Skip to content

Hadis Berkenaan Kehormatan Seorang Muslim- Hadis 40

hadis kehormatan muslim

Artikel ini membincangkan mengenai hadis ke 8 dalam buku hadis Arbain (hadis 40) Imam Nawawi yang menceritakan mengenai kehormatan seorang muslim. Hadis ini teramat Agung kerana ia merangkumi beberapa perkara penting berkaitan asas-asas agama Islam.

Iaitu dua kalimah syahadah beserta pengakuan yang tidak berbelah bagi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad SAW adalah pesuruh Allah. Mendirikan solat sebagaimana yang diperintahkan dan membayar zakat kepada pihak yang berhak.

عَنِ ابْنِ عُمَر رَضِيَ الله عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ((أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى یَشْهَدُوا أَنْ لا إِلَهَ إِلاَّ الله، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ، وَیُقِيْمُوا الصَّلاةَ، وَیُؤْ تُوا الزَّكاةَ. فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى الله تعالى )) رواه البخاري ومسلم.

Daripada Ibnu Umar RA.bahawa Rasulullah SAW. bersabda : “Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Apabila mereka melaksanakan semuanya itu, maka terselamatlah darah dan harta mereka daripada aku melainkan dengan hak islam dan hisab mereka terserah kepada Allah SWT”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keterangan Hadis Kehormatan Muslim

1. Adakah berpada dengan hanya menuturkan dua kalimah syahadah sudah menjamin nyawa dan harta seseorang itu terpelihara.?

Terbukti bahawa Rasulullah SAW menerima sesiapa sahaja yang datang untuk memeluk islam. Dengan hanya mengucap dua kalimah syahadah, nyawanya dijamin terpelihara dan dia telah menjadi seorang Islam.  Hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda

امرت ان اقاتل الناس حتى يقولوا : لا اله الا الله، فمن قال لا اله الا الله عصم مني ماله ونفسه إلا بحقها، و حسابه على الله عز وجل

Maksudnya : “Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka berkata: bahawa tiada Tuhan selain Allah, sesiapa yang telah berkata tiada tuhan melainkan Allah terselamatlah harta dan jiwanya daripadaku, kecuali dengan hak Islam dan hisab terhadapnya terserah kepada Allah Azza wajalla”.

Maka dengan hanya mengucap dua kalimah syahadah, seseorang manusia dijamin terpelihara dan dia telah menjadi seorang Islam. Jika dia mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat selepas memeluk Islam, dia memperolehi hak dimana orang Islam yang lain dan mempunyai kewajipan sebagaimana mereka

Mungkin ada yang tertanya-tanya, rukun Islam itu terdiri daripada lima perkara, namun di dalam hadis ini cuma disebut tiga daripadanya sahaja. Hal ini kerana, menurut hukum Islam orang yang tidak berpuasa, tidak dibunuh tetapi dipenjarakan, ditahan makan minumnya. Manakala, haji adalah ibadat yang dapat ditangguhkan, sebab itulah mereka tidak boleh dibunuh atau diperangi.

2.  Darah dan Harta Mereka Terpelihara Melainkan Dengan Hak Islam

Apabila mereka melakukan tiga perkara tersebut mereka telah mendapat keselamatan dan keamanan terhadap diri dan harta mereka. Tetapi jika mereka melakukan perkara-perkara larangan seperti membunuh, mencuri dan lain-lain, mereka tetap akan dihukum. Jika mereka membunuh, mereka akan di hukum bunuh, jika mereka mencuri, maka tangan mereka akan dipotong.

3. Perhitungan Sebenar Mereka Terserah kepada Allah

Dalam hadis ini, Rasuluĺlah SAW menegaskan perhitungan mereka terserah kepada Allah, setelah mereka mengucap kalimah syahadah, mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Darah dan harta benda mereka terpelihara dan terjamin, terserahlah mereka kepada Allah sama ada mereka ikhlas sebagai seorang mukmin atau mereka orang munafiq yang melahirkan iman dan amal kerana takut diperangi atau sebab-sebab lain.

Allah lebih mengetahui rahsia hati mereka dan Dia akan memperhitungkannya jika dia seorang mukmin yang sebenar, maka dia akan ditempatkan ke dalam syurga. Sebaliknya, jika dia penipu dan munafik, dia akan dihumbankan ke dalam neraka yang paling bawah. Sabda Rasulullah SAW


إني لم أومر ان أنقب عن قلوب الناس ولا أشق بطونهم

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk mengorek ( menyelidiki) hati manusia dan membelah perut mereka.”

4. Pandangan ulama mengenai hukum meninggalkan solat

  • Imam Syafi’e dan Imam Malik berpendapat bahawa orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja wajib dihukum bunuh, namun tidak dikatakan kufur.
  • Imam Ahmad bin Hambal berpendapat bahawa orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, wajib dibunuh kerana kekufurannya.
  • Imam Abu Hanifah pendapat orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja kerana malas atau memandang ringan tidak dikufurkan dan tidak wajib dijatuhkan hukuman bunuh, hanya wajib dipenjarakan sehingga ia kembali mengerjakannya.

Kesimpulan

Hadis ini menunjukkan bahawa hukum adalah didasarkan kepada zahirnya. Contoh, seseorang yang mengerjakan ibadat, namun di dalam hatinya tersimpan maksud yang tidak baik, maka terserah kepada Allah untuk menentukan balasannya. Selain itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menghukum seseorang yang melakukan maksiat sebagai kafir. Kita juga harus berwaspada dalam menjatuhkan sesuatu hukuman yang menghalalkan darah dan harta orang Islam tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak.

Diharapkan artikel hadis berkenaan kehormatan seorang muslim ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat yang berguna pada para pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seven + twelve =