Apakah hukum seseorang isteri minta cerai dari suami? Artikel ini akan membincangkan hukum berkenaan perkara ini secara mudah.
Pengenalan
Nikah dari segi bahasa bermakna dakap dan bertaut. Bertaut antara satu sama lain. Maknanya, ia mesti ada dua benda yang saling bertaut. Tidak boleh satu benda. Sama ada seorang manusia, seekor binatang, satu benda dan sebagainya.
Dari segi syarak pula nikah bermaksud akad yang mengharuskan hubungan suami isteri sesuai dengan syarak atau ajaran Islam. Perkahwinan ini disyariatkan dalam Islam melalui ayat tiga surah an-Nisa iaitu,
“..maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja,”
Ayat ini menceritakan bahawa kita boleh berkahwin dengan sesiapa yang kita berkenan. Untuk lelaki, boleh berkahwin dua, tiga atau empat isteri. Sekiranya bimbang yang diri sendiri tidak mampu berlaku adil kepada isteri-isteri, maka kahwinilah seorang isteri sahaja.
Tujuan perkahwinan haruslah lebih besar daripada sekadar mengelak diri daripada zina. Elak diri daripada zina itu bukan tujuan, ianya hikmah. Hayati hadis ini, Rasulullah bersabda,
“Wahai para pemuda! Sesiapa di kalangan kamu yang mampu berkahwin, maka kahwinlah kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Sebaliknya, jika tidak mampu, hendaklah berpuasa kerana puasa itu merupakan pengekang nafsu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baca betul-betul, kahwin dapat menundukkan pandangan dan memelihara. Bukannya sebab untuk berkahwin. Sebab atau tujuan perkahwinan seharusnya lebih besar, jelas dan jangka masa panjang. Bukan sekadar elak zina.
Berkahwinlah untuk menunaikan ibadat. Jadikan perkahwinan itu sebagai ibadat kepada Allah. Bukan sekadar urusan atas katil sahaja. Berkahwinlah kerana hendak mengangkat martabat manusia. Manusia itu ada fitrnah yang harus dipenuhi. Melawan fitrah bukanlah sunnah Rasulullah. Ada dalam satu hadis yang masyhur, seorang sahabat tidak mahu berkahwin. Langsung ditegur oleh baginda. Baginda juga berkahwin. Itu menunjukkan, menolak fitrnah itu bukan sunnah dan ianya bukan juga satu keistimewaan. Ia sepatutnya menjadi alat untuk lebih beribadat. Perkahwinan sepatutnya menjadikan kita lebih dekat dengan-Nya. Lebih terpupuk sifat bertanggungjawab, sifat kepimpinan dan sebagainya. Ini lebih jelas tujuannya untuk dijadikan sebagai matlamat perkahwinan. Satu hadis daripada Abu Ayyub RA katanya Rasulullah bersabda,
“Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Cerai atau Talak Dalam Islam
Talak itu bermaksud lepas atau terlepas. Dari segi syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan lain-lain. Ia boleh jadi melalui lafaz, boleh jadi melalui perbuatan, tulisan dan sebagainya.
Rasulullah bersabda,
“Perkara yang halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talak.” (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Hakim)
Macam berperang, penceraian semestinya menjadi alternatif terakhir selepas berbagai alternatif lain yang digunakan untuk menyelamatkan perkahwinan. Sekiranya talak merupakan jalan terakhir untuk membaiki hubungan, maka bolehlah bertalak.
Penceraian boleh terjadi melalui pelbagai cara. Cara yang ramai orang kita tahu ialah talak secara lafaz oleh suami.
1. Talak melalui lafaz suami
Lafaz itu ada yang jelas dan ada yang tidak jelas. Contohnya, “Aku ceraikan kau dengan talak satu.” Ini merupakan lafaz yang jelas. Tidak ada makna lain. Tidak ada tafsiran lain. Semua orang akan faham perkara yang sama. Maka, jatuhlah talak satu.
Lafaz yang tidak jelas pula begini, “Kau dengan aku, sudah tidak ada apa-apa.” Lafaz ini boleh jadi sebab mahukan ruang peribadi. Boleh jadi untuk bercerai. Jadi, lafaz begini tidak jelas. Boleh bawa macam-macam maksud. Lafaz begini, harus lihat kepada niat suami. Kalau suami maksudkan ia cerai, maka tertalaklah. Kalau tidak, tidaklah. Hal ini akan dibawa ke mahkamah syariah, di situ suami perlu buat pengakuan. Sama ada dia niatkan ataupun tidak.
