Siapakah golongan manusia yang akan masuk syurga tanpa hisab? Jom ambil tahu ciri-ciri golongan yang beruntung ini melalui artikel kali ini berkenaan dengan 11 golongan yang akan masuk ke dalam syurga tanpa hisab.
Pengenalan
Syurga bermaksud sebuah tempat yang penuh dengan nikmat dan keindahan yang akan dikurniakan kepada hamba Allah SWT kerana rahmatNya dan ganjaran bagi segala amal baik yang dilakukannya di dunia. Syurga adalah tempat abadi yang di dambakan oleh semua makhlukNya.
Malah bukan umat Islam sahaja yang mempercayai adanya kewujudan syurga namun penganut agama selain Islam juga turut mempercayainya. Namun yang membezakannya adalah tanggapan dan fahaman agama Islam terhadap syurga dan penghuninya tidak sama seperti yang difahami oleh agama lain.
Hadis Golongan Yang Masuk Syurga
يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِن أُمَّتي سَبْعُونَ ألْفًا بغيرِ حِسابٍ، قالوا: مَن هُمْ يا رَسولَ اللهِ؟ قالَ: هُمُ الَّذِينَ لا يَسْتَرْقُونَ، ولا يَتَطَيَّرُونَ، ولا يَكْتَوُونَ، وعلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Maksud: “Tujuh puluh ribu dari umatku akan masuk syurga tanpa hisab.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak minta diruqyah (dengan ruqyah yang syirik), tidak mengamalkan tathayur (tilik nasib), tidak menggunakan perbuatan dengan besi (yang dilarang) dan mereka selalu bertawakkal kepada rabbnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, No 5752)
Hadis ini menceritakan tentang tiga golongan yang di akhirat nanti akan masuk ke syurga iaitu:
- Golongan yang masuk syurga tanpa hisab
- Golongan yang dimasukkan ke syurga selepas dihisab, dan
- Golongan yang akan masuk ke syurga selepas dikeluarkan dari neraka.
Untuk golongan pertama ini, ada ulama berbahas bahawa akan ada 70 000 umat manusia berjaya memasukinya tanpa hisab. Manakala, ada sebahagian ulama berbahas dengan menyebut jumlahnya seramai 700 000 orang. Mereka adalah dalam kalangan yang mempunyai tauhid yang kuat terhadap Allah dan sentiasa bertawakkal kepadaNya dengan sepenuh hati. Golongan ini juga diceritakan sebagai orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.
Ibnu Qayyim menyebut – “Sifat utama dari 70 000 orang tersebut terkumpul pada sifat tawakkal. Kerana tawakkal mereka sempurna; iaitu mereka tidak meminta diruqyah, tidak menggunakan perbuatan dengan besi (yang dilarang) dan tidak beranggapan sial.” (Miftah Dar al-Sa’adah, 3/1483)
Berikut merupakan antara golongan yang masuk syurga tanpa hisab:
1. Golongan As-Sabr dalam ketaatan (Ahli Sabar)
As-Sabr atau sabar adalah golongan yang sentisa sabar dalam menjalankan suruhan dan dalam masa yang sama terus taat kepada segala yang diperintahkan oleh Allah SWT. Golongan ini sangat benci kepada maksiat dan sentiasa menghindarkan diri daripada terjerumus ke dalamnya. Petikan dari buku Masuk Syurga Tanpa Hisab hasil tulisan karya Abdul Nashir Balih ada menerangkan tentang akhlak terpuji seorang Muslim ialah dengan selalu bersabar dan tabah kerana Allah SWT.
Allah SWT juga ada berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Orang-orang itulah yang mendapat kesudahan yang baik, iaitu syurga Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu (sambil mengucapkan) ‘salamun’alaikum bima shabartum’. Maka alangkah baiknya tempat keindahan itu. (Surah Ar-Ra’d, ayat 21-24)
2. Golongan Al-Fadl (Kemuliaan)
Kemuliaan diberikan kepada golongan yang bertahan dalam menanggung segala kesakitan apabila dizalimi dan diperlakukan dengan tidak baik oleh orang lain. Daripada membiarkan api dendam dan kemarahan membara dalam jiwa mereka, golongan ini mengambil langkah yang sangat mulia dengan memberikan kemaafan atas segala kejahatan yang dilakukan terhadapnya.
Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda,
وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا
Maksudnya: “Dan tidaklah Allah menambah sifat pemaaf bagi seorang hamba kecuali sebagai kemuliaan.” (Hadis Riwayat Muslim)
3. Golongan yang mengamalkan adab berjiran
Dalam Islam, adab dalam berjiran sangat ditekankan. Ini seiring dalam hadis daripada Abi Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Apa yang golongan ini buat? Mereka akan saling ziarah-menziarahi dalam berkasih sayang kerana Allah. Mereka juga duduk dan bangun bersama-sama dengan saudara mereka kerana Allah. Selain itu, mereka juga menghindari perbuatan yang boleh menyakiti hati jiran.
