Apakah amalan Rasulullah sebelum tidur yang boleh kita amalkan? Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda tentang amalan-amalan yang menjadi kelaziman Rasulullah SAW lakukan sebelum tidur.
Amalan Rasulullah ibadah sunnah yang dijanjikan syafaat
Menjalankan kehidupan tanpa rujukan dan contoh ibaratnya seperti berjalan di waktu malam tanpa disinari oleh cahaya lampu. Memang kita tentu boleh berjalan walaupun mata tidak nampak apa yang ada di kiri, dan kanan tetapi kemampuan akan terbatas untuk melakukan banyak perkara. Al-Quran diturunkan kepada umat Islam sebagai rujukan, namun jika tidak ada seorang insan yang diyakini untuk memberi kefahaman tentang isi dan suruhan didalamnya juga satu masalah.
Disitulah sunnah dan hadis Rasulullah SAW bertindak sebagai sandaran kedua untuk mengukuhkan lagi keimanan umat Islam. Amalan sederhana yang dilakukan baginda setiap hari inilah memberi nilai positif bagi kesihatan tubuh dan mental termasuk meningkatkan iman pada Allah SWT.
Menjalankan kebiasaan Nabi Muhammad SAW, baik teladan dari perkataan dan perbuatan, akan membuat diri menjadi lebih tenang. Terutama mengamalkan amalan sebelum tidur, semestinya akan membuat tubuh lebih segar bugar ketika bangun di waktu pagi nanti.
Dalam Al-Quran Allah SWT ada berfrman,
وَّجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًاۙ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirehat.” – (Surah An-Naba, ayat 9)
Diwaktu pagi, manusia akan sibuk dengan segala urusan duniawi mereka seperti bekerja, menuntut ilmu, makan, menjalankan sebarang tanggungjawab dan sebagainya. Lalu apabila menjelang waktu malam, saat itulah mereka akan berehat dan tidur untuk melepaskan segala lelah serta kepenatan.
Amalan Rasulullah sebelum tidur yang bersandarkan hadis
Enam amalan yang dibincangkan ini mempunyai rujukan hadis yang sahih dan diguna pakai sehingga hari ini. Antara amalan yang dilakukan Nabi Muhammad SAW sebelum tidur adalah seperti:
1. Mengibas tilam sebelum berbaring di atasnya
Riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ، فَلْيَأْخُذْ دَاخِلَةَ إِزَارِهِ، فَلْيَنْفُضْ بِهَا فِرَاشَهُ، وَلْيُسَمِّ اللهَ، فَإِنَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا خَلَفَهُ بَعْدَهُ عَلَى فِرَاشِهِ، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَضْطَجِعَ، فَلْيَضْطَجِعْ عَلَى شِقِّهِ الْأَيْمَنِ، وَلْيَقُلْ : سُبْحَانَكَ اللهُمَّ رَبِّي بِكَ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي، فَاغْفِرْ لَهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama Allah (iaitu membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya. Sekiranya dia mahu berbaring, berbaringlah di sebelah rusuk kanannya dan berdoa; Maha suci Engkau, Ya Allah Wahai Tuhanku, dengan namaMu aku berbaring, dan dengan namaMu aku angkat pinggangku. Jika Engkau menahan nyawaku, maka berilah keampunan kepadanya dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah sebagaimana hamba-hamba Mu yang soleh.” – (Hadis Riwayat Muslim, 2714)
Di dalam riwayat lain datang dengan lafaz:
إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ عَنْ فِرَاشِهِ ثُمَّ رَجَعَ إِلَيْهِ فَلْيَنْفُضْهُ بِصَنِفَةِ إِزَارِهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu bangun dari tempat tidurnya, kemudian dia kembali kepadanya, maka hendaklah dia mengibaskannya dengan hujung kainnya sebanyak tiga kali.” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi, 3401)
Kita digalakkan untuk mengibas tilam atau tempat tidur kerana dikhuatiri ada apa-apa yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri seperti haiwan berbisa ular dan kala jengking, hama, serangga kecil atau seumpamanya.
