Siapakah golongan yang akan mendapat naungan Allah di Hari Akhirat? Artikel ini akan menghuraikan satu hadis yang membicarakan tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di hari akhirat.
Pengenalan
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:
Ada tujuh golongan yang Allah melindungi mereka dalam lindungan-Nya pada hari kiamat, di hari ketika tiada perlindungan selain perlindungan-Nya, iaitu: imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa dalam beribadat kepada Allah, seseorang yang sentiasa mengingat Allah ketika bersendirian sehingga berlinangan air mata, seseorang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, seseorang yang diajak berzina oleh wanita bangsawan dan rupawan, namun ia menjawab, “Saya takut kepada Allah” serta seseorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi, sehingga tangan kirinya tidak tahu terhadap amalan tangan kanannya. (Riwayat Bukhari)
Golongan yang mendapat naungan Allah di hari akhirat adalah:
Golongan yang mendapat naungan Allah
1. Pemimpin yang adil
Pemimpin ialah mereka yang mempunyai kekuasaan untuk urusan pengikutnya seperti presiden, perdana menteri, ketua organisasi, ketua keluarga (seorang ayah) dan seterusnya. Apa sahaja jawatan yang dipegang oleh seseorang untuk menguruskan urusan manusia, dialah seorang pemimpin.
Adil pula ialah pematuhan terhadap syariat. Tidak melampaui batas yang telah ditetapkan oleh Allah. Seorang pemimpin tidak boleh berlaku zalim kepada pengikutnya. Dia perlu melakukan sesuatu sesuai dengan haknya.
Rasulullah bersabda:
Lebih utamanya manusia di sisi Allah darjatnya di hari kiamat itu seorang pemimpin yang adil yang lemah lembut (memiliki kasih sayang). Dan seburuk-buruk hamba di sisi Allah darjatnya di hari kiamat iaitu pemimpin yang zalim yang kasar. (Riwayat at-Tabrani)
Seorang pemimpin itu mempunyai tanggungjawab besar dan berat. Amat susah baginya untuk mendatangkan kemaslahatan kepada seluruh manusia lalu berlaku adil lagi. Sebab itulah ia mempunyai keistimewaan di akhirat sekiranya dia berlaku adil.
2. Pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah
Allah berfirman dalam Surah Kahfi ayat 10 hingga 13:
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa, “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”
Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.
Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu).
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
Ayat ini menceritakan kisah pemuda yang lari masuk ke dalam gua untuk menyelamatkan akidah. Mereka diancam, sekiranya ada orang dapat menangkap mereka, maka mereka akan diseksa dan sebagainya. Mereka pun lari masuk ke dalam gua demi akidah.
Inilah satu kisah yang boleh menjadi inspirasi kepada kita semua untuk sentiasa menjaga diri kita dalam syariat Allah.
Orang yang tua, apabila mereka hendak mendekati agama itu merupakan perkara biasa kerana mereka berasa mereka sudah tua dan perlu dekatkan diri kepada Tuhan.
Tetapi, hal ini berbeza dengan orang muda. Mereka masih lagi ada banyak masa dan peluang untuk berhibur dan membuang masa. Amatlah luar biasa sekiranya mereka memillih untuk sentiasa beribadat kepada Allah.
3. Seseorang yang ingat kepada Allah ketika berseorang lalu menangis
Orang yang ingat kepada Allah bilamana ia keseorangan adalah individu yang ikhlas. Sebab, untuk ingat kepada Allah di hadapan ramai orang, boleh saja hadir perasaan riyak dan lain-lain.
Namun, dengan ketiadaan “penonton” atau khalayak, tetapi seseorang itu ingat kepada Allah. Kesan daripada perbuatan tersebut, dia menangis dan insaf. Inilah orang yang ikhlas mengingati Allah.
4. Seseorang yang hatinya terikat dengan masjid
Allah berfirman dalam Surah Taubah ayat 19:
Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
Al-Maraghi berkata ayat ini menegaskan kita tidak boleh menghukum mana satu amalan yang lebih utama, sama ada memakmurkan masjid atau berjihad atau lain-lain.
Orang yang memakmurkan masjid terdapat keistimewaannya tersendiri. Ayat ini turun bilamana terdapat para sahabat yang berselisih, amalan mana satu yang lebih utama.
Orang yang hatinya terpaut dengan masjid, tidak perlu khuatir dengan ganjaran daripada Allah. Mungkin, dengan memakmurkan masjid itu impaknya tidak sebesar berjihad di jalan Allah, namun ditegaskan dalam hadis ini bahawa pelaku tetap akan mendapat naungan.
5. Dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah
Sheikh Soleh al-Uthaimin berkata, terdapat dua jenis berkasih sayang yakni berkasih sayang atas dasar kerabat (keluarga) dan atas dasar keimanan.
Allah berfirman dalam Surah az-Zukhruf ayat 67:
Pada hari itu sahabat-sahabat karib, sesetengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).
Berkasih sayang yang paling utama itu adalah berdasarkan takwa.
6. Seorang lelaki yang diajak berzina namun ia menolak dengan berkata, “Sesungguhnya aku takut kepada Allah”
Rasulullah bersabda:
Aku tidak meninggalkan satu fitnah pun yang lebih membahayakan para lelaki selain fitnah wanita. (Riwayat Bukhari)
Lelaki itu memang biasa dengan syahwat para wanita. Lelaki mudah tergoda dengan wanita. Maka, amatlah luar biasa bagi seorang lelaki menolak ajak seorang wanita untuk berzina. Dan, penolakan itu pula asasnya kerana takut kepada Allah.
7. Bersedekah sembunyi-sembunyi, hulur dengan tangan kanan tetapi tangan kiri tidak tahu
Kuncinya adalah ikhlas. Orang yang bersedekah lalu menghebohkan sedekahnya itu kepada orang ramai akan mencacatkan keikhlasan dalam hati.
Allah berfirman dalam Surah al-A’raf ayat 29:
Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya).
Ikhlas dalam beribadat kepada Allah merupakan kunci kepada amalan itu diterima dan mendapat ganjaran daripada Allah.
Kesimpulan
7 golongan ini mendapat naungan daripada Allah kerana kepayahan mereka dalam menjayakan suatu amalan yang sangat mulia. Moga-moga kita semua dapat menjadi orang itu.
Rujukan
Fathul Bari – Syarah Sahih Bukhari