Skip to content

10 Peralatan Badminton Yang Perlu Anda Ada

Peralatan badminton

Apakah peralatan badminton yang perlu anda sediakan sebelum bermain badminton? Artikel pada kali ini akan menyenaraikan 10 peralatan badminton yang perlu anda ada. Tidak ramai yang tahu dalam sukan badminton, bukan raket dan bulu tangkis sahaja yang penting tetapi ada juga alatan tambahan lain yang berfungsi untuk mengurangkan risiko kemalangan atau kecederaan.

Sejarah Sukan Badminton

Semua sukan melalui sejarah yang panjang tidak terkecuali sukan badminton. Menurut suatu sumber, badminton telah wujud semenjak lebih dari 2,000 tahun dahulu pada zaman purba Greek, China, Jepun, India, dan Siam. Dulu ia dikenali sebagai “Battledore” atau “Jeu do Volant”, yang bermaksud sejenis permainan yang menggunakan raket berbentuk kayu dan bulu tangkis.

Peraturan permainan asal adalah sama yang mana ia melibatkan dua orang pemain dan mereka perlu memukul bulu tangkis secara berselang-seli ke arah bertentangan. Pemain yang menjatuhkan buli tangkis ke lantai akan dikira kalah. Menariknya, rekod yang pernah dicatatkan paling banyak adalah pada tahun 1830, dengan 2117 kali pukulan bulu tangkis tanpa jatuh ke tanah yang dipegang oleh sebuah keluarda di Somerset, England.

Kejayaan Malaysia dalam Sukan Badminton

Pasti ramai yang masih tergiang-ngiang dengan kejayaan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia yang baru-baru ini telah menakluki All England. Setelah Dato Lee Chong Wei, jaguh badminton negara bersara dalam dunia badminton, Malaysia masih mencari-cari rentak untuk mencari pelapis baru yang boleh mengekalkan rekod kejayaan sukan ini di peringkat global. Kemenangan Zii Jia menunjukkan yang Malaysia sedang berada di landasan yang betul untuk mencipta beberapa lagi jaguh baru.

Sumber terkini dari BWF World Ranking 2021, pemain-pemain Malaysia berada di antara sepuluh pemain terbaik dunia bagi kategori perseorangan lelaki, beregu campuran, dan beregu lelaki.

Peralatan Badminton Yang Anda Perlu Sediakan Sebelum Main Badminton

1. Raket

Raket adalah peralatan utama dalam permainan badminton. Jika zaman dulu, permainan ini dimainkan dengan menggunakan pemukul berbentuk empat segi atau leper daripada kayu tetapi sekarang ia berevolusi dengan menggunakan material yang lebih kukuh, kuat, dan ringan iatu carbon atau graphite. Beberapa faktor yang perlu diambil kira oleh anda sebelum membeli raket adalah seperti berat, titik keseimbangan, ketahanan, ukuran dan material grip tangan, bentuk frame, dan ketegangan tali.

5 raket badminton terbaik pada tahun 2021:

  • Yonex Arcsaber 11 (banyak digunakan oleh atlet badminton dunia seperti Victor Axelsen, Kashyap Parupalli dan Marc Zweibler)
  • Yonex Duora 10 (mempunyai reka bentuk yang unggul dimana sisi punggung dan sisi pandang depan bentuknya berbeza)
  • Victor Bravesword 12 (memberikan keselesaan yang terbaik semasa melakukan smash, driving dan bertahan)
  • Yonex Voltric 8o (menggunakan teknologi grommet)
  • Yonex Voltric Z Force 2 (dikenali sebagai raket Fast and Powerful)

Tips memilih raket badminton:

  • Berat: Raket mempunyai empat jenis berat iaitu (4U: 80 -84 gram, 3U: 85 – 89 gram, 2U: 90 -94 gram, 1U: 95 -100 gram). Untuk yang baru berjinak-jinak dalam permainan badminton, anda disarankan untuk memilih raket yang ringan sama ada 3U atau 4U kerana ia lebih mudah dikendalikan.
  • Titik keseimbangan: Raket mempunyai tiga jenis titilk keseimbangan iaitu(head-heavy balance, head-light balance, even balance). Setiap dari titik keseimbangan ini akan menentukan bagaimana cara anda pegang raket tersebut. Lazimya, pemain yang mahir sudah tahu akan corak permainan mereka dan mereka tidak ada masalah untuk bertukar-tukar raket. Tetapi bagi anda yang masih baru, memilih raket even balance adalah pilihan yang tepat.
  • Ukuran dan material grip tangan: Pilihan material yang boleh anda pilih untuk grip tangan seperti kain dan getah sintesis. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan. Sebaiknya anda memilih material yang sesuai bergantung pada tahap keselesaan anda semasa memegang raket untuk jangka waktu yang lama dan singkat. Dari segi ukuran grip tangan pula ada empat jenis saiz iaitu (G2 & G3: kecil, G4 & G5: besar). Kebiasannya, pemain lebih gemar memilih ukuran G2 dan G3.
  • Bentuk frame: Frame raket berbentuk isometric lebih digalakkan untuk anda beli kerana ia membantu anda untuk memukul bulu tangkis ke spot-spot yang terbaik secara konsisten.
  • Ketegangan tali: Tali raket yang tegang akan memberi impak pada kawalan dan ketetapan pukulan dengan lantunan yang lebih kuat.

