Skip to content

Abu Said Al Khudri: Biodata & Kisah Hidupnya

Abu Said Al-Khudri

Abu Said al-Khudri, sang perawi hadith. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang paling muda dan paling banyak meriwayatkan hadith.

Siapakah Abu Said Al-Khudri?

Abu Said al-Khudri merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang paling muda dari kaum Ansar dan merupakan mufti Madinah pada zamannya. Nama lengkap beliau ialah Saad bin Malik bin Sinan bin Tsa’labah bin Ubaid bin al-Abjar Abu Said al-Khudri. Ayahnya ialah Malik bin Sinan, yang juga merupakan sahabat Rasulullah SAW dan gugur syahid pada Perang Uhud. Ibunya pula ialah Anisah binti Abu Haritsah, berasal dari Bani Adi bin al-Najar.

Tarikh kelahiran Abu Said al-Khudri tidak dinyatakan dengan jelas. Namun, terdapat riwayat yang mengatakan bahawa beliau lahir sekitar 10 tahun sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Beliau juga memeluk Islam pada umur yang muda, iaitu ketika berumur 10 tahun.

Kisah Kesabaran Abu Said Al-Khudri Pada Waktu Belianya

Ketika berumur 13 tahun, Abu Said al-Khudri diperkenalkan kepada Rasulullah SAW oleh ayahnya, Malik bin Sinan untuk menyertai Perang Uhud. Ayahnya berkata kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, badannya baik dan tulang-tulangnya sangat kuat!” Rasulullah SAW melihat kepada Abu Said berkali-kali tetapi akhirnya menolak permintaan tersebut lantaran umurnya yang masih terlampau muda. 

Dalam Perang Uhud tersebut, ayahnya telah gugur syahid. Ayahnya tidak meninggalkan apa-apa harta kepadanya untuk hidup. Maka, Abu Said pergi menemui Rasulullah SAW untuk mendapatkan sedikit bantuan kewangan. Belum sempat beliau membuka mulut, Rasulullah SAW bersabda, “Abu Said! Barangsiapa memohon kesabaran daripada Allah akan memperolehinya. Barangsiapa memohon kesucian daripadaNya akan mendapatnya dan barangsiapa memohon rasa puas hati akan pasti dikurniakan olehNya”. Setelah mendengar ucapan Rasulullah SAW, beliau pulang ke rumah tanpa meminta apa-apa pertolongan. 

Peristiwa tersebut berlaku ketika Abu Said berusia 13 tahun. Ucapan Rasulullah SAW kepada beliau bertujuan untuk mengajarkan sifat tawakal kepada Allah SWT dan bersabar apabila ditimpa kesusahan. Bagi belia yang baru berusia 13 tahun, mungkin agak sukar untuk memahami maksud ucapan tersebut, malah mungkin menimbulkan rasa marah dan keliru apabila permintaan tolong mereka dijawab dengan ucapan tersebut. Namun, Abu Said memahami makna ucapan Rasulullah SAW dan pulang ke rumah memperbaharui dirinya dengan sikap sabar dan tawakal kepada Allah SWT. Demikianlah sikap luar biasa yang ada pada Abu Said yang baru berusia 13 tahun pada ketika itu.

Keutamaan Dan Kelebihan Abu Said Al-Khudri

Abu Said tidak berjaya menyertai Perang Uhud kerana umurnya yang masih 13 tahun pada ketika itu. Selepas itu, beliau menyertai banyak peperangan bersama Rasulullah SAW termasuklah perang Bani Mustaliq, Khandaq, Bani Quraizah, Hudaibiah, Mut’ah, Hunain, Tabuk dan turut serta dalam pembukaan Kota Mekah. Diriwayatkan bahawa beliau telah menyertai 12 peperangan kaum muslimin.

Abu Said bukan sahaja aktif menyertai peperangan, tetapi juga sangat berdedikasi dalam menuntut ilmu. Beliau sentiasa mendampingi Rasulullah SAW untuk mendapatkan ilmu. Diriwayatkan juga bahawa beliau menuntut ilmu dari para sahabat yang lain termasuklah ayahnya sendiri, Malik bin Sinan, Khulafa’ al-Rasyidin, Qatadah bin Nu’man, Zaid bin Thabit, Abu Qatadah al-Ansari, Usaid bin Hudair, Jabir bin Abdullah, Muawiyah Abu Sufyan, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Salam.

Dedikasinya dalam menuntut ilmu menjadikan beliau dikenali sebagai seorang yang soleh dan mempunyai pengetahuan agama yang luas. Beliau sering dijadikan rujukan oleh para sahabat dan para tabi’in. Antara sahabat yang menuntut ilmu daripada beliau termasuklah Abdullah bin Umar, Jabir bin Abdullah, Anas bin Malik, isterinya sendiri, Zainab binti Ka’ab, Zaid bin Thabit dan Mahmud bin Labid. Murid-murid beliau dalam kalangan para tabi’in pula tidak terkira bilangannya. 

