Apakah hukum derma sperma kepada pasangan atau wanita yang lain? Artikel ini akan membincangkan dengan mudah berkenaan hukum derma sperma kepada orang lain.
Pengenalan
Derma sperma merupakan satu aktiviti mengambil sperma yang diderma oleh sesiapa (lelaki) untuk pasangan yang suaminya sudah mati pucuk, ibu tunggal yang mahukan anak dan sebagainya. Caranya, sperma yang diderma tersebut akan disuntik ke dalam organ pembiakan seseorang wanita.
Maknanya, sperma itu didapati melalui pihak ketiga yang tidak dikenali oleh wanita yang disuntik tadi. Kalau kes ini berlaku kepada sepasang suami isteri, maka sperma yang disuntik itu adalah daripada lelaki selain suaminya. Yang mendermakan sperma itu boleh dikenali atau tidak dikenali. Penderma dikenali itu dinamakan directed donation iaitu penderma yang telah mengkhususkan kepada siapa yang ingin dia dermakan sperma itu.
Sebelum menderma sperma itu, penderma bakal menjalani pemeriksaan kesihatan supaya dia sihat untuk mendermakan spermanya. Hal ini juga bagi mengelak sebarang risiko tidak baik daripada terjadi terhadap penerima.
Kehamilan dalam Islam
Mendapat zuriat adalah cita-cita setiap pasangan suami isteri. Namun, yang mempunyai hak untuk mengizinkan berlakunya kehamilan ini merupakan hak Allah secara mutlak. Allah yang menciptakan kita maka Dialah yang paling layak memberi apa yang terbaik kepada kita di samping usaha fizikal yang telah kita laksanakan. Allah berfirman dalam Surah as-Sajdah ayat 7 sampai 10:
“Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakan-Nya kejadian manusia berasal dari tanah. Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang. Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya roh ciptaan-Nya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”
Air yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah air mani. Allah berfirman dalam Surah al-Mukminun ayat 14:
“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”
Manusia berasal daripada air mani. Hasil daripada jimak ibu dan ayah, maka berlakulah proses pembiakan manusia. Tetapi, bukan semua orang terus mendapat peluang mengandungkan zuriat. Ada banyak faktor yang boleh kita waspada sekiranya belum direzekikan mendapat zuriat:
- Salah kira bila waktu anda subur: Apatah lagi sekiranya kitaran haid tidak normal. Sepatutnya jimak berlaku ketika si isteri benar-benar subur. Muat turun aplikasi Flo Period Tracker untuk mengira waktu-waktu kesuburan supaya boleh merancang waktu jimak.
- Terlalu banyak makan lemak trans: Makanan berlemak seperti pizza, fries dan sebagainya boleh mengganggu waktu ovulasi. Kena kurangkan makan makanan jenis ini dan lebihkan karbohidrat sihat misalnya yogurt dan lain-lain.
- Stres: Bagi lelaki, sekiranya menghadapi tekanan hidup, kajian menunjukkan tahap kesuburan akan menurun.
- Masalah berat badan: Berat badan terlebih boleh mengganggu kesuburan walaupun berlaku ovulasi secara berkala.
Selain daripada kita berdoa, kita juga harus bersikap realistik dengan halangan-halangan mendapatkan zuriat dari sudut sains tadi. Sekiranya kita bersifat menafikan perkara-perkara yang realiti, kita sebenarnya tidak mematuhi hukum alam yang Allah sendiri telah tetapkan untuk kita. Itulah yang dinamakan sebagai sunnatullah.
Hukum derma sperma dalam Islam
Persetubuhan hanya halal apabila dilakukan antara suami dan isteri yang sah ikatannya. Sehubungan dengan itu, air mani yang masuk ke dalam faraj isteri mestilah datang daripada suaminya.
Allah berfirman dalam Surah al-Mukminun ayat 5 hingga 7:
“Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”
Ayat ini jelas memberitahu bahawa proses dari mula persetubuhan berlaku sehinggalah terpancut air mani itu wajib berlaku di antara suami isteri sahaja. Itu yang halal. Selain daripada itu, haram.
Sheikh Mahmud Syaltut mencela perbuatan mendermakan air mani kepada bukan pasangan yang sah. Maka, ia haram. Air mani seorang lelaki, biar apa pun caranya, melalui suntikan, seks dan sebagainya, wajib dengan pasangannya yang sah sahaja. Pendermaan sperma oleh bukan suami adalah haram. Perbuatan ini semacam zina.
Kesimpulan
Perbuatan mendermakan sperma kepada bukan pasangan yang sah adalah haram sama sekali.
Rujukan
- Kertas kerja oleh Siti Zubaidah Ismail, Pendermaan Sperma Menurut Perspektif Islam.
- Artikel Sinar Harian: Ini antara sebab sukar hamil.
- Artikel: 5 Sebab Mengapa Tak Hamil Walaupun Ada Ovulasi, Para Wanita WAJIB Ambil Tahu Jika Nak Anak! – Hello Doktor