2. Berwuduk sebelum tidur
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ
Maksudnya: “Jika kamu mendatangi tempat pembaringanmu, maka berwuduklah seperti mana wudukmu untuk melakukan solat.” – [Hadis Riwayat Al-Bukhari (247), Muslim (2710) & Abu Daud (5046)]
Tubuh yang dalam keadaan berwuduk maksudnya kita dalam keadaan bersih dan suci daripada hadas. Bila kematian yang tidak diduga ini hadir ketika kita sedang tidur, maka wuduk yang diambil sebelum tidur akan membantu kita dalam keadaan bersuci.
Dalam buku al-I’jaz al-ilmi fi al-Islam wa al-Sunnah al-Nabawiyah, Muhammad Kamil Abd al-Somad menjelaskan bahawa manfaat dalam wuduk sangatlah besar untuk tubuh badan manusia.
Kebaikannya dari segi sains, kesihatan dan rohani seperti menenangkan otot-otot sebelum berehat, mencerahkan kulit wajah, dan didoakan perlindungan oleh malaikat.
3. Membaca doa sebelum tidur
Doa sebelum tidur dikhususkan untuk dibaca bagi memperoleh tidur yang lena tanpa sebarang gangguan baik dari manusia atau makhluk ghaib. Berdoa kepada Allah seperti mana kita meletakkan urusan kita 100% atas jagaannya selepas kita berusaha.
Dari Hudzaifah, ia berkata, “Apabila Nabi SAW hendak tidur, beliau mengucapkan: ‘Bismika allahumma amuutu wa ahya (Dengan nama Mu, Ya Allah aku ma ti dan aku hidup).’ Dan apabila bangun tidur, beliau mengucapkan: “Alhamdulillahilladzii ahyaana ba’da maa amatana wailaihi nusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada Nya lah tempat kembali).” – (Hadis Riwayat Bukhari)
4. Membaca 3 Qul
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW daripada `Aisyah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ} ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: “Adalah Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada keduanya dan dibacakan padanya Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas kemudian Baginda menyapu pada kedua tapak tangannya it uke bahagian badan (yang boleh dicapai) dimulai dengannya pada bahagian kepala. Muka dan bahagian depan badan Baginda dan Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, 5017)
5. Berbaring pada sisi kanan
Menurut Ibn Qayyim, “Tidur berbaring pada sisi kanan dianjurkan dalam Islam agar seseorang tidak susah untuk bangun solat malam. Tidur pada sisi kanan lebih bermanfaat untuk jantung. Manakala, tidur pada sisi kiri juga bagus untuk badan tetapi membuat seseorag semakin malas.”
Berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW, “Berbaringlah di atas rusuk kananmu.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Adab tidur yang dianjurkan mengiring ke sebelah kanan mempunyai banyak manfaatnya dari segi sains dan kesihatan manusia seperti mengurangkan tekanan jantung, meningkatkan waktu penyerapan zat makanan, dan sebagainya.
6. Membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah
Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW mengajarkan umatnya agar membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah. Daripada Abu Huraira RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari, 5009)
Kesimpulan
Sebagai seorang Muslim kita sepatutnya menjadikan Baginda SAW contoh ikutan dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). – (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Diharapkan dengan perkongsian ini dapat memberikan ilmu pengetahun yang bermanfaat untuk diamalkan dan disampaikan kepada orang lain.
Rujukan
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-429: Mengibas Tilam Sebelum Berbaring Di Atasnya, Mufti Wilayah Persekutuan
- Irsyad Al-Fatwa Ke-192: Hukum Tidur Secara Meniarap, Mufti Wilayah Persekutuan
- Doa Tidur, Doa Bangun Tidur dan Adab Tidur (Bacaan Rumi) (March, 2022). Aku Muslim Asia