Apakah itu hadis mutawatir? Artikel ini akan membincangkan berkenaan hadis mutawatir dan jenis-jenisnya.
Pengenalan
Pada perbincangan sebelum ini telah dibahaskan tentang Sahih,Hasan dan Dhaif. Begitu juga kita telah dibahaskan sedikit berkaitan Marfūʿ, Mawqūf, Maqṭūʿ dan juga Qudsiy. Perbahasan-perbahasan sebelum ini hanyalah berkisar sama ada pembahagian hadis dari sudut kehujahan dan pembahagian hadis dari sudut kepada siapa disandarkan hadis tersebut.
Pada perbahasan kali ini, kita akan ketahui salah satu perbahasan di dalam pembahagian hadis dari sudut bilagan perawi hadis iaitu Mutawatir (المتواتر).
Sebagai pengenalan awal, pembahagian hadis dari sudut bilangan perawi terbahagi kepada dua iaitu Mutawatir dan juga Ahad (الآحاد). Adapun hadis Ahad terbahagi lagi kepada tiga iaitu Masyhur, ʿAziz dan Gharib. Cuma pada kali ini fokus kita hanyalah pada Mutawatir sahaja.
Definisi
Hadis Mutawatir didefinisikan sebagai hadis yang diriwayatkan oleh sebilangan ramai orang perawi bermula dari awal sanad sehinggalah penghujung sanad yang mana mustahil untuk mereka perawi hadis yang ramai ini sepakat untuk mendustakan hadis Nabi SAW.
Melalui definisi ini perlu kita faham beberapa perkara. Pertamanya syarat dalam hadis Mutawatir itu mestilah suatu hadis itu diriwayatkan oleh ramai orang perawi pada setiap peringkat sanad.
Kedua, apabila setiap peringkat sanad mempunyai bilangan yang terlalu ramai, maka mustahil untuk berlaku pendustaan atau pemalsuan terhadap hadis Nabi SAW disebabkan mustahil mereka ini sepakat untuk menipu atau berdusta.
Penetapan Had Bilangan Perawi
Walaubagaimanapun, ulama khilaf dalam menetapkan apakah perlu ditetapkan had bilangan bagi setiap peringkat sanad untuk dikatakan sebagai Mutawatir.
Jumhur ulama berpendapat tiada had penetapan bilangan perawi pada setiap peringkat. Bahka cukup sekadar suatu hadis itu diriwayatkan oleh sebilangan ramai orang perawi yang mustahil bagi mereka ini bersepakat untuk berdusta.
Akan tetapi sebahagian ulama lain menetapkan had bilangan perawi yang perlu ada pada setiap peringkat sanad. Ada yang mensyaratkan mesti 70 orang perawi pada setiap peringkat. Jika salah satu peringkat itu kurang walau seorang menjadi 69 orang perawi maka ianya tidak lagi jadi Mutawatir. Ada juga yang mensyaratkan 40 orang perawi pada setiap peringkat sanad. Ada yang mensyaratkan 12 orang perawi pada setiap dan ada juga 4 orang perawi pada setiap peringkat.
Pembahagian Hadis Mutawatir
Hadis Mutawatir terbahagi kepada dua, Mutawatir Lafzi (لفظي) dan Mutawatir Maknawi (معنوي).
1. Hadis Mutawatir Lafzi
Hadis Mutawatir Lafzi adalah hadis yang diriwayatkan secara Mutawatir dengan lafaz hadis yang sama.
Antara contoh bagi Mutawatir Lafzi adalah seperti hadis:
من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
Maksudnya: sesiapa yang berdusta secara sengaja terhadap hadisku maka disediakan baginya tempat duduk dari neraka.
Hadis ini telah diriwayatkan lebih dari 70 orang perawi pada setiap peringkat sanad dengan lafaz yang sama seperti lafaz yang ditunjukkan.
Begitu juga dengan hadis:
نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مَقَالَتِي
Maksudnya: Allah memberikan keserian bagi siapa yang mendengar hadisku…
Hadis ini telah diriwayatkan seramai 30 orang perawi pada setiap peringkat sanad dengan lafaz berikut.
2. Hadis Mutawtir Maknawi
Hadis Mutawatir Maknawi pula ialah hadis yang diriwayatkan secara mutawatir pada makna hadis yang sama walaupun lafaz yang berbeza.
Contoh bagi hadis Mutawatir Maknawi adalah hadis mengangkat tangan ketika berdoa. Hadis tersebut diriwayatkan lebih kurang 100 orang perawi dengan lafaz yang pelbagai dan dalam keadaan yang berbeza. Ianya Mutawatir pada makna mengangkat tangan ketika berdoa, akan tetapi hadis berkaitan keadaan doa itu berbeza-beza.
Hukum Hadis Mutawatir
Hukum bagi hadis Mutawatir baik Lafzi mahupun Maknawi hukumnya adalah Sahih secara yakin. Hal ini demikian kerana ianya diriwayatkan oleh sebilangan ramai orang perawi hadis yang mustahil bagi mereka ini sepakat untuk mendustakan hadis Nabi SAW.
Seolah-olah mereka ini sepakat meriwayatkan hadis yang diterima oleh ahlinya dan umat islam. Tidak menerima hadis Mutawatir sebagai hadis yang Sahih sama dengan tidak menerima perkara yang telah disepakati oleh islam.
Asal Hadis Mutawatir
Perbahasan hadis Mutawatir bukanlah perbahasan sebenar dalam ilmu istilah hadis atau ulum hadis. Akan tetapi perbahasan Mutawatir asalnya adalah sebuah perbahasan yang dibincangkan oleh ulama Usul Fiqh. Disebabkan itu jika kita teliti karangan ulama hadis kurun tiga terawal tidak membincangkan topik ini. Hanya ulama yang terkemudian yang memasukkan perbahasan ini dalam ulum hadis seperti Ibnu al-Solah, al-Nawawi dan lain-lain lagi.
Mungkin perbahasan ini dimasukkan juga disebabkan kaitannya dengan periwayatan hadis sebagai makluman sahaja. Adapun perbahasan sebenar ulum hadis adalah topik hadis Ahad, Iaitu hadis Masyhur, Aziz dan juga Gharib kerana ianya boleh mejadi Sahih, Hasan, Dhaif mahupun Maudhuʿ.
Rujukan.
- Manhaj al-Naqd Fi Ulum al-Hadith, Dr Nuruddin Itr.
- Tadrib al-Rawi Imam al-Suyuti