2. Bulu Tangkis

Sama seperti raket. Bulu tangkis juga termasuk dalam peralatan yang utama dalam pemainan badminton. Menariknya, di kawasan-kawasan luar bandar ia dikenali dengan jolokan “bulu ayam”. Walau bagaimanapun, bulu tangkis bukanlah diperbuat daripada bulu ayam. Sebaliknya, ia diperbuat daripada bulu angsa atau bulu itik.

Bulu tangkis terbaik tahun 2021:

  • Yonex Aerosensa 30 Feather
  • Victor Master Classic
  • Li-Ning A+ 62XD Unisex
  • RSL Gold No.1 Tourney

Tips memilih bulu tangkis:

  • Bulu: Gred bulu angsa terbaik untuk membuat bulu tangkis datangnya daripada kawasan utara China. Selain itu dikawasan lain seperti Sichuan, Shandong, dan Anhui juga berada dalam kualiti bulu tangkis dalam tahap yang sederhana.
  • Kelajuan: Kelajuan bulu tangkis ditentukan pada faktor berat.Jika anda beli bulu tangkis, anda akan dapat lihat nombor-nombor yang tertera di situ seperti(48-75, 49-76, 50-77, 51-78, 52-79). Teorinya, semakin kecil nombor tersebut, semakin ringan bulu tangkis, maka semakin rendah ia terbang.

3. Net Jaring

Jika anda bermain badminton bersama keluarga di halaman rumah, biasanya anda tidak menggunakan net jaring. Jadi mata dikira dengan berdasarkan mana-mana pemain yang menjatuhkan bulu tangkis tersebut. Tanpa anda sedar sebenarnya corak permainan seperti itu adalah corak permainan badminton pada zaman dahulu. Sekarang, net jaring telah diperkenalkan untuk memurnikan lagi sukan badminton. Net bukan sahaja menjadi penentu area pemain dalam gelanggang tetapi juga memudahkan pemain untuk menentukan tinggi rendah pukulan, servis, dan serangan dari lawan.

4. Baju sukan lengkap

Sukan adalah aktiviti yang menggunakan banyak tenaga fizikal sehingga menyebabkan anda cepat penat dan berpeluh. Oleh itu, dengan memilih pakaian sukan yang betul dapat memberikan anda keselesaan sepanjang bersukan atau bermain. Perkembangan industri fesyen sukan telah menghasilkan pelbagai variasi dan jenis pakaian sukan di pasaran.

Tips memilih jersi badminton:

  • Reka bentuk: Baju sukan kebiasaanya tidak terlalu besar dan labuh. Ia juga perlulah longgar dan tidak ketat. Pakaian yang ketat boleh mengurangkan peredaran darah lalu mengakibatkan bekalan oksigen tidak dapat disalurkan ke seluruh tubuh badan.
  • Fabrik: Jenis fabrik sepertikapas dan micro fibre. Dua jenis fabrik ini membantu dalam menyeimbangkan suhu badan semasa bersukan, menyerap peluh, ringan dan tidak berat serta sangat selesa dipakai.
  • Warna: Warna-warna yang terang boleh mengelakkan seseorang dari mudah terasa panas. Hal ini kerana, pakaian berwarna gelap lebih menyerap haba berbanding warna-warna yang cerah.  

5. Kasut badminton

Kasut badminton bukan sekadar kasut sukan biasa. Bagi yang sudah terbiasa memakai kasut badminton semasa bermain badminton pasti anda sudah boleh merasakan perbezaan apabila anda bertukar kepada kasut-kasut lain. Kasut ini menentukan keseluruhan skill pemain untuk ditonjolkan semasa perlawanan. Gerakan seperti melompat, smash, pergerakan tajam, pergerakan sisi, dan brek akan ditentukan dengan bebanan yang diletakkan pada kaki pemain.

