Skip to content

10 Hadis Tentang Selawat yang Anda Perlu Tahu

hadis tentang selawat

Artikel ini akan membincangkan hadis tentang selawat. Mudah-mudahan kita akan mengamalkan perkara tersebut dalam aktiviti harian kita. 

Selawat

Selawat ialah permohonan doa rahmat buat junjungan Nabi Muhammad. Terdapat beberapa lafaz selawat seperti allumma solli ala muhammad, dan lain-lain. Semua itu adalah selawat dan ia dianjurkan untuk dibaca. 

Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 56: 

Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) ke atas Nabi (Muhammad S.A.W). Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.

Ayat ini merupakan perintah daripada Allah untuk kita berselawat kepada Rasulullah. Mari kita sama-sama pelajari hadis-hadis yang menceritakan tentang selawat. 

Hadis 1: Ganjaran 10 kali selawat

Rasulullah bersabda: 

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menyatakan ganjaran berselawat kepada junjungan Nabi SAW. Apabila kita berselawat sekali kepada Nabi, maka Allah akan berselawat kepada kita 10 kali. 

Jadi, ini merupakan satu nikmat yang besar oleh Allah. Bacaannya pun tidaklah susah. Kita boleh saja amalkan setiap hari dan setiap masa. Bacalah semudah-mudah lafaz seperti Allahumma solli ala Muhammad. Itu juga merupakan selawat. 

Adakah kita tidak perlu sebut “saidina” dalam lafaz selawat? 

Jawabnya, ada keluasan. Tidak ada larangan untuk menyebut saidina. Jikalau ada pun, hadis-hadis itu adalah palsu sama sekali. 

Hadis 2: Dekat dengan Rasulullah di hari Kiamat

Rasulullah bersabda: 

أوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً

Seutama-utama manusia dengan aku di hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. (Riwayat at-Tirmizi)

Orang yang paling banyak berselawat kepada Rasulullah akan dekat dengan baginda di hari kiamat. Bukan itu sahaja, Rasulullah juga akan beri syafaat kepada mereka yang selalu berselawat kepada baginda. 

Syafaat itu apa?

Syafaat ialah pertolongan yang Rasulullah boleh beri kepada umatnya di hari kiamat, terutama sekali di Padang Mahsyar. Rasulullah boleh menyelamatkan orang-orang tertentu. 

Jadi, bagaimana hendak mendapatkan syafaat ini? Buat amal kebaikan, perbanyakkan selawat dan sebagainya.

Hadis 3: Bakhil kerana tidak berselawat 

Rasulullah bersabda: 

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah SAW bersabda: Orang yang kedekut (bakhil) adalah orang yang ketika namaku disebut tetapi dia tidak berselawat ke atasku. (Riwayat at-Tirmizi)

Apabila ada disebut nama Rasulullah baik dalam ucapan, khutbah, dan sebagainya, hendaklah kita berselawat kepada baginda. 

Contohnya, ada seorang ustaz memberi ceramah. Tiba-tiba, beliau menyebut nama Rasulullah. 

Sebut saja nama baginda, kita sebagai jemaah hendaklah menyahut Sallallahu alaihi wasalam. Barangsiapa yang tidak menyahut sedemikian adalah bakhil menurut hadis di atas. 

Hadis 4: Selawat tiada hijab 

Rasulullah bersabda: 

 وَصَلُّوا عَلَيَّ ، فَإنَّ صَلاَتَكُمْ تَبْلُغُنِي حَيْثُ كُنْتُمْ 

Bacalah selawat kepadaku kerana sesungguhnya bacaan selawat kamu semua dapat sampai kepadaku di mana saja kamu berada. (Riwayat Abu Daud)

Selawat tidak ada hijab antara kita dengan Allah. Apabila kita berselawat, ia akan tetap sampai kepada Rasulullah bila-bila masa dan di mana-mana jua. 

Hadis 5: Rasulullah menjawab salam 

Rasulullah bersabda: 

ما من أحد يُسَلِّمُ عليَّ إلا ردَّ الله عليَّ روحي حتى أرُدَّ عليه السلام

Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku), melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu. (Riwayat Abu Daud)

Setiap selawat yang kita baca pasti akan dijawab oleh Rasulullah SAW. Itulah keistimewaan selawat kerana ia mendekatkan kita dengan Allah dengan wasilah selawat kepada baginda. 

