Skip to content

Cara Solat dalam Kenderaan (Panduan Lengkap)

solat dalam kenderaan

Bagaimanakah untuk melakukan solat ketika di dalam kenderaan berserta cara-caranya?

Artikle ini akan membincangkan keadaan-keadaan yang membenarkan kita solat dalam kenderaan, cara caranya dan huraian secara lengkap.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Dalil
  3. Hukum
  4. Adakah Perlu Menghadap Kiblat
  5. Cara Berwuduk dalam kenderaan
  6. Cara Solat dalam Kenderaan
  7. Hikmah

PENGENALAN


Pada zaman Rasulullah SAW, kenderaan yang diguna pakai oleh masyarakat Arab pada zaman itu ialah haiwan tunggangan. Antaranya ialah kuda, unta atau keldai. Ada kalanya Rasulullah SAW menaiki haiwan tunggangan untuk  bermusafir dari suatu tempat ke tempat yang lain.

Berbeza dengan era moden , kenderaan yang terdapat di pasaran kini lebih canggih seperti kereta, kapal terbang, keretapi, bot dan seumpamanya. Sebahagian kenderaan  merupakan alat pengangkutan moden yang tidak pernah dibincangkan hukum-hakam berkaitannya oleh para ulama’ yang terdahulu.

Walaubagaimanapun, ia tetap tidak terkeluar dari sifatnya yang merupakan sebuah alat pengangkutan yang mana telah terdapat perbincangan mengenai hukum-hakam berkaitannya yang telah disebut oleh para ulama’ seperti hukum solat di atas unta, kapal dan sebagainya.

DALIL


Amir bin Rabi’ah berkata:

 رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الرَّاحِلَةِ يُسَبِّحُ يُومِئُ بِرَأْسِهِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ وَلَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ

Maksud: Aku telah melihat Rasulullah S.A.W dalam keadaan baginda sedang berada di atas haiwan tunggangan, baginda bertasbih dengan mengisyaratkan kepala baginda menghadap ke arah yang mana haiwan itu menghadap. Dan tidaklah baginda melakukan perkara sedemikian di dalam solat fardhu. (Sahih Bukhari)

Di dalam kitab Fathul Bari, Ibn Hajar menukilkan pendapat  Ibnu Battal ketika mensyarahkan hadis ini : “Ulama berpesepakat tentang akan pensyaratan hal ini, sesungguhnya  tidak dibolehkan seseorang menunaikan solat yang fardhu di atas haiwan tunggangan tanpa ada sebarang  keuzuran.”

HUKUM SOLAT ATAS KENDERAAN


Berdasarkan hadis yang disebutkan tadi,  solat di atas kenderaan hanya dibolehkan untuk solat sunat sahaja. Manakala untuk solat fardhu, kita mestilah turun daripada kenderaan untuk menunaikan solat melainkan dalam keadaan dharurat.

ADAKAH PERLU MENGHADAP KIBLAT?


Jabir bin Abdullah R.A menerangkan: “Kami pernah solat di satu malam yang mendung dan kami tidak mengetahui arah kiblat. Tatkala kami selesai solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah kiblat.” Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda berkata: “Kamu telah melakukan yang terbaik.” Seterusnya Jabir berkata: “Dan Baginda tidak menyuruh kami mengulanginya.” (Riwayat Baihaqi)

Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani:

“ Jika berada dalam kenderaan dan boleh menghadap kiblat bagi keseluruhan solat dan menyempurnakan segala rukunnya atau sesetengahnya hendaklah kekal dengan keadaan itu. Jika tidak boleh berkekalan menghadap kiblat pada keseluruhan solat, maka memadailah menghadap ke arah kiblat ketika mengangkat takbirat al-ihram. Jika tidak boleh, tidaklah perlu menghadap kiblat. ( Matla’ al-Badrain)

Imam al-Qadhi Abu Syuja’ Rahimahullah berkata bahawa:

ويجوز ترك القبلة في حالتين في شدة الخوف وفي النافلة في السفر على الراحلة

 ‘’Dibolehkan untuk seseorang itu meninggalkan (menghadap ke arah) kiblat dalam dua keadaan iaitu ketika takut yang bersangatan dan juga solat sunat semasa permusafiran yang dilakukan di atas haiwan tunggangan’’ (Matan al-Ghayah wal-Taqrib)

Kesimpulan: Dibolehkan untuk tidak menghadap kiblat ketika menunaikan solat sunat dalam kenderaan.