4. Golongan yang meninggal dalam perjalanan pergi atau pulang Tanah Suci.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sekiranya terdapat dalam kalangan kamu yang terpilih meninggal dunia di Madinah (Tanah Suci), maka bergembiralah. Sesungguhnya sesiapa yang terpilih (oleh Allah) untuk mati di Madinah, Aku akan menjadi saksi dan syafaat untuknya pada hari kiamat kelak.” (Riwayat al-Tabrani: Hasan Sahih).
Mekah adalah tempat yang sangat mulia di sisi Allah. Di sinilah terletaknya kaabah yang merupakan kiblat seluruh umat Islam di dunia. Destinasi yang penuh dengan sejarah perkembangan Islam dan menjadi dambaan setiap umat Islam untuk menjejakkan kaki di tanah haram ini.
Saat ini dunia sedang berperang dengan era pandemik virus yang mematikan, Covid-19. Ramai yang mengalirkan air mata melihat Mekah sunyi dengan jemaah haji dan umrah yang sedikit tidak seperti tahun-tahun lalu. Sebahagiannya bersyukur kerana sudah selesai menjalankan rukun islam kelima ini, dan sebahagiannya lagi masih lagi tertanya-tanya bila rezeki mereka akan dipanggil ke sana suatu hari nanti. Semoga Allah SWT menghapuskan virus ini di dunia, lalu memberikan nikmat mengerjakan ibadah haji dan umrah kepada semua umat Islam yang belum pernah ke sana.
5. Golongan yang sentiasa menuntut ilmu
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Ilmu sangat penting dalam kehidupan manusia kerana itu Islam menuntut umatnya agar menuntut ilmu. Dengan ilmu, manusia boleh mengenal Allah SWT. Dengan ilmu juga, manusia boleh menjadi cerdik pandai lalu memakmurkan dan mententeramkan dunia dengan ilmu pengetahuan yang dimilikinya. Manusia yang malas dalam menuntut ilmu akan membawa kepada kejahilan dan kerosakan kepada bumi. Ilmu yang perlu dipelajari termasuklah ilmu aqidah (paling utama) dan juga harus mempelajari ilmu dalam bidang-bidang lain yang dapat memberikan kemajuan kepada umat Islam.
6. Golongan yang dalam perjalanan menunaikan hajat saudaranya
Bak kata pepatah, “Rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain.” Perumpamaan ini berkait dengan ciri golongan keenam. Hal ini kerana, di dunia ini sangat mudah jika seseorang ingin memiliki kawan, sahabat atau adik beradik. Tetapi sangat sukar mencari seseorang yang sanggup bermati-matian, dan mengandai nyawa demi menunaikan hajat saudaranya. Jadi sangat wajar mengapa Allah SWT mengangkat darjat hambaNya yang mempunyai sifat kebaikan sebegini rupa.
Maksud dari sebuah hadis:
Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain. Dan siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Dan siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari qiamat, dan siapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya di hari qiamat. (HR Bukhari No: 2262)
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah, ayat 2:
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
7. Golongan yang mendidik seseorang hingga dapat mengucapkan kalimah tauhid
Pernah pada suatu ketika Nabi SAW menyuruh Saidina Ali untuk membawa panji ketika peperangan Khaibar. Lalu Saidina Ali berkata, kami akan menentang dan melawan musuh sehingga mereka menjadi muslim, lalu Nabi SAW berkata: bersabarlah, sehingga kamu berjumpa dengan mereka dan mengajak mereka untuk memeluk agama Islam maka Allah akan bersama mereka.
فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Kalimah tauhid “lailahaillallah” bermaksud “tiada tuhan selain Allah.” Maksud dari ayat ini pendek tetapi isi dan istilah yang tersirat disebaliknya membawa sesuatu yang sangat besar dan mendalam. Mereka yang mengucapkannya beerti mereka menyakini bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Esa dan hanya Dia yang berhak disembah. Sesiapa yang membantu orang lain sehingga orang itu mampu mengucapkan “lailahaillallah”, mereka ini akan mendapat pahala jariah yakni pahala yang tidak akan terputus walaupun nanti dia meninggal dunia.
8. Golongan beriman yang meninggal pada hari Jumaat
Dalam satu minggu terdapat tujuh hari manakala hari Jumaat merupakan hari mulia atau disebut sebagai penghulu segala hari. Ini bertepatan dengan hadis yang daripada Abu Huraira RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
خَيرُ يومٍ طَلَعتْ عليه الشمسُ يومَ الجُمُعةِ ، فيه خُلِقَ آدمُ ، وفِيه أُدْخِلَ الجنةَ ، وفيه أُخْرِجَ مِنها ، ولا تَقومُ الساعةُ إِلَّا في يومِ الجُمعةِ
Maksudnya: “Sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari adalah hari Jumaat, padanya diciptakan Adam AS. Pada hari itu juga dimasukkan ke dalam Syurga dan pada hari itu jugalah dikeluarkan daripadanya (Syurga) dan tidak akan berlaku Kiamat melainkan pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Tiada siapa pun yang tahu hari apa mereka akan meninggal dunia. Semua itu adalah rahsia di antara rahsia Allah SWT yang hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui. Antara sebab mengapa Allah SWT merahsiakan tarikh kematian seseorang adalah agar manusia sentiasa bersiap sedia dengan amalannya di dunia pada setiap ketika. Mereka yang dianugerahkan meninggal di hari Jumaat adalah mereka yang mendapat kebaikan di saat kematiannya.
Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ أَوْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أُجِيْرَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ وَجَاءَ يَوْمَ القيامةِ وَعَلَيْهِ طَابِعُ الشُّهَدَاءِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada malam Jumaat atau hari Jumaat akan dibebaskan daripada azab kubur dan akan datang di hari Kiamat dan padanya tanda sebagai seorang yang syahid”. (Hilyah al-Awliya’, 3:181)
9. Golongan yang bersabar dengan ujian ke atas dirinya
Dalam Surah Al-Ankabut ayat 2, Allah telah berfirman,
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
Maksudnya: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan,”Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji?”
Tiada satu pun manusia di dunia ini tidak ditimpa dengan ujian. Ujian besar atau ujian kecil, semuanya adalah rezeki yang berikan oleh Allah SWT. Sebagai manusia, kita harus bersabar, dan bersyukur dengan pemberianNya. Hal ini kerana, ujian adalah tanda bahawa Allah SWT sayang dan memperdulikan hambaNya.
Dalam surah Al-Baqarah:155, bermaksud: Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.
Dalam surah Al-Insan:12, ertinya: Dan kerana kesabaran mereka, mereka dibalas oleh Allah dengan syurga dan persalinan daripada sutera.
10. Golongan yang melakukan amalan bermanfaat bagi orang lain
Bersusah payah demi manfaat semua, inilah adalah contoh perbuatan yang membolehkan kita mendapat pahala yang besar. Ini kerana perbuatan ini membolehkan pelakunya mendapatkan pahala jariah yang tidak akan pernah putus kesan daripada manfaat yang diperolehi oleh orang lain.
Dari Abu Huraira RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِى الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِى الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَاللَّهُ فِى عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِى عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ.
Maksudnya: “Barangsiapa membebaskan seorang mukmin dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat. Barangsiapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama muslim. Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke surga baginya. Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca al-Qur’an, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya. Barangsiapa yang ketinggalan amalnya,maka nasabnya tidak juga meninggikannya.” (Hadits Riwayat Muslim)
11. Golongan yang syahid kerana mempertahankan Islam
Allah SWT berfirman dalam Surah Ali-Imran, ayat 169:
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh (gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”.
Golongan Syuhada’ adalah insan bertakwa yang dirindukan syurga. Manusia biasa akan rindu untuk masuk ke dalam syurga tetapi golongan ini sebaliknya. Yang mana syurga yang memanggil dan mendambakan kedatangan mereka untuk hadir. Lihatlah wajah-wajah para Syuhada’ yang syahid di Palestin dan Syiria. Walaupun mereka hidup dalam penuh keseksaan dan kezaliman, sehingga meninggal dunia. Tetapi di saat matinya, bibir mereka meninggalkan ukiran senyuman dan wajah yang tenang.
Kesimpulan
Fiitrah seorang manusia, mereka akan lebih bermotivasi untuk melakukan sesuatu jika dijanjikan dengan imbalan baik sama ada upah yang lumayan atau bonus yang besar.
Syurga lah motivasi kita semua dalam berbuat kebaikan. Untuk menggapai syurgaNya bukanlah suatu perkara yang mudah, namun tidak mustahil jika kita menuruti segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Semoga kita semua dianugerahkan Syurga Allah SWT di akhirat nanti.
Diharapkan artikel berkenaan golongan individu yang boleh masuk ke syurga tanpa hisab ini dapat memberikan anda pengetahuan yang berguna dan menjadi sumber motivasi untuk menjadi hambaNya yang soleh dan bertaqwa.
Artikel Berkaitan: Nama-nama Syurga
Rujukan
- Pdt. Samuel T. Gunawan, M.Th. (2013). Biblical Doctrine About Hell. Sumber
- Conner, Kevin J, 2004. A Practical Guide to Christian Belief, terjemahan, Penerbit Gandum Mas: Malang.
- Mad (2019). 11 Golongan Yang Masuk Syurga Tanpa Hisab.
- Fizah Lee (2020). Maksud Hadis Golongan Yang Memasuki Syurga Tanpa Hisab.
- Fairuz Noordin (2017). Rasulullah Pembuka Pintu Syurga.
- Perbezaan Surga Menurut Lima Agama di Indonesia (2019).
- Irsyad Al-Hadith Siri ke-59: Kelebihan Mati Pada Hari Jumaat
- Al-Kafi #1030: Manakah Lebih Utama Berdakwah Kepada Orang Islam Atau Bukan Islam