Hadis 6: Dihapuskan dosa dan diangkatkan darjat 

Rasulullah bersabda: 

مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ

Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat. (Riwayat Nasaie) 

Hadis ini merupakan lafaz lain bagi hadis 1. Terdapat penambahan di bahagian belakang. Rasulullah menyatakan bahawa, Allah akan menghapuskan dosa dan mengangkat darjat orang yang berselawat kepada baginda. 

Ini bermakna, satu amalan baik akan dihapuskan dosa dan diangkat darjat. Kita sebagai manusia berdosa hendaklah banyak berbuat kebaikan kerana itu dapat menghapuskan dosa-dosa kita. 

Hadis 7: Dinding kepada doa

Saidina Ali pernah berkata: 

Doa seseorang itu terdinding (terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya. (Riwayat at-Tabrani) 

Selalu kita membaca doa diawali dengan selawat, betul? 

Itulah kaedah yang beradab dan baik untuk berdoa. Bacalah selawat dahulu dan akhiri doa kita juga dengan selawat. Hal itu membuatkan kita tidak tergesa-gesa dalam berdoa. Itu juga merupakan adab ketika berdoa. 

Samalah juga seperti memberi ucapan. Kita selalu mendengar, setiap ucapan itu ada kata-kata aluan seperti “Yang berbahagia..”, “Yang dihormati..” dan sebagainya. Kenapa ini wujud? Sebagai penghormatan. 

Doa juga lagilah harus ada penghormatan kepada Rasulullah. Baca selawat. 

Hadis 8: Kelebihan berselawat hari Jumaat 

Rasulullah bersabda: 

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Perbanyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku. (Riwayat al-Bahaqi) 

Hari Jumaat merupakan hari yang mulia dalam Islam. Hari tersebut terdapatnya solat Jumaat dan sebagainya. Ambillah kesempatan untuk berselawat kepada baginda, nescaya kedudukan kita akan dekat dengan Rasulullah. Lebih mudahlah kita mendapat syafaat, insya-Allah! 

Hadis 9: Berselawat semampunya


قَالَ أُبَيٌّ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي فَقَالَ مَا شِئْتَ قَالَ قُلْتُ الرُّبُعَ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ النِّصْفَ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ قُلْتُ فَالثُّلُثَيْنِ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا قَالَ إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ

Ubai bin Kaab meriwayatkan, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ingin membanyakkan berselawat kepadamu. Daripada itu, berapa banyakkah dari doaku perlu aku jadikan untuk berselawat kepadamu?” 

Rasulullah menjawab, “Terserah kepadamu.” Aku pun berkata, “Adakah satu perempat darinya?” 

Rasulullah menjawab, “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku berkata, “Adakah separuh daripadanya?” 

Rasulullah menjawab, “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu. Aku berkata, “Adakah dua pertiga?” 

Rasulullah menjawab, “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” 

Aku pun berkata, “Aku jadikan semua doaku untukmu.” Baginda bersabda: “Sekiranya begitu, akan dicukupkan semua keinginanmu dan diampuni semua dosamu.” (Riwayat Tirmizi) 

Berselawatlah semampunya kerana ia tetap mempunyai ganjaran daripada Allah. Lebih banyak adalah lebih bagus. Berselawat dalam doa. Ia akan memudahkan hajat kita diterima oleh Allah. 

Hadis 10: Menyesal kerana tidak berselawat 

Rasulullah bersabda: 

Tiadalah suatu kaum berada di sesuatu majlis di mana mereka tidaklah menyebut nama Allah dan mereka tidak pula berselawat ke atas Nabi mereka. Melainkan mereka pasti akan ditimpai padah (penyesalan). Maka jika Allah kehendaki, Dia akan seksa mereka, dan jika Dia kehendaki, Dia akan mengampunkan mereka. (Riwayat at-Tirmizi)

Adalah rugi kepada mereka yang tidak berselawat kepada Rasulullah. Hal ini kerana selawat itu mempunyai macam-macam ganjaran. Barangsiapa yang dapat melihat ganjaran itu depan mata, nescaya dia akan perbanyakkan selawat. 

Rujukan

  1. Banyakkan Selawat Ketika Berdoa – People.utm.my
  2. Kelebihan Selawat Ke Atas Nabi Muhammad SAW – Albakriah
  3. Selawat Kepada Nabi Muhammad SAW – Mywilayah.com
  4. Larangan Menyebut Saidina Di Dalam Solat – Mufti WP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × 2 =