CARA BERWUDUK DALAM KENDERAAN


  1. Penggunaan air dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan dengan menggunakan spray ataupun air mineral di dalam botol.
  2. Membasuh anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.
  3. Sekiranya tiada air, maka dibolehkan untuk bertayammum.

Firman Allah S.W.T:

فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدا طَيِّبا

Maksud: Maka bertayammumlah dengan debu yang bersih (Surah al-Maidah 5:6)

CARA SOLAT DALAM KENDERAAN


1. Solat dilaksanakan sekadar yang termampu.

Walaupun dalam keadaan sukar dan sulit, solat tetap tidak boleh ditinggalkan. Jika tidak berupaya menunaikan solat di dalam keadaan biasa, hendaklah ditunaikan secara yang termampu oleh seseorang

Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ

Maksud: Bertakwalah kalian kepada Allah sekadar kemampuan kalian. (Surah al-Taghabun 64: 16)

2. Solat dilakukan dalam keadaan duduk

Sebaiknya, solat dilakukan secara duduk kerana kenderaan yang  bergerak boleh menimbulkan kemudaratan sekiranya kenderaan berhenti secara mengejut.

3. Menghadap Kiblat jika mampu

Halakan tubuh badan kearah kiblat ketika Takbiratul Ihram sekiranya mampu.

4. Boleh bersandar sebentar

Sekiranya ketika sedang solat dan kenderaan bergoyang sedikit, maka dibolehkan berpegang atau bersandar sebentar bagi mengimbangkan diri.

5. Rukun Qauli

Segala rukun qauli (perkataan) hendaklah dilaksanakan.

6. Melibatkan isyarat

Solat yang dilaksanakan  dalam kenderaan itu  melibatkan isyarat dan pergerakan kepala.

Ibn Umar R.Anhuma berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي فِي السَّفَرِ عَلَى رَاحِلَتِهِ، حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ، يُومِئُ إِيمَاءً، صَلاَةَ اللَّيْلِ إِلاَّ الْفَرَائِضَ، وَيُوتِرُ عَلَى رَاحِلَتِهِ‏

Maksud: Nabi S.A.W solat di dalam permusafiran di atas haiwan tunggangannya. Dari sudut apabila haiwan itu menghadap ke arahnya, baginda mengikut ke arahnya dengan isyarat. Solat malam melainkan solat-solat fardhu, dan baginda juga melakukan solat sunat witir di atas haiwan tunggangannya. (Riwayat al-Bukhari)

Cara-caranya:

  1. Duduk tegak  dengan meluruskan badan sekadar yang termampu.
  2. Berniat solat ketika melafazkan Takbiratul Ihram dengan mengankat tangan.
  3. Membaca surah al-Fatihah dan Surah dalam keadaan duduk dan tangan kanan diletakkan di atas tangan kiri.
  4. Rukuk dengan menundukkan kepala sekadar yang termampu.
  5. Iktidal dengan mengangkat semula kepala sambil mengankat tangan.
  6. Sujud dengan menundukkan kepala melebihi paras Rukuk.
  7. Duduk antara dua sujud dengan mengangkat semula kepala sambil meleakkan tangan di atas paha.
  8. Membaca Tahiyyat  dalam keadaan meletakkan tangan di atas paha.
  9. Melafazkan salam dengan berpaling ke kanan dan kiri.

HIKMAH


Antara hikmah disyariatkan solat dalam kenderaan ialah:

1. Sentiasa mengingati Allah dalam semua keadaan dan dimana jua berada.

Rasulullah SAW bersabda:

اِتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ

Maksud: Bertakwalah kepada Allah di mana saja kamu berada. (Riwayat Tirmizi)

2. Taat Perintah Allah dimana jua

Kita disuruh untuk taat akan segala perintah Allah mengikut kadar kemampuan diri.

Allah SWT berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksud: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya kemampuan kamu. (Surah al-Taghabun 64: 16)

3. Memudahkan urusan umat Islam dalam melaksanakan kewajipan

Allah SWT berfirman:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksud: Dan Allah tidak menjadikan ke atas kalian kepayahan di dalam agama. (Surah al-Hajj 22:78)

RUJUKAN

  1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 225: Hukum Solat Di Dalam Kereta
  2. Bayan Linnas Siri Ke-53: Solat Di Atas Kapal Terbang: Hukum Dan Caranya
  3. Soal Jawab Arah Kiblat, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen + 8 =