Baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan kenyataan seorang ilmuan dan pendakwah yang terkenal di negara kita bahawa zikir Allah Allah itu tiada faedah kerana tidak mempunyai makna yang jelas. Bagi masyarakat awam, kenyataan ini mungkin memberikan sedikit kekeliruan dalam diri mereka. Oleh itu, penulisan ini bertujuan untuk menghilangkan segala persoalan yang mungkin berlegar-legar di minda masyarakat awam.
Penulisan ini tidak akan menyalahkan atau menyerang mana-mana kumpulan atau mazhab. Sebaliknya, penulis berhasrat ingin membentangkan isu ini secara ilmiah berdasarkan dalil-dalil yang telah dikemukakan oleh para ulama’.
Mengikut ajaran Islam, segala bentuk perdebatan mestilah dilakukan dengan cara yang baik seperti yang ada dalam firman Allah SWT:
ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ
Maksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah al-Nahl 16:125)
Segala huraian dan penjelasan yang ditulis di dalam artikel ini adalah berasaskan prinsip kesederhanaan. Dengan kesederhanaan ini, penulis berharap agar para pembaca akan berlapang dada dan bersedia menerima perbezaan pendapat yang wujud dalam penulisan artikel ini.
Insya Allah.
APA ITU ZIKIR?
Dari segi bahasa, zikir berasal daripada bahasa Arab (ذكر =dhāl-kāf-rā’) yang membawa maksud mengingati, menyebut, memuji yang merujuk kepada Allah SWT. (Majma‘ al-Lughah al-‘Arabiyyah)
Dari segi istilah, zikir ialah lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT. (Al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih)
Secara umumnya, lafaz zikir dengan pelbagai kata terbitan telah diulang sebanyak 282 kali di dalam al-Quran. Sebagai contoh, Allah berfirman:
فَٱذْكُرُونِىٓ أَذْكُرْكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِى وَلَا تَكْفُرُونِ
Maksud: Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.(Surah al-Baqarah 2:152)
Allah SWT juga berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا(41)
وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا (42)
Maksud: Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya diwaktu pagi dan petang.(Surah al-Ahzab 33:41-42)
Berdasarkan beberapa contoh-contoh ayat al-Quran di atas, amat jelas kepada kita bahawa zikir ini amat digalakkan oleh Allah SWT supaya dilaksanakan oleh umat Islam sebanyak mungkin yang mereka mampu dalam semua kesempatan yang ada.
Zikir meliputi istighfar, berdoa, berselawat ke atas Rasulullah S.A.W, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, pembacaan Al-Quran dan seumpamanya. Membaca Al-Quran juga termasuk dalam kategori perbuatan zikrullah. Di dalam kitab al-Azkar, Imam Nawawi menyebutkan bahawa sesiapa sahaja yang taat kepada Allah SWT dalam erti kata yang sebenarnya, mereka juga dianggap sebagai orang yang berzikir kepada Allah (dhākir ilā Allāh).
Dengan itu, tidak diragukan lagi kepentingan berzikir kepada Allah SWT. Sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq. Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT.
Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada Allah SWT disebut sebagai tasawuf. Kerana itu Imam Malik pernah mengatakan bahawa, barang siapa yang berfekah tanpa bertasawuf maka dia telah menjadi fasiq. (Mirqat al-Mafatih, 1/478)
Zikir boleh dilakukan sama ada secara lisan, sebutan mahupun dalam hati seseorang. Kaedah yang terbaik adalah apabila apabila kita berzikir dengan gabungan antara hati dan lisan. Amalan zikir bukan hanya sekadar ibadah, tetapi juga merupakan amalan yang boleh membersihkan dan menyucikan jiwa manusia serta mendekatkan diri kepada Tuhan.
BOLEHKAH BERZIKIR DENGAN LAFAZ ( الله ) SAHAJA?
Setelah diteliti, penulis mendapati terdapat dua pendapat yang berbeza telah diberikan oleh para ulama’ berkenaan isu ini. Pandangan pertama menerima amalan berzikir dengan lafaz ( الله ) sahaja, manakala pandangan keduamenolak amalan berzikir dengan lafaz ( الله ) sahaja. Ini bermakna tiada kesepakatan dalam kalangan ulama sama ada dibolehkan untuk berzikir dengan lafaz ( الله ) sahaja ataupun tidak. Hal ini demikian kerana kedua-dua pandangan mempunyai sandaran daripada dalil syarak.
Justeru, sebagai orang awam, kita dibolehkan untuk memilih mana-mana pandangan yang telah dikemukakan oleh ulama’. Khilaf hendaklah disertakan dengan penghormatan dan adab yang tinggi.
Kaedah menyebut:
لَا إِنكَار عَلَى مُجْتَهِد فِي مَسَائِل الخِلَاف
Maksud: “Tidak ada keingkaran pada mujtahid dalam masalah khilaf.”
