Apakah kelebihan surah Al-Balad yang perlu anda tahu dan kepentingannya dalam kehidupan manusia? Artikel pada kali ini akan berkongsi secara mendalam aspek-aspek yang ditekankan dalam Surah Al-Balad kelebihan yang ada padanya namun tidak ramai orang tahu.
Apakah surah Al-Balad?
Surah Al-Balad terdiri daripada 20 ayat sahaja. Erti dari kalimah “Al-Balad” adalah Negeri. Surah ini merupakan surah yang ke-90 selepas surah Qaaf dan termasuk dalam golongan surah-surah Makkiyah, iaitu diturunkan sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.
Keseluruhan, surah ini mengandungi beberapa isyarat tentang kedudukan mulia kota Mekah sekaligus menjelaskan bahawa manusia diciptakan dengan kudrat serta memiliki kemampuan untuk menghadapi segala kesulitan yang ditimpakan kepadanya sejak lahir sehinggalah meninggal dunia.
Mengapa diturunkan surah Al-Balad
Tujuan utama surah ini diturunkan menurut Al-Biqa’I, adalah untuk membuktikan betapa manusia sangat lemah dan kekuatan yang Maha Perkasa itu datangnya dari Allah SWT sendiri.
Diterangkan di sini bahawa manusia dijadikan Allah sentiasa dalam keadaan perlu berhadapan dengan segenap ujian dari sudut jasmani da rohani. Oleh yang demikian, manusia sepatutnya tidak boleh terpedaya dengan kuasa yang ada pada dirinya.
Dalam masa yang sama turut sama diterangkan sebab manusia terpedaya dan bermegah dengan kekayaan dan pengaruhnya. Allah telah memberikan kita dua mata untuk memerhatikan kekuasaan dan segala kekayaan Allah di dunia ini.
Lidah dan bibir pula dijadikan untuk menyempurnakan hajat-hajatnya. Allah SWT juga menunjukkan dua jalan kepada kita iaitu jalan kebaikan untuk dijalaniinya, dan jalan kejahatan untuk dijauhinya.
Meskipun demikian, tetapi manusia tidak memilih jalan kebaikan dengan menempuh masuk yakni mengerjakan amalan yang tinggi darjatnya disisi Allah seperti memerdekakan hamba, dan memberi makan anak yatim.
Manusia juga perlulah sentiasa beriman serta berpesan antara satu sama lain dengan sabar dan kasih sayang.
Kelebihan surah Al-Balad
Secara umumnya, setiap ayat Al-Quran mempunyai kelebihan dan manfaatnya yang tersendiri. Antaranya seperti:
1. Termasuk dalam Al-Mufashshal
Surat Al-Balad adalah termasuk dalam Al-Mufashshal yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW. Ini yang menyebabkan baginda memiliki keutamaan dibandingkan dengan Nabi-Nabi pendahulunya.
2. Menjadi orang yang soleh
Abi Abdullah berkata, “Barangsiapa yang membacanya (Surat Al-Balad) di dalam salat fardu, maka ia di dunia dikenal termasuk orang-orang saleh, di akhirat dikenal sebagai orang yang memperoleh tempat di sisi Allah, dan di hari kiamat ia bersama para nabi, para syuhada, dan orang-orang saleh.” – (Tsawabul A’mal: 152)
3. Selamat dari murka Allah dan segala rintagan di hari kiamat
Nabi Muhammad SAW bersabda, “Barangsiapa yang membaca surat ini, maka Allah akan memberinya keamanan dari neraka Nya di hari kiamat, dan menyelamatkannya dari segala halangan. Dan barangsiapa yang menulisnya dan mengalungkannya kepada anak kecil, atau yang dilahirkan, maka ia akan aman dari segala yang membahayakan anak-anak.” – (Tafsirul Burhan, Juz 8: 286)
4. Memperoleh kemasyuran dan kemuliaan
Mereka yang membaca surah Al-Balad dari ayat 1 hingga 10 secara istiqamah dikatakan akan mendapat kemuliaan dan kemasyuran yang terbaik. Ini sangat penting bagi seorang pemimpin yang mahu mengerakkan pasukan dan anak buahnya dalam membentuk masyarakat yang makmur.
5. Menjadi syafaat di akhirat kelak
Nabi Muhammad SAW sangat menggalakkan umatnya untuk membaca Al-Quran kerana kelak ia akan menjadi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat.
Berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili RA, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Bacalah bait Al-Quran karena sesungguhnya pada hari kiamat nanti akan datng memberikan syafaat yangbaik kepada pembacanya.” – (Hadis Riwayat Muslim)
6. Ganjaran pahala bagi setiap huruf
Daripada Ibnu Mas’ud RA ia berkata: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” – (Hadis Ibnu Mas’ud ini direkodkan oleh Ad-Darimi Tirmizi dalam Sunan Tirmizi, Kitab Abwab Fadhail Al-Quran, No hadis 2910, status hadis ini hasan sahih).
7. Mendapat pahala kebaikan
Setiap baris perkataan dan ayat dalam Al-Quran memberikan kita pahala dari setiap hurufnya. Bayangkan surah yang mempunyai 20 ayat ini, berapa hurufkah yang ada? Lantas berapa banyak pahala yang kita boleh peroleh?
8. Meningkatkan keimanan diri
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” – (Surah Al-Anfal, ayat 2).
9. Sebagai panduan hidup
Allah telah berfirman yang bermaksud, “Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus” (Surah Ash-Syura, ayat 52).
10. Mendapat rahmat dan lindungan daripada malaikat
Para malaikat juga akan memberikan perlindungan daripada segala kejahatan yang dapat dilihat mahupun tidak kepada orang-orang yang membaca kitab Al-Quran.
Diharapkan artikel berkenaan dengan kelebihan Surah Al-Balad ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat dan ilmu pengetahuan yang berguna.
Kelebihan Surah yang Lain
Rujukan:
- Sinopsis Surah Al-Balad. My Raudhah
- Tafsir Al-Munir, Juz 30, Dr. Wahbah Al-Zuhaily (Terjemahan). Penerbit: Persatuan Ulama Malaysia dan Intel Multimedia And Publication, Selangor, 2001.