Skip to content

10 Adab Menuntut Ilmu Yang Perlu Diamalkan

adab menuntut ilmu

Apakah adab menuntut ilmu yang perlu kita amalkan? Artikel ini akan membincangkan 10 adab menuntut ilmu yang perlu dipraktikkan dalam menimba ilmu.

Pengenalan

Sepertimana yang kita tahu, perkataan pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW ialah Iqra’ iaitu “bacalah”. Allah dengan perantaraan Jibril menyuruh Rasulullah SAW untuk baca.

Imam Ahmad (dalam Musnad Ahmad Ibnu Hanbal) mengatakan daripada Aisyah, ketika sebelum wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW:

Rasulullah menerima mimpi yang seakan-akan benar. Sehinggalah baginda pergi beribadat di Gua Hira’. Dan satu hari, turunlah wahyu yang dimulakan dengan kata perintah, “Bacalah!”

Baginda menjawab, “Aku tidak boleh membaca!”

Selepas itu, Jibril membacakan, lalu Rasulullah SAW ikut.

Rasulullah SAW balik ke rumah dan bertemu isterinya Khadijah dalam keadaan baginda menggigil. Khadijah lantas menutup tubuh baginda dengan selimut.

Membaca merupakan salah satu cara untuk mendapatkan ilmu. Terlampau banyak bahan bacaan yang ada di dunia ini di sekitar kita. Lagi-lagi sekarang kita sudah boleh mengakses segala ilmu di internet dengan mudah dan pantas.

Persoalannya, apakah kita berusaha untuk membaca? Adakah kita memperuntukkan masa untuk membaca?

Allah berfirman dalam Surah al-Mujadalah ayat 11:

Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.

Dalam Tafsir al-Qurtubi, Ibnu Mas’ud mengatakan Allah memuji orang yang alim menerusi ayat ini. Antara orang-orang yang beriman, orang yang alim itu Allah angkat beberapa darjat buat mereka.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda:

Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.

Hadis ini membawa kita mengenali dua kelebihan. Pertama, orang yang keluar untuk pergi menuntut ilmu, Allah akan memudahkan perjalanannya untuk masuk ke syurga. Kedua, orang yang berkumpul atau berhalaqah untuk menuntut ilmu, Allah akan memberikan kemuliaan kepada mereka.

Terlalu banyak kelebihan menuntut ilmu. Semua ini, kuncinya adalah pada sifat membaca kita. Apakah kita hanya pandai memberi komen tanpa membaca?

Setiap dari kita hendaklah membaca atau belajar umumnya.

Adab-Adab Menuntut Ilmu

Terdapat 10 adab menuntut ilmu.

1. Niat yang ikhlas

Daripada Umar al-Khattab, Rasulullah bersabda:

Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengapakah niat ini penting?

Secara mudahnya, kerana niat dapat mengawal diri kita. Orang yang baik niatnya, maka baiklah juga perilakunya. Orang yang buruk niatnya, maka buruklah juga cara untuk mendapatkan apa yang diniatkan.

Setiap niat itu juga akam diberi balasan berdasarkan niat itu sendiri walaupun perilakunya sama.

Contoh daripada hadis di atas, dua orang yang berhijrah. Ada yang berhijrah kerana Allah. Ada juga yang berhijrah kerana dunia atau perempuan yang dia hendak kahwini.

Adakah sama kualiti hijrahnya? Sudah pasti tidak, kerana niatnya yang berlainan.

Samalah juga seperti belajar. Belajarlah kerana Allah. Kerana ingin menyampaikan manfaat. Kerana ingin menjadikan dunia ini lebih baik.

2. Bersungguh-sungguh

Ilmu itu tidak mudah untuk didapati. Ia memerlukan kesungguhan yang tinggi.

Daripada Ibnu Mas’ud, Rasulullah bersabda:

Ada dua jenis orang yang rakus selalu tidak berasa kenyang, iaitu penuntut ilmu dan pemburu dunia.” (Riwayat at-Tabrani)

Dua orang ini tidak pernah berasa puas. Namun, keadaannya berbeza. Seorang cenderung kepada ilmu, seorang lagi kepada hal ehwal dunia.

