Skip to content

Imam Abu Hanifah: Biodata dan Sejarah Hidup-nya

imam abu hanifah

Dalam artikel kali ini kita akan menelusuri seorang tokoh penting dalam pendidikan fikah islam, yang mana ilmu dan tunjuk ajar beliau telah disampaikan dan dikembangkan ke seluruh pelusuk sehingga pada hari ini mazhab beliau menjadi sumber ikutan paling ramai di dunia. Tokoh yang dimaksudkan ialah Imam Abu Hanifah.

Islam amat mementingkan pendidikan. Tanpa pendidikan sesuatu ilmu tidak mungkin akan sampai kepada sesuatu kaum di sesuatu tempat. Sarjana islam mengambil pelbagai ilmu daripada guru mereka dan mengembangkannya ke pelusuk alam. Datuk nenek kita kemudian mengambil ilmu daripada ulama arab yang datang berdagang di Tanah Melayu, diturunkan sampai lah kepada generasi sekarang.

Isi Kandungan
  1. Biodata
  2. Ketokohan
  3. Murid-murid
  4. Karya
  5. Kecerdasan

BIODATA RINGKAS


Abu Hanifah merupakan pengasas mazhab Hanafi yang menjadi rujukan umat islam terutamanya di sekitar Turki, China, India, Pakistan dan beberapa negara lain di benua Asia. Imam Hanafi satu-satunya imam antara imam 4 mazhab yang bukan berasal daripada keturunan Arab akan tetapi beliau berketurunan Parsi.

Nama sebenar beliau ialah Nu’man bin Thabit bin Zuta bin Mah al-Taymi al-Kufi. Terdapat riwayat lain yang menyebut, al-Nu’man bin Thabit bin al-Nu’man bin al-Marzuban. Beliau dilahirkan pada tahun 80H bersamaan 5 September 699 Masihi dalam wilayah Kufah di Iraq, iaitu pada zaman pemerintahan khalifah ‘Abd al-Malik bin Marwan.

Mengenai gelaran Abu Hanifah, para sejarawan mengaitkan dengan perkara berikut:

  1. Nama seorang daripada anak lelakinya. Sesuai dengan maknanya “Bapa Hanifah”
  2. Kecenderungan kepada agama sejak kecil, lalu dianggap beliau seorang yang “hanif” yang bermaksud teguh atau lurus
  3. Ketekunan mencatat. Kemana sahaja beliau pergi pasti beliau membawa alat penulis bagi mencatat. Pen dalam Bahasa Parsi bererti “hanifah”.

KETOKOHAN ABU HANIFAH DALAM BIDANG PENDIDIKAN


Sebelum Imam Abu Hanifah terlibat dalam dunia pendidikan, beliau terlebih dahulu seorang yang aktif dalam bidang perniagaan.

Satu hari seorang guru hadis bertanyakan kepada beliau,

“Kemana engkau pergi wahai anak muda?”

Jawab Abu Hanifah, “aku mahu pergi ke pasar.”

Bertanya lagi guru tersebut, “tidak, dalam kalangan ulama kepada siapa kau pergi?”

Beliau membalas, “aku tidak pergi kepada sesiapa kerana aku berniaga.”

Guru tersebut berpesan supaya beliau melazimi ulama kerana dilihat dalam diri Abu Hanifah ada tanda bahawa Allah akan memberikannya ilmu. Kata Abu Hanifah, mulai dari hari itu beliau terus memulakan pengajiaan bersama gurunya Hamad bin Sulaiman.

Beliau mula mengajar hanya setelah kewafatan gurunya, Hamad, iaitu pada tahun 120H ketika beliau berumur 40 tahun. Abu Hanifah terus menlazimi gurunya Hamad kerana dikisahkan pada suatu hari, beliau ingin memulakan halaqah sendiri kerana ingin mengikut hawa nafsunya yang berasa bahawa beliau sudah layak memberi kuliah. Namun, perasaan bersalah telah menyelebungi dada Abu Hanifah lalu beliau kembali kepada majlis ilmu gurunya, Hamad.

Ditakdirkan pada waktu itu, Hamad terpaksa bermusafir ke Basrah menguruskan kerabatnya yang meninggal dunia. Oleh itu, beliau dipilih untuk menggantikan gurunya. Sepanjang ketiadaan Hamad selama 2 bulan, beliau telah menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan, ada juga antara soalan tersebut yang tidak pernah didengari oleh beliau. Imam Abu Hanifah menulis semula 60 soalan tersebut. Setelah gurunya pulang, beliau menanyakan kembali soalan yang dikemukan dan jawapan yang diberi. Hamad bersetuju dengan 40 soalan dan berbeza pandangan dengan 20 soalan yg lain.

Oleh yang demikian, mulai dari hari itu Imam berjanji untuk tidak akan meninggalkan halaqah gurunya. Sehinggalah kewafatan Hamad, ilmu dan persediaan beliau sudah mantap, barulah beliau yakin bagi terlibat secara langsung dalam memberikan fatwa dan menyampaikan ilmu.

