Apakah itu darah nifas

Apakah itu Darah Nifas? (Panduan Lengkap)

Apakah itu darah nifas? Artikel ini akan membincangkan berkenaan darah nifas dan persoalan berkenaan perkara ini.

Pengenalan

Darah nifas ini keluar waktu bersalin. Ada yang kata, sebelum bersalin tetapi dah nak bersalin. Keluar darah, itulah darah nifas. Ada yang kata, ketika melahirkan anak itu sendiri baru dipanggil nifas.

Sheikul Islam Ibn Taymiyah berkata:

Apa yang dilihat oleh wanita semasa bermula tolakan bersalin ialah darah nifas. Ia (nifas) tidak disyaratkan oleh dua atau tiga hari sebelum bersalin tetapi disyaratkan oleh tolakan yang mengiringi bersalin. Jika berlaku pendarahan selain itu (tolakan bersalin), maka ia bukan nifas.” (al-Risalah fi al-Asma’ allati ‘Alaq al-Syar‘i al-Ahkam Biha)

Menurut Ibn Taymiyah, apa sahaja darah yang mengiringi bersalin, itulah darah nifas, sama ada sebelum, ketika, atau selepas. Asalkan ‘bersalin’.

Tentang tempoh nifas, ulama berbeza pendapat. Ibn Taymiyah berkata:

Bagi nifas tidak ada tempoh minimum atau maksimum. Jika ditakdirkan seorang wanita melihat darah lebih daripada 40 atau 60 atau 70 hari lalu kemudian barulah ia berhenti, maka itu adalah darah nifas. Akan tetapi jika pendarahan berlaku secara berterusan (melebihi tempoh di atas) maka ia adalah darah fasid (istihadah). Maka batasnya (bagi kes ini) ialah 40 hari kerana sesungguhnya tempoh 40 hari adalah kebiasaan (bagi wanita yang sudah bersalin) sebagaimana yang disebut dalam atsar-atsar (pendapat tokoh terdahulu).

Kalau kita ikut pendapat tokoh terdahulu, majoriti daripada mereka kata 40 hari merupakan tempoh standard.

Hukum nifas

Sebenarnya, darah nifas itu bukanlah sesuatu yang buruk dan jijik. Ia merupakan cara rahim membersihkan dirinya. Seorang ibu yang melahirkan anak itu melalui kesusahan yang teramat dahsyat sehingga terkeluar darah yang berperanan untuk membersihkan saluran itu.

Allah berfirman dalam Surah al-Ahqaf ayat 15:

..ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula)..

Dalam kalangan imam mazhab pun mereka berselisih tentang tempoh waktu nifas. Mazhab Syafie berpendapat tempoh maksimum nifas adalah 60 hari. Majoriti kata 40 hari. Bagaimana kalau darah itu keluar hanya sekejap? Dua tiga hari misalnya?

Imam Malik sebut dalam al-Mughni, “Jika darah terlihat setelah dua atau tiga hari setelah terhentinya, maka itu adalah darah nifas. Jika tidak, maka itu darah haid.

Kalau darah itu kejap ada dan kejap tak ada, dalam Mazhab Syafie hari nifas yang 60 hari itu tetap terhitung. Walaupun darah itu tiba-tiba berhenti selama sehari dua. Tempoh nifas yang 60 hari (menurut mazhab Syafie) itu tetapi perlu dikira.

Orang yang kena nifas ini tidak boleh solat. Keadaan dia sama macam orang haid. Dia kena tunggu sampai 40 hingga 60 hari barulah kena mandi wajib dan menunaikan segala kewajiban agama seperti biasa.

Kalau darah nifas itu benar-benar terhenti sebelum habis 40 hari, maka perlulah mandi wajib. Ia dianggap nifas itu sudah habis. Kalau berhenti sehari dua, tidak perlu mandi wajib. Dianggap dalam keadaan berhadas lagi.

Hukum Darah Nifas untuk beberapa keadaan

Ada beberapa keadaan perempuan yang mengalami nifas perlu diperjelaskan. Iaitu:

Pertama, ketika iddah.

Kalau seorang perempuan itu diceraikan suaminya ketika kena nifas, maka tempoh iddahnya dikira menurut kitaran haid, bukan nifas. Kena tunggu tiga kali kitaran haid, barulah dikira selesai iddah.

Kedua, Ila’.

Ini di mana si suami bersumpah untuk tidak akan bersama dan menyetubuhi isterinya buat selama-lamanya selama empat bulan berturut-turut. Maka, tempoh empat bulan itu dikira menurut haid si isteri, bukan nifas.

Ketiga, baligh.

Kadar baligh seorang perempuan itu dikira menurut haidnya, bukan nifas.

Keempat, nifas yang terputus-putus. Kejap ada, kejap tak ada, kejap ada balik.

Ini ikut kelaziman. Kalau ia berlaku ketika lazimnya berlakunya nifas, maka ia nifas, iaitu mengiringi bersalin sehingga 40-60 hari. Kalau ia putus, perlu kira juga tempoh 40-60 hari itu untuk pastikan apakah ia benar-benar berhenti. Kalau ia betul sudah berhenti, maka perlulah mandi wajib dan melakukan segala amal ibadat seperti biasa.

Kelima, persetubuhan.

Majoriti ulama mengharuskan untuk suami menyetubuhi isteri sekiranya darah nifasnya sudah berhenti tetapi tempoh 40-60 hari itu belum habis.

Kesimpulan

Tempoh biasa berlakunya darah nifas ini adalah 40 hari. Maksimumnya, 60 hari. Nak kenal darah nifas, ia merupakan darah yang mengiringi perempuan bersalin sama ada sebelum, semasa, dan selepas. Ia bertindak untuk membersihkan rahim. Kalau darah itu keluar lebih daripada 60 hari, itu boleh jadi darah istihadah.

Rujukan

  1. Hukum Nifas Menurut Mazhab – Republika
  2. Hukum Darah Nifas yang Keluar Melebihi Tempoh 60 hari -Mufti WP

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 − 5 =

Scroll to Top