Skip to content

10 Amalan Ketika Haid yang Anda Boleh Amalkan

amalan ketika haid

Apakah amalan ketika haid? Artikel pada kali ini akan menyenaraikan mengenai beberapa amalan yang amat sesuai dilakukan khusus kepada kaum hawa apabila kedatangan haid. 

Pengenalan

Sebagai seorang Muslim, sebenarnya tiada alasan sama sekali untuk seseorang itu terputus hubungannya dengan Allah SWT. Dalam konteks ini termasuklah juga bagi kaum hawa yang perlu melalui pengalaman haid setiap bulan. Amalan ketika haid ini amat baik sebagai panduan agar kita tidak berasa was-was ketika membuat apa-apa ibadah dalam keadaan tidak suci dari hadas.

Haid adalah kitaran normal bagi setiap perempuan apabila dia sudah pun mencapai umur akil baligh. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ هَذَا شَىْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ

Maksudnya: “Ini (kitaran haid) adalah sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan bagi anak cucu perempuan Adam.” – (Hadis Riwayat Muslim, 2976)

Contoh amalan ketika haid yang boleh dilakukan

Wanita yang didatangkan haid atau bahasa modennya dipanggil “period” memang haram untuk melaksanakan solat dan beberapa hal lain yang ditetapkan oleh syarak. Bagi jiwa yang sudah terbiasa dengan mengerjakan amalan wajib ini setiap hari, pastinya ketika kedatangan haid kita selalu merasakan “kosong” atau
“lemah” oleh kerana tiada pengisian jiwa yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Ini adalah beberapa contoh amalan ketika haid yang menjadi kelaziman dan boleh dilakukan. 

1. Mendengar bacaan Al-Quran 

Dunia tanpa sempadan, dengan bantuan teknologi kita oleh melakukan apa sahaja dengan mudah dari alternatif yang moden. Hari ini kita boleh mendengar bacaan Al-Quran daripada gajet ataupun mana-mana peranti digital seperti CD, Youtube, Quran player atau platform lain.

Tanpa pegang mushaf Al-Quran sekali pun, alunan suara bacaan Al-Quran boleh kedengaran di setiap pelosok ruang rumah kita. 

2. Membaca tafsir Al-Quran

Jika kebiasaan kita hanya membaca teks Al-Quran dalam Bahasa Arab dan tidak berpeluang untuk memahami maksudnya, jadikan amalan mentadabbur dan mengkaji isi Al-Quran ketika kita datang haid.

Ia boleh dilakukan melalui beberapa cara seperti terjemahan, kuliah-kuliah di internet, mahupun bahan bacaan rujukan yang boleh didapatkan di mana-mana kedai buku agama.

Di pasaran hari ini, banyak bahan rujukan yang mengasingkan satu juzuk ke satu juzuk yang lain. Dalam kata lain, kita boleh mempelajari satu per satu surah dengan lebih mendalam. 

Secara tidak langsung, bukan sahaja lebih faham malah dapat ingat khususnya surah-surah yang pendek dan lazim. 

3. Berzikir

Ucapan tasbih, tahmid, takbir, tahlil, dan sebagainya adalah bentuk-bentuk zikir yang boleh menjadi amalan ketika haid. Paling mudah untuk diamalkan adalah Zikir Fatimah, iaitu Subhanallah (33 kali), Alhamdulillah (33 kali), dan Allahuakbar (34 kali). 

4. Membaca Al-Mathurat

Antara sunnah yang menjadi amalan baginda Rasulullah SAW adalah dengan membaca Al-Mathurat. Al-Mathurat merupakan himpunan wirid dan doa harian yang dibacakan pada setiap waktu pagi dan petang. 

Walaupun dalam Al-Mathurat terdapat beberap potong ayat Al-Quran, tetapi wanita haid masih boleh membacanya dengan berniat untuk zikir.

Dalam Al-Quran, ada disebutkan tentang galakan membaca Al-Mathurat ini. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Dan sebutkanlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi orang-orang yang lalai.” – (Surah Al-Araf, ayat 205)

5. Berselawat

Jika Allah SWT dan malaikat pun berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, apalah daya dan kekuatan kita untuk tidak mengucapkan selawat kepada baginda. Lidah yang sentiasa menyebut nama baginda, hati yang sentiasa menyayangi baginda, dan fikiran yang tetap ingat pada baginda, akan memudahkan kita memperoleh syafaatnya kelak. 