Sebaiknya, kita meneliti hujah kedua-dua belah pihak terlebih dahulu sebelum membuat mana-mana pilihan dalam isu ini. Ini adalah kaedah terbaik yang boleh kita usahakan ketika mana berhadapan dengan mana-mana isu yang yang berbentuk khilaf.
Di samping itu, kita akan lebih berlapang dada dan tidak begitu mudah menghukum mana-mana pendapat yang tidak sealiran dengan kita. Di bawah, penulis sediakan sebahagian hujah bagi kedua-dua pendapat berserta dengan dalil yang telah digunakan. Insya Allah.
Pendapat Pertama: Menerima
Di antara dalil yang menunjukkan bolehnya berzikir dengan lafaz ( الله ) sahaja ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Rasulullah SAW bersabda:
لا تقوم الساعة حتى لا يقال في الأرض : الله ، الله
Maksud: “Tidak akan berlaku kiamat hingga tidak ada yang mengucapkan di atas bumi (kalimat) Allah, Allah” (Riwayat Muslim)
Hadis ini menceritakan tentang keadaan akhir zaman di mana penduduk dunia tidak lagi menyebutkan nama Allah ketika itu. Imam Nawawi dalam Syarah Nawawi li Sohih Muslim menyebutkan bahawa hadis ini menunjukkan bahawa kiamat itu akan berlaku ke atas seburuk-buruk kaum.
Justeru itu, hadis ini menjadi sandaran kepada pendapat yang membenarkan kita untuk berzikir dengan lafaz ( الله ) sahaja.
Begitu juga dengan firman Allah SWT :
وَٱذْكُرِ ٱسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksud: Dan sebutlah nama Tuhanmu pada (waktu) pagi dan petang (Surah al-Insan 76:25)
Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa kita disuruh menyebut nama Tuhan kita, iaitu; Allah. Bahkan, ayat ini menyuruh kita agar menyebut nama Allah dengan sebanyak-banyaknya.
Pendapat Kedua: Menolak
Pendapat kedua mengatakan zikir dengan menyebut lafaz ( الله ) sahaja tidak memberi sebarang makna. Hal ini demikian kerana setiap zikir perlulah memberi makna yang jelas seperti Subhana Allah (Maha Suci Allah), Alhamdulillah (Segala Puji Bagi Allah), Allahu Akbar (Allah Maha Besar) dan Lailaha illa Allah (Tiada Tuhan Melainkan Allah). Manakala menyebut lafaz ( الله ) sahaja itu tidak sama seperti zikir-zikir tersebut.
Tambahan pula, tiada sandaran khusus bagi zikir dengan menyebut lafaz ( الله ) sahaja daripada mana-mana dalil. Tiada juga jaminan apa-apa ganjaran akan diperoleh sekiranya zikir ini diamalkan dalam kehidupan seharian.
Antara kaedah fiqh yang biasa digunakan ialah:
الأَصْلُ فِي الْعِبَادَاتِ الْحَظَرُ أَوِ التَّوَقُّفُ
Maksud: Asal pada ibadat itu adalah haram atau tawaqquf
Maksud tawaqquf adalah terhenti kepada dalil. Jika terdapat dalil hukumnya dibolehkan. Oleh yang demikian, kecenderungan pendapat kedua yang menolak zikir dengan menyebut lafaz ( الله ) sahaja itu adalah disebabkan ketiadaan yang dalil yang disepakati.
KESIMPULAN
Setelah isu ini dilihat daripada pelbagai aspek, penulis
1. Perkara Khilaf
Isu zikir dengan menyebut lafaz ( الله ) sahaja ini merupakan perkara khilaf. Terdapat dua pendapat dengan masing-masing berhujah Perbezaan pendapat itu biasa. Isunya adalah apabila perbezaan pendapat tidak dihormati. Maka awlawiyyatnya adalah untuk menjaga hubungan, bukan memenangkan pendapat.
2. Zikir yang ada Sandaran Lebih Utama
Mengamalkan zikir yang terdapat sandaran daripada dalil syarak itu adalah lebih utama berbanding zikir yang terdapat perbezaan pendapat padanya.
Kaedah menyebut :
الخروج من الخلاف مستحب
Maksud: Keluar dari khilaf itu adalah dituntut
3. Para Pendakwah perlu lebih berhati-hati
Para pendakwah perlulah lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan agar tidak sama sekali mengelirukan masyarakat awam. Budaya perli-memerli terhadap mana-mana kumpulan atau mazhab yang tidak sealiran di dalam ceramah umum perlulah dihapuskan.
Akhir kalam, seorang Muslim tidak akan bermusuhan dengan orang lain hanya disebabkan oleh perbezaan pendapat. Begitu juga, seorang Muslim tidak akan memutuskan silaturrahim hanya kerana perbezaan tafsiran dalam sesuatu hal.
Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman yang benar dalam agama.
Wallahua’lam.
RUJUKAN
- Irsyad Al-Fatwa #254: Zikir Kalimah “Hu”
- Majma‘ al-Lughah al-‘Arabiyyah
- Al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih