mufti Wilayah Persekutuan.
  3. Hukum Melihat Aurat Antara Suami Isteri – Binsahak.com
  4. Hukum Mencium Isteri Di Siang Hari Pada Bulan Ramadhan – Addeen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one − one =