MURID-MURID ABU HANIFAH


Murid beliau terlalu ramai kerana mereka datang dari pelbagai tempat hanya untuk bertemu dan belajar dengan Abu Hanifah. Antara murid beliau yang terkenal ialah:

  1. Zufar bin al-Hudhayl (wafat 158H). Beliau ialah murid Abu Hanifah yang paling tua berbanding Abu Yusuf. Beliau mahir dalam qiyas dan menjadi pengganti Imam setelah kewafatannya.
  2. Abd Allah bin Mubarak (wafat 175H). Beliau dilahirkan pada tahun 118H. Bapa beliau berasal dari Turki dan ibunya berasal dari Khawarizm. Beliau merupakan salah seorang murid Imam dan sarjana islam terkenal dalam bidang hadis dan fiqh. 
  3. Ya’qub bin Ibrahim bin Habib al-Ansari (wafat 182H). Lebih masyhur dengan panggilan al-Qadi Abu Yusuf. Beliau berasal dari ansar, berketurunan arab dan meneteap di Kufah. Beliau juga pakar dalam bidang sejarah. Beliau banyak menukilkan pendapat Imam Abu Hanifah dalam karyanya seperti al-Kharaj dan al-Athar.
  4. Muhammad bin al-Hassan al-Syaibani (wafat 189H). beliau berumur 18 tahun semasa Abu Hanifah meniggal dunia. Setelah itu beliau mendalami fiqh dengan Abu Yusuf, al-Thawri, al-Awza’i dan Imam Malik. Beliau juga merupakan guru kepada Imam Syafie
  5. Al-Hakam bin Abdullah bin Salamah al-Balkhi (wafat 197H). Dikenali sebagai Abu Muti’ al-Bakhi. Beliau merupakan salah seorang murid yang meriwayatkan kitab al-Fiqh al Akbar II.
  6. Al-Hassan bin Ziyad al-Lu’lu’i al-Kufi (wafat 204H). beliau pernah dilantik sebagai qadi di Kufah pada tahun 194H. Beliau merupakan murid imam yang masyhur dalam meriwayatkan pendapat Abu Hanifah
  7. Hafs Bin Salam al-Samarqandi (wafat 208H). Beliau berasal dari Samarqand, dikenali juga dengan gelaran Abu Muqatil. 

Murid-murid beliau boleh dikategorikan kepada dua bahagian. Pertama, mereka yang menlazimi Abu Hanifah saban waktu sehingga beliau wafat. Kedua, mereka yang belajar dengan beliau dalam selang masa tertentu, kemudian kembali ke negara asal mereka membawa bersama pendekatan dan manhaj Abu Hanifah. Ini membuktikan, murid beliau bukan sahaja berasal dari Kufah tetapi juga datang dari luar Kufah seperti Basrah, Balkh, Samarqand dan sebagainya.

Imam Abu Hanifah berjaya melahirkan anak murid yang terbilang dan setaraf dengan beliau iaitu Abu Yusuf. Beliau pernah dilantik sebagai ketua hakim dan merupakan ulama pertama yang diberi gelaran Qadi-al-Qudah. Dalam sebuah riwayat Abu Yusuf meriwayatkan:

Tidak ada di dunia ini suatu majlis yang lebih aku sukai selain daripada pengajaran Abu Hanifah dan Ibn Abi Layla. Sesungguhnya aku tidak dapati seorang yang lebih dalam ilmunya selain dari Abu Hanifah dan tidak ada seorang qadi yang paling baik selain Ibn Abi-Layla

KARYA-KARYA ABU HANIFAH


Terdapat 23 karya utama yang telah dihasilkan dan dinukilkan daripada beliau yang terdiri daripada karya akidah, pendidikan, hadis, dan juga fiqh. Antaranya ialah:

  1. Fiqh al-Akbar. Kitab ini diriwayatkan oleh anak beliau Hammad. Dimulakan dengan penerangan mengenai asas ilmu tauhid. Ini adalah kitab akidah Abu Hanifah yang paling terkenal dan dihuraikan oleh ramai sarjana islam yang lain.
  2. Al-Fiqh al-Absat. Dikenali juga dengan nama al-Fiqh al-Akbar II. Diriwayatkan oleh Abu Muti’ al-Hakam dan dihuraikan oleh beberapa ulama lain seperti Abu al-Layth al-Samarqandi.   
  3. Risalah ila ‘Uthman al-Batti. Risalah ini merupakan surat yang ditulis beliau kepada Uthman bin Sulayman bin Jurmuz al-Batti bertujuan menolak anggapan bahawa beliau menyokong fahaman Murji’ah  (fahaman yang menerima pengakuan iman hanya dalam hati)  
  4. Wasiyyah Abu Hanifah fi al-Tauhid.
  5. Al-Alim wa al-Muta’allim

KECERDASAN ABU HANIFAH


Kisah Pertama

Abu Hanifah memiliki perwatakan sebagai seorang yang waraq dan mulia. Suatu hari dikisahkan beliau mempunyai seorang jiran yang mabuk. Jiran ini akan mabuk setiap malam sambil menyanyi “semua orang abaikan aku..semua orang abaikan aku…” Dalam kehenigan malam, pemabuk ini sudah semestinya menganggu ketenteraman penduduk setempat. Jiran yang paling dekat dengannya tidak lain adalah beliau sendiri.