Abu Said juga dikenali sebagai seorang yang berilmu dan pakar dalam hadith. Beliau merupakan antara sahabat yang paling banyak menghafal dan meriwayatkan hadith. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 1170 hadith secara keseluruhannya. Dalam hadith yang telah diriwayatkan oleh beliau, terdapat sebanyak 111 hadith sahih, 43 hadith diriwayatkan secara bersama oleh Bukhari dan Muslim, 16 hadith diriwayatkan oleh Bukhari dan 52 hadith diriwayatkan oleh Muslim. Semasa hayatnya, para sahabat dan tabi’in pernah meminta izin untuk menulis hadith yang dihafal oleh beliau. Maka beliau berkata, “Jangan hanya menulis dan membacanya, tetapi berusahalah untuk menghafalnya seperti yang saya lakukan”.

Abu Said merupakan seorang yang alim, imam, mujahid, fakih, mujtahid dan mufti Madinah. Hanzalah bin Abu Sufyan meriwayatkan dari beberapa gurunya bahawa tidak ada seorang pun yang lebih alim dan lebih fakih dari kalangan pemuda sahabat melebihi Abu Said al-Khudri. Peribadi beliau digambarkan sebagai seorang yang sabar, berani, berterus terang dan lantang dalam memberi nasihat ke arah kebenaran walaupun kepada pihak berkuasa dan para pemimpin. Beliau berpegang teguh pada hadith Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jangan takut pada manusia jika kamu perlu bercakap benar dan haq pada bila-bila masa kamu melihat dan mengetahuinya”.

Wafatnya Abu Said Al-Khudri

Abu Said wafat di Madinah. Namun, terdapat perbezaan pendapat mengenai tahun kewafatannya. Al-Waqidi menyatakan beliau wafat pada tahun 74 Hijrah, pendapat Ali bin al-Madini pada tahun 63 Hijrah, pendapat Ibnu Huban pada tahun 64 Hijrah dan pendapat al-Askari pada tahun 65 Hijrah. Bagi memenuhi wasiat beliau, anaknya Abdurrahman bin Abu Said menguburkannya di perkuburan al-Baqi’ di Madinah.

Dalil Yang Berkaitan Dengan Abu Said al-Khudri

Kisah Abu Said yang ingin meminta pertolongan dari Rasulullah SAW selepas kematian ayahnya dalam Perang Uhud telah diceritakan sebelum ini. Pada ketika itu, Rasulullah SAW bersabda,

وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ ، وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ ، وَمَنْ يَتَصَبَّرْ يُصَبِّرْهُ اللَّهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang merasa cukup (dengan rezeki Allah), maka Allah akan mencukupkan rezekinya. Barangsiapa yang menjaga kehormatan dirinya, maka Allah akan menjaga kehormatannya. Barangsiapa yang berusaha untuk bersabar, maka Allah akan menjadikannya bersabar. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith tersebut mengajarkan kepada kita tentang sifat-sifat mulia yang seharusnya diamalkan oleh seorang Muslim, iaitu menjaga kehormatan diri serta tidak mencari nikmat makhluk lain. Hadith tersebut juga mengajarkan sifat tawakal kepada Allah SWT serta bersabar dengan kesusahan yang menimpa. 

Kesabaran yang ditunjukkan oleh Abu Said pada umurnya yang masih belia, memuliakan kedudukannya sebagai salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang paling muda. Allah SWT juga mengurniakan pengetahuan dan ilmu kepadanya sehingga beliau menjadi tempat rujukan bagi menyelesaikan sebarang kemusykilan agama dan menduduki tempat ketujuh paling banyak meriwayatkan hadith dalam kalangan para sahabat. 

Sahabat Nabi Muhammad SAW yang lain:

Khabbab Al AratJulaibib
Muawiyah Bin Abu SufyanSuhaib Bin Sinan
Ikrimah Bin Abu JahalJabir Bin Abdullah
Khubaib Bin AdiAdi Bin Hatim
Hudzaifah Ibnu YamanAbu Said Al Khudri
Suraqah Bin MalikKaab Bin Malik
Hasan Bin AliHusain Bin Ali

Rujukan

  1. Syaikhul Hadis Maulana Muhammad Zakariyya Kandhahlavi. 1993. Kisah Kehidupan & Perjuangan Para Sahabat. Kuala Lumpur: Darul Nu’man.
  2. Muhammad Abdullah Abu Su’aylik. 1999. Abu Sa’id al-Khudri: Sahih Rasulullah wa mufti al-Madinah fi zamanih. Jeddah: Darul Basyir. 
  3. The companion. Abu Sa’id Al Khudri RA – The Prolific Narrator of Hadiths.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × three =