Skip to content

Adab Kepada Orang Kurang Upaya

adab kepada orang kurang upaya

Dalam artikel ini akan membahaskan adab kepada orang kurang upaya. Sebelum itu, kita akan mengenali dahulu, apakah sifat orang kurang upaya. 

Orang Kurang Upaya

Kurang upaya ialah mereka yang memiliki keterbatasan pada fizikal dan mental dalam melaksanakan pekerjaan sehari-hari seperti manusia normal. Contohnya, mereka yang autisme, disleksia, tidak ada kaki, buta, dan seterusnya. 

Mereka ini apabila mengadaptasi dengan keadaan diri mereka, memanglah sudah boleh melakukan apa-apa pekerjaan, namun keterbatasan itu tetap ada. 

Orang Kurang Upaya Menurut Perspektif Islam 

Menurut Islam, anak itu merupakan kurniaan Allah. Setiap ibu bapa wajib membesarkan anak menjadi anak yang baik dan matang mengikut cara pendidikan agama yang betul.

Allah berfirman dalam Surah al-Anfal ayat 28: 

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

Ibu bapa yang mendapat anak OKU janganlah terasa tidak baik atau sedih. Setiap anak itu harus dididik dengan baik. Perbuatan mendidik anak dengan baik merupakan perbuatan yang mulia. Atas sebab didikan yang ibu bapa berikan itu boleh membawa ibu bapa ke syurga.

Dan juga, setiap makhluk ciptaan Allah itu baik-baik belaka. Mereka mempunyai tujuan penciptaan kita seperti mendidik kita menjadi sabar, menjadi lebih meneroka ciptaan Allah dan sebagainya. 

Ibu bapa yang mempunyai anak OKU pastilah akan mengambil tahu tentang sifat-sifat OKU itu sendiri. Dengan ilmu tersebut, bolehlah meneroka lebih banyak kebesaran Allah di bumi ini. 

Setiap OKU, mesti ada kelebihannya tersendiri. Contohnya, Albert Einstein boleh diklasifikasikan sebagai OKU kerana beliau mengidap disleksia. Namun, sumbangan beliau kepada dunia sains itu luar biasa. 

Jadi, walaupun kurang di satu tempat, pasti ada kelebihan di tempat yang lain. 

OKU di zaman Rasulullah 

Terdapat dua orang sahabat Rasulullah yang boleh dikatakan OKU, iaitu Abdullah Bin Ummu Maktum dan juga Julaibib. Abdullah merupakan salah seorang muazin selain Bilal Bin Rabah. 

Selain Bilal dan Abdullah bergilir-gilir mengumandangkan azan. Abdullah OKU dari segi apa? Abdullah merupakan orang yang buta. Beliau tidak mampu melihat. Abdullah telah buta sejak beliau kecil lagi. 

Di sini sifat optimis Abdullah. Abdullah berkata, walaupun beliau tidak dapat melihat, maka itu maknanya dosa-dosa dari segi penglihatan sudah tidak ada. 

Abdullah dikhabarkan orang pertama yang menyahut seruan untuk berhijrah ke Madinah. Sudahlah jarak antara Mekkah dan Madinah itu terlalu jauh, iaitu 490 kilometer. Bayangkan, pada zaman tersebut belum ada lagi kereta, kapal terbang dan sebagainya. 

Julaibib pula merupakan sahabat Rasulullah yang katik. Beliau dikatakan tidak tampan, jadi tidak ada wanita yang berminat dengan beliau. 

Walaupun begitu, beliau merupakan seorang manusia yang rajin berzikir dan beribadat. 

Beliau dikahwinkan oleh Rasulullah dengan seorang wanita anak bangsawan kaum Ansar yang cantik. 

Beliau pernah menyertai peperangan dengan Rasulullah lalu gugur syahid. Tidak ada siapa yang ingat kepada beliau melainkan Rasulullah. Rasulullah cari beliau. Rasulullah angkat beliau dan masukkan ke liang lahad. 

Rasulullah amat mengasihi sahabat baginda tidak kira OKU ataupun tidak. Inilah sikap mulia yang harus kita pelajari dan contohi. 

Adab kepada golongan OKU 

Tunjang adab kepada OKU adalah pada ayat 2 Surah al-Maidah: 

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah=Nya).

Dari aspek ibadah, kita perlu membantu memudahkan golongan OKU beribadat. Contohnya, kewujudkan laluan untuk kerusi roda. Bolehlah individu terbabit bergerak ke tempat ibadat dengan mudah. Dengan itu juga, mereka boleh beribadat dengan baik. 

Selain itu, dari segi ilmu, kita perlu membantu golongan OKU juga. Bagi mereka yang buta, bolehlah disediakan alat membaca berbentuk braille. Mudah bagi mereka membaca, lagi-lagi al-Quran, kitab-kitab hadis, dan sebagainya. 

Bukan ini sahaja, bagi mereka yang mengidap masalah pembelajaran pun, kita sebagai orang Islam yang menjunjung perintah iqra’, perlu mengkaji secara saintifik bagaimana hendak memudahkan cara mereka belajar. 

Setiap orang belajar tidak sama, apatah lagi mereka yang disleksia, autisme, ADHD, dan sebagainya. 

Pokoknya, kita perlu menyantuni golongan OKU dan memudahkan mereka untuk melakukan sesuatu pekerjaan, apatah lagi ibadat. 

Kesimpulan 

Keterbatasan golongan OKU boleh dileraikan dengan bantuan orang-orang normal yang sanggup memudahkan pekerjaan harian mereka. Moga-moga kita beroleh pahala. 

Diharapkan artikel adab kepada orang kurang upaya ini dapat memberikan maklumat kepada para pembaca.

Rujukan 

  1. Pendidikan Adab Islam: Cabaran di Kalangan OKU Penglihatan – GBSE
  2. Orang Kurang Upaya dari Perspektif Islam – IKIM
  3. Menyantuni Golongan OKU – Mufti Wilayah Persekutuan
  4. Contohi Sikap Rasulullah SAW Santuni – Sinar Harian
  5. Jangan Sesekali Kita Sisihkan Golongan OKU – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

12 + nine =