2. Tebus talak
Ia disebut juga sebagai khuluk. Keadaan di mana isteri mahu memberi kadar mas kahwin kepada suami sebagai tebusan untuk bercerai. Kadar itu perlu dipersetujui bersama.
3. Ila
Maksudnya, sumpah. Dulu, amalan orang Arab, sekiranya mereka mahu menuduh isteri mereka ada hubungan lain, maka mereka akan jauh daripada bersetubuh dengan isteri mereka. Maka, isteri boleh bersumpah untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan dan dakwaan itu. Jadi, akhirnya mereka akan tertalak.
4. Zihar
Maksudnya menyamakan belakang badan isteri (alat sulit dsb) dengan orang yang haram suami kahwini seperti ibu, adik perempuan dan lain-lain. Ini juga amalan orang Arab. Sekiranya mereka tidak mahu bersetubuh dengan isteri mereka, mereka akan samakan bahagian alat sulit isteri mereka dengan orang yang mereka haram bersetubuh macam ibu, nenek dan sebagainya. Ini juga akan memisahkan suami isteri selepas suami membayar kaffarah zihar.
5. Li’an
Yang ini seperti sumpah, tetapi berbeza sedikit. Ini sumpah daripada kedua pihak untuk mempertahakan diri daripada dakwaan tidak baik. Kalau Ila’ tadi, ia berhubung kait dengan bersetubuh. Yang ini pula, ada alasan oleh suami untuk memisahkan diri daripada isteri seperti penderhakaan, curang dan sebagainya. Suami boleh sumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali sekiranya tidak ada saksi. Isteri pula boleh bersumpah untuk mempertahankan diri. Akhirnya, mereka secara automatiknya berpisah.
6. Fasakh
Isteri memohon mahkamah untuk menceraikan dirinya dengan suami atas alasan yang dibenarkan syarak seperti suami tidak memberi nafkah dan sebagainya.
Hukum Isteri Minta Cerai
Tadi secara ringkas sahaja dibincangkan tentang talak. Banyak lagi penjelasan, jangan jadikan penulisan ringkas saya ini sebagai rujukan mutlak. Semua talak itu ada penjelasan yang mendalamnya.
Baik, di sini pula akan dibincangkan apa hukum isteri minta cerai?
Jawab ringkasnya, isteri boleh minta cerai dengan alasan yang kukuh menurut syarak. Contoh alasannya ialah suami tidak membayar nafkah, suami tidak menunaikan tanggungjawab, suami dayus dan sebagainya. Setiap alasan untuk dijadikan bukti isteri boleh minta cerai itu haruslah ada justifikasinya. Tidak boleh alasan yang tidak berasas. Mesti berasas dari segi syarak.
Ada satu hadis.
Dari Ibnu Abbas, bahwasanya isteri Tsâbit bin Qais mendatangi Nabi SAW dan berkata, “Wahai, Rasulullah. Aku tidak mencela Tsâbit bin Qais pada akhlak dan agamanya, namun aku takut berbuat kufur dalam Islam,” maka Nabi SAW bersabda, “Apakah engkau mahu mengembalikan kepadanya kebunnya?” Ia menjawab,”Ya, Rasulullah SAW,” lalu beliau SAW bersabda, “Ambillah kebunnya, dan ceraikanlah ia.” (Riwayat Bukhari)
Kalau ikut konteks hadis ini, beliau dibenarkan bercerai dengan suaminya menurut tebus talak. Dalam keadaan lain, bolehlah diceraikan mengikut fasakh dan cara-cara lain. Yang penting, isteri ada alasan yang kukuh dari segi agama mengapa dia selayaknya diceraikan.
Kesimpulan
Isteri boleh minta cerai sekiranya perkahwinan itu membahayakan dirinya, agamanya dan lain-lain. Dia boleh meminta cerai dengan pelbagai cara seperti tebus talak, fasakh dan sebagainya.
Artikel Berkaitan:
Rujukan
Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (2015). Al-Fiqh Al-Manhaji: Kekeluargaan Islam dalam Fiqh Al-Syafi’i. Darul Syakir.