Ketika semua manusia tercari-cari pertolongan ketika berdiri di padang mahsyar, berkat lidah, hati, dan fikiran kita yang sentiasa kasih pada baginda itu akan menjadi saksi hadirnya syafaat tersebut.

6. Beristighfar

Bermohon ampun kepada Allah SWT walau dimana pun kita berada atau dalam keadaan apa pun kita ketika itu. Biasakan diri beristighfar sebagai salah satu amalan ketika haid dengan menyebut Astaghfirullah hal ‘aziim ( اَسْتَغْفِرُ اَللّهَ الْعَظِیْمَ ).

Walaupun hukum bagi istighfar adalah sunat, namun amalan ini mempunyai pelbagai kelebihan kepada sesiapa yang mengamalkannya. Istighfar selain menjadi permohonan meminta ampun, ia juga sebagai penghapus dosa dan memberi perlindungan daripada sebarang bentuk kejahatan.

Bayangkan Rasulullah SAW beristighfar lebih 70 kali berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari sungguhpun baginda adalah makhluk Tuhan yang maksum. Bagaimana pula kita hamba Nya yang tidak pernah lari daripada melakukan dosa atau maksiat ini?

7. Berdoa

Dalam Al-Quran, Allah sangat menggalakkaan kita untuk berdoa malah sesiapa yang tidak berdoa mereka tergolong dalam orang-orang yang sombong.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran,

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” – (Surah Ghafir, ayat 60)

8. Mengulang hafalan surah

Persoalan mengulang hafalan surah ini pastinya sangat berkaitan dengan individu penghafaz Al-Quran yang memerlukan mereka membacanya setiap hari agar tidak lupa. Dalam konteks ini sebenarnya terdapat dua pandangan:

Pertama, hukumnya haram. Ini berdasarkan pendapat jumhur Fuqaha yang melarang wanita membaca Al-Quran ketika dalam keadaan haid atau sedang berjunub. Daripada hadis Ibn Umr RA:

لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Tidak dibolehkan wanita  dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada Al-Quran.”  (Hadis Riwayat al-Tirmizi, 131)

Manakala kedua, hukumnya adalah harus. Ini berdasarkan ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang Al-Quran bagi wanita yang haid dan dibolehkan membacanya bagi tujuan mengajar atau belajar. Namun yang demikian, kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja bukan sedang berjunub.

Kesimpulan yang diambil dari Mufti Wilayah Persekutuan, adalah dibolehkan mengulang hafazan atas sebab-sebab tertentu ini. Hal ini termasuk kerana dibimbangi hafazan Al-Quran mereka akan terluput dalam ingatan. 

9. Baca bahan bacaan agama

Tidak sukar menemukan bahan bacaan agama di luar sana. Di tambah kehadiran buku digital (ebook) dan platform digital yang menyediakan bahan bacaan tanpa had dan sempadan, kita boleh membacanya di mana-mana sahaja. Tidak ada alasan lagi untuk tidak membaca buku. 

10. Mengikuti majlis ilmu atau kuliah

Mereka yang datang haid, mempunyai banyak masa terluang yang boleh digunakan. Jika kebiasaannya kita memperuntukkan masa lebih kurang 5 minit untuk solat, ketika haid ubah aktiviti tersebut dengan mendengar kuliah yang bermanfaat. 

Kuliah yang dimaksudkan ini bukan sahaja berkenaan dengan agama, tetapi apa juga konsep ilmu pengetahuan yang memberi manfaat kepada kita baik ilmu dunia mahupun akhirat.

Kesimpulan 

Diharapkan artikel berkenaan dengan amalan ketika haid ini dapat memberikan anda pendedahan dan perkongsian yang sarat dengan ilmu pengetahuan untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Sebagai seorang wanita, janganlah kita berasa sedih kerana tidak mampu untuk cukup berbuat amalan setiap bulan, atau penuh berpuasa di bulan Ramadhan seperti kaum lelaki kerana wanita haid juga boleh memperoleh ganjaran pahala sekiranya kita mengamalkan amalan-amalan yang baik. 

Rujukan

  1. Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-136: Amalan Wanita Haid Di Bulan Ramadhan. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Amalan 24 Jam Wanita Haid. Terbitan PTS Publishing House. Penulis Fahrur Muis
  3. 15 Amalan Yang Wanita Boleh Lakukan Ketika Haid & Nifas. Blog Maryam Khadijah. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × five =