Artikel ini akan membincangkan hadis yang ke11 dalam buku Hadis 40 (hadis arbain) karangan Imam Nawawi iaitu berkaitan dengan Ambil yang Yakin dan Tinggalkan Perkara Syubhat. Hadis adalah penyelamat daripada kegelapan syak dan perkara samar-samar yang menghalang daripada cahaya keyakinan Meninggalkan perkara syubhah sama ada dalam ibadah muamalat, perkahwinan dan lain-lain, serta beriltizam dengan perkara halal dalam semua urusan membawa seseorang muslim kepada sifat warak
عَنْ أَبِي مُحَمَّدٍ الْحَسَنِ بْنِ عَلِي بْنِ أبِي طَالِبٍ سِبْطِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَيْحَانَتِهِ رَضِيَ الله عَنْهُمَا قَالَ : حَفِظْتُ مِنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: دَعْ مَا يَرِيْبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيْبُكَ.
[رواه الترمذي وقال: حديث حسن صحيح]
Maksudnya: Dari Abu Muhammad, Al Hasan bin ‘Ali bin Abu Thalib, cucu Rasulullah SAW dan kesayangan Baginda. Beliau telah berkata: “Aku telah menghafal hadis daripada Rasulullah SAW: “Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu “. [Riwayat al-Tirmizi dan dia berkata, Hadisnya Hasan Sahih]
Pengajaran
1. Meninggalkan Perkara Syubhat
Rasulullah SAW menerangkan syubhat adalah perkara yang meragukan dan mendatangkan syak wasangka di hati. Sabda Baginda
فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ، وَإِنَّ الكَذِبَ رِيبَةٌ
Maksudnya: “Maka sesungguhnya perkara yang benar itu mendatangkan ketenangan dan sesungguhnya perkara yang dusta itu mendatangkan keraguan.” [Riwayat al-Tirmizi (2518)]
Jiwa dan hati orang mukmin berasa tenang dan tenteram terhadap perkara halal. Sementara hati merasa gelisah terhadap perkara-perkara syubhat, sehingga timbul rasa syak dan ragu-ragu Ketenangan akan hadir bagi mereka yang kuat memelihara hukum yang menjauhi diri dari segala syubhat dan berusaha meningkatkan diri ke darjat taqwa. Apabila mereka berhadapan dengan perkara yang ragu dan syak, mereka merasa gelisah dan meninggalkan perkara tersebut.
2. Bertembung di antara syak dan yakin
Apabila bertembung di antara syak dan yakin kita hendaklah mendahulukan yakin dan meninggalkan yang syak. Perkara ini telah disebut di dalam kaedah fiqhiyyah, Nasnya ialah
اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ
Maksudnya : “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak”
Sebagai contoh, seseorang yang telah mengambil wuduk dengan yakin kemudian dia meragui apakah wuduknya telah terbatal? Dia masih dikira sebagai orang yang berwudhu belum terbatal lagi.
Ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Nabi SAW sabdanya:
إذا وجد أحدُكم في بطنِه شيئًا ، فأُشْكِلَ عليه أخَرَجَ منه شيءٌ أم لا ؟ فلا يخْرجنَ من المسجدِ حتى يسمعَ صوتًا أو يجدَ ريحًا
Maksudnya: “Apabila seseorang dari kalangan kamu mendapati sesuatu di dalam perutnya, maka dia syak, Apakah ia keluar atau tidak, jangan sekali-kali dia keluar dari masjid (solatnya) sehingga dia mendengar bunyi atau mendapati baunya.”
3. Mengajak meninggalkan syubhat bagi sesiapa yang istiqamah dengan amal-amal soleh
Bagi mereka yang telah istiqamah dengan amal-amal soleh, amat penting bagi kita untuk mengajak mereka meninggalkan perkara-perkara syubhat. Manakala, bagi mereka yang tenggelam dalam perkara-perkara haram, adalah kewajipan bagi kita untuk mengajak mereka meninggalkan perkara tersebut dahulu. Sebagai contoh, golongan Khawarij sangat mengambil berat mengenai kesucian dalam ibadat, namun memandang ringan terhadap nyawa orang Islam. Kata Ibn Abu Nu’m:
كُنْتُ شَاهِدًا لِابْنِ عُمَرَ، وَسَأَلَهُ رَجُلٌ عَنْ دَمِ البَعُوضِ، فَقَالَ: مِمَّنْ أَنْتَ؟ فَقَالَ: مِنْ أَهْلِ العِرَاقِ، قَالَ: انْظُرُوا إِلَى هَذَا يَسْأَلُنِي عَنْ دَمِ البَعُوضِ، وَقَدْ قَتَلُوا ابْنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Aku telah menjadi saksi kepada Ibn ‘Umar, seorang lelaki telah bertanya kepadanya tentang darah nyamuk (yang terkena tubuh). Lalu Ibn ‘Umar bertanya: Siapakah kamu? Dia menjawab: Daripada penduduk Iraq. Dia berkata: Perhatikan orang ini! Dia bertanya kepadaku tentang darah nyamuk, sedangkan mereka telah membunuh anak Nabi (yakni al-Husain bin Ali RA).” [Riwayat al-Bukhari (5994)]
4. Hati sebagai neraca
Hati yang tenang dengan kebaikan dan hati yang ragu dengan kejahatan menunjukkan bahawa kita hendaklah merujuk kepada hati ketika berlaku kesamaran Golongan bijak pandai pada zaman Nabi SAW, mereka mendengar kata-kata dan dakwah Baginda, hati mereka tenang lalu mereka mengetahui bahawa Baginda menyampaikan kebenaran.
Sebaliknya, hati mereka keluh kesah saat mereka mendengar kata-kata Musailamah al-Kazzab kerana mereka tahu dia penipu dan membawa ajaran batil.
Kesimpulan
Oleh itu, kita perlu memastikan setiap urusan kehidupan kita berdasarkan perkara yang yakin. Sesungguhnya perkara halal, benar dan jujur adalah ketenangan dan redha, manakala perkara haram, palsu dan dusta adalah kegelisahan yang perlu dijauhi. Kita juga haruslah bersifat warak dan meninggalkan perkara syubhah kerana ia adalah sebaik-baik amalan. Abu Abdul Rahman al-’Umari az-Zahid pernah berkata:
“Apabila seseorang itu warak, dia akan meninggalkan apa sahaja yang meragukannya kepada apa yang tidak meragukan nya.”