Kasut badminton terbaik pada tahun 2021:

  • Asics Gel Blade 6 3093
  • Kawasaki Black Anti-Slippery Encapsulated Light K-155
  • Li-Ning AYTN025-4 Sliver
  • Yonex SHB 65 EX
  • Yonex Super Ace Light
  • LINING Man Breathable Sweat Absorbing Anti-slip Summer AYTN015
  • Mizuno Ultra-light Breathable

Tips memilih kasut badminton:

  • Tapak kasut:  Tapak kasut berguna untuk daya tarikan dan cengkaman semasa permainan.Jika anda bermain badminton di gelanggang kayu atau PU, anda memerlukan cengkaman tapak yang melekit. Sebaliknya untuk permainan di gelanggang simen, anda memerlukan kasut bertapak getah yang biasa.
  • Kusyen: Kusyen yang baik dapat menyerap hentakan semasa pemain membuat smash atau memberikan tekanan pada permukaan lantai. Tumit anda akan kerap berasa pedih, melecet, atau sakit sekiranya anda tidak mempunyai kusyen kasut yang betul.  
  • Ringan: Pastikan kasut badminton anda ringan. Ini membolehkan anda membuat pergerakan yang pantas.
  • Saiz: Rata-rata dari anda suka membeli kasut mengikut saiz kaki anda betul-betul.Untuk membeli kasut sukan atau kasut badminton, anda dinasihatkan untuk cuba meletakkan ibu jari tangan atau dua jari anda di antara kaki dan kasut. Jadi sekiranya nanti anda memakai stokin, kasut anda tidak terlalu ketat.

6. Wrist guard

Salah satu aksesori badminton yang sering digunakan adalah wrist guard. Wrist guard memberi perlindungan pada pergelangan tangan dari mudah tercedera, menambah kekuatan semasa melakukan pukulan, dan menstabilkan pergerakan.

7. Getah pemegang raket

Cengkaman yang kukuh, kuat, dan selesa pada raket memberikan anda prestasi permainan yang lebih kemas dan baik. Di pasaran, getah pemegang raket banyak dijual dalam dua jenis seperti getah dan tuala. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tertentu. Contohnya, material tuala mudah menyerap peluh tetapi ia cepat basah dan mengakibatkan pegangan tangan pada raket mudah licin.

8. Beg raket

Beg raket membantu untuk menjaga raket badminton anda. Walaupun raket badminton diperbuat daripada material yang kuat dan tahan lasak tetapi ada bahagian-bahagian tertentu yang mudah terdedah pada kerosakan seperti jaring. Jaring raket mudah tersangkut pada benda-benda yang tajam lalu mengakibatkan ia putus.

9. Gelanggang badminton

Gelanggang badminton bukanlah sesuatu yang wajib anda ada di rumah. Sekarang telah banyak gelanggang badminton yang dibuka sama ada gelanggang peribadi yang berbayar, atau gelanggang umum untuk semua pengunjung secara percuma. Bagi anda yang serius dalam sukan badminton, dengan adanya gelanggang ia membolehkan anda berlatih secara konsisten mengikut peraturan-peraturan badminton di dalam sebuah perlawanan.

10. Pengikat kepala

Pengikat kepala sesuai untuk anda yang berambut panjang atau yang mudah berpeluh di dahi. Ia berguna untuk memberikan anda kelesesaan sepanjang bermain dan menjimatkan waktu daripada anda mengambil tuala untuk mengelap peluh.

Penutup

Badminton adalah salah satu sukan yang sangat bermanfaat kepada kesihatan, kecerdasan, dan kecergasan anda. Dengan bersukan anda boleh menghindari dari pelbagai jenis penyakit seperti sakit jantung, obesiti, kencing manis, dan sebagainya. Bukan itu sahaja, malah bersukan juga berupaya mengurangkan stress yang sering kali menghantui masyarakat pada hari ini.

Kajian yang dibuat oleh American College of Sport Medicine membuktikan kenyataan ini apabila golongan yang mengalami tekanan dan kemurangan apabila melibatkan diri dengan aktiviti sukan berstruktur selama 4 bulan, segala simpton kemurangan dan depresi yang mereka alami berkurang. Apabila seseorang itu melakukan aktiviti fizikal seperti bersukan, otak mereka akan melepaskan bahan kimia neurotransmitter iaitu endorphin yang berfungsi menghasilkan perasaan euphorik dan mengurangkan tekanan. Diharapkan artikel berkenaan peralatan-peralatan badminton ini boleh memberikan anda informasi yang berguna dan bermanfaat untuk menjamin kehidupan anda ke arah yang lebih sihat.

Artikel Berkaitan: Barangan Camping yang anda perlu ada

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × 4 =