Jadi, orang yang mengejar ilmu, dia tidak akan puas. Dia akan bersungguh-sungguh mengejarinya. Walau apa jua rintangan.

3. Menjauhi maksiat

Kita pernah mendengar kisah guru kepada Imam Syafie iaitu bernama Waki’ Bin Jarrah yang telah menasihati beliau untuk kurangkan bermaksiat bilamana hafazan menjadi lemah.

Ia adalah untuk mengalihkan fokus daripada nikmat dunia kepada nikmat akhirat.

Ilmu sangat susah untuk masuk ke dalam diri kita apabila kita banyak bermaksiat. Jadi, beristighfarlah banyak-banyak. Bertaubatlah.

4. Berdoa

Dalam Surah Taha ayat 114, ada satu yang kita perlu amalkan untuk meningkatkan ilmu:

Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.

Amalkanlah doa ini setiap kali sebelum kita memulakan pembelajaran.

5. Berwuduk

Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:

Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk maka setelah ia membasuh wajahnya keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwuduk ia bersih dari dosa-dosanya.” (Riwayat Muslim)

Kita dianjurkan juga untuk berwuduk ketika menuntut ilmu. Wuduk membawa pelbagai kelebihan antaranya adalah dosa-dosa kita akan digugurkan.

6. Rendah diri

Dalam hadis Riwayat Muslim, Rasulullah SAW menerangkan berkenaan sifat sombong, sabdanya:

Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.

Sekiranya kita berlaku sombong ketika menuntut ilmu, maka kebenaran itu akan susah masuk ke dalam diri kita. Hasil daripada itu juga, pembelajaran kita akan tersekat.

Ini adalah kerana tujuan menuntut ilmu adalah untuk mendapatkan kebenaran. Namun, disebabkan sombong, kebenaran tidak akan sampai kepada kita. Jadi, rendahkanlah diri kita ketika menimba ilmu.

7. Semak

Allah berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 6:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Dunia kita hari ini, sudah ada macam-macam cara untuk kita menyemak daripada siapakah kita ambil ilmu. Bacalah biodata mereka dan dari lulusan manakah mereka mengaji. Agar, kita tidak mendapat kebatilan yang disulami dengan imej kebenaran.

8. Hafal ilmu

Setiap ilmu yang dipelajari, kita mesti hafal. Ada satu kaedah masyhur mengatakan barangsiapa yang menghafal ilmu adalah seperti memahat pada batu. Maknanya, usaha untuk mengekalkam ilmu itu dalam dada.

Sebelum Imam Syafie pergi belajar dengan Imam Malik, beliau menghafal terlebih dahulu Muwatta’ Malik. Lalu, ketika pergi belajar, Imam Malik memuji beliau.

9. Mengamalkan ilmu

Pepatah Arab pernah mengatakan:

Ilmu tanpa amal umpama pohon tak berbuah.

Untuk suatu ilmu itu menjadi sebati dengan kita, maka kita wajarlah mengamalkan ilmu tersebut.

10.  Mengajarkan ilmu

Daripada Muaz Bin Anas, Rasulullah bersabda:

Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang  mengamalkannya sedikitpun.

Apabila kita mengajarkan ilmu kepada orang lain, pahala yang kita dapat adalah berganda apabila orang tersebut mengamalkannya.

Kesimpulan

Inilah 10 adab menunut ilmu yang perlu kita amalkan iaitu niat yang ikhlas, bersungguh-sungguh, menjauhi maksiat, berdoa, berwuduk, rendah diri, menyemak sumber ilmu, hafal, beramal, dan mengajarkan ilmu yang dipelajari. Marilah kita sama-sama menghayati dan mengamalkannya.

Rujukan

  1. Sheikh Zarnuji, Taa’lim Muta’alim fi Tariq at-Ta’allum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twelve + 1 =