Sehinggalah pada satu malam, Abu Hanifah tidak mendengari nyanyian pemabuk tersebut. Sekiranya kita ditempat beliau sudah tentu kita berasa sangat lega dan berpuas hati. Tetapi tidak bagi Abu Hanifah. Apabila diselidik tahulah beliau bahawa pemabuk tersebut telah ditangkap oleh pihak berkuasa. Lalu imam bergegas ke rumah Gabenor Kufah pada ketika itu.

Sebagai seorang Imam besar yang terkenal, kedatangan beliau disambut baik oleh Gabenor. Dengan rasa curiga gabenor terbabit menanyakan urusan kedatangan Abu Hanifah. Beliau memohon supaya jirannya dibebaskan. Gabenor tersebut berasa hairan mengapa beliau ingin memberi syafaat kepada jirannya sedangkan dia selalu mengganggu ketenteraman dia sendiri?

Balas Imam, kerana dia adalah jiran aku dan jiran mempunyai hak untuk dibela dan diberikan ihsan dan aku tidak mahu termasuk daripada golongan orang yang mengabaikan hak jiran, sementara rasulullah ﷺ bersabda:

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليحسن إلى جاره..

Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berlaku ihsan terhadap jirannya. (Riwayat Muslim)

Setelah dibebaskan, si pemabuk terbabit datang berjumpa dengan Abu Hanifah, lalu ditanya, “Bagaimana sekarang? Adakah orang mengabaikan kamu atau mengambil berat terhadap kamu?” lalu si pemabuk tersebut tunduk dan berjanji untuk mendampingi Imam dalam majlis ilmunya selepas ini.

Kisah Kedua

Abu Hanifah juga terkenal sebagai seorang pendebat. Beliau bukanlah ingin menunjuk pandai, tetapi hanyalah untuk melawan hujah-hujah sesetengah pihak yang melampaui batas.

Pada suatu hari dikisahkan, beliau berdebat dengan para ateist yang tidak mempercayai kewujudan tuhan. Beliau memberi satu analogi dalam perdebatannya. “Bagaimanakah pendapat kamu, sekiranya ada sebuah kapal yang berlayar di tengah lautan. Kapal itu padat dengan para penumpang dan barang-barang mereka. Kapal itu berlayar berhari-hari lamanya menuju ke pelabuhan, berserta angin yang kencang dan ombak yang bergelora. Akhirnya, mereka berjaya sampai ke pelabuhan dengan selamat. Tetapi apabila diperiksa kapal itu tidak mempunyai nakhoda. Bahkan kapal itu berlayar sendiri membawa penumpang di dalamnya. Bagaimana menurut kamu cerita saya?”

Kesemua ateist tersebut mengingkari cerita beliau. Mereka mengatakan bahawa itu adalah suatu perkara yang mustahil. Abu Hanifah membenarkan pengakuan mereka seraya menjawab. “Sedangkan kapal yang tidak mempunyai apa-apa ini sudah mustahil berlayar sendiri, bagaimanakah dengan alam semesta yang sebegini luas, adakah mungkin kesemua ini tiada pencipta dan pengaturnya?” Mereka semua terdiam dan tunduk patuh atas hujah imam, lalu memeluk agama islam sesudahnya.

PENUTUP

Perkara yang kita boleh mengambil iktibar dalam perjalanan kisah hidup Abu Hanifah adalah:

  1. Amanah dalam menuntu ilmu. Walau bidang apa pun kita ceburi, kita harus mendalaminya dengan sebaik mungkin dan bersungguh, bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Kesemua ini akan memberi kesan kepada pekerjaan dan tanggungjawab kita kelak
  2. Berurus niaga dengan Allah. Walaupun beliau seorang ahli perniagaan yang sibuk berurus niaga dengan manusia, beliau tidak pernah lupa untuk berurus niaga dengan Allah. Iaitu dengan memberi sedeqah, membantu orang miskin, mengajarkan manusia ilmu dan pelbagai lagi.
  3.  Merendah diri. Akhir sekali, beliau merupakan seorang yang sangat merendah diri walaupun kedudukannya disegani oleh ramai orang. Beliau tidak pernah menggunakan ilmu dan kedudukan beliau untuk jalan yang salah. Bahkan semuanya dikerjakan demi kebaikan dunia dan akhirat beliau

Wallahualam

Baca berkenaan Imam Mazhab yang lain

Imam AhmadImam Malik
Imam SyafieImam Abu Hanifa

RUJUKAN

Ketokohan Imam Abu Hanifah Al-Nu’man (M.150h/767M) Dalam Bidang Pendidikan – Mohd Anuar Mamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty + three =